Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, February 28, 2010

PELAJAR TINGKATAN 4 MPV LANDSKAP DAN NURSERI TAHUN 2010

Pada tahun 2010 seramai 25 orang pelajar mendaftar diri masuk ke Tingkatan 4 Landskap. Ia terdiri 18 orang pelajar lelaki yang kacak-kacak belaka dan 7 orang pelajar perempuan yang manis-manis. Selamat datang.



Saturday, February 27, 2010

SEJARAH PELAKSANAAN MPV LANDSKAP DAN NURSERI SMK TELOK KERANG

Laporan ini saya sediakan semasa lawatan rombongan pegawai-pegawai JPN negeri-negeri seluruh Malaysia ke Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang pada tahun 2003.



PELAKSANAAN MATA PELJARAN VOKASIONAL (MPV)
LANDSKAP DAN NURSERI
DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG



1. Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Di SMK Telok Kerang

Pelaksanaan MPV di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang bermula pada tahun 2002. Seramai 34 orang pelajar perintis mengambil mata pelajaran ini iaitu 20 orang pelajar lelaki dan 14 orang pelajar perempuan. Kesemuanya adalah Melayu. Seramai 15 orang pelajar lelaki mengambil MPV Landskap dan Nurseri manakala bakinya iaitu seramai 5 orang mengambil MPV Katering dan Penyajian. Kesemua 14 pelajar perempuan mengambil MPV Katering dan Penyajian. Pelajar-pelajar ini mengambil mata pelajaran MPV berdasarkan keputusan PMR tahun 2001.

Pelajar-pelajar MPV ini mengambil lapan mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras dan dua mata pelajaran pilihan. Mereka belajar Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni dan MPV sama ada MPV Landskap dan Nurseri atau MPV Katering dan Penyajian.

Sebagai di antara sekolah perintis MPV di Malaysia pada tahun 2002, SMK Telok Kerang menawarkan dua MPV iaitu MPV Landskap dan Nurseri dan MPV Katering dan Penyajian. Pada permulaannya, guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu ialah En. Hasan Bin Kasmuri (MPV Landskap dan Nurseri) dan Pn. Tan Yong Hock (MPV Katering dan Penyajian). Kedua-dua orang guru ini telah mengikutu kursus intensif mengenai MPV yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.



2. Mata Pelajaran Vokasional Yang Ditawarkan

SMK Telok Kerang telah dipilih sebagai sekolah perintis bagi pelaksanaan mata pelajaran baru iaitu Mata pelajaran Vokasional (dahulu dikenali sebagai Kemahiran Asas Industri). Pada 28 Ogos 2001, Pn. Kong Meow San, seorang pegawai Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia datang ke sekolah ini untuk memantau situasi, kemudahan dan kesedian sekolah ini untuk melaksanakan mata pelajaran ini iaitu Landskap dan Nurseri dan Katering dan Penyajian.

Pada 26 September 2001, mesyuarat penyelarasan program kemahiran asas industri sekolah-sekolah negeri Johor 2001 telah diadakan di SMK Parit Bunga, Muar, Johor. En. Hasan Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock guru yang dipilih untuk mengajar mata pelajaran ini telah menghadiri mesyuarat tersebut. Dalam masyuarat itu, guru-guru telah diminta oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk menyenaraikan peralatan yang diperlukan oleh sekolah bagi melaksanakan MPV berdasarkan senarai harga yang telah diberikan.

Pada bulan September 2001 En. Hasan Bin Kasmuri telah menghadiri Kursus Landskap dan Nurseri di Institut Latihan MARDI, Serdang, Selangor selama 3 minggu. Manakala Pn. Tan Yong Hock pula menghadiri Kursus Katering dan Penyajian di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur.


Pada permulaan sesi persekolahan pada tahun 2002, dua mata pelajaran vokasional iaitu Landskap dan Nurseri dan Katering dan Penyajian secara rasminya ditawarkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 di SMK Telok Kerang.



3. Kemudahan Bengkel, Bahan dan Peralatan

SMK Telok Kerang menyedari bahawa banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan untuk membeli peralatan, bahan dan mengubahsuai bangunan serta membina rumah tumbuhan. Pengetua pada masa itu Tn. Hj. Mahiyar Bin Kasmoin menyarankan agar menggunakan wang peruntukan mata pelajaran Sains Pertanian untuk menampung sedikit kos bagi pelaksanaan MPV di sekolah ini di samping mengharapkan peruntukan dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Pada bulan November 2001, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pejabat Pelajaran Daerah Pontian memberi peruntukan untuk mengubahsuai bengkel Sains Pertanian dan membina rumah tumbuhan yang dijangka siap pada akhir bulan Disember. Pada bulan itu juga, kerja-kerja mengubahsuai dan membina rumah tumbuhan telah dimulakan. Kerja-kerja tersebut dapat disiapkan pada bulan Februari 2002.


Segala peralatan dan bahan mata pelajaran Landskap dan Nurseri dibeli dengan menggunakan peruntukan mata pelajaran Sains Pertanian. Pembelian ini merupakan penambahan kepada bahan dan peralatan sedia ada bagi mata pelajaran Sains Pertanian. Satu peruntukan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah diterima pada bulan Disember 2001 yang terdiri daripada jentera dan peralatan melukis yang nilainya sebanyak RM5,000.00.

Pada akhir bulan September 2002 MPV Landskap dan Nurseri dapat peruntukkan untuk membina dan menambahbaikan kemudahan yang telah sedia ada. Pembinaan yang dijalankan ialah sebuah setor, ruang penyediaan medium, sebuah pondok jualan, sebuah tapak penyemaian berukuran 10 kaki X 90 kaki.

Pada bulan Disember 2002 MPV landskap dan Nurseri telah mendapat bekalan peralatan dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada ketika ini semua perbelanjaan yang berjumlah RM3,500.00 untuk penubuhan MPV Landskap dan Nurseri dikeluarkan daripada peruntukkan mata pelajaran Sains Pertanian. Perbelanjaan itu merangkumi pembelian peralatan, pasu bunga, bahan-bahan medium, baja, racun kimia, dan lain-lain keperluan. Sokongan daripada Tuan Pengetua dan pentadbir SMK Telok Kerang amat memuaskan.

Walaupun dengan peruntukkan mata pelajaran MPV Landskap dan Nurseri yang terhad, saya rasa mata pelajaran ini masih boleh berjalan dengan baik. Kami menggunakan kemudahan yang minima. Kemudahan-kemudahan pembelajaran akan ditambah dan ditingkatkan dari masa ke semasa. Masalah yang timbul boleh diatasi kerana kemudahan bengkel Landskap dan Nurseri sama dengan kemudahan bengkel Sains Pertanian dan Kemahiran Hidup Pertanian. Semua kemudahan ini boleh digunakan oleh ketiga-tiga mata pelajaran ini. Semoga dengan siapnya pembinaan penambahbaikan yang sedang dijalankan sekarang, ianya akan dapat meningkatkan prestasi pelajar Landskap dan Nurseri.



4. Prestasi Peperiksaan Pelajar MPV Landskap dan Nurseri

Pencapaian dan prestasi pelajar MPV Landskap dan Nurseri dalam peperiksaan dan kerja kursus adalah berbeza. Semua pelajar kompeten dalam latihan amali kerja kursus dan mutu kerjanya adalah sangat baik. Dalam peperiksaan bertulis, mereka masih pada tahap sederhana. Kami faham dan sedar bahawa mereka adalah pelajar terpilih yang datang bersama beberapa masalah pembelajaran. Kesemua pelajar ini boleh membaca tetapi tidak gemar membaca buku. Namun demikian mereka amat menyukai, positif dan bersedia khususnya dalam kerja amali mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Kami harap dengan adanya MPV ini dan dengan disokong oleh mata pelajaran lain, pelajar-pelajar ini akan bersedia melangkah ke alam kerjaya dengan yakin berbekalkan kemahiran yang diperolehi oleh mereka.



5. Pengajaran dan Pembelajaran

Selepas diumumkan keputusan PMR tahun 2001, pihak sekolah telah mengenal pasti pelajar-pelajar yang dipilih dan layak untuk mengambil MPV Landskap dan Nurseri dan MPV Katering dan Penyajian.

Mulai sesi persekolahan tahun 2002, dalam program suai kenal untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4, telah diadakan satu taklimat mengenai Mata Pelajaran Vokasional. Tugas memberi taklimat ini diberi kepada En. Hasan Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock. Satu taklimat kepada ibu dan bapa yang anaknya dipilih telah diadakan. Ibu bapa bersetuju dengan langkah sekolah ini menawarkan MPV kepada anak-anak mereka. Ibu bapa berharap anak-anak mereka boleh mengikuti mata pelajaran ini kerana mereka tidak perlu menghantar jauh anak-anak mereka ke SMT/V.

Pada awalnya, proses pengajaran dan pembelajaran MPV yang diperuntukkan 12 waktu seminggu dengan pelaksanaannya 4 waktu sehari selama 3 hari. Pada ketika itu pelajar-pelajar mengambil 7 mata pelajaran sahaja. Guru mengajar dengan menggunakan Modul Pembelajaran yang dibekalkan semasa berkursus. Proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan menumpang di Makmal Elektrik Kemahiran Hidup.


Pada pertengahan bulan Mac 2002 apabila pengubahsuaian bengkel Sains Pertanian yang dijadikan bengkel Landskap dan Nurseri siap sepenuhnya, guru-guru dan pelajar-pelajar berpindah ke bengkel baru. Kerja-kerja mengemas, membersih dan menyusun atur dijalankan sewaktu pembelajaran.

Proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan mengikut modul percubaan yang diterima daripada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui pos. Malangnya hanya satu modul yang diterima. Guru terpaksa membuat beberapa salinan untuk diberi kepada pelajar secara berkongsi. Satu set Sukatan Pelajar dan Huraian Sukatan Pelajaran telah diterima daripada Pusat perkembangan Kurikulum.

Atas persetujuan Tuan Pengetua, kawasan rumah tumbuhan asal telah disimenkan. Kemudian dibuat pula teres-teres konkrit untuk tujuan mempamerkan produk tanaman yang telah sedia untuk pameran dan jualan.

Pada 8 Februari 2002, Jabatan Pelajaran negeri Johor memanggil guru-guru MPV bermesyuarat di SMK Parit Bunga, Muar, Johor. Dalam taklimatnya, semua pelajar MPV mesti mengambil minima 8 mata pelajaran untuk layak masuk ke universiti, tidak 7 mata pelajaran. Dengan jadual waktu baru yang siap pada 23 April 2002, pelajar-pelajar MPV sekolah ini mengambil 8 mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras, satu mata pelajaran MPV dan satu mata pelajaran lagi ialah Pendidikan Seni. Jadual waktu baru juga memperuntukan 6 waktu sehari kepada MPV atas pertimbangan MPV Katering dan Penyajian tidak dapat menyiapkan amali dalam 4 waktu sehari.

Pelajar-pelajar MPV juga dibenarkan oleh Tuan Pengetua memakai kemeja-t semasa belajar mata pelajaran ini supaya mereka selesa semasa melakukan kerja amali.

Pada bulan Julai 2002, guru-guru MPV telah menghadiri kursus kaedah mentaksir kerja-kerja pelajar. Kursus ini sememangnya amat diperlukan kerana guru-guru MPV masih dalam kekaburan untuk menilai dan mentaksir kompetensi pelajar-pelajar. Daripada kursus tersebut, penskoran pelajar dapat dibuat dengan lebih adil berdasarkan standard yang telah ditetapkan. Ianya bersifat terbuka. Pengajaran dan pembelajaran, teguran, perbincangan dan saranan dijalankan secara dua hala. Dengan itu pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih baik.



6. Harapan dan Perkara-perkara Lain Yang Berkaitan

  1. Sebenarnya mata pelajaran ini bagus untuk pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik. Pada pandangan saya, walaupun pelajar-pelajar ini lemah dalam akademik tetapi mereka amat baik dalam 'hands on'. Mereka boleh menyiapkan kerja amali dalam waktu yang ditetapkan dan hasil kerja mereka memuaskan.
  2. Mata pelajaran ini berupaya dan mampu memberi keseronokan dalam pendidikan sekolah khususnya bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik. Mereka juga suka datang ke sekolah terutamanya semasa ada MPV.
  3. Walaupun mata pelajaran ini berbentuk modular, adalah lebih baik jika Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan buku teks atau buku rujukan. Kebanyakan buku-buku rujukan yang berkaitan landskap dan nurseri sama ada tempatan atau yang diimport adalah mahal harganya.
  4. Penambahan peruntukan kewangan bagi mata pelajaran ini bagi membeli bahan dan peralatan dan juga bagi membawa pelajar-pelajar melawat ke tapak-tapak nurseri dan kawasan-kawasan taman dan landskap bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.
  5. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu meningkatkan prasarana bengkel Landskap dan Nurseri kerana ia boleh memberi persepsi baik masayarakat dan pasaran kerja terhadap MPV Landskap dan Nurseri. Alat-alat seperti komputer, pengimbas, kamera, pencetak dan LCD projector sememangnya diperlukan dan boleh diguna pakai untuk menyimpan dan memaparkan bahan bukti (eviden).
  6. Kami memohon agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menyediakan seorang pembantu guru untuk menyediakan peralatan dan bahan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
  7. Diharap dan diminta agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengadakan siri kursus kepada guru-guru untuk meningkatkan kemahiran guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini.




7. Penutup

Semoga MPV Landskap dan Nurseri ini mampu memberi satu kelainan pembelajaran kepada pelajar-pelajar yang datang ke sekolah dan kepada pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran ini. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan dan kaedah pentaksiran kompetensi berdasarkan sesuatu standard mampu menarik minat pelajar. Harapan saya, setelah menamatkan pembelajaran MPV Landskap dan Nurseri selama dua tahun, pelajar-pelajar ini boleh menggunakan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki untuk membina masa hadapan dan kerjaya mereka dengan lebih yakin.


Disediakan oleh,
Hasan bin Kasmuri
Guru MPV Landskap dan Nurseri
SMK Telok Kerang, Pontian, Johor
April 2003


Thursday, February 25, 2010

PENYERI KOLAM

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu






MEMILIKI kolam tanpa tumbuhan di dalam atau di sekelilingnya, hanya mencetuskan pemandangan kaku. Malah, lebih baik jika kolam itu tidak diwujudkan kerana peranannya sebagai penyeri landskap kediaman akan terjejas andai tidak bertemankan 'pasangannya' iaitu tumbuhan air yang juga dikenali tumbuhan akuatik. Harus diingat, kolam juga bukan sekadar menghias laman tetapi mewujudkan ekosistem untuk kediaman supaya ia lebih hidup dan memberi manfaat kepada pemilik kediaman.

Selain memberikan kehidupan kepada hidupan lain, seperti pepatung, rama-rama dan ikan, tumbuhan dalam kolam membantu mengawal suhu air selain akar tumbuhan berfungsi menyerap nutrisi yang mungkin akan mengotorkan air, dan oksigen tanaman terendam dalam kolam.


Ada empat jenis jenis tumbuhan akuatik yang sesuai untuk menghias dan menghidupkan lagi suasana kolam atau pancuran air di laman kediaman:

  1. Tenggelam Tumbuhan kategori ini berakar pada dasar dan bahagian pokok tenggelam sepenuhnya. Tumbuhan ini melepaskan oksigen dan biasanya kita akan melihat gelembung atau buih pada permukaan kolam. Antara tumbuhan dalam kategori ini ialah Ceratophyllum demersum, Hygrophila difformis (Wisteria Air), Sagittaria subulata dan Vallisneria spiralis atau dikenali dengan nama rumpai belut.
  2. Hidup di permukaan Tumbuhan berakar di kawasan cetek dengan kedalaman sekitar 45 sentimeter (cm). Biasanya bahagian atas pokok akan muncul di permukaan air. Tumbuhan jenis ini seperti kiambang, lili air dan iris.
  3. Separa Akuatik Biasanya tumbuhan ini boleh hidup melata di atas tanah dan boleh hidup di dalam kawasan berair dan ia seperti kangkung, teratai Nelumbo (Pink Crane), melati air (Shallow Water-Aztec Arrowhead) , rumpai papyrus.
  4. TerapungBahagian atau daun tumbuhan terapung di permukaan air manakala akarnya terendam di dalam air. Keladi bunting, Azolla caroliniana (lumut pari-pari), dan Hydrocharis morsus-ranae (Frog's Bit). Apabila sudah mengetahui jenis tumbuhan yang sesuai untuk kolam atau pancuran air, maka soal penjagaan kolam juga perlu diambil kira.


Memandangkan tumbuhan akuatik adalah tumbuhan yang hidup yang menjadi komuniti kolam sudah tentu ia turut menjadi bahan makanan dan habitat haiwan kolam. Biasanya, akar pokok menjadi tempat anak ikan mencari makan dan berlindung, ia juga habitat kepada organisma kecil dalam kolam.


Ada tumbuhan ini yang menjadi tempat hidupan air berteduh daripada cahaya matahari selain berlindung daripada haiwan air yang lebih besar. Haiwan yang memakan tumbuhan menjadikan pokok dalam kolam sumber makanan. Justeru, pokok berkenaan perlu sentiasa dipastikan sihat dan memberi manfaat kepada hidupan sekelilingnya serta tidak mengotorkan kolam atau pancuran air hiasan.

Kebanyakan tumbuhan air tidak mendatangkan masalah kepada kolam atau pancuran air dan seeloknya pastikan hanya 20 hingga 25 peratus permukaan dan kawasan di dalam kolam mengandungi pokok dan selebihnya disimpan untuk hidupan lain. Jika pokok hidup melebihi 20 atau 25 peratus daripada kawasan air, bererti ia perlu dibersihkan kerana ia boleh merosakkan ekosistem kolam dan mendatangkan pelbagai masalah lain kepada hidupan di dalam kawasan berkenaan.

Ada beberapa langkah mengawal pertumbuhan pokok akuatik seperti memangkas, mengeluarkan pokok matang dan mengehadkan jumlah tanaman air. Selain itu, boleh juga digunakan racun herba atau kimia bagi mengawal pembiakan pokok selain mengawal kaedah biologi kolam.

Langkah paling selamat cuci kolam dan tukar air di dalamnya. Namun, kaedah ini lebih sesuai untuk kolam dan pancuran air yang kecil dan sederhana besar.

Selain pertumbuhan pokok, satu lagi masalah yang sering mengganggu kolam hiasan adalah kehadiran alga filamen (ada kala disalah erti sebagai "lumut"). Masalah ini adalah yang paling kerap berlaku untuk kolam hiasan dan pancuran air. Tumbuhan ini biasanya berserabut, seperti rambut boleh meliputi seluruh permukaan kolam dan kadang-kadang ia sukar dikawal dan menyebabkan beberapa kaedah rawatan di ambil. Cara mudah mengatasi masalah ini menggunakan racun herba atau bahan kimia yang selamat, selain kaedah menggantikan air dan membersihkan keseluruhan kolam. Namun, jika masalah berkenaan tidak dapat diatasi, lebih baik dapatkan perkhidmatan mereka yang pakar atau kontraktor landskap supaya ia dapat di atasi.

INFO: Panduan penjagaan tumbuhan akuatik:
  • Kenal pasti masalah yang mengganggu tumbuhan akuatik.
  • Gunakan racun herba yang diiktiraf dan dibenarkan.
  • Baca label racun herba sebelum menggunakannya.
  • Pastikan seluruh kawasan kolam diletakkan racun herba supaya dapat melindungi keseluruhan kawasan zon yang dirawat.
  • Gunakan ikut sukatan dan jangan gunakan berlebihan daripada sukatan dibenarkan kerana dikhuatiri boleh mematikan pokok.
  • Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, jadi kesan kehadiran alga sebelum ia merebak dan membesar dalam kolam.

PENDAFTARAN SPM, SPMU, STAM 1 MAC

PUTRAJAYA 22 Feb. - Pendaftaran calon sekolah dan persendirian bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) boleh dilakukan mulai 1 hingga 31 Mac ini. Kenyataan Kementerian Pelajaran di sini hari ini menyebut, bagi calon sekolah, borang boleh didapati di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh mendapatkannya di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terdekat.

Maklumat terperinci mengenai pendaftaran peperiksaan itu boleh diperoleh di laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lpm

Wednesday, February 24, 2010

MEMBIAK TUMBUHAN: KERATAN DAUN

Oleh Abdul Rahim Rashid
Berita Minggu


Membiakkan pokok menggunakan keratan daun adalah cara mudah dan ringkas. Ikuti kaedah ini. Saya berharap keluaran lalu dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran serta pengetahuan mengenai keratan batang. Pada pengalaman yang ingin saya kongsi, ia mudah untuk dipraktikkan. Pada minggu ini saya akan menyambungkan topik berkenaan pembiakan vegetatif juga tetapi menggunakan keratan daun yang lebih mudah, ringkas dan senang di lakukan. Kumpulan pokok ini mempunyai banyak tisu lembut.


Keratan daun boleh dilakukan untuk pokok berjenis
  1. Herbaa (herbaceous) seperti pokok ati-ati, sanchzia, misai kucing dan selasih.
  2. Pokok-pokok jenis lendair (succulents) seperti asam batu, gul bakawali, lidah mak mentua, paperomia dan gloxinia.

Ada enam jenis keratan daun yang boleh dilakukan.

  1. Helai daun/leaf blade
  2. Tangkai daun/leaf petiole
  3. Kepingan daun /leaf sectioned
  4. Mengerat urat/veins severed
  5. Ruas daun/leaf node
  6. Tunas daun/leaf bud
Alat dan Bahan
  1. Pisau cantuman
  2. Gunting pemangkas/hand pruner
  3. Media perakaran/rooting media - Peatgro
  4. Penggalak akar/rooting hormone
Perhatian
  • Bahan-bahan tanaman yang dipilih mestilah segar , matang sihat dan tidak berpenyakit. Gunakan Peatgro sebagai media perakaran dan percambahan yang lebih efektif.


Kepingan Daun/Leaf Sectioned

  1. Helai daun di kerat 10 sentimeter lebar berbentuk tiga segi dan mempunyai beberapa urat-urat utama.
  2. Celupkan di dalam penggalak akar. Kepingan daun ditanam secara menegak.
  3. Anak dan akar keluar dari pangkal kepingan daun dan daun asal akan musnah. Anak-anak pokok yang baru boleh ditanam.

Tuesday, February 23, 2010

PENYERI LAMAN KECIL - PANCURAN AIR

Rohaniza Idris
Berita Minggu


Laman dengan ruang yang terhad tidak bermakna usaha mengindahkan landskap kediaman juga terbatas, sebaliknya ada pelbagai cara mudah dan ringkas yang boleh dilakukan seterusnya menjadikan ruang berkenaan menarik. Salah satu konsep yang boleh dilaksanakan dan sesuai untuk laman terhad adalah pembinaan pancuran air mini yang boleh dibina sendiri tanpa mengupah kontraktor landskap.

Pancuran air akan mewujudkan kelainan kepada laman kediaman kerana ia bukan saja menarik tetapi mengeluarkan bunyian air yang menenangkan serta dapat mengalihkan bunyi hiruk pikuk kesibukan kawasan kejiranan seperti bunyi kenderaan. Dengan membina pancuran air, bukan saja dapat menjadikan ia titik tumpu laman, malah akan menjadi kawasan tumpuan ketika tetamu tiba di kediaman. Kawasan yang ada pancuran air juga boleh dijadikan tempat istirahat keluarga serta ruang menenangkan selepas seharian penat bekerja.

Bunyian daripada pancuran air turut menarik kehadiran unggas dan serangga kecil seperti pepatung dan juga rama-rama. Apa yang diperlukan bagi membina pancuran air adalah bekas besar seperti tempayan, takar atau mana-mana bekas yang tidak berlubang, pam dan alat penyembur air. Bagi menghidupkan suasana dan nampak lebih menarik, letakkan pelbagai pokok hiasan, batu, kemasan kayu dan hiasan laman lain. Limpahan air juga menghasilkan bunyi yang menenangkan untuk laman kediaman. Malah deruan air yang mencurah ke atas batu menghasilkan bunyi yang asli serta mewujudkan suasana hidup serba mendamaikan.

Pokok yang sesuai untuk pancuran air adalah ekor kucing (cat tail), kiambang, keladi bunting dan teratai. Pokok lain yang boleh dijadikan pilihan adalah duit-duit, calathea dan papyrus. Bagi menambahkan seri serta menghidupkan laman, hiasan replika haiwan diperbuat daripada tembikar dan gentian kaca seperti katak dan kura-kura juga akan menghidupkan lagi laman kediaman. Begitu juga hiasan seperti pasu dan labu air. Demi memastikan laman itu turut berseri pada malam hari, tidak salah jika meletakkan lampu laman tahan karat dan air di dalam kolam pancuran sebagai pencahayaan yang menampakkan kolam lebih menarik.

INFO: Pancuran buatan sendiri
Barang diperlukan bagi membina pancuran :

  • Pam pancuran (boleh gunakan pam solar lebih jimat tenaga)
  • Tiub silinder yang akan menghubungkan wayar dengan pam
  • Corong air (buluh, batang paip)
  • Apa-apa bekas yang tidak berlubang dan dapat menampung air seperti mangkuk sederhana besar, kuali lama, periuk tanah, labu atau pasu besar (paling sesuai 30.5 sentimeter tinggi dan diameter 30.5 sentimeter)

TUMBUHAN UNTUK KEDIAMAN

Oleh Abdul Rahim Rashid,
Pakar Hortikultur
Berita Minggu
Pokok boleh mengurangkan tekanan, membersihkan udara, mengawal kelembapan dan keselesaan, ketenangan dan menyejukkan mata. Kira-kira 90 peratus masa kita banyak dihabiskan di ruang kediaman atau pejabat. Mungkin disebabkan terdedah dalam jangka masa lama menyebabkan kita berisiko untuk menerima alahan, asma dan kegatalan pada tekak, mata dan hidung. Kebiasaannya kita meletakkan pokok di dalam ruang dalaman hanya sebagai nilai estetika saja. Sebenarnya fungsinya lebih banyak dan ia untuk kebaikan dari sudut kesihatan.

Saya akan membahagikan kepada tiga bahagian agar
mudah untuk pembaca memahami serta mengikut langkah yang mudah demi kebaikan bersama. Bahagian pertama lebih kepada pengenalan mengenai pencemaran udara ruang dalaman, punca dan kesan, bagaimana pokok mesra alam dapat membantu serta jenis pokok yang sesuai untuk di gunakan. Pada bahagian kedua lebih kepada penanaman pokok di dalam pasu, konsep reka bentuk dan susun atur mengikut keperluan dan bahagian terakhir, cara mudah penjagaan dan penyelenggaraan.


Bagaimana pokok membantu pengudaraan secara semula jadi? Memang ada banyak pilihan seperti pendingin hawa di pasaran yang berfungsi untuk mendinginkan suhu dengan tambahan fungsi seperti ionizer dan purifier. Saya masih percaya dengan kaedah semula jadi untuk mewujudkan udara segar secara semula jadi. Penggunaan pokok dalam ruang kediaman banyak dilihat dari sudut estetika. Nampak sedikit segar dengan adanya pokok dalam pasu di setiap sudut. Sedarkah kita bahawa ia patut diambil kira dari segi kesihatan, diikuti unsur kecantikan.

Mengikut kajian pakar aeronautik Amerika Syarikat, John C. Stennis Space Center pada 1980, penggunaan pokok di ruang dalaman:


  • Boleh mengurangkan tekanan sama ada di rumah atau di pejabat,
  • Membersihkan udara dengan menyahtoksik udara seperti formaldehyde, benzene dan trichloroethylene
  • Mengawal kelembapan dengan lebih baik
  • Dari segi kerohanian, memberi ruang individu yang selesa, tenang dan menyejukkan mata.
Kita boleh mengadunkan kebaikan dari sudut kesihatan dengan nilai kecantikan yang akan kita bincangkan pada keluaran akan datang terutama dari segi lokasi dan susun atur. Mengikut kajian itu, ruang yang ada tumbuhan mengandungi 50 hingga 60 peratus kurang pertumbuhan kulat dan bakteria berbanding ruang yang tidak mempunyai pokok. Tumbuhan akan mengeluarkan phytochemicals sebagai pertahanan bagi diserang mikrob di udara. Phytochemicals ini juga dapat menyekat pertumbuhan spora dan bakteria di dalam ruang udara sekeliling.

Contoh pokok yang biasa digunakan untuk hiasan dalaman ialah Rhapis excelsa, dracaena fragrans, philodendron erubescens, anthirium s.p, spathiphyllum sp.,nephrolepis obliterata, sansiviera trifasciata (lidah mentua atau lidah jin) dan philodendrom oxycardium (pokok duit-duit).
Pada keluaran akan datang saya akan menunjukkan cara mudah menanam, kedudukan susun atur serta lokasi serta bagaimana untuk menjadikan ia kelihatan cantik serta berfungsi dengan baik.

INFO: Kepentingan pengudaraan dalaman


  • Tahap kelembapan yang tidak sesuai turut memberi kesan kepada wujudnya pencemaran ruang dalaman. Tahap kelembapan udara yang sesuai ialah antara 35 hingga 65 peratus. Pada keadaan kering atau terlalu lembap akan memberikan kesan yang tidak baik terutama pembiakan fungus atau spora.
  • Untuk keselesaan, kediaman ruang dalaman perlukan pengudaraan yang baik, tambahkan pengudaraan untuk kelembapan, suhu sekitaran serta nyahbau. Secara tidak langsung ia mengimbangi pengudaraan yang selesa untuk didiami tanpa membabitkan penambahan sumber tenaga.
  • Pada masa sekarang, kebanyakan bahan asas perabot tidak lagi diperbuat daripada bahan semula jadi, kebanyakannya dibuat melalui proses sintetik seperti kimia serta gam dan resin. Selain itu, kebanyakan alat elektronik juga memberikan punca kepada pencemaran udara.
Seseorang individu memerlukan kawasan seluas 6 hingga 8 kaki padu (0.17 hingga 0.23 meter padu) ruang bernafas yang sesuai dan selesa. Ia membabitkan kawasan individu yang berada pada satu lokasi tetap dalam jangka masa beberapa jam seperti di meja pejabat, menonton televisyen dan ketika tidur.
FAKTA: Punca pencemaran udara di ruang dalaman:
  1. Ruang yang agak tertutup dan kurang pengudaraan
  2. Pelepasan gas daripada bahan sintetik pada perabot rumah (lantai ke siling) serta alat elektronik
  3. Manusia memenuhi ruang yang terhad dalam keadaan padat dan sempit dan jangka masa lama.

Monday, February 22, 2010

MODUL 2: TUMBUHAN LANDSKAP

MODUL 2
TUMBUHAN LANDSKAP







1. Pokok naungan

Ditanam untuk mendapat teduhan, naungan atau penahan angin. Ia dari jenis saka dan berbatang tunggal. Ia tumbuh merendang dan berkanopi padat. Tingginya mencapai 10 meter. Boleh hidup melebihi 50 tahun. Contoh pokok naungan adalah: Delonix regia (Semarak api), Plimeria rubra (Pokok Kemboja), Jacaranda, dan Fragea fragrans (Pokok tembusu).






                2. Tumbuhan renek
                Tumbuhan berbatang kayu yang banyak mengeluarkan dahan dan ranting. Tingginya tidak melebihi 5 meter. Terdapat yang mengeluarkan bunga atau daunnya berwarna-warni. Contoh tumbuhan renek: Alamanda cathrtica (Bunga loceng), Bougainvillea sectabilis (Bunga kertas), Cordyline terminalis (Jenjuang), Hibiscus rosa sinensis (Bunga raya), Ixora javanica (Bunga siantan), Lantana camara (Bunga tahi ayam), Codieum variegatum (Pokok pudding), Mussaenda philipica (Janda kaya) dan Tunera subulata.


                    3. Tumbuhan penutup bumi dan turf
                    Tumbuhan penutup bumi ailah tumbuhan yang mempunyai ketinggian kurang daripada 30 cm dari permukaan tanah. Contoh: Alternmanthera ficoidea, Arachis pintoi dan Hemigraphis alternata.
                    Turf (rumput hiasan) ialah sekumpulan rumput yang ditanam dan dijaga dengan rapi di padang permainan, halaman rumah, padang lumba kuda dan di pinggiran jalan. Contoh: Axonopus compresus, Digitaria didactyla, Stenotaphrum secundatum dan Zoysia japonica.





                        4. Pokok palma
                        Ia merupakan sekumpulan tumbuhan dalam family Palmae. Ia mempunyai batang tunggal, tidak bercabang dan diakhiri dengan sejambak daun. Contoh: Cyrtostachys lakka, Roystonea regia, Veichia merrilili, Ptychosperma macarthurii, dan Ravenala madagascariensis.










                              5. Tumbuhan hiasan dalaman
                              Tanaman ini tergolong dalam tumbuhan yang memerlukan perlindungan dan teduhan. Jika terdedah kepada cahaya matahari terik ia akan terbantut dan tidak mengeluarkan buanga yang baik. Contoh: Sansevaria trifasciata, Diffenbachia maculate, Anthurium andreanum, Dracaena surculosa, Adiantum tenerum, dan Aglaonema nitidum.
















                              6. Tumbuhan semusim
                              Tanaman semusim ialah tumbuhan yang hidup dalam jangka masa yang singkat. Ia akan mati selepas mengeluarkan bunga. Ada di antaranya boleh juga bertahan lama jika dijaga dengan baik. Contoh: Petunia sp., Celosia sp. (Balung ayam), Gomphrena sp. (Bunga butang), Aster sp., Tagetes erecta (Marigold Afrika) dan Catharanthus roseus (Kemunting cina).








                              7. Orkid
                              Orkid tergolong dalam family Orchidaceae. Ia mempunyai bunga yang cantik dari segi bentuk dan warnanya. Mempunyai akar udara menyerap nutrien. Bunganya tahan lama. Contoh: Arachbis sp., Cattleya sp., Dendrobium sp., Oncidium sp, Vanda sp. dan Dendrobium sp.












                                8. Tumbuhan memanjat dan menjalar
                                Tumbuhan ini adalah tumbuhan yang memanjat, melilit dan menjalar. Memerlukan alat khas untuk memanjat seperti tendril, pencangkuk dan penyokong. Contoh: Clerodendrum thomsoniae, Philodendron ‘Emerald Red, Gloriosa superba, Hemigraphis alternate dan Portulaca grandifolia.










                                      9. Pokok kaktus dan lendair
                                      Kaktus ialah tumbuhan yang hidup subur di kawasan kering dan panas. Ia adalah family Cactaceae. Ia berduri dan sesuai tumbuh dalam medium pasir dan sedikit bahan organic. Contoh: Ferocactus pilosus dan Opuntia microdasys
                                      Pokok lendair ialah tumbuhan yang tidak mempunyai tisu berkayu pada batang dan rantingnya. Ia tidak tahan kepada cahaya matahari yang terik. Contoh: Hymenocallis littoralis, Difenbachia seguine dan Coleus sp.





                                        10. Tumbuhan Akuatik
                                        Tumbuhan ini hidup di dalam air, di permukaan air (terapung) dan di dasar air. Contoh: Nymphaea alba (Water lily) dan Eichhornia crassipes (Keladi bunting), Ceratophyllum demersum, Elodea canadensis., Marsilea quadrifolia dan Nymphoides peltata.




                                          Sunday, February 21, 2010

                                          TAMAN SERIBU BUNGA, AYER KEROH, MELAKA

                                          Taman Seribu Bunga terletak di Jalan Gapam bersebelahan dengan bangunan Seri Bendahara atau Pejabat Ketua Menteri Melaka ataupun bersebelahan Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka. Taman ini dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di kawasan seluas 5.3 hektar. Perasmiannya disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2007. Dalam ucapannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat Malaysia menanam pokok-pokok bunga kerana ia bukan sahaja mengindahkan kawasan rumah malah turut mewujudkan suasana seronok berada di rumah. Tambahnya, Malaysia banyak pokok-pokok berbunga sepanjang tahun. Di Barat kita kena tunggu musim bunga (untuk melihat pokok-pokok berbunga).

                                          Pokok yang ke 998 ialah pokok ipoh, pokok yang ke 999 ialah pokok gajah (ditanam oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Dato' Mohd Ali Rustam) dan pokok yang ke 1000 ialah pokok melaka (ditanam oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi bekas Perdana Menteri Malaysia).

                                          Pada masa ini tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke taman ini. MASUK adalah PERCUMA. Taman ini sesuai untuk membawa keluarga bersiar-siar di waktu cuti atau pada waktu petang hari. Pelajar-pelajar Landskap dan Nurseri patut melawat ke taman ini kerana mereka boleh belajar mengenai pelan rekabentuk landskap, prinsip merekabentuk landskap, elemen-elemen dalam landskap dan mengenal jenis-jenis tumbuhan hiasan. Dalam taman ini terdapat banyak jenis tumbuhan hiasan. Tanda nama tumbuhan dan nama saintifiknya juga ditulis dan dilekatkan pada setiap tumbuhan yang ditanam. Taman ini cantik, tersusun, rekabentuknya amat menarik, kreatif dan ada seni tersendiri.

































                                          MODUL 1: PENGENALAN KEPADA NURSERI

                                          MODUL 1
                                          PENGENALAN KEPADA NURSERI



                                          Apakah Nurseri? Nurseri ialah tempat anak benih pokok dihasilkan sebelum ditanam di tempat kekal atau dipasarkan . Di nurseri anak pokok dijaga dan disusun dengan rapi.

                                          Ada 3 jenis nurseri iaitu:
                                          1. Nurseri runcit - Nurseri ini adalah tempat menghasilkan dan memasarkan tanaman hiasan yang diusahakan secara kecil.kecilan. Selain anak pokok, nursery ini juga menjual bahan-bahan lain seperti pasu, baja, racun rumpai dan perosak. Anak pokok buah-buahan juga ada dijual di sini.
                                          2. Nurseri borong -Nurseri borong mengusahakan, menyemai dan memasarkan bahan tanaman hiasan dalam kuantiti yang besar. Nurseri borong memasarkan tanaman hiasan secara pukal kepada nursery runcit dan kepada kontraktor landskap
                                          3. Nurseri landskap - Kebanyakan nurseri ini tidak mengeluarkan tanaman hiasan sendiri. Ia mendapat bekalan daripada nursery borong dan nursery runcit. Nurseri ini lebih memberi perkhidmatan seperti menyediakan pelan landskap, menjalankan kerja perlandskapan dan kerja-kerja penyenggaraan kawasan landskap.
                                          Dalam sebuah nurseri terdapat beberapa struktur, iaitu:
                                          1. Rumah tumbuhan - Tempat untuk menempatkan tumbuh-tumbuhan yang tidak tahan pancaran matahari terik. Dibuat daripada kayu dan besi.
                                          2. Pejabat dan tempat jualan - Tempat pentadbiran, pengurusan, urusan jual beli dan pengawalan aktiviti dalam dan luar kawasan nursery.
                                          3. Setor - Tempat menyimpan peralatan dan bahan-bahan. Peralatan atau kelengkapan yang dimaksudkan ialah seperti cangkul, sabit, kereta sorong, skateur dan lain-lain. Manakala bahan adalah seperti polibeg, racun perosak, racun rumpai, baja dan lain-lain. Biasanya setor peralatan diasingkan dengan setor bahan.
                                          4. Tempat penyediaan medium dan pemasuan - Satu ruang berbumbung yang menempatkan bahan medium seperti tanah, pasir dan bahan organik. Ia digunakan untuk menyediakan medium bagi kerja-kerja mengisi bekas semaian atau kerja-kerja memasu.
                                          5. Tempat pembiakan - Ruang yang digunakan untuk menjalankan proses pembiakan dan menempatkan buat sementara anak-anak benih yang bercambah sebelum dibuat pengerasan. Biasanya ia berbumbung jarring hitam 80% naungan. Disiram menggunakan siraman jenis renjisan kabus dan percikan.
                                          6. Tempat pengerasan - Ruang terbuka dan menerima cahaya matahari sepenuhnya. Menempatkan tanaman hiasan untuk proses pengerasan bagi menyesuaikan dengan persekitaran baru.
                                          Dalam nurseri biasanya ada rumah tumbuhan. Faktor-faktor penting pembinaan rumah tumbuhan ialah:

                                          1. Orientasi - Berkedudukan utara selatan bagi membolehkan cahaya matahari sampai kepada tumbuhan hiasan dengan sekata.
                                          2. Peratus dan bahan teduh - Teduhan bagi setiap jenis tumbuhan hiasan adalah berbeza. Oleh itu jaring hitam atau hijau digunakan untuk mengurangkan cahaya terik dan suhu terlampau.

                                          Saturday, February 20, 2010

                                          LANDSKAP KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA, JOHOR

                                          Kota Iskandar adalah pusat pentadbiran baru negeri Johor yang telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Iskandar Ismail dalam satu majlis gilang gemilang. Ketika berucap merasmikan Kota Iskandar, Almarhum Sultan Iskandar Ismail menyeru seluruh kakitangan pentadbiran negeri bekerja dengan gigih demi membawa kemajuan negeri ini.

                                          Menteri Besar Johor, YAB Dato' Abdul Ghani Othman ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, kewujudan Kota Iskandar menempatkan semua jabatan peringkat negeri dan persekutuan dengan kemudahan yang lengkap serta memenuhi keperluan semasa. Kota Iskandar yang terletak di kawasan seluas 130 hektar, kini menempatkan 76 jabatan kerajaan peringkat negeri dan persekutuan yang dianggotai 6,000 kakitangan awam. Kewujudan kota itu akan memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan secara berkesan, selaras dengan pendekatan pentadbiran yang mesra rakyat.

                                          Sebanyak 33 peratus kawasan pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar akan ditanam dengan tumbuhan hutan tropika melalui program Hutan Kita-Johor. Program usaha sama pelbagai sektor termasuk kerajaan, swasta dan komuniti itu bagi mewujudkan pembangunan semula kawasan hutan melalui penanaman semula pokok hutan hasil kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi, landskap dan hutan kepada manusia.

                                          Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah, berkata program Hutan Kita yang dirancang untuk mewujudkan taman berkonsep hutan hujan semula jadi itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya memelihara landskap dan alam semula jadi. Beliau berkata, program pertama Hutan Kita dilancarkan dengan pembukaan Hutan Kita-Kiara di Taman Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu sebelum Johor menjadi negeri pertama mengikuti jejak langkah pembukaan Hutan Kita. Diharapka program Hutan Kita-Johor ini akan memenuhi keperluan rakyat negeri ini untuk beriadah bersama keluarga selain memberi peluang kepada mereka untuk mengenali pelbagai spesies pokok hutan. Pokok penting kerana mampu memberi kesan rumah hijau apabila dioksida dan mengeluarkan oksigen yang diperlukan manusia selain memberikan sumber makanan dan ubat-ubatan semula jadi tanpa bahan kimia. Program berkenaan dibangunkan dengan berorientasikan atas prinsip kerjasama dan tanggungjawab sosial oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan serta kesedaran untuk membudayakan landskap sebagai cara hidup di negara ini.

                                          Di sini saya paparkan beberapa taman dan landskap yang telah dibina di kawasan Kota Iskandar. Dengan pembinaan bangunan-bangunan yang cantik, unik dan mengagumkan, kawasannya turut dibina taman dan landskap. Diharapkan rekabentuk dan konsep taman yang dipersembahkan akan kekal menarik sepanjang masa. Dalam masa beberapa tahun lagi tentunya tumbuh-tumbuhan hiasan yang ditanam akan membesar dan tumbuh lebih cantik.