Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Wednesday, April 27, 2011

POKOK KELAPA GADING TAK SESUAI SEBAGAI LANDSKAP

Utusan Malaysia 26 April 2011 

Pokok kelapa gading tak sesuai sebagai landskap

Saudara Pengarang,
WARGA PRIHATIN JB


ISU penanaman 220 pohon kelapa gading di persimpangan bertingkat Lebuh Raya Skudai-Taman Perling-Pasir Gudang yang melibatkan kos RM1.2 juta hangat diperkatakan oleh warga bandar raya ini. Ia menjadi hangat kerana penanaman pohon kelapa itu menimbulkan kebimbangan kerana kian hari pokok itu semakin membesar dan meninggi. Hal ini, jika tidak diatasi boleh menjejaskan keselamatan awam yang menjadikan laluan tersebut sebagai jalan utama.

Buah kelapa tua yang berguguran di jalan boleh membahayakan.

Saya mengutarakan isu ini kerana merasakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengindahkan persimpangan tersebut dengan menanam pohon kelapa gading dan besi penyeri tidak sesuai dan tidak praktikal. Ini kerana pohon kelapa berkenaan yang kini tingginya mencecah kira-kira tiga meter boleh meninggi sehingga melebihi 10 meter dan keadaan ini jika dibiarkan menyebabkan pohon kelapa itu boleh condong menghala ke jalan raya kerana tersentuh jejambat di persimpangan bertingkat tersebut.

Keadaan itu membahayakan pengguna jalan raya termasuk kereta, lori, bas dan motosikal kerana laluan berkenaan merupakan jalan utama dan sibuk dengan kenderaan, khasnya pada waktu puncak.

Apabila pohon kelapa berkenaan condong ke jalan raya, dahannya boleh menghalang dan mengganggu pemandangan para pengguna. Lebih membahayakan apabila pokok itu menghasilkan buah, sudah pasti ia akan jatuh pada bila-bila masa ke jalan raya, keadaan ini sudah pasti mengundang bahaya kepada orang awam.

MBJB sepatutnya mencari jenis pepohon yang sesuai untuk ditanam di kawasan tersebut yang berfungsi menceria dan mengindahkannya. Begitu juga dengan kewujudan besi penyeri yang berlambangkan pohon lada hitam juga satu pembaziran kerana ia tidak berfungsi apa-apa dan lama kelamaan besi berkenaan menjadi lusuh dan berkarat.

Saya berharap perkara ini diberi perhatian segera sebelum sesuatu yang tidak diingini menimpa pengguna yang melalui jalan tersebut setiap hari.

Komen kami: 
Pokok kelapa gading memang tak sesuai ditanam sebagai pokok jajaran di sepanjang jalan. Kami bersetuju dengan alasan yang diberi penulis.

No comments:

Post a Comment