Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, May 8, 2011

TAMAN KLCC DI TENGAH-TENGAH BANDARAYA KUALA LUMPUR

Di tengah-tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur, wujud sebuah taman yang indah yang dikenali sebagai Taman Kuala Lumpur City Centre. Taman KLCC ini berlatar belakangkan struktur kaca yang hebat iaitu Menara Kembar Petronas, salah satu bangunan tertinggi di dunia.  Keindahan landskapnya dapat menggamit mana-mana pengunjung  dan menjadi tempat yang paling sesuai untuk menghilangkan rasa stress kehidupan kota.

Taman KLCC ini seluas 17 ekar (69,000 m²) yang tersedia lorong berjoging dan bersiar-siar, kolam air pancut yang dihiasi pertunjukan cahaya, kolam randuk, dan taman permainan kanak-kanak. Taman ini memang menakjubkan dan unik sekali kerana kewujudannya di tengah-tengah kota dapat menghijaukan kawasan yang dikelilingi dan  dipenuhi bangunan-bangunan konkrit.

Ia telah dibuka dengan rasminya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) pada 29 Ogos 1998. Ia mempunyai landskap yang cantik dan menarik penuh dengan kombinasi kepelbagaian tumbuh-tumbuhan landskap dan air.

Taman yang direka oleh Roberto Burle Marx seorang arkitek landskap berbangsa Brazil mengharapkan agar hajatnya iaitu "meninggalkan dunia yang lebih peka sedikit dan lebih terdidik sedikit mengenai kepentingan alam semula jadi" akan tercapai. Maka hajatnya di nyatakan dalam reka bentuk taman ini.

Taman ini direka untuk memperagakan warisan kehijauan tropika dengan menyepadukan ciptaan manusia dengan alam. Taman ini sendirinya menyediakan persekitaran tenang yang berbeza sekali dengan kesibukan sebuah bandaraya utama (namun kebisingan dari enjin kenderaan di sekelilingnya masih kedengaran). Taman ini bercirikan gabungan rekaan buatan manusia seperti simen, air dan sifat semula jadi seperti pokok hijau, batu-batan dan kayu-kayan. Unsur-unsur bentuk dan topografi direka untuk menimbulkan ilusi ruang legar. Ada unsur penyatuan antara kolam randuk dan Tasik Simfoni melalui anak air yang mengalir jernih di bawah struktur jambatan. Gabungan pokok, pokok renek dan arca disusun untuk menyerlahkan warna dan bentuk dalam taman.

Taman ini diwujudkan sebagai sebahagian daripada komitmen Petronas terhadap usaha penjagaan dan pemuliharaan warisan alam negara. Maka kawasan yang asalnya Pusat Lumba Kuda Kuala Lumpur ini kini menjadi kawasan rehat dan riadah kegemaran warga kota dan rakyat Malaysia yang datang melawat Kuala lumpur khasnya apabila melawat KLCC.

Sentuhan Marx, perekanya, dilihat melalui penggunaan pohon-pohon tempatan yang subur, reka bentuk bulat dan bersegi serta gabungan rupa bumi beralun dan padanan landskap yang pelbagai.

Kawasan kolam randuk yang direka itu menjadi lebih menarik apabila digabungkan dengan deretan pancuran air yang yang jatuh deras lalu menimbulkan bunyi deruan air yang kuat. Kawasan ini amat popular kepada kanak-kanak yang meranduk dan mandi-manda di kolam ini.

Taman KLCC boleh dibanggakan apabila ia mengekalkan sejumlah 63 batang pokok matang yang hidup di tapak taman semasa di bawah pengurusan Kelab Lumba Kuda Kuala Lumpur.

Sebuah tasik buatan manusia dibentuk di tengah taman, di hadapan pusat beli-belah  Suria KLCC dan Menara Berkembar. Pada waktu-waktu tertentu diadakan pertunjukan pancutan air berwarna-warni di sini. Sebatang jambatan 43 meter yang melintasi tasik memudahkan pelawat menikmati pemandangan indah taman dan mendongak tinggi ke arah Menara Berkembar yang mengagumkan.

Apa yang menarik di taman KLCC ini.
  • Terletak di tengah-tengan Bandaraya kuala lumpur.
  • Berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas, salah satu bangunan tertinggi di dunia.
  • Dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit.
  • Lake Symphony - Ia adalah sebuah tasik buatan manusia seluas 10,000 meter persegis (2 ekar) dengan sistem air pancutan berwarna-warni yang boleh diatur cara. Pancutan utamanya boleh memancutkan air setinggi 42 metres (138 ka).
  • Laluan Jogging - Sebatang laluan joging sepanjang 1.3 kilometers (0.81 bt) dipasang dengan bahan EPDM, sejenis bahan kegetahan khas yang direka untuk keselesaan dan keselamatan. Tempat rehat disediakan di sepanjang laluan jalan kaki.
  • Taman Permainan Kanak-kanak - Sebuah taman permainan kanak-kanak yang dilengkapi kolam renang awam terletak di sebelah barat taman.
  • Kolam Randuk/Kolam Kanak-kanak - Kolam cetek kebiruan yang disediakan untuk diranduk oleh pengunjung. Ia begitu popular kepada kanak-kanak.
  • Tumpuan Unggas - Menjadi tumpuan bagi unggas-unggas.
  • Ada masjid di kawasan taman.
  • Laman teres.
  • Tumbuh-tumbuhan tropika.
  • Kejernihan air di tasik.
  • Bulatan istirehat.
  • Arca-arca.
Jika ada masa dan peluang, silalah ke Taman KLCC. Jika belum berpeluang, nikmati suasana di sana melalui foto-foto di bawah.






















Wednesday, April 27, 2011

POKOK KELAPA GADING TAK SESUAI SEBAGAI LANDSKAP

Utusan Malaysia 26 April 2011 

Pokok kelapa gading tak sesuai sebagai landskap

Saudara Pengarang,
WARGA PRIHATIN JB


ISU penanaman 220 pohon kelapa gading di persimpangan bertingkat Lebuh Raya Skudai-Taman Perling-Pasir Gudang yang melibatkan kos RM1.2 juta hangat diperkatakan oleh warga bandar raya ini. Ia menjadi hangat kerana penanaman pohon kelapa itu menimbulkan kebimbangan kerana kian hari pokok itu semakin membesar dan meninggi. Hal ini, jika tidak diatasi boleh menjejaskan keselamatan awam yang menjadikan laluan tersebut sebagai jalan utama.

Buah kelapa tua yang berguguran di jalan boleh membahayakan.

Saya mengutarakan isu ini kerana merasakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengindahkan persimpangan tersebut dengan menanam pohon kelapa gading dan besi penyeri tidak sesuai dan tidak praktikal. Ini kerana pohon kelapa berkenaan yang kini tingginya mencecah kira-kira tiga meter boleh meninggi sehingga melebihi 10 meter dan keadaan ini jika dibiarkan menyebabkan pohon kelapa itu boleh condong menghala ke jalan raya kerana tersentuh jejambat di persimpangan bertingkat tersebut.

Keadaan itu membahayakan pengguna jalan raya termasuk kereta, lori, bas dan motosikal kerana laluan berkenaan merupakan jalan utama dan sibuk dengan kenderaan, khasnya pada waktu puncak.

Apabila pohon kelapa berkenaan condong ke jalan raya, dahannya boleh menghalang dan mengganggu pemandangan para pengguna. Lebih membahayakan apabila pokok itu menghasilkan buah, sudah pasti ia akan jatuh pada bila-bila masa ke jalan raya, keadaan ini sudah pasti mengundang bahaya kepada orang awam.

MBJB sepatutnya mencari jenis pepohon yang sesuai untuk ditanam di kawasan tersebut yang berfungsi menceria dan mengindahkannya. Begitu juga dengan kewujudan besi penyeri yang berlambangkan pohon lada hitam juga satu pembaziran kerana ia tidak berfungsi apa-apa dan lama kelamaan besi berkenaan menjadi lusuh dan berkarat.

Saya berharap perkara ini diberi perhatian segera sebelum sesuatu yang tidak diingini menimpa pengguna yang melalui jalan tersebut setiap hari.

Komen kami: 
Pokok kelapa gading memang tak sesuai ditanam sebagai pokok jajaran di sepanjang jalan. Kami bersetuju dengan alasan yang diberi penulis.

Sunday, April 10, 2011

BULUH SEBAGAI PILIHAN PENYERI TAMAN

Buluh atau nama botaninya Bambusa sp. merupakan  tumbuhan yang banyak terdapat di Malaysia. Ia mudah tumbuh dan mudah ditanam. Biasanya ia tumbuh meliar bebas kerana ia sesuai dengan cuaca negara ini.

Buluh adalah pokok daripada kawasan tropika berdaun lebat berwarna hijau dengan batangnya boleh hidup memanjang sehingga lebih 30 meter dan dikenali sebagai tumbuhan tropika paling panjang. Di Asia Tenggara, buluh banyak digunakan dalam seni bina termasuk rumah, wakaf, sangkar binatang dan pagar serta pelantar.

Taburan buluh di dunia adalah meluas dan habitat pertumbuhan aslinya terdapat di semua benua kecuali benua Eropah. Terdapat sekitar 92 genus dan 5,000 spesies. Buluh boleh di kumpulkan kepada 2 kumpulan besar iaitu yang mempunyai pertumbuhan tunggal (monopodial) dan pertumbuhan berumpun (simpodial). Buluh yang tumbuh tunggal hanya tersebar di kawasan beriklim sederhana sementara di kawasan tropika pula pertumbuhan adalah berbentuk berumpun.

Buluh tergulung dalam keluarga Gramineae, iaitu sekeluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung, tebu dan gandum. Lebih tepat lagi buluh adalah sub-keluarga Bambusoideae yang mengandungi genus-genus seperti Bambusa, Dendrocalamus, Dinochloa, Gigantochloa, Schizostachyum dan lain-lain lagi. Dikenali sebagai antara tumbuhan yang pantas berkembang dengan purata meninggi hingga 60 sm atau lebih setiap hari, bagaimanapun ia masih bergantung kepada kesuburan tanah dan suhu sekeliling.


Di antara jenis-jenis buluh yang ada di Malaysia ialah buluh akar, buluh aloh bukit, buluh anap, buluh aur, buluh beti, buluh beting, buluh betong, buluh bisa, buluh buta, buluh dinding, buluh duri, buluh galah, buluh hantu, buluh kapur, buluh kasap, buluh lemang, buluh lumpit, buluh lumpit kecil, buluh minyak, buluh nipis, buluh padi, buluh pagar, buluh pahit, buluh pelang, buluh perindu, buluh raga, buluh rayah, buluh semantan, buluh semeliang, buluh semeyeh, buluh sumbiling, buluh sumpitan, buluh telor, buluh tikus dan buluh tumpat.

Di antara kehebatan buluh ialah:
  1. Buluh sebenarnya lebih hebat daripada besi dan dapat menampung berat tambahan sebanyak lima kali ganda beratnya sendiri.
  2. Gentian buluh lebih fleksibel dan kuat daripada kayu. Di Jepun dan China misalnya, kertas tisu, bond dan alat tulis yang berkualiti dihasilkan daripada buluh.
  3. Hampir keseluruhan Jambatan Sinchuan, iaitu sebuah jambatan gantung di China, diperbuat daripada buluh. Jambatan ini masih digunakan lagi selepas 1000 tahun.
  4. Pada puratanya sebatang buluh yang panjangnya 6 meter, boleh menghasilkan 950 bilah lidi sate dan 2850 bilah cungkil gigi.
  5. Rebung buluh boleh dibentuk untuk mendapatkan buluh berbentuk tiga dan empat segi.
  6. Di India, akar buluh digunakan untuk membuat bola polo.



Walaupun ciri asaln buluh adalah tumbuh meliar, kini pokok buluh mula menjadi tumbuhan hiasan di laman rumah dan taman-taman kerana keunikan dan kesan yang mendamaikan. Taman berkonsepkan Zen, Jepun dan Cina, buluh adalah antara ciri yang dimasukkan dan tidak boleh diabaikan. Pada masa ini buluh sering menjadi pilihan di taman kerana ia tumbuhan hiasan yang tidak lapuk ditelan zaman dan boleh disesuaikan dengan pelbagai konsep penataan hiasan taman yang menampilkan ciri-ciri tradisional dengan sentuhan kontemporari.

Buluh mencipta satu suasana yang indah tanpa memerlukan kos dan penyelenggaraan yang tinggi. Masalah yang dihadapi ialah kerana dedaunnya yang mudah berguguran dan mungkin memerlukan masa untuk membersihkannya.

Dalam seni hiasan taman, pokok buluh biasanya menjadi pelengkap eksotik kerana rupa bentuknya yang unik selain tanaman berkenaan dikenali sebagai pokok tahan lasak. Sejak kebelakangan ini, buluh dijadikan kemasan untuk kawasan sekitar kolam, pelantar dan dinding laman dengan pelbagai sentuhan unik, warna dan reka bentuk.


Ada kira-kira 100 jenis buluh dengan pelbagai warna, bentuk dan tekstur. Oleh kerana itu  buluh sering dijadikan hiasan bagi melengkapkan seni laman kediaman. Seni hiasan laman terkini turut menampilkan ciri tradisional dengan sentuhan kontemporari dan buluh sering menjadi pilihan pereka laman kerana ia boleh disesuaikan untuk apa konsep pun termasuk moden.

Selain menjimatkan masa dan wang untuk menyelenggara, buluh juga menjimatkan ruang kerana ia tidak tumbuh menjalar tetapi membesar dengan meninggi. Untuk itu, ia sesuai sebagai hiasan laman di ruang sempit seperti di balkoni dan juga di laman-laman kecil seperti di hadapan rumah teres.Terdapat beberapa jenis buluh yang biasa ditanam sebagai tanaman landskap di taman-taman. Antaranya:
  1. Buluh gading - nama saintifik Bambusa Vulgaris C.V Vittata. Ciri batang berwarna kuning dengan jaluran hijau. Ruas sederhana panjang. Lebih sesuai untuk taman yang besar.
  2. Buluh galah - nama saintifik Bambusa Heterostachya. Ciri batang berwarna hijau lumut. Tumbuh meninggi. Biasa dijadikan galah kerana cirinya yang panjang. Sesuai untuk taman.
  3. Buluh pagar - nama saintifik Bambusa Multiplex. Ciri batang sederhana kecil. Batang dan daun berwarna hijau segar. Sesuai untuk taman dan laman kediaman yang luas.
  4. Buluh kuning - nama saintifik Schizostachchyum Brachycladum. Batang berwarna kuning. Digemari kerana gabungan warna yang menyerlah antara hijau dan kuning. Sesuai untuk laman yang luas.
  5. Buluh hitam - nama saintifik Phyllostachys Nigra. Mempunyai batang berwarna hitam.
  6. Buluh Siam - nama saintifik Thyrsostachys Siamensis. Paling digemari untuk landskap kerana ciri renek. Mudah dibentuk dan dahan perlu dicantas untuk menghasilkan rimbunan. Mencapai tinggi maksimum sehingga enam meter.
  7. Buluh Buddha - Nama saintifik Bambusa Tuldoides 'Ventricosa", Bambusa vulgaris c.v. wamin. Ada juga yang memanggil sebagai buluh botol kerana keadaan ruasnya yang unik. Sangat digemari untuk landskap kerana mudah dibentuk. Ranting perlu dicantas untuk menghasilkan rimbunan. Mencapai ketinggian hanya empat meter.
  8. Buluh putih - nama saintifik Bambusa Heterostachya Varigata. Juga digemari kerana ciri tumbuhan renek dan mudah dibentuk. Boleh mencapai ketinggian empat meter.
  9. Buluh renek - nama saintifik Pleiobastus Fortunei. Sesuai sebagai tanaman tutup bumi. Hanya mencapai ketinggian sehingga empat meter.


Sesuai dengan sifatnya yang boleh membesar hingga 2.43 meter, buluh juga menjadi antara tanaman pagar yang dapat menghalang pemandangan luar. Ini memberikan privasi dan keselesaan di taman itu. Tanaman itu turut menghalang angin dan bunyi desiran angin di celahan pokok buluh mendamaikan hingga membangkitkan nilai estetika di taman.

Dua jenis buluh sesuai dijadikan pokok pagaran. Jenis pertama ialah buluh menjalar dan rizom atau akar tanaman ini, menjalar beberapa inci di bawah tanah secara horizontal (mendatar). Biasanya ketika membesar, ia menjalar di kawasan sekitarnya dan lebih mudah membesar serta menjadi tanaman pagaran.

Jenis kedua, buluh jenis ini tumbuh serumpun kerana ubi akarnya lebih bulat dan tidak menjalar. Ia sukar membiak dengan cepat kerana tumbuh berdasarkan ubi akarnya. Bagaimanapun, buluh jenis ini lebih mudah untuk diuruskan tumbesarannya dan perlukan cahaya matahari yang dapat menggalakkan pertumbuhannya. Pertumbuhannya lebih perlahan iaitu hanya meningkat dua hingga tiga kali saiz asal setahun dan menyebabkan jangka waktu lebih lama diambil untuk dijadikan pagar kediaman.


Penghargaan kepada Bintu Rasyada A. Rahman dan Yati. Terima kasih.

Friday, March 18, 2011

LANDSKAP TINGKATKAN KUALITI HIDUP MANUSIA

Sumber: Utusan Malaysia 17 Mac 2011



RAMAI tidak sedar kebanyakan bencana yang berlaku hari ini berpunca daripada pembangunan yang tidak mengambil kira aspek rantaian ekologi dengan sebaik mungkin. Tragedi tsunami pada 2004 yang turut memberi kesan pada negara ini terutama di kawasan utara tanah air mungkin dapat dikurangkan jika sistem landskap semulajadinya iaitu hutan paya bakau masih memenuhi sepanjang pantai di kawasan terlibat.

Sebab itu, isu rantaian ekologi ini menjadi su global yang perlu diberi perhatian. Ia sebenarnya bermula dengan pembangunan landskap yang menitikberatkan rantaian ekologi.

Di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, keutamaan diberikan kepada pembangunan landskap sebelum sesebuah bandar dibangunkan. Maknanya, seni bina landskap bukan satu bidang yang remeh dan bukan sekadar untuk mencantik dan mengindahkan sesuatu kawasan.

Ia sebenarnya membabit keseimbangan antara pembangunan fizikal dengan kelestarian alam semula jadi. Jika di laksanakan dengan terancang ia juga boleh mengurangkan kesan bencana alam seperti tsunami. Tetapi bidang seni bina landskap mungkin jarang didengari. Ramai yang tidak tahu bahawa bidang ini adalah satu bidang profesional. Setaraf dengan bidang-bidang lain seperti arkitek, kejuruteraan, doktor, peguam dan sebagainya.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa bidang ini adalah terhad kepada pokok-pokok hiasan sahaja. Namun hakikatnya tidak begitu.

“Landskap ialah tentang bagaimana anda uruskan alam sekitar kurniaan Tuhan dan beri balik kepada manusia,” ulas Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Mohd. Fadrillah Mohd. Taib.

Menurutnya, dalam masa 10 hingga 15 tahun lagi landskap di Malaysia akan dilihat sebagai satu profesion yang amat penting.

“Pelajar jurusan landskap kini adalah golongan profesional yang dilihat sebagai aset terpenting negara. Kerja mereka nanti bukanlah sekadar menanam pokok, malah menggabungkan elemen teknologi tanpa mengabaikan ekologi dunia. Mereka juga mempunyai tugas besar untuk membuatkan masyarakat agar lebih sensitif dengan alam semula jadi,” ujarnya.

Katanya, pembangunan landskap ini tentang bagaimana mengambil anugerah Allah tanpa mengabaikan rantaian ekologi walaupun pada mikrob dan serangga kecil. Ia adalah pencetus kepada kehidupan yang dapat kita teruskan sehingga hari ini.

Di Malaysia mungkin masih terlalu awal tapi ia sedang dalam proses kerana untuk memastikan pembangunan landskap terbaik memakan tempoh masa yang lama.

“Sebagai contoh dulu mungkin kita tidak mempunyai laluan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) namun kini laluan seperti ramp sudah mula diberi perhatian khusus dalam membangunkan sesuatu landskap,” jelasnya.

Tambah Mohd. Fadrillah, graduan pertama dalam bidang pembangunan landskap ini mula dilahirkan pada tahun 1996 oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sejak dari itu, pelbagai usaha dalam memastikan sukatan pelajaran mereka menepati keperluan manusia hari ini.

“Kalau di Amerika Syarikat, landskap adalah perkara asas yang paling diutamakan sebelum memulakan satu perancangan bandar. Kenapa landskap amat perlu dititikberatkan? Kita lihat sebagai contoh, Allah menganugerahkan tanah yang mempunyai pelbagai bentuk seperti bergunung-ganang. Tapi manusia yang tidak bertanggung jawab dengan rakusnya meratakan tanah, mengubah aliran air semula jadi ke longkang, bagaimana kedudukan tanah itu, struktur tanah itu sesuai atau tidak, adakah ia menjejaskan ekologi kawasan reka bentuk tanah di kawasan itu dan sebagainya,” tegasnya.

Tambahnya, landskap sebenarnya membolehkan perancangan ruang kehidupan dibuat untuk meningkatkan kualiti hidup manusia.

“Dalam jangka masa panjang, profesion ini akan bertambah maju. Sudah tentu kita semua mahukan rumah yang selesa, nyaman dan memberikan ketenangan. Kenapa banyak rumah kini dibina halaman, ia bukan berfungsi untuk mencantikkan sahaja, malah yang paling penting halaman itu memberikan pengudaraan yang baik. Banyak oksigen masuk, lebih tenang, mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa dan sekali gus menjaga alam sekitar, inilah yang perlu dilihat oleh manusia,” kata Mohd. Fadrillah.

Sebagai Arkitek Landskap, tugasnya bukan hanya terhad kepada pokok-pokok semata bahkan memikirkan semua elemen seperti teknologi, konservasi dan banyak lagi.

“Saya percaya masyarakat kita ini akan berubah sensitiviti terhadap alam sekitar kerana terlalu banyak bukti-bukti nyata pengabaiannya yang memberi kesan negatif terhadap manusia sejagat. Lihat saja contohnya seperti tsunami, pemanasan global, ini semua terjadi kerana rantaian semula jadi telah dirosakkan oleh manusia. Kalau satu rantaian dimusnahkan pasti akan mendatangkan masalah untuk kita juga. Faktor alam semula jadi perlu diberi perhatian sebelum apa jua jenis pembangunan dimulakan,” jelasnya yang juga akan menganjurkan persidangan tentang pembangunan landskap di Putrajaya pada 30 Mac ini.

Antara universiti yang menawarkan pengajian dalam Seni Bina Landskap, ialah Universiti Putra Malaysia (UPM).
 Pensyarah di Jabatan Landskap UPM, Dr. Nor Atiah Ismail berkata, jurusan itu memerlukan pelajar memerah otak menzahirkan idea kreatif untuk rekaan masing-masing.
Dr. Nor Atiah (tengah) membimbing pelajarnya menghasilkan projek
cadangan bagi landskap kawasan sensitif di Lembah Bujang, Kedah.

“Adalah amat penting bagi kita memastikan agar minda pelajar ini segar dan tidak dalam tekanan. Sebagai contohnya sewaktu melawat Bangkok baru-baru ini, kami dapat melihat betapa seni bina landskap mereka begitu mementingkan nilai budaya dan agama masyarakat setempat,” jelasnya.


Sunday, March 13, 2011

GUBAHAN MAWAR

Sumber: Berita Minggu 13 Mac 2011

Gubahan Mawar
  • POKOK ros boleh digabung dengan tumbuhan lain.

  • Bekas tanaman seramik, plastik, logam, kayu atau anyaman buluh serlahkan mawar di laman

PROSES kacukan pokok bunga ros atau mawar sentiasa dilakukan bagi menghasilkan pelbagai pokok kacukan atau hibrid yang bermutu tinggi dengan bunganya yang unik dan menarik sebagai tanaman berpasu, pokok sempadan, pokok pagaran, pokok pemanjat dan sebagainya. Oleh itu idea gaya dan cara pamerannya juga boleh dipelbagaikan seperti berikut:


  • Bunga ros sesuai sekali dijadikan bunga keratan untuk gubahan bunga hidup.
  • Pokok bunga ros juga sesuai ditanam dalam pasu sebagai pokok spesimen. Dicadangkan anda menanam pelbagai bentuk, rupa dan warna bunga ros dalam satu pasu untuk pameran pelbagai warna bunganya.
  • Adat pokok ros jenis pemanjat yang boleh ditanam terus di tanah di andam kemas menjadi pokok pagaran, atau boleh dilatih memanjat dinding, tembok, pergola, trellis dan sebagainya. 
  • Bagi peminat bunga ros yang serius anda boleh membina sebuah taman yang ditanam dengan koleksi pokok bunga Ros pelbagai bentuk, rupa dan warna bunganya.
Gaya pameran pokok bunga ros mini

Namun, anda boleh lakukan gaya pameran yang lebih menarik lagi menggunakan sejenis pokok bunga Ros kacukan atau hibrid yang dikenali sebagai ‘Miniature Rose’ atau Ros mini. Ia begitu menarik sekali untuk dijadikan sebagai tanaman atau dipamerkan dalam ‘planter’ atau bekas yang cantik.

Mengikut sejarah, pokok Ros mini ini telah lama ditanam di negara Cina sejak 200 tahun yang lalu. Bunganya bersaiz kecil saja iaitu dengan garisan pusat 1 hingga 2 inci saja. Kelopak bunganya pula sama ada selapis atau tersusun beberapa lapisan dalam pelbagai warna yang menarik seperti merah muda, oren kemerahan, putih, merah terang, dan juga campuran pelbagai warna yang lebih unik serta menarik.

Ia biasanya dijual sebagai pokok untuk dihadiahkan kepada seseorang tersayang untuk memperingati hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.

Pertumbuhan pokoknya yang hanya setinggi 6 hingga 12 inci saja itu sangat sesuai untuk dijadikan hiasan dalaman seperti menghiasi meja tulis, meja di ruang tamu kediaman dan juga pejabat.

Bagi menghasilkan pameran yang cantik dan menarik gunakan pelbagai bekas ‘planter’ yang cantik untuk mempamerkannya. ‘Planter’ di sini merujuk pasu cantik untuk menanam atau mempamerkannya. Ada pelbagai bekas diperbuat daripada seramik, plastik, logam, kayu dan sebagainya atau bahan anyaman seperti raga dan bakul yang boleh digunakan.

Khas untuk pembaca semua saya akan tunjukkan cara mudah mempamerkan pokok Ros mini ini menggunakan raga anyaman yang cantik dan menarik.

Bahannya:

  1. Pokok ros mini dalam pasu plastik (foto 1)
  2. Bakul anyaman (foto 2)
  3. Lumut ‘sphagnum moss’ yang boleh dibeli dari pusat tanaman.
Ikuti langkah mudah mempamerkannya seperti berikut:
  • Langkah 1: Alas beg plastik di bahagian bawah raga. Kemudian letakkan pasu tanaman Ros mini dalam raga berkenaan.
  • Langkah 2: Seterusnya letakkan lumut ’Sphagnum moss’ di bahagian atas medium tanaman dalam pasu orkid agar nampak kemas, cantik dan menarik.
  • Lihatlah hasilnya (foto 3), cantik?

Selain ditanam dan dipamerkan secara solo, pokok Ros mini ini juga boleh digubah bersama dengan tanaman hiasan lain yang berbunga atau berdaun cantik.

Lihatlah hasil idea pameran dan gubahan dalam pelbagai bekas pameran yang diperbuat daripada seramik, plastik, logam, kayu dan sebagainya atau bahan anyaman seperti raga dan bakul.

Selepas ini bolehlah anda mula mengorak langkah menghiasi kediaman anda dengan pokok bunga Ros mini yang hidup dipamerkan dalam ‘planter’ atau sebagai bunga keratan dalam gubahan bunga hidup untuk hiasan meja ruang tetamu atau meja makan sebagai hiasan dalaman.

Selamat mencuba.


Thursday, March 3, 2011

BUAH ROCKMELON? BUAH APA TUUU????

Semasa kitorang buat tapak projek fertigasi rockmelon, ada rakan-rakan yang bertanyakan buah apa yang nak di tanam. Macam-macam yang ditanyakan. Sebenarnya kami pun tak berapa tahu mengenai buah ini. Yang kami tahu buahnya manis, rasanya sedap dan rangup, dan di bahagian dalamnya berwarna oren. Pokoknya melilit ke atas. Daunnya lebar-lebar. Buahnya tergantung. Buah ini jarang-jarang ditemui di gerai-gerai buah di tepi jalan sebab cara penanamannya rumit. Tak boleh ditanam di tanah biasa. Ia ditanam dalam serbuk sabut dengan penanaman guna kaedah fertigasi (air baja dialirkan ke dalam polibeg).

Maklumat daripada Cikgu Hasan Kasmuri, kami dapat foto-foto ini. Cikgu Hasan pernah tanam buah ini di sekolah dan di rumahnya.