Apabila bercakap mengenai pencahayaan, apa  yang 
terlintas difikiran kita pastinya tidak lari dengan penggunaan lampu 
untuk  menerangkan kawasan yang gelap. Tetapi bagi sesetengah di 
kalangan kita  pencahayaan merupakan lebih bermakna dari sudut estetik, 
fungsi dan pencetus  kenangan. Pencahayaan dalam sesebuah taman memang 
penting, terutamanya sebagai  satu elemen untuk menghidupkan suasana 
dalam sesebuah taman bila malam  menjelang. Isu kali ini, saya ingin 
berkongsi memori dan kesan pencahayaan  kepada kita khususnya dalam 
sesebuah taman menerusi pendekatan gaya dan  inspirasi taman Neo 
Nusantara.
Sebagai mana kita sedia maklum  kepesatan 
negara dalam arus ekonomi dan pembangunan, tenaga elektrik merupakan  
satu sumber tenaga utama negara yang menjana pelbagai aktiviti. Tidak  
ketinggalan juga dalam menyediakan pencahayaan dalam sesebuah taman. 
Kesan  daripada pembangunan yang pesat di negara kita, bekalan tenaga 
elektrik telah  sampai ke setiap pelusuk tanahair, hinggalah ke kawasan 
desa yang terpencil  sekalipun. Tenaga elektrik bagaikan satu keajaiban,
 tiada lagi kegelapan dalam  hidup kita walaupun pada sebelah malam. 
Bekalan tenaga elektrik begitu senang  diperolehi, malah terdapat di 
mana-mana sahaja sehinggakan sampai satu tahap menyebabkan  ada di 
kalangan kita tidak menghargai cahaya yang begitu bernilai.
Jika dahulu, sebelum 
adanya bekalan  elektrik penggunaan lampu pelita minyak tanah merupakan 
asas dalam pencahayaan  sama ada di dalam rumah atau di luar perkarangan
 rumah. Obor dan camang menjadi  alat digunakan untuk berjalan pada 
waktu malam. Bagi sebilangan mereka yang  pernah tinggal di kampung 
dulu, masih ingatkah anda bila kita hendak ke luar  rumah pada waktu 
malam atau pada zaman kita masih kecil, untuk masuk dalam  bilik tidur 
yang gelap. Perasaan takut dan curiga pasti menyelubungi difikiran.  
Paling tidak, eh! takut nak masuk, ada hantu. 
Inilah perasaan zaman
 kanak-kanak. Tapi apabila kita dibekalkan dengan  lampu minyak tanah 
atau lampu picit, perasan ini akan hilang kerana kesan  cahaya ini 
memberi kita satu semangat dan bertukar menjadi satu keseronokan.  Mana 
tidaknya, pasti anda pernah bermain bayang-bayang jari yang terpantul ke
  dinding dengan lampu pelita atau bermain dengan lampu picit dengan 
menyelubung  kain pelekat untuk menyakat adik atau jiran-jiran. 
Peranan pencahayaan juga begitu penting  dalam 
menghidupkan suasana dalam sesebuah majlis. Ingatkah anda bila di 
kampung  ada majlis kenduri? Tambahan lagi bila ada kenduri kahwin yang 
biasanya berlangsung  sampai dua tiga malam. Terang benderang dengan 
lampu, ungun api masak gulai  kawah atau untuk masak air mewujudkan 
suasana yang berbeza dengan hari  sebelumnya. Jika sebelum ini, ada 
satu-satu kawasan di perkarangan rumah itu  gelap dengan pokok-pokok 
besar, cukup takut bagi kita untuk memandang kearahnya  apatah lagi 
untuk berjalan di kawasan itu, tapi tidak lagi bila ada majlis  kenduri 
seperti ini. Kewujudan kesan pencahayaan dari pelbagai sudut ini  
memberi satu suasana meriah dan selamat bagi warga kampung.
Selain itu bagi mereka yang berasal  dari 
pantai timur, cahaya terang yang menerangi di sebuah padang dengan 
adanya  persembahan wayang kulit pastinya memeriahkan suasana dalam 
sesebuah kampung.  Gaya dan teknik persembahan wayang kulit yang 
dimainkan dengan kesan pencahayaan  begitu simbolik sekali, harus kita 
perhalusi dan hayati. Ianya bukan sekadar  satu persembahan riadah 
masyarakat desa tetapi idea, teknik dan cara  memanipulasikan kesan 
cahaya itu adalah lebih penting untuk kita jadikan  sandaran dalam 
mewujudkan satu bentuk pencahayaan dalam sesebuah taman. Inilah!  yang 
perlu dihayati dan pertimbangkan dalam membolehkan kita menghasilkan  
konsep pencahayaan beridentitikan budaya kita. Begitu juga kenangan saya
 di zaman  remaja bersama rakan-rakan kampung, bila ada persembahan 
wayang cina.
Dulu semasa kebanyakkan warga desa yang  masih 
belum memiliki peti televisyen, bila ada persembahan wayang cina atau  
opera cina kebanyakkan masyarakat desa akan berkumpul dan menonton  
bersama-sama. Secara tidak langsung, kesan pencahayaan sekali lagi 
dilihat  begitu harmoni dalam mewujudkan suasana kekitaan sebagai rakyat
 Malaysia. Mana  tidaknya, nama saja wayang cina, tapi yang datangnya 
ada kaum India dan Melayu.  Bila ditanya kepada rakan Melayu, orang 
India dengan Melayu nak tengok jugakah  wayang cina? fahamkah? jawabnya 
mudah. Bukan sebab wayang, tapi ’happening’  dengan lampu-lampu dekat 
padang ini, depa nak ambil tau juga!. 
Inilah sebahagian 
memori yang kami di Terra Garden, cuba untuk merungkai  dan jadikan 
landasan dalam membentuk, merancang dan menghasilkan suasana  
pencahayaan dalam Taman Neo Nusantara. Pada umumnya mewujudkan 
pencahayaan  dengan memasang lampu adalah semata-mata untuk menerangkan 
kawasan-kawasan yang  gelap. Pernahkah terlintas difikiran anda, samada 
cahaya yang terpancar dari  lampu-lampu tadi cukup membuat kita teruja 
dan mendorong kita sekeluarga untuk berada  di taman pada waktu malam? 
Atau, sebaliknya kita terasa hambar, atau hilang  minat disebabkan 
suasana yang suram dan kelam. Sayang  sekali taman kita yang begitu 
indah dan menawan pada siangnya seolah-olah  hilang serinya malah terasa
 seperti mati bila malam menjelang. 
Oleh yang demikian eleman pencahayaan  di taman
 sering kami beri penekanan apabila merekabentuk taman Neo Nusantara, 
bagi  mewujudkan taman yang hidup sepanjang waktu, tak kira siang atau 
malam.  Penggunaan kaedah rekabentuk lampu taman siri ‘nature’ dengan 
ukiran tumbuh-tumbuhan,  bukan sahaja dapat memberi kesan dan ‘mood’ 
pencahayaan yang baik, malah boleh  menyerlahkan ‘focal point’ dalam 
taman pada waktu malam. Begitu juga  pencahayaan yang terancang mampu 
mengubah suasana taman yang kelam di malam  hari kepada suatu fantasi 
yang indah dan mengasyikkan. Lantas, adakalanya  mengingatkan kita 
kenangan lama bila kita di kampung dulu-dulu. 
Pada asasnya pencahayaan di dalam taman 
terbahagikan kepada dua jenis -  pencahayaan secara menyeluruh atau 
pencahayaan secara khusus atau tertumpu bagi  menyerlah sudut atau ruang
 yang difokuskan saja. Elemen cahaya dalam  merekabentuk sesebuah taman 
seharusnya tidak boleh dipandang remeh sekiranya  kita ingin menghasikan
 sebuah taman yang benar-benar hidup, kelihatan sentiasa  menarik serta 
memberi kenikmatan kepada pemilik tanpa mengira waktu. 
Sememangnya fungsi pencahayaan di taman  berbeza
 jika dibandingkan dengan kegunaan di dalam rumah. Kebiasaannya,  
pencahayaan di taman perlu dihasilkan supaya ianya dapat mewujudkan 
suasana  selamat, dapat memberi ‘mood’ bila berada di taman dan 
menyerlahkan nilai  estetik taman. Gabungan ketiga-tiga ciri pencahayaan
 ini merupakan antara  olahan dalam perancangan rekabentuk taman Neo 
Nusantara. Sungguhpun demikian,  beberapa faktor lain seperti bentuk 
rumah, gaya hidup pemilik rumah, dan susunatur ruang  taman perlu juga 
diberi perhatian sebelum dapat merumuskan kaedah pencahayaan  yang bakal
 diguna. Pada taman Neo Nusantara, matlamat utama pencahayaan adalah 
untuk  mewujudkan satu suasana, ‘mood’ dan rasa selesa bila kita berada 
di taman,  bukan sekadar untuk menerangkan taman yang gelap. Sebagai 
contoh yang mudah  dapat kita hayati bersama, lampu panjut atau lampu 
pelita dipasang terutama  bagi umat Islam menghiasi laman rumah mereka 
apatah lagi sekarang ini masing-masing  dalam ‘mood’ menyambut hari 
kemenangan รข€“ Hari Raya. Mengapa? Sudah tentu  penggunaan elemen cahaya
 adalah untuk memeriahkan lagi suasana perayaan yang  akan disambut 
nanti.
Saya kira sampai  setakat ini saja bicara kita 
mengenai cahaya dan taman. Jangan lupa untuk terus  bersama-sama saya 
untuk berkongsi cerita dan isu-isu yang lebih menarik lagi dalam  
keluaran yang akan datang. Sebelum saya mengundur diri, saya serta 
seluruh  warga Neo Nusantara di Terra Garden mengambil kesempatan 
mengucapkan selamat menyambut  Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan 
Batin kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebagai  penutup terimalah 
serangkap pantun santai hari lebaran dari kami, Terima  kasih...
Anak Melayu, Cina dan India
      Pakat-pakat  pasang pelita,
Sambut bersama hari raya,
Lebaran erat berbilang bangsa.
Sambut bersama hari raya,
Lebaran erat berbilang bangsa.
Sumber:  Penghargaan dan terima kasih kepada http://www.neonusantara.com
 

 
 
No comments:
Post a Comment