Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Tuesday, May 20, 2014

TAMAN AIR - ANTARA KEAJAIBAN DAN SIMBOL KEHIDUPAN

Di satu senja, seperti biasa adalah suatu masa yang tenang bagi saya nikmati dengan bersiar di taman. Terhenti sejenak saya di pinggir kolam sambil menarik nafas sedalam-dalamnya. Hari itu merupakan hari yang amat tegang dan saya sudah hampir sampai ke kemuncak kesabaran saya.

Ketika hati asyik digolak emosi, pancutan air di kolam yang beralun menusuk ke kalbu lantas menyejukkan hati yang berolak amarah tadi. Tanpa disedari, fikiran saya menjadi tenang dan mulut yang terkumat-kamit ketika kusut tadi kian mengukir senyuman.

Tersentuh hati bila memikirkan bagaimana elemen yang mudah seperti pancutan air kolam bisa mengubah ’mood’ seseorang hanya dengan bunyi-bunyian yang terhasil bila bebuih air tersentuh dengan daun bunga teratai yang berjuntai ke atas permukaan kolam. Sesekali terasa dingin dan segarnya udara di muka apabila renjisan air meresap dan bersatu bersama hembusan angin.

Merenung ke langit pula, saya terpana melihat kebesaran-Nya sekali lagi pada petang itu. Lakaran merah-keemasan terhampir di langit tanpa batasan membuktikan tiada artis sehebat Tuhan yang Maha Agung. Inilah karya seni yang paling unggul, saya akui dalam diam, pada pandangan saya.

Apabila memikirkan amukan jiwa saya sejenak tadi, terasa lucu pula. Saya akui, dalamĂ‚  kesibukan mengejar masa dalam urusan sehari-hari menyebabkan saya jadi begini. Kelewatan pembekal, konflik antara pekerja dan majikan dan macam-macam lagi tiba-tiba hilang tanpa disedari bila dikelilingi oleh suasana hening dalam taman ini. Seekor burung beekor kuning terbang merentas penglihatanĂ‚  dan saya tertanya-tanya apakah spesisnya? Apa pula erti nyanyiannya itu? Adakah untuk menarik perhatian pasangannya? 

Sang Suria semakin menghilang di balik tabir senja dikala isteri saya memberitahu bahawa makan malam sudah tersedia. Perasaan gembira dan syahdu bercampur-baur apabila memikirkan betapa beruntungnya saya kerana masih bernyawa dan pula disayangi. Saya melangkah masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang kembali ceria. Keajaiban taman kecil saya ini telah dimanfaatkan sekali lagi, terutama untuk ketenangan jiwa. 

Elemen semulajadi

Air telah menguasai fikiran, kepercayaan dan amalan manusia di seluruh dunia dan budaya, menerusi sejarah perkembangan tamadun manusia itu sendiri.

Banyak bekas tinggalan tamadun peribumi ditemui berhampiran dengan sumber air di permukaan bumi seperti sungai dan tasik; misalnya Tamadun China yang terletak di sepanjang tebing sungai Sungai Kuning, Tamadun Mesir di Sungai Nil dan Tamadun Arab di lembah Tigris dan Euphrates.

Manusia purba telah mempelajari bagaimana untuk memanipulasi sumber air untuk mengairkan dan menyubur tanaman mereka menerusi sistem pengairan buatan manusia seperti parit dan kolam tadahan. Mereka juga turut menggunakan elemen air sebagai sumber pemulihan spiritual dan mental; suatu amalan yang turut kita warisi hingga ke hari ini.

Amalan ini terbukti apabila elemen air dalam projek perumahan baru menjadi salah satu faktor tarikan kepada pembeli. Penduduk di kawasan perumahan mewah seperti di ’sub-urban’ dan juga kondominium juga amat tertarik dalam memastikan kewujudan elemen air berhampiran mahupun dalam kawasan kediaman mereka sama ada yang semula jadi ataupun buatan manusia.

Oleh kerana elemen air begitu popular dalam rekaan taman di seluruh pelusuk dunia dan di negara kita khususnya, tumbuhan akuatik seperti Teratai dan ’Lotus’ sentiasa menjadi pilihan. 

Tumbuhan Akuatik sebagai simbol budaya

Bunga ’Lotus’ selalu dianggap sebagai simbol metafora yang suci dalam senibina dan keseniaan dalam kepercayaan Hindu. Fakta ini saya menganggap kurang tepat kerana motif bunga ’Lotus’ juga ditemui di binaan Masjid Najina, di Agra dan juga di Taj Mahal. Bukti ini menjelaskan bahawa tamadun Islam juga menjadikan bunga ’Lotus’ sebagai simbol rekaan yang mempunyai nilai penting dalam aspek estetik yang membawa maksud tersendiri.

Dalam kepercayaan agama Hindu, dikatakan Tuhan Brahma menjelma dari benih bunga 'Lotus' ajaib dan pada ketika itu seluruh bumi pula terletak di bawah permukaan air. Agama Hindu juga menganggap ’Lotus’ sebagai simbol harapan dalam menghadapi sesuatu dugaan. Seperti bunga 'Lotus' yang berkembang, setiap kelopak mewakili kejayaan yang muncul dari dugaan yang ditempuhi.

Dalam ideologi kepercayaan Buddha pula, bunga ’Lotus’ juga adalah simbol kelahiran abadi. Ini di wakili oleh kelopak ’Lotus’ yang mekar seperti api yang marak yang bermaksud permulaan yang abadi oleh Buddha. Diceritakan, setiap kali Gautama Buddha melangkah, sekelopak bunga ’Lotus’ akan mekar dari permukaan tanah. 

Selain dari kepentingan dari segi simbol kepercayaan, tumbuhan akuatik juga turut diintepretasikan dalam bentuk kesenian terutama sekali dari tamadun China. Ini dapat dilihat kepada hasil kerja artis Cina purba. 

Taman Larangan di negara China merupakan contoh peranan utama yang dimainkan oleh taman dan tumbuhan akuatik dalam perkembangan tamadun purba pada masa itu.

Air dan elemen berkaitan dengannya berperanan penting dalam ciptaan sesebuah taman yang lengkap. Ini dapat dilihat melalui artifak kelopak bunga Teratai terawet berusia lebih empat ribu tahun yang ditemui di dalam keranda mumia Raja Mesir Imhotep dan juga keindahan motif bunga Teratai terukir di sebuah Gereja pada abad ke 16 di Goa. Elemen air dan tumbuhannya merupakan motif yang menjadi inspirasi kepada manusia semenjak dahulu kala lagi.

Kebanyakkan kenalan dan sahabat bermimpi untuk memiliki taman seindah Taj Mahal di kediaman masing-masing dengan adanya tumbuhan akuatik, walaupun di rumah teres. Saya katakan, ”Mngapa tidak?” Sebahagian dari tugas dan kepakaran kami di Terra Garden adalah mewujudkan sebuah taman impian anda melalui transformasi minda dan ruang kepada kecantikan serta kenikmatan bila berada dalam taman. 

Tambahan pula, konsep Neo Nusantara yang diketengahkan di Terra Garden memang menekankan elemen air sebagai salah satu fokus utama dalam sesebuah taman. Kewujudan elemen air, saja sama ada dalam bentuk lelehan atau pancuran, bukan sahaja sedap untuk mata memandang malah ianya sebagai satu unsur terapi tanpa kita sedari. Inilah! keajaiban unsur air dalam sebuah taman...

Sumber:  Penghargaan dan terima kasih kepada http://www.neonusantara.com

Wednesday, May 14, 2014

LEGOLAND MALAYSIA

Taman tema Legoland Malaysia yang meriah dan penuh berwarna warni menggamit kehadiran ribuan pengunjung. Taman INI telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama  Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut berada dalam senarai tetamu kenamaan yang hadir dalam perasmian itu. 

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), turut menegaskan usaha pembangunan Iskandar Malaysia dijalankan berdasarkan prinsip dan inspirasi untuk menambah serta mencipta nilai menjana perkembangan kekayaan negara. Beliau berkata, Legoland Malaysia contoh terbaik dan pemangkin projek berimpak tinggi di bawah Iskandar Malaysia yang mampu memacu perkembangan ekonomi negara dan dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi Johor umumnya melalui peluang pekerjaan, program latihan serta pembangunan tenaga kerja yang dibiayai kerajaan. Adalah menjadi hasrat kerajaan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif selain menarik lebih banyak pelabur ke negara ini. Iskandar Malaysia contoh terbaik perancangan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak pelaburan.  

Bukan saja Legoland Malaysia, selepas ini pelbagai projek berimpak tinggi akan dibangunkan seperti Mall of Medini, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour dan hab pendidikan Educity. Legoland Malaysia yang juga taman keenam seumpama itu di dunia dan pertama di Asia, dimiliki bersama Themed Attractions and Resorts Sdn Bhd (TAR), Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Merlin Entertainments Group.


    












Saturday, May 10, 2014

LANDSKAP DI KAWASAN KOTA ISKANDAR DAH MENJADI

Kota Iskandar dibina untuk menggantikan Dewan Negeri Johor yang terletak di Bukit Timbalan sebelum ini. Kota Iskandar ini terdiri daripada Bangunan Dewan Negeri Johor (kini dikenali sebagai Bangunan Sultan Ismail), Kompleks Menteri Besar (kini dikenali sebagai Bangunan Dato' Jaafar bin Muhammad) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Reka bentuk binaan bangunan, landskap dan persekitaran Kota Iskandar menggabungkan ciri-ciri yang terdapat di Bangunan Sultan Ibrahim, seni bina Istana Alhambra dan Moor-Andalusia serta rumah tradisional Johor iaitu rumah Limas dengan dilengkapi bumbung lutsinar berbentuk permata yang dinamakan "Jauhar" bagi bangunan Dewan Undangan Negeri. 

Senibinanya menggunakan gabungan senibina Melayu Johor dan Moors, manakala bangunannya dibina supaya mengadap kiblat. Di dalam Dewan Negeri Johor ini penuh dengan motif gambir dan lada hitam yang dulunya merupakan hasil bumi negeri Johor. Motif ini kelihatan di karpet, ukiran dinding dan di tiang seri utama di dalam dewan.

Sebanyak 33 peratus kawasan pusat pentadbiran kerajaan negeri Kota Iskandar, di sini akan ditanam dengan tumbuhan hutan tropika melalui program Hutan Kita-Johor. Program usaha sama pelbagai sector termasuk kerajaan, swasta dan komuniti itu bagi mewujudkan pembangunan semula kawasan hutan melalui penanaman semula pokok hutan hasil kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi, landskap dan hutan kepada manusia. Hutan Kita yang dirancang untuk mewujudkan taman berkonsep hutan hujan semula jadi itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya memelihara landskap dan alam semula jadi.

Pokok penting kerana mampu memberi kesan rumah hijau apabila dioksida dan mengeluarkan oksigen yang diperlukan manusia selain memberikan sumber makanan dan ubat-ubatan semula jadi tanpa bahan kimia. Program berkenaan dibangunkan dengan berorientasikan atas prinsip kerjasama dan tanggungjawab sosial oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan serta kesedaran untuk membudayakan landskap sebagai cara hidup di negara ini.





























Saturday, May 3, 2014

TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI, JOHOR PENGHUJUNG SELATAN TANAH BESAR ASIA

Taman Negara Tanjung Piai, Johor terletak di Daerah Pontian. Jarak dari sekolah kitorang lebih kurang 20 km. Jelasnyanya, taman ini juga dikenali sebagai 'Penghujung Selatan Tanah Besar Asia' dan ia telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Kami bangga kerana di tempat kami ada taman negara ini yang dipenuhi dengan hutan kayu bakau. Kami juga bangga kerana kawasan ini terletak di penghujung paling selatan benua Asia. 


Benua Asia yang meliputi Arab Saudi di bahagian barat, Russia di utara, Kepulauan Maldives di selatan, dan Jepun di timur merupakan benua yang terbesar di dunia, meliputi 55.8 juta kilometer persegi atau satu pertiga daratan dunia. Terdapat beberapa wilayah yang termasuk dalam Benua Asia, iaitu Asia Tengah, Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat. Benua Asia mempunyai penduduk paling ramai, iaitu lebih kurang 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

 
Di Benua Asia terletak Banjaran Himalaya yang terpanjang di dunia; Gunung Everest  yang tertinggi di dunia; Tasik Baikal yang terdalam di dunia; Laut Mati yang mempunyai air paling masin di dunia; Laut Kaspia iaitu tasik air masin terbesar di dunia, dan Selat Melaka yang merupakan selat terpanjang di dunia.


Benua Asia bermula dari garis bujur 28° Timur di Turki sehingga 170° Barat di Semenanjung Kamchatka dan dari garis lintang 10° Selatan sehingga 75° Utara. Benua Asia direntasi oleh Garisan Artik, Garisan Sartan dan Garisan Khatulistiwa.

Titik paling akhir Benua Asia terletak di Tanjung Piai, dalam daerah Pontian, Johor, pada latitud 01.16° Utara dan longitude 103.30.46° Timur .


Tanjung Piai terletak kira-kira 75 kilometer dari Bandar Raya Johor Bahru. Untuk sampai ke sini, jika perjalanan anda melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, susur keluar ke Simpang Renggam menuju ke Benut. Teruskan perjalanan ke Pontian, kemudian ke Kukup. Setelah sampai di Kukup, ikut arah papan tanda yang menunjukkan jalan ke Tanjung Piai. Pada masa ini tiada perkhidmatan bas ekspres yang disediakan untuk ke Taman Negara Tanjung Piai. Perkhidmatan teksi boleh didapati dari stesen bas Pontian.


Tanjung Piai dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang dikenali sebagai pokok paku piai. Hutan bakau yang luas di sini digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Hutan bakau ini membentuk koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dengan tanah lembap Sungai Pulai. 


Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur. Terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini. Di sini dikatakan terdapat lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai.

  
Pokok bakau melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan menghindari banjir, di samping memberikan perlindungan dan pembiakan ikan, ketam, udang, pelbagai jenis molaska dan binatang-binatang lain. Burung-burung hijrah akan singgah di hutan bakau untuk berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang semula ke kawasan yang ditujui. 

 
Kini, Tanjung Piai diisytiharkan sebagai Taman Negara memandangkan di sini terdapat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan, hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna. Taman ini juga menjadi tempat kediaman pelbagai jenis unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam. 


Sebelum diisytiharkan sebagai Taman Negara, Tanjung Piai adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan. Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997. Kajiselidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun 2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai dan digazetkan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.

  
Taman ini juga telah diisytiharkan tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Ramsar mengambil sempena nama sebuah bandar di Iran yang menjadi tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang pertama pada tahun 1971. Tujuan utama konvensyen ini adalah untuk memulihara tanah lembap yang merupakan tempat berehat dan mencari makanan bagi burung-burung hijrah. 


Malaysia menganggotai Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau Ramsar pada tahun 1994. Tasek Bera di Negeri Pahang telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pertama negara ini pada tahun tersebut. Sehingga kini, antara kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar ialah Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor dan Kuching Wetland National Park di Sarawak. Terdapat 26 kawasan lain di seluruh Malaysia turut dikenal pasti sebagai kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan antarabangsa. 


Bersebelahan pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai dibina sebuah mercu tanda bagi menggambarkan bahawa Tanjung Piai ialah “Tanah Paling Selatan Benua Asia”.  Mercu tanda yang berukuran 20 meter tinggi dan 10 meter lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 2001. Bahan binaan mercu tanda ini ialah gentian konkrit mesra alam berwarna kelabu. Warna kelabu dipilih bagi menggambarkan kekayaan hutan paya pakau dan dataran lumpur yang terdapat di penghujung Benua Asia ini. 


Pada permukaan mercu tanda diukir dua pelepah pokok piai raya (acrostichum aureum) bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Pokok  piai raya didapati tumbuh dengan banyaknya bersama-sama pokok bakau di sini. Tanjung pula bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang terpapar menjelaskan kedudukan sebenar “Tanah Paling Selatan Benua Asia”  supaya dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat.
Sebelum masuk, anda perlu membeli tiket yang dijual di kaunter. Harga tiket adalah RM5 bagi dewasa (RM10 bagi pelancong luar negara) dan RM3 bagi pelawat yang berumur bawah 18 tahun (RM5 bagi pelancong luar negara). Kemudahan asas yang disediakan di sini ialah surau, tandas, kawasan perkhemahan, kaunter penerangan dan tempat meletak kenderaan. 


Antaranya aktiviti pelawat yang datang ke sini adalah berkhemah, memancing, melihat kunang-kunang dan melihat pemandangan serta keindahan Selat Teberau. Pelancong, terutama pelajar boleh mendapatkan maklumat tentang hutan bakau dan maklumat lain yang dipamerkan dalam kawasan taman. Setiap maklumat disertakan gambar yang berkaitan supaya senang difahami. 


Setelah masuk ke kawasan taman, terdapat laluan khas berupa jambatan kayu yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa destinasi. Terdapat laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing. Pelantar ini juga menjadi tempat pelancong menikmati keindahan Selat Melaka. Dari kejauhan kelihatan kapal-kapal yang melalui selat ini. Sewaktu cuaca cerah, Pulau Kerimon, Indonesia juga dapat dilihat dari pelantar ini. 


Terdapat laluan untuk pelawat menuju ke destinasi yang mesti dikunjungi, iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka. Di pelantar ini dibina sebuah mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung di Benua Asia.



Sumber artikel:  laman artikel DBP