Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, May 3, 2014

TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI, JOHOR PENGHUJUNG SELATAN TANAH BESAR ASIA

Taman Negara Tanjung Piai, Johor terletak di Daerah Pontian. Jarak dari sekolah kitorang lebih kurang 20 km. Jelasnyanya, taman ini juga dikenali sebagai 'Penghujung Selatan Tanah Besar Asia' dan ia telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Kami bangga kerana di tempat kami ada taman negara ini yang dipenuhi dengan hutan kayu bakau. Kami juga bangga kerana kawasan ini terletak di penghujung paling selatan benua Asia. 


Benua Asia yang meliputi Arab Saudi di bahagian barat, Russia di utara, Kepulauan Maldives di selatan, dan Jepun di timur merupakan benua yang terbesar di dunia, meliputi 55.8 juta kilometer persegi atau satu pertiga daratan dunia. Terdapat beberapa wilayah yang termasuk dalam Benua Asia, iaitu Asia Tengah, Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat. Benua Asia mempunyai penduduk paling ramai, iaitu lebih kurang 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

 
Di Benua Asia terletak Banjaran Himalaya yang terpanjang di dunia; Gunung Everest  yang tertinggi di dunia; Tasik Baikal yang terdalam di dunia; Laut Mati yang mempunyai air paling masin di dunia; Laut Kaspia iaitu tasik air masin terbesar di dunia, dan Selat Melaka yang merupakan selat terpanjang di dunia.


Benua Asia bermula dari garis bujur 28° Timur di Turki sehingga 170° Barat di Semenanjung Kamchatka dan dari garis lintang 10° Selatan sehingga 75° Utara. Benua Asia direntasi oleh Garisan Artik, Garisan Sartan dan Garisan Khatulistiwa.

Titik paling akhir Benua Asia terletak di Tanjung Piai, dalam daerah Pontian, Johor, pada latitud 01.16° Utara dan longitude 103.30.46° Timur .


Tanjung Piai terletak kira-kira 75 kilometer dari Bandar Raya Johor Bahru. Untuk sampai ke sini, jika perjalanan anda melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, susur keluar ke Simpang Renggam menuju ke Benut. Teruskan perjalanan ke Pontian, kemudian ke Kukup. Setelah sampai di Kukup, ikut arah papan tanda yang menunjukkan jalan ke Tanjung Piai. Pada masa ini tiada perkhidmatan bas ekspres yang disediakan untuk ke Taman Negara Tanjung Piai. Perkhidmatan teksi boleh didapati dari stesen bas Pontian.


Tanjung Piai dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang dikenali sebagai pokok paku piai. Hutan bakau yang luas di sini digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Hutan bakau ini membentuk koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dengan tanah lembap Sungai Pulai. 


Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur. Terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini. Di sini dikatakan terdapat lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai.

  
Pokok bakau melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan menghindari banjir, di samping memberikan perlindungan dan pembiakan ikan, ketam, udang, pelbagai jenis molaska dan binatang-binatang lain. Burung-burung hijrah akan singgah di hutan bakau untuk berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang semula ke kawasan yang ditujui. 

 
Kini, Tanjung Piai diisytiharkan sebagai Taman Negara memandangkan di sini terdapat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan, hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna. Taman ini juga menjadi tempat kediaman pelbagai jenis unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam. 


Sebelum diisytiharkan sebagai Taman Negara, Tanjung Piai adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan. Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997. Kajiselidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun 2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai dan digazetkan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.

  
Taman ini juga telah diisytiharkan tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Ramsar mengambil sempena nama sebuah bandar di Iran yang menjadi tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang pertama pada tahun 1971. Tujuan utama konvensyen ini adalah untuk memulihara tanah lembap yang merupakan tempat berehat dan mencari makanan bagi burung-burung hijrah. 


Malaysia menganggotai Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau Ramsar pada tahun 1994. Tasek Bera di Negeri Pahang telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pertama negara ini pada tahun tersebut. Sehingga kini, antara kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar ialah Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor dan Kuching Wetland National Park di Sarawak. Terdapat 26 kawasan lain di seluruh Malaysia turut dikenal pasti sebagai kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan antarabangsa. 


Bersebelahan pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai dibina sebuah mercu tanda bagi menggambarkan bahawa Tanjung Piai ialah “Tanah Paling Selatan Benua Asia”.  Mercu tanda yang berukuran 20 meter tinggi dan 10 meter lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 2001. Bahan binaan mercu tanda ini ialah gentian konkrit mesra alam berwarna kelabu. Warna kelabu dipilih bagi menggambarkan kekayaan hutan paya pakau dan dataran lumpur yang terdapat di penghujung Benua Asia ini. 


Pada permukaan mercu tanda diukir dua pelepah pokok piai raya (acrostichum aureum) bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Pokok  piai raya didapati tumbuh dengan banyaknya bersama-sama pokok bakau di sini. Tanjung pula bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang terpapar menjelaskan kedudukan sebenar “Tanah Paling Selatan Benua Asia”  supaya dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat.
Sebelum masuk, anda perlu membeli tiket yang dijual di kaunter. Harga tiket adalah RM5 bagi dewasa (RM10 bagi pelancong luar negara) dan RM3 bagi pelawat yang berumur bawah 18 tahun (RM5 bagi pelancong luar negara). Kemudahan asas yang disediakan di sini ialah surau, tandas, kawasan perkhemahan, kaunter penerangan dan tempat meletak kenderaan. 


Antaranya aktiviti pelawat yang datang ke sini adalah berkhemah, memancing, melihat kunang-kunang dan melihat pemandangan serta keindahan Selat Teberau. Pelancong, terutama pelajar boleh mendapatkan maklumat tentang hutan bakau dan maklumat lain yang dipamerkan dalam kawasan taman. Setiap maklumat disertakan gambar yang berkaitan supaya senang difahami. 


Setelah masuk ke kawasan taman, terdapat laluan khas berupa jambatan kayu yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa destinasi. Terdapat laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing. Pelantar ini juga menjadi tempat pelancong menikmati keindahan Selat Melaka. Dari kejauhan kelihatan kapal-kapal yang melalui selat ini. Sewaktu cuaca cerah, Pulau Kerimon, Indonesia juga dapat dilihat dari pelantar ini. 


Terdapat laluan untuk pelawat menuju ke destinasi yang mesti dikunjungi, iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka. Di pelantar ini dibina sebuah mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung di Benua Asia.



Sumber artikel:  laman artikel DBP

No comments:

Post a Comment