Pakar Hortikultur
Berita Minggu
Pokok boleh mengurangkan tekanan, membersihkan udara, mengawal kelembapan dan keselesaan, ketenangan dan menyejukkan mata. Kira-kira 90 peratus masa kita banyak dihabiskan di ruang kediaman atau pejabat. Mungkin disebabkan terdedah dalam jangka masa lama menyebabkan kita berisiko untuk menerima alahan, asma dan kegatalan pada tekak, mata dan hidung. Kebiasaannya kita meletakkan pokok di dalam ruang dalaman hanya sebagai nilai estetika saja. Sebenarnya fungsinya lebih banyak dan ia untuk kebaikan dari sudut kesihatan.
Saya akan membahagikan kepada tiga bahagian agar
mudah untuk pembaca memahami serta mengikut langkah yang mudah demi kebaikan bersama. Bahagian pertama lebih kepada pengenalan mengenai pencemaran udara ruang dalaman, punca dan kesan, bagaimana pokok mesra alam dapat membantu serta jenis pokok yang sesuai untuk di gunakan. Pada bahagian kedua lebih kepada penanaman pokok di dalam pasu, konsep reka bentuk dan susun atur mengikut keperluan dan bahagian terakhir, cara mudah penjagaan dan penyelenggaraan.
Bagaimana pokok membantu pengudaraan secara semula jadi? Memang ada banyak pilihan seperti pendingin hawa di pasaran yang berfungsi untuk mendinginkan suhu dengan tambahan fungsi seperti ionizer dan purifier. Saya masih percaya dengan kaedah semula jadi untuk mewujudkan udara segar secara semula jadi. Penggunaan pokok dalam ruang kediaman banyak dilihat dari sudut estetika. Nampak sedikit segar dengan adanya pokok dalam pasu di setiap sudut. Sedarkah kita bahawa ia patut diambil kira dari segi kesihatan, diikuti unsur kecantikan.
Mengikut kajian pakar aeronautik Amerika Syarikat, John C. Stennis Space Center pada 1980, penggunaan pokok di ruang dalaman:
- Boleh mengurangkan tekanan sama ada di rumah atau di pejabat,
- Membersihkan udara dengan menyahtoksik udara seperti formaldehyde, benzene dan trichloroethylene
- Mengawal kelembapan dengan lebih baik
- Dari segi kerohanian, memberi ruang individu yang selesa, tenang dan menyejukkan mata.
Contoh pokok yang biasa digunakan untuk hiasan dalaman ialah Rhapis excelsa, dracaena fragrans, philodendron erubescens, anthirium s.p, spathiphyllum sp.,nephrolepis obliterata, sansiviera trifasciata (lidah mentua atau lidah jin) dan philodendrom oxycardium (pokok duit-duit).
Pada keluaran akan datang saya akan menunjukkan cara mudah menanam, kedudukan susun atur serta lokasi serta bagaimana untuk menjadikan ia kelihatan cantik serta berfungsi dengan baik.
INFO: Kepentingan pengudaraan dalaman
- Tahap kelembapan yang tidak sesuai turut memberi kesan kepada wujudnya pencemaran ruang dalaman. Tahap kelembapan udara yang sesuai ialah antara 35 hingga 65 peratus. Pada keadaan kering atau terlalu lembap akan memberikan kesan yang tidak baik terutama pembiakan fungus atau spora.
- Untuk keselesaan, kediaman ruang dalaman perlukan pengudaraan yang baik, tambahkan pengudaraan untuk kelembapan, suhu sekitaran serta nyahbau. Secara tidak langsung ia mengimbangi pengudaraan yang selesa untuk didiami tanpa membabitkan penambahan sumber tenaga.
- Pada masa sekarang, kebanyakan bahan asas perabot tidak lagi diperbuat daripada bahan semula jadi, kebanyakannya dibuat melalui proses sintetik seperti kimia serta gam dan resin. Selain itu, kebanyakan alat elektronik juga memberikan punca kepada pencemaran udara.
FAKTA: Punca pencemaran udara di ruang dalaman:
- Ruang yang agak tertutup dan kurang pengudaraan
- Pelepasan gas daripada bahan sintetik pada perabot rumah (lantai ke siling) serta alat elektronik
- Manusia memenuhi ruang yang terhad dalam keadaan padat dan sempit dan jangka masa lama.
No comments:
Post a Comment