Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Friday, May 18, 2012

TAMAN REKREASI HUTAN BANDAR JOHOR BAHRU

Hutan Bandar Johor Bahru meliputi kawasan seluas 50 ekar yang terletak di pertemua Jalan Tasek Utara dan Jalan Yahya Awal, Johor Bahru iaitu kira-kira 1.5 km dari pusat bandar raya. Istimewanya kawasan rekreasi ini kerana mengekalkan rupabentuk asal dengan penebangan pokok dilakukan pada tahap yang paling minima. Hasilnya adalah sebuah kawasan persekitaran yang menghijau dengan nilai estetika serta pemandangan yang indah dan nyaman.


Taman rekreasi ini amat sesuai untuk keluarga terutamanya pada waktu hujung minggu dan hari kelepasan am. Kolam mandi untuk kanak-kanak hanya dibuka pada hari-hari Sabtu, Ahad dan hari cuti umum. Kanak-kanak memang suka mandi-manda di kolam ini. Apabila malam menjelang, bolehlah bawa keluarga makan 'chicken chop' yang sedap dan murah di Gerai Atap Belian. Insyaallah tidak mengecewakan...


Di antara kemudahan yang ada di taman ini ialah:

  • Laman Tembusu - Menempatkan bangunan pejabat jabatan Landskap MBJB yang bertanggungjawab untuk menguruskan kawasan rekreasi Hutan Bandar. Segala pertanyaan dan tempahan untuk penggunaan Hutan Bandar serta kemudahan-kemudahan di dalamnya boleh dibuat di pejabat ini.
  • Medan Selera - Gerai Atap Belian mempunyai 16 unit gerai yang menyediakan aneka makanan dan minuman untuk para pengunjung. Sambil menjamu selera, para pengunjung dapat menikmati keindahan mendan selera yang dihiasi dengan rimbunan pokok-pokok yang menghijau serta menyegarkan suasana.
  • Laman Permainan Kanak-Kanak - "Children Adventurous Park" menjadi daya tarikan utama. Pelbagai bentuk permainan yang menggerakkan minda dan fizikal disediakan untuk kanak-kanak hingga ke peringkat remaja. Kawasan rehat yang selesa dikhaskan untuk keluarga sambil memerhatikan gelagat anak-anak yang bermain sambil belajar dalam suasana yang selamat, selesa, ceria dan riang-ria.
  • Kawasan Tasik - Kawasan tasik merangkumi tujuh buah tasik yang saling berdekatan menjadi tumpuan apabila pertandingan memancing dijalankan samada oleh pihak MBJB atau penganjur-penganjur yang lain
  • Tapak Perkhemahan - Tapak perkhemahan pula menawarkan aktiviti atau kegiatan berkumpulan. Di sini disediakan kemudahan-kemudahan serperti chalet, bilik air, bilik persalinan, dewan ceramah, surau, tapak perkhemahan, "jungle tracking" dan BBQ. Bayaran yang dikenakan amat berpatutan.





















Wednesday, May 16, 2012

MEMBIAKKAN TANAMAN HIASAN DI NURSERI MPV LANDSKAP SMK TELOK KERANG

Ini adalah foto-foto sebahagian evidens tanaman hiasan pelajar yang diambil di nurseri kami. Ia terletak di belakang bangunan landskap. Di sinilah pelajar-pelajar Tingkatan 4 Landskap membuat kerja-kerja amali pembiakan dan menyemai tanaman hiasan mengikut prosedur Modul Pentaksiran dan Modul Pembelajaran. Di antara kaedah pembiakan yang di lakukan ialah pembiakan menggunakan biji benih halus dan biji benih besar, keratan batang dan keratan daun, pembiakan secara tut (markot), pembiakan secara cantuman, pembiakan menggunakan organ penyimpanan dan pembiakan secara pembahagian rumpun.

Kesemua kaedah-kaedah pembiakan yang dicadangkan dalam modul dibuat secara individu. Ia merupakan proses mendapatkan evidens dan membuat penghakiman terhadap kompetensi pelajar dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar dalam melakukan sesuatu tugasan berdasarkan kepada sesuatu standard yang telah dikenal pasti. Pentaksiran ini mentaksir evidens proses dan evidens produk bagi sesuatu kompetensi dan dilaksanakan berdasarkan Modul Pentaksiran.












Friday, May 11, 2012

ROS TETAP MENJADI PILIHAN...

Bunga ros terkenal dengan gelaran Raja Segala Bunga (Queen of Flowers). Justeru itu, ianya amat memerlukan, persekitaran yang bersih dan pencahayaan sinar Matahari yang cukup pada setiap hari. Selain daripada itu ia perlukan pemberian nutrien yang konsisten dan lengkap iaitu mengandungi nutrien yang cukup untuk tumbesaran pokok, daun dan bunga yang sihat dan subur. Jangan lupa, pemberian air yang mencukupi.

Bunga ros telah lama digunakan di dalam pelbagai bidang industri pembuatan dan perniagaan seperti dalam bidang-bidang industri farmaseutikal, industri pemakanan sebagai bahan perasa seperti minuman pati ros, industri kosmetik seperti minyak wangi, ubat gigi, bedak talkum dan perniagaan Spa sebagai bahan mandian untuk kesegaran badan.

Dari sudut pandangan Islam, kisah mengenai bunga ros telah dinyatakan di dalam Kitab Suci Al-Quran - Juzuk 27 : Surah Ar-Rahman Ayat 37-38 maksudnya : Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan ?

Aroma wangian bunga Ros mampu memberikan rasa ketenangan serta merangsang minda kita. Cuba amalkan mencium bunga Ros yang mempunyai bauan yang harum pada setiap pagi dan tarik nafas perlahan-lahan & sedalam-dalamnya untuk merasai kenikmatan bauan ros. Justeru ianya elok digunakan untuk merawat masalah emosi kemurungan serta menguatkan tubuh dengan mencium bauan bunga ros ini pada setiap hari.

Tip penjagaan pokok bunga ros: 
  • Pokok bunga ros perlukan sinaran cahaya matahari yang mencukupi. Untuk pokok Ros tumbuh dengan sihat dan subur, ianya memerlukan sekurang – kurangnya 6 jam sinaran cahaya matahari penuh. Membuat tempat perlindungan tidak akan memberi sebarang faedah pokok Ros.
  • Pokok bunga ros memerlukan air yang banyak. Kita perlu memastikan medium tanaman sentiasa lembab tetapi tidak menyebabkan air bertakung.
  • Air  yang berlebihan boleh menyebabkan pokok bunga ros mengalami masalah busuk akar. Oleh itu, ianya memerlukan sistem saliran yang baik.
  • Memberi pokok bunga ros dengan baja nitrogen yang hanya mencukupi. Terlalu banyak nitrogen akan merosakan pokok atau menyebabkan pertumbuhan daun yang tidak terkawal.Pokok bunga ros perlu mendapat nutrien yang mencukupi. Pokok bunga ros memerlukan bahan pemakanan di dalam nisbah NPK 1 : 2 : 1
  • Dahan yang mandul pada pokok bunga ros perlu dipotong dan dibuang.
  • pH ideal bagi medium tanaman pokok bunga ros ialah 6.5. Jika pH terlalu tinggi atau rendah, menyebabkan pokok bunga ros tidak dapat menyerap nutrien yang ada bagi mengeluarkan bunga.
  • Pokok bunga ros memerlukan daun yang mencukupi bagi membantu membuat klorofinya sendiri. Ini bagi memastikan pokok berdaun mencukupi dapat mengeluarkan bunga yang sihat dan cantik.
















Thursday, May 10, 2012

BATU-BATUAN PENYERI TAMAN

 Batu-batuan antara elemen semula jadi yang wujud sejak dulu tidak dinafikan berperanan besar dalam mewujudkan keindahan. Kini, penggunaan batu semakin meluas dan menjadi elemen hiasan penyeri taman serta landskap ciptaan. Reka letak yang sesuai membantu suasana di taman kelihatan harmoni dan menjadi lokasi santai paling bermakna.

Sememangnya ia menjadi pelengkap kepada pelbagai konsep taman seperti Jepun atau zen, Bali, tropika, moden dan kontemporari. Kombinasi taman dihiasi rumput dengan deretan batu hiasan menarik membuatkan taman tampak hebat. Malah, penggunaan batu hiasan mengurangkan keadaan tidak selesa ketika hujan lebat.


Bukan sekadar memberikan penampilan semula jadi di taman kerana batu-batuan lebih bersifat tahan lama, kuat, senang diselenggarakan. Malah batu-batuan mempunyai pelbagai fungsi dalam menghias taman, selain menjadi penyudah dalam gubahan taman untuk kelihatan lebih semula jadi dan bersahaja. Batu turut disusun untuk membina kolam serta air berpancuran atau terjun. Batu yang diletakkan dalam kolam pula boleh menyejukkan air sekali gus menenangkan mata memandang.
Ada pelbagai saiz batu boleh digunakan, bergantung saiz taman yang ingin dicipta pemiliknya. Antaranya jenis batu sungai semula jadi, buatan simenferro atau batu yang berasal dari gunung berapi boleh digunakan untuk taman.

Kehadiran ornamen atau hiasan taman berasaskan batu-batuan berupaya menyerikan taman seperti set kerusi taman, pasu atau bekas tanaman, ukiran atau arca batu. Pilihan batu-batuan yang sesuai berupaya menutup kelemahan tanah bergantung kepada elemen tertentu termasuk saiz, permukaan dan warna.

Batu hiasan berasaskan material yang berongga dan mempunyai pengaliran air dan udara sempurna amat sesuai. Ia menggalakkan pertumbuhan lumut dan kombinasi menarik untuk melahirkan suasana semula jadi.

Batu hiasan ‘limestone’ sesuai diletak berhampiran kolam renang manakala yang berasaskan tanah liat untuk taman paku-pakis. Elakkan daripada memilih batu hiasan jenis berkilat kerana ia licin ketika hujan.


Dalam menyerikan penataan taman, pilih material tahan lama dan dapat menyokong penampilan elemen landskap kejur yang lain. Lokasi kediaman antara perkara yang perlu diteliti dalam memilih batu hiasan sebagai penutup permukaan tanah.

Anda yang tinggal di persisiran pantai dan lokasi berhampiran, batu kapur sesuai dengan kawasan berpasir. Bagi mendapatkan idea kaedah hiasan taman, rujuk laman web landskap atau majalah dekorasi.

Sunday, May 6, 2012

FLORIA 2012 - BUNGA KERTAS TETAP MENAWAN


Festival bunga dan taman yang terulung di Malaysia, FLORIA 2012 datang lagi. Bermula dari 30 Jun - 8 Julai 2012, FLORIA 2012 akan sekali lagi diadakan di Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya.

Dengan lebih daripada 1 juta pengunjung dari seluruh dunia pada tahun lepas (FLORIA 2011), FLORIA 2012 kembali dengan festival yang lebih menarik dan berwarna-warni yang pasti memikat hati pengunjung. FLORIA 2012 akan mempersembahkan pameran daripada industri hortikultur; produk landskap komersil hingga ke pameran rekabentuk taman serta pameran bunga. Pengunjung yang hadir pasti terpukau dan terpesona dengan hasil dekorasi hamparan taman-taman bunga indah pelbagai warna, hiasan pintu gerbang dan laluan bunga-bungaan yang diatur dengan pelbagai susunan kreatif beserta rekabentuk landskap yang sangat unik.

Bertemakan “Bunga Kertas - Tetap Menawan”, FLORIA 2012 akan mempamerkan koleksi terbesar bunga kertas yang pernah dipamerkan di Malaysia dalam suasana taman.

Marilah beramai-ramai berkunjung ke FLORIA 2012 dan menghayati kemeriahan serta keindahan festival yang penuh berwarna-warni !

Thursday, May 3, 2012

MENYEMAI UBI KENTANG

Hari ini pelajar-pelajar landskap melakukan pembiakan menggunakan organ tumbuhan. Organ yang dipilih ialah ubi. Ubi ialah sebahagian batang yang digunakan untuk menyimpan makanan dan tumbuh di dalam tanah. Ubi mempunyai tunas dorman yang terdapat pada badannya. Tunas dorman ini akan mengeluarkan pucuk dan akar baru sekiranya disemai. 
 
Hari ini diorang menyemai ubi kentang. Mengapa ubi kentang? Ubi luar negeri. Ubi kentang berasal dari Amerika Selatan.  Kini ia di tanam seluruh dunia termasuk di negara kita Malaysia. Ubi kentang tumbuh subur di  dalam tanah berpasir yang berasid.  Bagaimana pun ubi kentang juga tumbuh subur dalam tanah yang lain yang kaya dengan nitrogen.  Tambahkan baja kompos yang kaya dengan organik sekurang-kurangnya dua minggu sebelum menyemai ubi kentang.
 
Ubi kentang boleh ditanam menggunakan ubi yang telah bertunas atau biji.  Kita juga boleh semai menggunakan ubi kentang yang telah bertunas. Sebelum menyemai benih ubi kentang dari ubi, peram ubi dengan meletakkan setiap ubi dalam bekas yang berasingan atau bekas telur dengan meletakkan tunas di bahagian atas ubi kentang.  Simpan benih di dalam rumah di tempat yang panas.   Jangan simpan di dalam peti sejuk.
 
Ubi kentang boleh di tanam di di atas batas di dalam alur atau lurah sedalam 10 hingga 15 cm (4 hingga 6 inci) dengan jarak antara ubi bertunas 30 hingga 40 cm (1 kaki hingga 1 kaki 4 inci).  Pastikan mata tunas diletakkan menuding ke atas.  Timbus ubi bertunas sehingga kelihatan seperti busut. Kita boleh juga menyemai ubi kentang di dalam bekas, misalnya baldi cat yang telah dibersihkan atau di dalam beg membeli belah kitar semula.Tuai ubi kentang 10 hingga 14 hari selepas daunnya layu.
 
Cara menyemai:
  1. Sediakan peralatan dan bahan.
  2. Sediakan medium semaian dengan nisbah 2:1:1. Masukkan medium ke dalam bekas semaian dan ratakan.
  3. Sediakan ubi kentang. Rawat dengan racun kulat.
  4. Buat lubang dalam bekas semaian dan semai ubi kentang ke dalam lubang. 
  5. Timbus dengan selapis medium.
  6. Siram dengan air secukupnya.
  7. Selepas 3 minggu tunas akan muncul.