Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik
Showing posts with label Penyenggaraan Landskap. Show all posts
Showing posts with label Penyenggaraan Landskap. Show all posts

Friday, August 7, 2015

TEKNIK PENYIRAMAN YANG BETUL

1.  Lakukan penyiraman pada awal pagi.
  • Bekalan air pada waktu pagi akan membekalkan keperluan air kepada tanaman hiasan di sepanjang hari terutamanya untuk proses fotosintesis. 
  • Selain itu ia juga berupaya membantu mengurangkan kadar hidrasi kerana akar pokok telah menyerap air yang diperlukan.

2.  Siram terus ke permukaan tanah.
  • Ramai orang akan melakukan penyiraman secara terus ke atas daun walhal yang memerlukan air adalah akarnya. 
  • Tanaman hiasan yang mempunyai daun yang berbulu akan mudah melecur jika enyiraman dilakukan terus pada permukaannya. 
  • Apabila air bertakung pada permukaan daun berbulu, ia akan menggalakkan pertumbuhan bakteria, kulat dan mildew pada kawasan yang bertakung air.

3.  Jangan berharap sepenuhnya kepada air hujan.
  • Walaupun hujan turun dan telah membasahi tanaman hiasan, lakukan pemeriksaan untuk memastikan keseluruhan tanah atau medium di dalam pasu lembab. 
  • Kadangkala, hujan yang mencurah tidak dapat menembusi permukaan tanah terutamanya untuk tanaman hiasan mempunyai silara yang padat.

4.  Jangan biarkan tanah kering sepenuhnya.
  • Ada kalanya medium yang kurang digemburkan akan mula mengeras hingga menyebabkan air tidak dapat diserap. 
  • Hal ini akan berlakunya sekiranya medium di dalam pasu dibiarkan kering sepenuhnya. 
  • Melakukan penyiraman segera akan dapat membantu perkara tersebut daripada terus berlaku.

5. Guna sungkupan untuk mengekalkan kelembapan
  • Untuk mengekalkan kelembapan pada medium, gunakan sungkupan seperti hampas kayu, sabut kelapa dan sebagainya memenuhi permukaan pasu. 
  • Di samping itu juga, ia membantu mengurangkan kadar pertumbuhan rumpai. 
  • Permukaan pasu yang ditutupi sungkupan kelihatan lebih kemas dan menarik.  




Thursday, May 7, 2015

KESAN PENYIRAMAN BERLEBIHAN KEPADA TANAMAN HIASAN BERPASU


Tanda-tanda tanaman berpasu terlebih siram

1.  Ada kalanya penyiraman terlalu kerap dan berlebihan boleh menyebabkan tanaman hiasan  bermasalah. Ini akan menyebabkan tanah sentiasa basah.
2.  Tanah yang lembab akan menjadikannya sebagai tempat yang sesuai untuk pembiakan kulat dan bakteria yang boleh mengancam tanaman.
3.  Akar lemas hingga menyebabkan batang pokok mudah lembik. Dalam keadaan ini, serangga perosak akan menyerang tanaman tersebut.
4.  Daun dan pucuk mula gugur serentak.
5.  Batang pokok mula lembik akibat daripada adar air yang diserap oleh akar terlalu banyak.
6.  Kudup bunga mula dipenuhi kulat putih terutamanya pada tangkainya.
7.  Bunga melecur merupakan salah satu petanda yang kerap berlaku untuk tumbuhan ang mempunyai kadar resapan air berlebihan.


Langkah-langkah selamatkan tanaman terlebih siram

1.  Letakkan tanaman berpasu ke kawasan yang menerima sinaran matahari secara langsung sekurang-kurangnya lapan jam sehari.
2.  Melakukan penanaman semula boleh membantu untuk menyelamatkan tanaman.
3.  Gantikan keseluruhan medium yang terdapat di dalam pasu dengan medium yang baru dan kering. Tidak perlu melakukan sebarang penyiraman selepas penanaman semula dilakukan sehingga tanda lebihan air yang terdapat pada pokok hilang.

Tuesday, April 28, 2015

MEMANGKAS TANAMAN HIASAN


 


Memangkas tanaman hiasan berupaya menggalakkan tumbesaran daun, dahan dan bunga agar ia tumbuh baru dan tampil dengan lebih baik. Kaedah ini juga dapat menentukan keadaan dan statys fizikal pokok supaya ia tumbuh lebih lama.

Tujuan memangkas tanaman hiasan:


  • Mengekalkan atau mengurangkan ukuran pokok supaya tidak terlampau besar disampingkan memastikan dahan tidak padat atau terlalu rapat. 
  • Membuang dahan yang tidak sempurna, lemah, atau terlalu padat agar dapat meningkatkan kesegaran pokok sekali gus menjadikannya seimbang. 
  • Membuang dahan mati, berpenyakit atau cedera. 
  • Memangkas pokok tua untuk memulihkan kesegaran dan mendapatkan bentuk yang menarik. 
  • Mengelakkan kerosakan harta benda dan juga nyawa dengan memangkas dahan-dahan besar atau mana-mana struktur pokok yang lemah. 
  • Mendapatkan bentuk tertentu dengan menggunakan teknik topiari.

 

 
 





Saturday, April 11, 2015

TIP PENYIRAMAN TANAMAN HIASAN TATKALA BERCUTI PANJANG

1.  Untuk tanaman hiasan daripada jenis Cacti dan sakulen, ia boleh hidup berbulan-bulan tanpa perlu disiram. Letakkan tumbuhan anda di bawah teduhan dan lakukan penyiraman sebelum keluar untuk bercuti.

2.  Sediakan miniature greenhouse. Cucuk empat batang kayu pemancang di sekeliling pokok, serkup beg plastik hingga menutupi mulut pasu. Pastikan plastik tidak ersentuh pada pokok. Ikat mulut plastik pada pasu dengan menggunakan getah dan pastikan ia ketat.

3.  Letakkan satu lapisan batu atau pebbles sekurang-kurangnya inci di dalam bekas loyang atau dulang. Isi air di dalam dulang  tersebut sama paras  dengan batu yang telah diletakkan. Susun pasu di dalam dulang tersebut,\.

4.  Basahkan keseluruhan tuala atau kain guni sepenuhnya. Lipat tuala tersebut mengikut saiz keperluan dan susun pasu di atas tuala tersebut.

5.  Untuk tumbuhan yang lebih besar, letakkan beberapa lapisan kertas surat khabar yang telah direndam di atas permukaan tanah. Lebih besar pokok, lebih banyak kertas diperlukan.

6.  Sediakan sistem pengairan pokok automatik. Sediakan balang yang dipenuhi air dan diletakan secara bersebelahan  dengan pasu. Gunakan selembar nulon cord sebagai penyambung dari bekas berisi air ke dalam pasu.  Pastikan nylon cord yang digunakan terbenam ke dalam tanah di dalam pasu sekurang-kurangnya 3 inci.

7.  Sebelum anda keluar bercuti, lakukan penanaman semula tanaman hiasan di dalam pasu. Letakkan lapisan lampin pakai buang di bahagian bawah asu sebelum diletakkan medium. Ia membantu untuk mengekalkan medium di dalam pasu.


Wednesday, May 11, 2011

TUMBUH-TUMBUHAN MEMERLUKAN BAJA


Nutrien yang seimbang menjadikan tumbuhan tumbuh subur.
Tumbuh-tumbuhan memerlukan nutrien yang seimbang untuk pengembangan dan pertumbuhan yang sempurna, berbuah dan mengeluarkan bunga pada tahap yang optimum. Ini bagi memastikan kualiti tumbesaran dan visual tumbuhan pada paras yang memuaskan. Tujuan pembajaan adalah untuk memulihkan kandungan nutrien dalam medium yang telah diserap oleh tumbuhan melalui proses fisiologinya.

Pada umumnya tumbuh-tumbuhan memerlukan unsur-unsur utama sama ada unsur-unsur makro dan mikro. Unsur-unsur ini tidak boleh diganti dengan yang lain.

Unsur makro:
  • Karbon
  • Hidrogen
  • Oksigen
  • Nitrogen
  • Fosforus
  • Kalium
  • Sulfur
  • Kalsium
  • Magnesium


Unsur makro dan mikro diperlukan oleh pokok untuk
 tumbuh secara optimum.
 Unsur mikro:
  • Zink
  • Ferum
  • Boron
  • Molibdenum
  • Kuprum
  • Klorin
  • Nikel
  • Kobalt
  • Manganan

Kesan kekurangan nutrien pada tumbuh-tumbuhan:
  • Daun tumbuhan menjadi kuning.
  • Tumbuhan menjadi terbantut.
  • Dahan mudah patah.
  • Tumbuhan mudah diserang penyakit.

Terdapat dua jenis baja yang biasa dugunakan, iaitu:

a) Baja organik
  • Baja jenis ini adalah baja yang terhasil daripada bahan semula jadi yang telah mengalami proses pereputan.
  • Baja ini tidak memudaratkan tumbuhan dan mempunyai kesan jangka panjang yang positif terhadap tanah tanpa menjejaskan air bawah tanah tetapi mempunyai kepekatan nutrien yang lebih rendah berbanding baja kimia. Baja asli ini biasanya digunakan sebagai baja permulaan.
  • Organik yang terkandung dapat meninggikan tahap kesuburan medium dan memperbaiki tekstur medium. Selain itu ia dapat dapat membaiki daya pegangan air dan menggalakkan kadar pertukaran kation dalam medium.
  • Baja ini didapati daripada reputan sisa tumbuhan dan najis haiwan.
  • Contoh baja ini ialah tahi ayam, tahi lembu dan tahi kelawar.
  • Baja organik buatan seperti kompos (kitar semula pereputan daripada bahan-bahan seperti sisa tumbuhan, daun-daun, dan sisa-sisa makanan) mempunyai nutrien yang sangat tinggi dan sesuai digunakan untuk tanaman pasuan.

Tanaman pasuan memerlukan rutin pembajaan yang tetap.
b) Baja kimia
  • Baja kimia adalah baja yang telah diproses. Baja ini membebaskan unsur nutriennya lebih cepat apabila larut dalam air berbanding baja organik.
  • Biasanya ia berbentuk butiran, hablur dan cecair.
  • Baja jenis butiran boleh digunakan secara terus kepada tumbuhan manakala jenis hablur dan cecair hendaklah dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disembur kepada tumbuhan.
  • Contoh baja kimia ialah Nitrophoska Hijau, Nitrophoska Biru dan Triple Superphosphate (TSP).
  • Pembajaan baja kimia yang berlebihan boleh menyebabkan bahagian tumbuhan terbakar dan melecuh sebab baja jenis ini panas.
  • Seelok-eloknya selepas menabur baja kimia, siram air untuk mengelakkan bahagian tumbuhan terbakar.

Kurangkan nitrogen dan lebihkan kalium apabila kita hendak
tumbuhan berbunga cantik.

Bentuk-bentuk baja
  • Baja butir - Baja berbutir ini ditabur di keliling tumbuhan. Boleh juga di campur dan dilarut dengan air. Lebih berkesan jika digaul bersama dengan medium yang telah digemburkan bagi meningkatkan penyerapan oleh akar.
  • Baja debu - Baja ini lebih efektif apabila digaul dengan medium bagi mengelakkan diterbangkan angin.
  • Baja semburan - Baja ini biasanya disembur dalam bekas semburan dan disembur pada daun.
  • Baja cecair - Dibancuh dengan air dan disembur terus pada daun (baja foliar) atau dititiskan pada medium melalui penitis.
  • Baja yang dibebaskan perlahan-lahan - Baja ini diserap perlahan-lahan oleh tumbuhan. Ia lebih menjimatkan. baja ini diselaputi oleh bahan-bahan yang lambat reput dan bertindak balas pada kelembapan dan suhu yang sesuai.


Lakukanlah pembajaan selepas merumpai.
 Pembajaan
  • Pembajaan merupakan salah satu aktiviti penyelenggaraan yang penting untuk memastikan tumbuhan tumbuh pada tahap yang optimum dan sempurna.
  • Kadar pembajaan dan jenis baja yang digunakan bergantung kepada jenis tumbuhan.
  • Bagi anak pokok dan keratan yang baru ditanam, kadar nitrogen hendaklah 3 hingga 6 kali ganda berbanding fosforus dan kalium.
  • Bagi tumbuhan yang sedang membesar nisbah NPK (Nitrogen, fosforus dan kalium) hendaklah sama banyak.
  • Kurangkan kandungan nitrogen sehingga 50% bagi pokok yang akan berbunga.
  • Lakukan pembajaan selepas kerja merumpai.
  • Apabila menggunakan baja butiran, pastikan ia tidak terkena pada daun atau tumbuhan untuk mengelakkan ia melecur atau membunuh tumbuhan.

Saturday, October 9, 2010

TEKNIK PENYENGGARAAN TANAMAN/TUMBUHAN LANDSKAP


Tumbuhan landskap mesti disenggara dengan baik agar pertumbuhannya terus segar sepanjang masa. Semua kerja-kerja penyenggaraan boleh dibuat secara bersendirian atau diupahkan kepada orang atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu. Sebagai contoh, sebaik-baiknya kerja-kerja pembajaan dilakukan secara berkala yang menjadikan tumbuhan tersebut sentiasa menerima nutrien sepanjang masa.


Diantara kerja-kerja penyenggaraan yang mesti dilakukan ialah:

  •  PenyiramanDilakukan sebaik sahaja kerja-kerja penanaman selesai. Air siraman hendaklah mengenai pokok dan tanah penanaman. Air siraman hendaklah menyerap sedalam 13 – 15 cm ke dalam tanah. Umumnya penyiraman dilakukan dua kali sehari untuk pokok dalam bekas iaitu pada awal pagi dan lewat petang. Apabila pokok telah dewasa, kadar penyiraman bolehlah dikurangkan atau diberhentikan.

  • MerumpaiAktiviti ini perlu dilakukan dari masa ke semasa. Merumpai menjadikan kawasan landskap kelihatan kemas, teratur dan menjauhkan tumbuhan daripada serangan penyakit. Merumpai boleh dilakukan dengan tangan atau mengguanak peraltan khas.

  • Pembajaan - Pembajaan yang seimbang dan betul menghasilkan tumbuhan landskap sihat dan subur. Pastikan tujuan membaja samaada untuk pengeluaran bunga, buah atau daun. Baja tinggi nitrogen untuk berdaun cantik. Baja tinggi fosfat dan potash untuk menghasilkan bunga dan buah. Pembajaan hendaklah mengikut masa yang telah dijadualkan.

  • PemangkasanPemangkasan dilakukan dengan membuang tunas-tunas liar, dahan yang tumbuh tidak teratur dan dahan-dahan yang telah rosak. Ia bertujuan; membentuk pokok, membuang dahan mati, berpenyakit, dan yang tidak diperlukan, merangsang pertumbyhan tunas, bunga atau buah, meninggikan nilai estetika, dan memberi keseimbangan pada pokok supaya tidak rebah. Ada tiga jenis; pemangkasan membentuk, pemangkasan kelaziman, dan pemangkasan memperbaiki.


  • Pemotongan RumputRumput dipotong mengikut jadual yang telah ditetapkan seperti dua kali sebulan. Pada musim hujan, pemotongan lebih kerap dilakukan. Pada musim kering, kekerapan memotong rumput boleh dikurangkan kepada sekali sebulan. Rumput dipotong pada paras yang dikehendaki tanpa merosakkan pertumbuhannya. Rumput yang telah dipotong hendaklah disapu dan dibersihkan untuk mengelakkan perttumbuhan yang tidak sama rata.

  • Penyelenggaraan Yang Lain -Terdapat penyelenggaraan lain yang perlu dilakukan. Aktiviti-aktiviti ini dilakukan secara harian untuk menjadikan kawasan landskap kelihatan bersih, cantik dan menarik. Antara kerja-kerja itu ialah; menyulam tumbuhan landskap yang mati, menyapu daun-daun kering yang berguguran, memungut sampah, membersihkan longkang dan sebagainya.