Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Tuesday, May 20, 2014

TAMAN AIR - ANTARA KEAJAIBAN DAN SIMBOL KEHIDUPAN

Di satu senja, seperti biasa adalah suatu masa yang tenang bagi saya nikmati dengan bersiar di taman. Terhenti sejenak saya di pinggir kolam sambil menarik nafas sedalam-dalamnya. Hari itu merupakan hari yang amat tegang dan saya sudah hampir sampai ke kemuncak kesabaran saya.

Ketika hati asyik digolak emosi, pancutan air di kolam yang beralun menusuk ke kalbu lantas menyejukkan hati yang berolak amarah tadi. Tanpa disedari, fikiran saya menjadi tenang dan mulut yang terkumat-kamit ketika kusut tadi kian mengukir senyuman.

Tersentuh hati bila memikirkan bagaimana elemen yang mudah seperti pancutan air kolam bisa mengubah ’mood’ seseorang hanya dengan bunyi-bunyian yang terhasil bila bebuih air tersentuh dengan daun bunga teratai yang berjuntai ke atas permukaan kolam. Sesekali terasa dingin dan segarnya udara di muka apabila renjisan air meresap dan bersatu bersama hembusan angin.

Merenung ke langit pula, saya terpana melihat kebesaran-Nya sekali lagi pada petang itu. Lakaran merah-keemasan terhampir di langit tanpa batasan membuktikan tiada artis sehebat Tuhan yang Maha Agung. Inilah karya seni yang paling unggul, saya akui dalam diam, pada pandangan saya.

Apabila memikirkan amukan jiwa saya sejenak tadi, terasa lucu pula. Saya akui, dalamĂ‚  kesibukan mengejar masa dalam urusan sehari-hari menyebabkan saya jadi begini. Kelewatan pembekal, konflik antara pekerja dan majikan dan macam-macam lagi tiba-tiba hilang tanpa disedari bila dikelilingi oleh suasana hening dalam taman ini. Seekor burung beekor kuning terbang merentas penglihatanĂ‚  dan saya tertanya-tanya apakah spesisnya? Apa pula erti nyanyiannya itu? Adakah untuk menarik perhatian pasangannya? 

Sang Suria semakin menghilang di balik tabir senja dikala isteri saya memberitahu bahawa makan malam sudah tersedia. Perasaan gembira dan syahdu bercampur-baur apabila memikirkan betapa beruntungnya saya kerana masih bernyawa dan pula disayangi. Saya melangkah masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang kembali ceria. Keajaiban taman kecil saya ini telah dimanfaatkan sekali lagi, terutama untuk ketenangan jiwa. 

Elemen semulajadi

Air telah menguasai fikiran, kepercayaan dan amalan manusia di seluruh dunia dan budaya, menerusi sejarah perkembangan tamadun manusia itu sendiri.

Banyak bekas tinggalan tamadun peribumi ditemui berhampiran dengan sumber air di permukaan bumi seperti sungai dan tasik; misalnya Tamadun China yang terletak di sepanjang tebing sungai Sungai Kuning, Tamadun Mesir di Sungai Nil dan Tamadun Arab di lembah Tigris dan Euphrates.

Manusia purba telah mempelajari bagaimana untuk memanipulasi sumber air untuk mengairkan dan menyubur tanaman mereka menerusi sistem pengairan buatan manusia seperti parit dan kolam tadahan. Mereka juga turut menggunakan elemen air sebagai sumber pemulihan spiritual dan mental; suatu amalan yang turut kita warisi hingga ke hari ini.

Amalan ini terbukti apabila elemen air dalam projek perumahan baru menjadi salah satu faktor tarikan kepada pembeli. Penduduk di kawasan perumahan mewah seperti di ’sub-urban’ dan juga kondominium juga amat tertarik dalam memastikan kewujudan elemen air berhampiran mahupun dalam kawasan kediaman mereka sama ada yang semula jadi ataupun buatan manusia.

Oleh kerana elemen air begitu popular dalam rekaan taman di seluruh pelusuk dunia dan di negara kita khususnya, tumbuhan akuatik seperti Teratai dan ’Lotus’ sentiasa menjadi pilihan. 

Tumbuhan Akuatik sebagai simbol budaya

Bunga ’Lotus’ selalu dianggap sebagai simbol metafora yang suci dalam senibina dan keseniaan dalam kepercayaan Hindu. Fakta ini saya menganggap kurang tepat kerana motif bunga ’Lotus’ juga ditemui di binaan Masjid Najina, di Agra dan juga di Taj Mahal. Bukti ini menjelaskan bahawa tamadun Islam juga menjadikan bunga ’Lotus’ sebagai simbol rekaan yang mempunyai nilai penting dalam aspek estetik yang membawa maksud tersendiri.

Dalam kepercayaan agama Hindu, dikatakan Tuhan Brahma menjelma dari benih bunga 'Lotus' ajaib dan pada ketika itu seluruh bumi pula terletak di bawah permukaan air. Agama Hindu juga menganggap ’Lotus’ sebagai simbol harapan dalam menghadapi sesuatu dugaan. Seperti bunga 'Lotus' yang berkembang, setiap kelopak mewakili kejayaan yang muncul dari dugaan yang ditempuhi.

Dalam ideologi kepercayaan Buddha pula, bunga ’Lotus’ juga adalah simbol kelahiran abadi. Ini di wakili oleh kelopak ’Lotus’ yang mekar seperti api yang marak yang bermaksud permulaan yang abadi oleh Buddha. Diceritakan, setiap kali Gautama Buddha melangkah, sekelopak bunga ’Lotus’ akan mekar dari permukaan tanah. 

Selain dari kepentingan dari segi simbol kepercayaan, tumbuhan akuatik juga turut diintepretasikan dalam bentuk kesenian terutama sekali dari tamadun China. Ini dapat dilihat kepada hasil kerja artis Cina purba. 

Taman Larangan di negara China merupakan contoh peranan utama yang dimainkan oleh taman dan tumbuhan akuatik dalam perkembangan tamadun purba pada masa itu.

Air dan elemen berkaitan dengannya berperanan penting dalam ciptaan sesebuah taman yang lengkap. Ini dapat dilihat melalui artifak kelopak bunga Teratai terawet berusia lebih empat ribu tahun yang ditemui di dalam keranda mumia Raja Mesir Imhotep dan juga keindahan motif bunga Teratai terukir di sebuah Gereja pada abad ke 16 di Goa. Elemen air dan tumbuhannya merupakan motif yang menjadi inspirasi kepada manusia semenjak dahulu kala lagi.

Kebanyakkan kenalan dan sahabat bermimpi untuk memiliki taman seindah Taj Mahal di kediaman masing-masing dengan adanya tumbuhan akuatik, walaupun di rumah teres. Saya katakan, ”Mngapa tidak?” Sebahagian dari tugas dan kepakaran kami di Terra Garden adalah mewujudkan sebuah taman impian anda melalui transformasi minda dan ruang kepada kecantikan serta kenikmatan bila berada dalam taman. 

Tambahan pula, konsep Neo Nusantara yang diketengahkan di Terra Garden memang menekankan elemen air sebagai salah satu fokus utama dalam sesebuah taman. Kewujudan elemen air, saja sama ada dalam bentuk lelehan atau pancuran, bukan sahaja sedap untuk mata memandang malah ianya sebagai satu unsur terapi tanpa kita sedari. Inilah! keajaiban unsur air dalam sebuah taman...

Sumber:  Penghargaan dan terima kasih kepada http://www.neonusantara.com

No comments:

Post a Comment