Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Friday, March 18, 2011

LANDSKAP TINGKATKAN KUALITI HIDUP MANUSIA

Sumber: Utusan Malaysia 17 Mac 2011



RAMAI tidak sedar kebanyakan bencana yang berlaku hari ini berpunca daripada pembangunan yang tidak mengambil kira aspek rantaian ekologi dengan sebaik mungkin. Tragedi tsunami pada 2004 yang turut memberi kesan pada negara ini terutama di kawasan utara tanah air mungkin dapat dikurangkan jika sistem landskap semulajadinya iaitu hutan paya bakau masih memenuhi sepanjang pantai di kawasan terlibat.

Sebab itu, isu rantaian ekologi ini menjadi su global yang perlu diberi perhatian. Ia sebenarnya bermula dengan pembangunan landskap yang menitikberatkan rantaian ekologi.

Di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, keutamaan diberikan kepada pembangunan landskap sebelum sesebuah bandar dibangunkan. Maknanya, seni bina landskap bukan satu bidang yang remeh dan bukan sekadar untuk mencantik dan mengindahkan sesuatu kawasan.

Ia sebenarnya membabit keseimbangan antara pembangunan fizikal dengan kelestarian alam semula jadi. Jika di laksanakan dengan terancang ia juga boleh mengurangkan kesan bencana alam seperti tsunami. Tetapi bidang seni bina landskap mungkin jarang didengari. Ramai yang tidak tahu bahawa bidang ini adalah satu bidang profesional. Setaraf dengan bidang-bidang lain seperti arkitek, kejuruteraan, doktor, peguam dan sebagainya.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa bidang ini adalah terhad kepada pokok-pokok hiasan sahaja. Namun hakikatnya tidak begitu.

“Landskap ialah tentang bagaimana anda uruskan alam sekitar kurniaan Tuhan dan beri balik kepada manusia,” ulas Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Mohd. Fadrillah Mohd. Taib.

Menurutnya, dalam masa 10 hingga 15 tahun lagi landskap di Malaysia akan dilihat sebagai satu profesion yang amat penting.

“Pelajar jurusan landskap kini adalah golongan profesional yang dilihat sebagai aset terpenting negara. Kerja mereka nanti bukanlah sekadar menanam pokok, malah menggabungkan elemen teknologi tanpa mengabaikan ekologi dunia. Mereka juga mempunyai tugas besar untuk membuatkan masyarakat agar lebih sensitif dengan alam semula jadi,” ujarnya.

Katanya, pembangunan landskap ini tentang bagaimana mengambil anugerah Allah tanpa mengabaikan rantaian ekologi walaupun pada mikrob dan serangga kecil. Ia adalah pencetus kepada kehidupan yang dapat kita teruskan sehingga hari ini.

Di Malaysia mungkin masih terlalu awal tapi ia sedang dalam proses kerana untuk memastikan pembangunan landskap terbaik memakan tempoh masa yang lama.

“Sebagai contoh dulu mungkin kita tidak mempunyai laluan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) namun kini laluan seperti ramp sudah mula diberi perhatian khusus dalam membangunkan sesuatu landskap,” jelasnya.

Tambah Mohd. Fadrillah, graduan pertama dalam bidang pembangunan landskap ini mula dilahirkan pada tahun 1996 oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sejak dari itu, pelbagai usaha dalam memastikan sukatan pelajaran mereka menepati keperluan manusia hari ini.

“Kalau di Amerika Syarikat, landskap adalah perkara asas yang paling diutamakan sebelum memulakan satu perancangan bandar. Kenapa landskap amat perlu dititikberatkan? Kita lihat sebagai contoh, Allah menganugerahkan tanah yang mempunyai pelbagai bentuk seperti bergunung-ganang. Tapi manusia yang tidak bertanggung jawab dengan rakusnya meratakan tanah, mengubah aliran air semula jadi ke longkang, bagaimana kedudukan tanah itu, struktur tanah itu sesuai atau tidak, adakah ia menjejaskan ekologi kawasan reka bentuk tanah di kawasan itu dan sebagainya,” tegasnya.

Tambahnya, landskap sebenarnya membolehkan perancangan ruang kehidupan dibuat untuk meningkatkan kualiti hidup manusia.

“Dalam jangka masa panjang, profesion ini akan bertambah maju. Sudah tentu kita semua mahukan rumah yang selesa, nyaman dan memberikan ketenangan. Kenapa banyak rumah kini dibina halaman, ia bukan berfungsi untuk mencantikkan sahaja, malah yang paling penting halaman itu memberikan pengudaraan yang baik. Banyak oksigen masuk, lebih tenang, mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa dan sekali gus menjaga alam sekitar, inilah yang perlu dilihat oleh manusia,” kata Mohd. Fadrillah.

Sebagai Arkitek Landskap, tugasnya bukan hanya terhad kepada pokok-pokok semata bahkan memikirkan semua elemen seperti teknologi, konservasi dan banyak lagi.

“Saya percaya masyarakat kita ini akan berubah sensitiviti terhadap alam sekitar kerana terlalu banyak bukti-bukti nyata pengabaiannya yang memberi kesan negatif terhadap manusia sejagat. Lihat saja contohnya seperti tsunami, pemanasan global, ini semua terjadi kerana rantaian semula jadi telah dirosakkan oleh manusia. Kalau satu rantaian dimusnahkan pasti akan mendatangkan masalah untuk kita juga. Faktor alam semula jadi perlu diberi perhatian sebelum apa jua jenis pembangunan dimulakan,” jelasnya yang juga akan menganjurkan persidangan tentang pembangunan landskap di Putrajaya pada 30 Mac ini.

Antara universiti yang menawarkan pengajian dalam Seni Bina Landskap, ialah Universiti Putra Malaysia (UPM).
 Pensyarah di Jabatan Landskap UPM, Dr. Nor Atiah Ismail berkata, jurusan itu memerlukan pelajar memerah otak menzahirkan idea kreatif untuk rekaan masing-masing.
Dr. Nor Atiah (tengah) membimbing pelajarnya menghasilkan projek
cadangan bagi landskap kawasan sensitif di Lembah Bujang, Kedah.

“Adalah amat penting bagi kita memastikan agar minda pelajar ini segar dan tidak dalam tekanan. Sebagai contohnya sewaktu melawat Bangkok baru-baru ini, kami dapat melihat betapa seni bina landskap mereka begitu mementingkan nilai budaya dan agama masyarakat setempat,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment