Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, May 28, 2011

HANYA IKLAN

Foto ini adalah sebuah iklan di akhbar. Semoga apa yang digambarkan oleh iklan ini betul-betul ia menjelma di alam nyata. Seronoklah kepada sesiapa yang mampu membeli rumah di taman perumahan ini. Dapat rumah dalam sebuah taman.

Wednesday, May 25, 2011

KEUNIKAN DAN KEINDAHAN OBJEK HASIL SENI JALINAN BERIBU KUNTUM BUNGA

Segala-galanya bunga dan semuanya kuntum-kuntum bunga. Cantik, menarik dan unik sekali apabila dipandang. Kerjanya bukan calang-calang dan tidak boleh berlebih kurang semasa merekabentuk dan menjalinnya.

Kalau zaman dulu sering kita digambarkan seorang nenek kebayan dan cucunya menjual karangan bunga sehingga ke istana raja lalu putera raja terpikat dengan cucu nenek kebayan. Tetapi kini ahli atau pakar mengarang bunga tidak lagi seperti apa yang nenek kebayan lakukan bahkan mereka menjalin dan mengarang beribu kuntum bunga untuk dijadikan objek yang bertema secara besar-besaran bagi tujuan pameran atau pertandingan.

Semuanya bunga. Daripada yang sekecil-kecil kuntum bunga sehingga sebesar-besar bunga, bunga-bunga itu dijalin satu persatu tanpa ada kesilapan bagi susunan yang tepat dengan kehendak objek yang direkabentuk. Disinilah ianya menagih kepakaran para pengarang bunga agar jalinan kuntum-kuntum bunga itu nampak cantik dan jitu.

Jalinan kuntuman bunga itu harus berketepatan pula dengan warna-warna objek yang dikehendaki. Jadi warna kuntum bunga dan besar atau kecilnya kuntum bunga mesti bersesuaian dengan rekabentuk objek. Ketelitian pemilihan saiz, jenis dan warna kuntum bunga akan menyerlahkan lagi kehebatan jalinan objek yang dihasilkan.

Di sini kami hidangkan untuk tatapan beberapa objek yang dihasilkan oleh jalinan beribu kuntum bunga. Unik dan menarik sekali....

























Saturday, May 14, 2011

TIP MEMBELI TUMBUHAN/POKOK/TANAMAN LANDSKAP

Di sini kami tuliskan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan apabila kita berhajat membeli atau mendapatkan pokok/tumbuhan landskap. Walaupun duit untuk membelinya adalah duit kita namun jika pembaziran dapat dielakkan, duit itu boleh digunakan untuk membeli aksesori landskap yang lain.


 Nah... sudilah membaca tip-tip yang kami sediakan ini. 
  1. Berbincang dengan pereka bentuk landskap mengenai jenis tumbuhan/pokok/tanaman yang dipersetujui dan bersesuaian dengan reka bentuk, fungsinya dan iklim.
  2. Pastikan pokok itu tumbuh mengikut arah pertumbuhan semula jadi seperti menegak, mendatar dan memanjat.
  3. Anak pokok harus berdaun segar, sihat dan menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan yang baru.
  4. Pilih pokok yang muda dan bersaiz kecil kerana ia lebih mudah menyesuaikan diri di kawasan dan iklim yang baru.
  5. Dapatkan pokok yang sesuai dengan penerimaan cahaya matahari sama ada pokok itu sesuai di dalam atau di luar bumbung.
  6. Elakkan memilih pokok yang daunnya bergulung atau layu.
  7. Tanda-tanda seperti daun berwarna kekuningan atau berlubang menunjukkan pokok  ini diserang serangga atau perosak. Abaikan.
  8. Teliti dan periksa di bawah daun jika terdapat serangga perosak bersembunyi di sini.
  9. Jangan beli pokok yang sedang berbunga lebat kerana ia mungkin hasil penggunaan hormon penggalak yang di luar pengetahuan kita.
  10. Pilih pokok yang ada pucuk daun dan bunga muda yang banyak.
  11. Pilih pokok yang penyenggaraannya mudah dan murah.
  12. Jika memilih pokok bunga bermusim, seharusnya kita telah bersedia untuk menggantikannya apabila pokok itu mati dalam tempoh waktu tertentu.
  13. Apabila memilih pokok pasuan, pilihlah pokok yang boleh bertahan jika kita lupa untuk menyiramnya.
  14. Harga yang berpatutan. Rundinglah baik-baik dengan penjual.
  15. Beli sekali tanah campuran (medium) sama ada untuk digunakan dalam pasu atau di atas tanah.
  16. Jangan lupa beli penggalak akar, baja dan racun pengawal perosak.
  17. Kalau nak free, minta pada rakan, taulan, saudara mara dan jiran tetangga.
  18. Fikirlah sendiri.... hehehehe......

Wednesday, May 11, 2011

TUMBUH-TUMBUHAN MEMERLUKAN BAJA


Nutrien yang seimbang menjadikan tumbuhan tumbuh subur.
Tumbuh-tumbuhan memerlukan nutrien yang seimbang untuk pengembangan dan pertumbuhan yang sempurna, berbuah dan mengeluarkan bunga pada tahap yang optimum. Ini bagi memastikan kualiti tumbesaran dan visual tumbuhan pada paras yang memuaskan. Tujuan pembajaan adalah untuk memulihkan kandungan nutrien dalam medium yang telah diserap oleh tumbuhan melalui proses fisiologinya.

Pada umumnya tumbuh-tumbuhan memerlukan unsur-unsur utama sama ada unsur-unsur makro dan mikro. Unsur-unsur ini tidak boleh diganti dengan yang lain.

Unsur makro:
  • Karbon
  • Hidrogen
  • Oksigen
  • Nitrogen
  • Fosforus
  • Kalium
  • Sulfur
  • Kalsium
  • Magnesium


Unsur makro dan mikro diperlukan oleh pokok untuk
 tumbuh secara optimum.
 Unsur mikro:
  • Zink
  • Ferum
  • Boron
  • Molibdenum
  • Kuprum
  • Klorin
  • Nikel
  • Kobalt
  • Manganan

Kesan kekurangan nutrien pada tumbuh-tumbuhan:
  • Daun tumbuhan menjadi kuning.
  • Tumbuhan menjadi terbantut.
  • Dahan mudah patah.
  • Tumbuhan mudah diserang penyakit.

Terdapat dua jenis baja yang biasa dugunakan, iaitu:

a) Baja organik
  • Baja jenis ini adalah baja yang terhasil daripada bahan semula jadi yang telah mengalami proses pereputan.
  • Baja ini tidak memudaratkan tumbuhan dan mempunyai kesan jangka panjang yang positif terhadap tanah tanpa menjejaskan air bawah tanah tetapi mempunyai kepekatan nutrien yang lebih rendah berbanding baja kimia. Baja asli ini biasanya digunakan sebagai baja permulaan.
  • Organik yang terkandung dapat meninggikan tahap kesuburan medium dan memperbaiki tekstur medium. Selain itu ia dapat dapat membaiki daya pegangan air dan menggalakkan kadar pertukaran kation dalam medium.
  • Baja ini didapati daripada reputan sisa tumbuhan dan najis haiwan.
  • Contoh baja ini ialah tahi ayam, tahi lembu dan tahi kelawar.
  • Baja organik buatan seperti kompos (kitar semula pereputan daripada bahan-bahan seperti sisa tumbuhan, daun-daun, dan sisa-sisa makanan) mempunyai nutrien yang sangat tinggi dan sesuai digunakan untuk tanaman pasuan.

Tanaman pasuan memerlukan rutin pembajaan yang tetap.
b) Baja kimia
  • Baja kimia adalah baja yang telah diproses. Baja ini membebaskan unsur nutriennya lebih cepat apabila larut dalam air berbanding baja organik.
  • Biasanya ia berbentuk butiran, hablur dan cecair.
  • Baja jenis butiran boleh digunakan secara terus kepada tumbuhan manakala jenis hablur dan cecair hendaklah dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disembur kepada tumbuhan.
  • Contoh baja kimia ialah Nitrophoska Hijau, Nitrophoska Biru dan Triple Superphosphate (TSP).
  • Pembajaan baja kimia yang berlebihan boleh menyebabkan bahagian tumbuhan terbakar dan melecuh sebab baja jenis ini panas.
  • Seelok-eloknya selepas menabur baja kimia, siram air untuk mengelakkan bahagian tumbuhan terbakar.

Kurangkan nitrogen dan lebihkan kalium apabila kita hendak
tumbuhan berbunga cantik.

Bentuk-bentuk baja
  • Baja butir - Baja berbutir ini ditabur di keliling tumbuhan. Boleh juga di campur dan dilarut dengan air. Lebih berkesan jika digaul bersama dengan medium yang telah digemburkan bagi meningkatkan penyerapan oleh akar.
  • Baja debu - Baja ini lebih efektif apabila digaul dengan medium bagi mengelakkan diterbangkan angin.
  • Baja semburan - Baja ini biasanya disembur dalam bekas semburan dan disembur pada daun.
  • Baja cecair - Dibancuh dengan air dan disembur terus pada daun (baja foliar) atau dititiskan pada medium melalui penitis.
  • Baja yang dibebaskan perlahan-lahan - Baja ini diserap perlahan-lahan oleh tumbuhan. Ia lebih menjimatkan. baja ini diselaputi oleh bahan-bahan yang lambat reput dan bertindak balas pada kelembapan dan suhu yang sesuai.


Lakukanlah pembajaan selepas merumpai.
 Pembajaan
  • Pembajaan merupakan salah satu aktiviti penyelenggaraan yang penting untuk memastikan tumbuhan tumbuh pada tahap yang optimum dan sempurna.
  • Kadar pembajaan dan jenis baja yang digunakan bergantung kepada jenis tumbuhan.
  • Bagi anak pokok dan keratan yang baru ditanam, kadar nitrogen hendaklah 3 hingga 6 kali ganda berbanding fosforus dan kalium.
  • Bagi tumbuhan yang sedang membesar nisbah NPK (Nitrogen, fosforus dan kalium) hendaklah sama banyak.
  • Kurangkan kandungan nitrogen sehingga 50% bagi pokok yang akan berbunga.
  • Lakukan pembajaan selepas kerja merumpai.
  • Apabila menggunakan baja butiran, pastikan ia tidak terkena pada daun atau tumbuhan untuk mengelakkan ia melecur atau membunuh tumbuhan.

Sunday, May 8, 2011

TAMAN KLCC DI TENGAH-TENGAH BANDARAYA KUALA LUMPUR

Di tengah-tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur, wujud sebuah taman yang indah yang dikenali sebagai Taman Kuala Lumpur City Centre. Taman KLCC ini berlatar belakangkan struktur kaca yang hebat iaitu Menara Kembar Petronas, salah satu bangunan tertinggi di dunia.  Keindahan landskapnya dapat menggamit mana-mana pengunjung  dan menjadi tempat yang paling sesuai untuk menghilangkan rasa stress kehidupan kota.

Taman KLCC ini seluas 17 ekar (69,000 m²) yang tersedia lorong berjoging dan bersiar-siar, kolam air pancut yang dihiasi pertunjukan cahaya, kolam randuk, dan taman permainan kanak-kanak. Taman ini memang menakjubkan dan unik sekali kerana kewujudannya di tengah-tengah kota dapat menghijaukan kawasan yang dikelilingi dan  dipenuhi bangunan-bangunan konkrit.

Ia telah dibuka dengan rasminya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) pada 29 Ogos 1998. Ia mempunyai landskap yang cantik dan menarik penuh dengan kombinasi kepelbagaian tumbuh-tumbuhan landskap dan air.

Taman yang direka oleh Roberto Burle Marx seorang arkitek landskap berbangsa Brazil mengharapkan agar hajatnya iaitu "meninggalkan dunia yang lebih peka sedikit dan lebih terdidik sedikit mengenai kepentingan alam semula jadi" akan tercapai. Maka hajatnya di nyatakan dalam reka bentuk taman ini.

Taman ini direka untuk memperagakan warisan kehijauan tropika dengan menyepadukan ciptaan manusia dengan alam. Taman ini sendirinya menyediakan persekitaran tenang yang berbeza sekali dengan kesibukan sebuah bandaraya utama (namun kebisingan dari enjin kenderaan di sekelilingnya masih kedengaran). Taman ini bercirikan gabungan rekaan buatan manusia seperti simen, air dan sifat semula jadi seperti pokok hijau, batu-batan dan kayu-kayan. Unsur-unsur bentuk dan topografi direka untuk menimbulkan ilusi ruang legar. Ada unsur penyatuan antara kolam randuk dan Tasik Simfoni melalui anak air yang mengalir jernih di bawah struktur jambatan. Gabungan pokok, pokok renek dan arca disusun untuk menyerlahkan warna dan bentuk dalam taman.

Taman ini diwujudkan sebagai sebahagian daripada komitmen Petronas terhadap usaha penjagaan dan pemuliharaan warisan alam negara. Maka kawasan yang asalnya Pusat Lumba Kuda Kuala Lumpur ini kini menjadi kawasan rehat dan riadah kegemaran warga kota dan rakyat Malaysia yang datang melawat Kuala lumpur khasnya apabila melawat KLCC.

Sentuhan Marx, perekanya, dilihat melalui penggunaan pohon-pohon tempatan yang subur, reka bentuk bulat dan bersegi serta gabungan rupa bumi beralun dan padanan landskap yang pelbagai.

Kawasan kolam randuk yang direka itu menjadi lebih menarik apabila digabungkan dengan deretan pancuran air yang yang jatuh deras lalu menimbulkan bunyi deruan air yang kuat. Kawasan ini amat popular kepada kanak-kanak yang meranduk dan mandi-manda di kolam ini.

Taman KLCC boleh dibanggakan apabila ia mengekalkan sejumlah 63 batang pokok matang yang hidup di tapak taman semasa di bawah pengurusan Kelab Lumba Kuda Kuala Lumpur.

Sebuah tasik buatan manusia dibentuk di tengah taman, di hadapan pusat beli-belah  Suria KLCC dan Menara Berkembar. Pada waktu-waktu tertentu diadakan pertunjukan pancutan air berwarna-warni di sini. Sebatang jambatan 43 meter yang melintasi tasik memudahkan pelawat menikmati pemandangan indah taman dan mendongak tinggi ke arah Menara Berkembar yang mengagumkan.

Apa yang menarik di taman KLCC ini.
  • Terletak di tengah-tengan Bandaraya kuala lumpur.
  • Berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas, salah satu bangunan tertinggi di dunia.
  • Dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit.
  • Lake Symphony - Ia adalah sebuah tasik buatan manusia seluas 10,000 meter persegis (2 ekar) dengan sistem air pancutan berwarna-warni yang boleh diatur cara. Pancutan utamanya boleh memancutkan air setinggi 42 metres (138 ka).
  • Laluan Jogging - Sebatang laluan joging sepanjang 1.3 kilometers (0.81 bt) dipasang dengan bahan EPDM, sejenis bahan kegetahan khas yang direka untuk keselesaan dan keselamatan. Tempat rehat disediakan di sepanjang laluan jalan kaki.
  • Taman Permainan Kanak-kanak - Sebuah taman permainan kanak-kanak yang dilengkapi kolam renang awam terletak di sebelah barat taman.
  • Kolam Randuk/Kolam Kanak-kanak - Kolam cetek kebiruan yang disediakan untuk diranduk oleh pengunjung. Ia begitu popular kepada kanak-kanak.
  • Tumpuan Unggas - Menjadi tumpuan bagi unggas-unggas.
  • Ada masjid di kawasan taman.
  • Laman teres.
  • Tumbuh-tumbuhan tropika.
  • Kejernihan air di tasik.
  • Bulatan istirehat.
  • Arca-arca.
Jika ada masa dan peluang, silalah ke Taman KLCC. Jika belum berpeluang, nikmati suasana di sana melalui foto-foto di bawah.