Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik
Showing posts with label Perayaan. Show all posts
Showing posts with label Perayaan. Show all posts

Monday, August 31, 2015

#SEHATISEJIWA MERDEKA

Sehati Sejiwa, tema Hari Kebangsaan 2015 menggambarkan keutuhan, perpaduan, kesefahaman, bersatu dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini. Rakyat Malaysia dituntut supaya taat setia tanpa berbelah bahagi. Jiwa raga dan kesetiaan hanya kepada tanah air tercinta. 

Jika kita mengamati bait-bait lirik lagu Hari Kebangsaan 2015 ternyata lagu ini menyuntik semangat dan roh perjuangan rakyat Malaysia. Lirik ini mengajak kita agar memantap jiwa lebih tabah dan kental menempuh segala rintangan dan dugaan yang menimpa negara ini. 

Tema kali ini mengajar rakyat Malaysia agar dapat membina semangat sehati sejiwa di mana jua kita berada. Sehati sejiwa turut membawa maksud budaya seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu dan bekerjasama serta bersatu dalam apa juga kejayaan dan rintangan yang berlaku di negara tercinta Malaysia. Walaupun berbeza adat resam, kepercayaan dan budaya, namun bukan faktor untuk kita berselisihan. Masyarakat yang berjiwa merdeka meletakkan kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri. Suka dan duka bersama semangat sehati sejiwa.

Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang proaktif dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Individu yang berjiwa merdeka ialah berfikiran kreatif, inovatif dan penyayang. Bukan sekadar pengguna namun mampu mencipta dan menampilkan idea-idea baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat, individu berjiwa prihatin saling bantu membantu dan bertoleransi demi kelangsungan bangsa dan negara. 

Prinsip Kemerdekaan bukan sekadar bebas untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Masyarakat yang berjiwa merdeka mestilah seorang patriot, hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu. 

Masyarakat yang berjiwa merdeka harus digerakkan sebijaksana mungkin hingga mampu memartabatkan jati diri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan tidak berbelah bahagi. 

Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Jiwa merdeka menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara.

Memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati dan minda, kehidupan membahagiakan di samping insan-insan tersayang. 

Semangat 'sehati sejiwa' perlu diterap dalam diri generasi muda masa kini ini agar mereka menghargai erti kemerdekaan seterusnya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Semangat semarak ini perlu ditekankan khususnya dengan perisian semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda kerana erti kemerdekaan itu bakal melahirkan kekuatan ekonomi negara. 

Roh dan semangat sehati sejiwa perlulah dihayati dan diinsafi. Jadilah rakyat yang setia kepada negara yang satu - Malaysia dan sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan bersama demi negara tercinta.

Thursday, June 18, 2015

SELAMAT BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Hari ini Khamis 18 Jun 2015 atau 1 Ramadhan adalah hari pertama umat Islam di Malaysia mula berpuasa. Selamat mengerjakan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan.



"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa." Surah Al Baqarah, ayat 183 

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan..."

Saturday, January 31, 2015

WARNA-WARNI DI NURSERI MENYAMBUT TAHUN BARU CINA

Tahun Baru Cina datang lagi. Setiap menjelang ketibaan Tahun baru Cina ini, pergi dan lihatlah nurseri-nurseri yang diusahakan oleh bangsa Cina. Di kawasan nurseri tersebut berubah menjadi lebih berwarna-warni bunga-bungaan dan tanaman landskap. Yang paling menonjol dan memukau pemandangan ialah kehadiran beribu pohon limau yang buahnya berwarna oren. Kebanyakan bunga-bungaan yang ada di nurseri adalah yang berwarna terang seperti warna merah, kuning dan oren. Dalam kepercayaan orang Cina, warna-warna tersebut mendatangkan ong...  

Warna merah sendiri sebenarnya mempunyai makna yang tersendiri bagi masyarakat Cina. Tidak hanya warna itu terang dan ceria maka menjadi lambang kegembiraan dan menjanjikan sinar kecerahan dalam hidup. Warna merah itu dipanggil hong dalam bahasa Cina. Bunyinya kedengaran seperti ong atau bertuah. Maka, masyarakat Cina percaya warna ini akan membawa tuah. Jika pakai warna merah pada hari pertama Tahun Baru Cina, dipercayai akan dilimpahi tuah sepanjang tahun.

Seperti mereka percaya warna merah atau limau membawa tuah, orang Cina juga percaya ada perbuatan-perbuatan yang jika dilakukan akan membawa nasib malang seperti memakai pakaian berwarna hitam, menyapu sampah dan bercakap tentang perkara-perkara yang buruk pada Tahun Baru Cina. Bukan persoalan sama ada kepercayaan itu karut atau tidak, tetapi sebenarnya dalam masyarakat Cina terdapat pepatah yang berbunyi bu pa yi wan, zi pa wan yi yang bermakna ‘daripada tidak percaya, baik percaya’.


 














Friday, June 27, 2014

SELAMAT DATANG RAMADHAN - PAHALA BERGANDA KEAMPUNAN TERBUKA

Kehidupan kita di dunia ini tidak bererti sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T dan lebih tidak bererti lagi jika segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa-dosa yang kita lakukan tidak mendapat keampunan dari Allah SWT. maka, sebagai orang yang beriman kita dituntut agar sentiasa memohan keampunan kepada Allah di atas segala dosa yang telah kita lakukan samada dosa kecil mahupun dosa besar. Sesungguhnya bagi orang yang tidak memohon keampunan kepada Allah dengan menangguh-nangguhkannya atau melambat-lambatkan tindakan tersebut, mereka dianggap sebagai orang yang angkuh dan sombong dengan Allah SWT.
 
Maka bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan dan sebagai orang yang beriman kita sentiasa mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T. Kerana itulah, kita dituntut agar mempertingkatkan amal bagi memperolehi keredhaan tersebut, terutama dengan memperbanyakkan amal ibadah di samping dikerjakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
 
Hari ini merupakan bulan untuk kita umat Islam menunaikan ibadah puasa, kita berpuasa dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah semata-mata mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T. Begitu juga, bersamanya kita mengharapkan agar digandakan pahala, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan hidup kita dijauhi dari godaan syaitan. 
 
Sabda Rasulullah SAW: "Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: apabila telah tiba bulan Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai." (Hadis riwayat Ahmad) 
 
Kedatangan bulan Ramadhan amat digeruni dan ditakuti oleh syaitan kerana pada bulan ini Allah tidak membenarkannya menghasut serta menggoda manusia melakukan kejahatan dan maksiat. Pada bulan ini syaitan akan dirantai dan dibelenggu. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam hadis baginda: "Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda apabila telah tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai". (Hadis riwayat Ahmad)
 
Mencari keredhaan dan keampunan Allah S.W.T adalah merupakan amalan harian hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, mereka tidak jemu dan berputus asa melakukannya kerana mereka yakin bahawa Allah akan mengurniakan kepada mereka keredhaan dan keampunan diatas segala dosa-dosa yang telah dilakukan selagi mana mereka terus memohan. 
 
Justeru, Allah S.W.T yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun tidak akan keberatan memberi keredhaan dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang meminta dan memohan dirinya. 
 
Salah satu hikmah diwajibkan kita berpuasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183: "Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."
 
Berdasarkan firman Allah tersebut, membawa maksud kepada kita bahawa kesan dari ibadah puasa bagi orang yang beriman ialah bertambah ketakwaan Mereka kepada Allah. Justeru, setelah kita melaksanakan ibadah puasa, adakah bertambah ketakwaan kita atau semakin berkurang?. Atau adakah jiwa kita semakin bersemangat untuk memperbanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringan-ringankan tuntutan ibadah?. 
 
Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala peluang yang Allah sediakan pada bulan Ramadan ini, daripada kita mensia-siakannya. Kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadan pada tahun hadapan. Kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan dalam bulan Ramadan ini satu malam yang nilai keberkatan dan ganjaran pahalanya pada malam tersebut lebih baik dari seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadr: "Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?, malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!."
 
Asbabun Nuzul ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid Rahimahullah dikatakan Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang kisah seorang lelaki dari bani Israel yang telah menggunakan kekuatan senjatanya dan kemahirannya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas kehebatannya lalu Allah menurunkan ayat tersebut. 
 
Dalam riwayat yang lain pula, dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut tentang kisah empat orang bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka. Lalu Jibril A.S datang memberitahu kepada Rasulullah S.A.W bahawa Allah S.W.T menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril AS berkata kepada Rasulullah S.A.W ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan, ini menjadikan Rasulullah S.A.W dan para sahabat amat gembira dengan perkhabaran Jibril tersebut. 
 
Dari surah al-Qadr tersebut dapatlah kita fahami bahawa besar kelebihannya bagi orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar. Amalan yang dikerjakan pada malam tersebut digandakan. Samada salat yang kita kerjakan, bacaan al-Quran atau zikrullah yang kita ucapkan serta amalan-amalan lain digandakan oleh Allah S.W.T. Kerana itulah, bagi mendapatkan malam tersebut Rasulullah S.A.W mempertingkatkan dengan melakukan ibadah pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dan bukan hanya setakat bagi dirinya sahaja malahan Baginda menyuruh ahli keluarganya bangun bersama-sama untuk beribadah. "Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga." (Hadis riwayat Bukhari) 
 
Orang yang tekun beribadah semata-mata untuk menemui malam Lailatul Qadar pasti akan mendapat rahmat yang telah dijanjikan Allah S.W.T terutama dengan melakukan amalan seperti berikut:
  1. Menghayati malam tersebut dengan memperbanyakkan beribadah seperti mengerjakan salat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, beriktikaf, berdoa dan sebagainya.
  2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan beribadah serta dikerjakan semata-mata kerana Allah S.W.T dengan mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya.
  3. Dalam kita melaksanakan ibadah di malam Lailatul Qadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dengan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  4. Perbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.A.

"Saya pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi) 
 
Marilah sama-sama kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan. Kita juga perlu membuat persediaan dan persiapan samaada dari segi jasmani dan rohani supaya Ramadhan yang disambut itu benar-benar dapat dihayati segala kelebihan dan keistimewaannya. sebagai seorang Islam kita sawajarnya merebut dan mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaannya yang terdapat di dalam bulan tersebut yang terdiri daripada tawaran pahala yang berlipat kali ganda serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan. 
 
Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barang siap merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka". (Hadis riwayat Ahmad)  
 
Allah S.W.T. sangat menyayangi hamba-hambaNya dan ruang rahmat ini perlu direbut dengan petunjuk Allah S.W.T, "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah al-Isra' ayat : 9) 
 
Semoga kita terus mendapat hidayah dan pahala berganda di bulan yang mulia ini, Wallahua'lam. 

Ustazah Sabariah Bt. Haji Salleh P.P.T
Penolong Pengarah
Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor.

Tuesday, October 15, 2013

SALAM AIDILADHA

Kami di mekarharum.blogspot.com mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada pengunjung blog ini, kepada guru-guru sekolah kami, kepada teman-teman dan kepada muslimin dan muslimat.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk kita terus bernafas di bumi ini dan dapat menyambut kehadiran satu lagi Hari Raya di dalam Islam iaitu Aidiladha untuk tahun 1434H. 

Aidiladha sinonim dengan ibadah korban. Korban merupakan istilah bahasa arab Qurbaan yang bermaksud dekat. Ia bermaksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap ibadat korban hakikatnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika tidak berlaku demikian, ia bukan ibadat korban sekalipun dinamakan dengan korban

Falsafah korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam inilah yang wajib dihayati oleh umat Islam pada hari ini. Ibadah korban yang disyariatkan sewaktu seluruh Jemaah haji berkumpul di Padang Arafah membuktikan kebersamaan kita dengan para hujjaj di Tanah Suci.


Monday, August 29, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam  setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.

سلامت هاريراي عيدالفطري
Maaf Zahir dan Batin


Dalam segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita.

Selepas sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu 'madrasah' atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat terawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.

Sebagai tanda meraikan kejayaan itu maka kita dianugerahkan Hari Raya Aidilfiri. Pada asasanya Aidilfitri adalah hari untuk kita menzahirkan kegembiraan. Namun, kegembiraan itu perlu dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan yang kita kecapai di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Aidilfitri bukan hari untuk kita melempiaskan hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah).

Di samping menceriakan hari raya dengan amal ibadat dan takbir raya, umat Islam juga dituntut melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti bermaaf-maafan, memohon kemaafan ibu-bapa, ziarah-menziarahi, menyambung kembali silaturahim yang telah terputus sesama kaum keluarga dan sahabat handai serta menziarahi pusara (kubur) ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.

Monday, August 1, 2011

RAMADHAN MENJELMA. SELAMAT BERPUASA

Kami mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa kepada semua umat Islam di Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia. Selamat berpuasa.

Nabi Muhammad SAW menyebut yang bermaksud: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).



Puasa adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat". (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Friday, September 10, 2010