Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, February 25, 2010

PENYERI KOLAM

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu






MEMILIKI kolam tanpa tumbuhan di dalam atau di sekelilingnya, hanya mencetuskan pemandangan kaku. Malah, lebih baik jika kolam itu tidak diwujudkan kerana peranannya sebagai penyeri landskap kediaman akan terjejas andai tidak bertemankan 'pasangannya' iaitu tumbuhan air yang juga dikenali tumbuhan akuatik. Harus diingat, kolam juga bukan sekadar menghias laman tetapi mewujudkan ekosistem untuk kediaman supaya ia lebih hidup dan memberi manfaat kepada pemilik kediaman.

Selain memberikan kehidupan kepada hidupan lain, seperti pepatung, rama-rama dan ikan, tumbuhan dalam kolam membantu mengawal suhu air selain akar tumbuhan berfungsi menyerap nutrisi yang mungkin akan mengotorkan air, dan oksigen tanaman terendam dalam kolam.


Ada empat jenis jenis tumbuhan akuatik yang sesuai untuk menghias dan menghidupkan lagi suasana kolam atau pancuran air di laman kediaman:

  1. Tenggelam Tumbuhan kategori ini berakar pada dasar dan bahagian pokok tenggelam sepenuhnya. Tumbuhan ini melepaskan oksigen dan biasanya kita akan melihat gelembung atau buih pada permukaan kolam. Antara tumbuhan dalam kategori ini ialah Ceratophyllum demersum, Hygrophila difformis (Wisteria Air), Sagittaria subulata dan Vallisneria spiralis atau dikenali dengan nama rumpai belut.
  2. Hidup di permukaan Tumbuhan berakar di kawasan cetek dengan kedalaman sekitar 45 sentimeter (cm). Biasanya bahagian atas pokok akan muncul di permukaan air. Tumbuhan jenis ini seperti kiambang, lili air dan iris.
  3. Separa Akuatik Biasanya tumbuhan ini boleh hidup melata di atas tanah dan boleh hidup di dalam kawasan berair dan ia seperti kangkung, teratai Nelumbo (Pink Crane), melati air (Shallow Water-Aztec Arrowhead) , rumpai papyrus.
  4. TerapungBahagian atau daun tumbuhan terapung di permukaan air manakala akarnya terendam di dalam air. Keladi bunting, Azolla caroliniana (lumut pari-pari), dan Hydrocharis morsus-ranae (Frog's Bit). Apabila sudah mengetahui jenis tumbuhan yang sesuai untuk kolam atau pancuran air, maka soal penjagaan kolam juga perlu diambil kira.


Memandangkan tumbuhan akuatik adalah tumbuhan yang hidup yang menjadi komuniti kolam sudah tentu ia turut menjadi bahan makanan dan habitat haiwan kolam. Biasanya, akar pokok menjadi tempat anak ikan mencari makan dan berlindung, ia juga habitat kepada organisma kecil dalam kolam.


Ada tumbuhan ini yang menjadi tempat hidupan air berteduh daripada cahaya matahari selain berlindung daripada haiwan air yang lebih besar. Haiwan yang memakan tumbuhan menjadikan pokok dalam kolam sumber makanan. Justeru, pokok berkenaan perlu sentiasa dipastikan sihat dan memberi manfaat kepada hidupan sekelilingnya serta tidak mengotorkan kolam atau pancuran air hiasan.

Kebanyakan tumbuhan air tidak mendatangkan masalah kepada kolam atau pancuran air dan seeloknya pastikan hanya 20 hingga 25 peratus permukaan dan kawasan di dalam kolam mengandungi pokok dan selebihnya disimpan untuk hidupan lain. Jika pokok hidup melebihi 20 atau 25 peratus daripada kawasan air, bererti ia perlu dibersihkan kerana ia boleh merosakkan ekosistem kolam dan mendatangkan pelbagai masalah lain kepada hidupan di dalam kawasan berkenaan.

Ada beberapa langkah mengawal pertumbuhan pokok akuatik seperti memangkas, mengeluarkan pokok matang dan mengehadkan jumlah tanaman air. Selain itu, boleh juga digunakan racun herba atau kimia bagi mengawal pembiakan pokok selain mengawal kaedah biologi kolam.

Langkah paling selamat cuci kolam dan tukar air di dalamnya. Namun, kaedah ini lebih sesuai untuk kolam dan pancuran air yang kecil dan sederhana besar.

Selain pertumbuhan pokok, satu lagi masalah yang sering mengganggu kolam hiasan adalah kehadiran alga filamen (ada kala disalah erti sebagai "lumut"). Masalah ini adalah yang paling kerap berlaku untuk kolam hiasan dan pancuran air. Tumbuhan ini biasanya berserabut, seperti rambut boleh meliputi seluruh permukaan kolam dan kadang-kadang ia sukar dikawal dan menyebabkan beberapa kaedah rawatan di ambil. Cara mudah mengatasi masalah ini menggunakan racun herba atau bahan kimia yang selamat, selain kaedah menggantikan air dan membersihkan keseluruhan kolam. Namun, jika masalah berkenaan tidak dapat diatasi, lebih baik dapatkan perkhidmatan mereka yang pakar atau kontraktor landskap supaya ia dapat di atasi.

INFO: Panduan penjagaan tumbuhan akuatik:
  • Kenal pasti masalah yang mengganggu tumbuhan akuatik.
  • Gunakan racun herba yang diiktiraf dan dibenarkan.
  • Baca label racun herba sebelum menggunakannya.
  • Pastikan seluruh kawasan kolam diletakkan racun herba supaya dapat melindungi keseluruhan kawasan zon yang dirawat.
  • Gunakan ikut sukatan dan jangan gunakan berlebihan daripada sukatan dibenarkan kerana dikhuatiri boleh mematikan pokok.
  • Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, jadi kesan kehadiran alga sebelum ia merebak dan membesar dalam kolam.

No comments:

Post a Comment