Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, August 31, 2015

#SEHATISEJIWA MERDEKA

Sehati Sejiwa, tema Hari Kebangsaan 2015 menggambarkan keutuhan, perpaduan, kesefahaman, bersatu dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini. Rakyat Malaysia dituntut supaya taat setia tanpa berbelah bahagi. Jiwa raga dan kesetiaan hanya kepada tanah air tercinta. 

Jika kita mengamati bait-bait lirik lagu Hari Kebangsaan 2015 ternyata lagu ini menyuntik semangat dan roh perjuangan rakyat Malaysia. Lirik ini mengajak kita agar memantap jiwa lebih tabah dan kental menempuh segala rintangan dan dugaan yang menimpa negara ini. 

Tema kali ini mengajar rakyat Malaysia agar dapat membina semangat sehati sejiwa di mana jua kita berada. Sehati sejiwa turut membawa maksud budaya seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu dan bekerjasama serta bersatu dalam apa juga kejayaan dan rintangan yang berlaku di negara tercinta Malaysia. Walaupun berbeza adat resam, kepercayaan dan budaya, namun bukan faktor untuk kita berselisihan. Masyarakat yang berjiwa merdeka meletakkan kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri. Suka dan duka bersama semangat sehati sejiwa.

Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang proaktif dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Individu yang berjiwa merdeka ialah berfikiran kreatif, inovatif dan penyayang. Bukan sekadar pengguna namun mampu mencipta dan menampilkan idea-idea baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat, individu berjiwa prihatin saling bantu membantu dan bertoleransi demi kelangsungan bangsa dan negara. 

Prinsip Kemerdekaan bukan sekadar bebas untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Masyarakat yang berjiwa merdeka mestilah seorang patriot, hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu. 

Masyarakat yang berjiwa merdeka harus digerakkan sebijaksana mungkin hingga mampu memartabatkan jati diri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan tidak berbelah bahagi. 

Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Jiwa merdeka menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara.

Memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati dan minda, kehidupan membahagiakan di samping insan-insan tersayang. 

Semangat 'sehati sejiwa' perlu diterap dalam diri generasi muda masa kini ini agar mereka menghargai erti kemerdekaan seterusnya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Semangat semarak ini perlu ditekankan khususnya dengan perisian semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda kerana erti kemerdekaan itu bakal melahirkan kekuatan ekonomi negara. 

Roh dan semangat sehati sejiwa perlulah dihayati dan diinsafi. Jadilah rakyat yang setia kepada negara yang satu - Malaysia dan sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan bersama demi negara tercinta.

No comments:

Post a Comment