POKOK semarak api tumbuhan tahan lasak sesuai untuk Xeriscape. |
TIADA siapa yang mahu laman kediaman gersang. Namun, ada satu konsep laman yang mengekalkan tema gersang. Mungkin agak pelik bunyinya tetapi gersang yang dimaksudkan ini bukanlah seperti padang pasir yang tidak ada tumbuhan kering dan kontang.
Sebaliknya, konsep laman gersang atau ‘Xeriscape’ ini adalah satu seni landskap unik dan menarik untuk dipraktikkan di laman kediaman. Konsep laman ini kurang menggunakan air dan penyelenggaraan yang terhad. Konsep laman ini sangat praktikal dan menjimatkan.
Apakah yang dimaksudkan dengan Xeriscape? Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Bina Landskap, Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Azizi Mohd Ali, berkata Xeriscape adalah seni mewujudkan landskap yang kurang menggunakan air berbanding landskap konvensional lain.
Noor Azizi berkata, landskap konsep ini adalah alternatif yang makin popular bagi menjimatkan bekalan air dan kurang penyelenggaraan serta sesuai bagi laman kediaman di kawasan perbandaran atau ‘urban’.
RUMPUT kerja cantik dan menarik untuk laman Xeriscape. |
Istilah xeriscape wujud daripada perkataan zero atau kosong/kering di mana mana amalan pengambilan air untuk tanaman dikurangkan bagi mengelak pembaziran bahan mentah berkenaan.
“Konsep ini diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dalam pameran reka bentuk pada 1980. Ia berkembang bagi menggalak penanaman di kawasan yang sukar mendapat bekalan air termasuk lokasi berhampiran padang pasir atau kawasan kering. Malah, laman konsep ini popular di kawasan bandar untuk pemilik kediaman yang sibuk dan tiada masa menyelenggara laman,” katanya menamakan Taman Botani Denver AS sebagai contoh terbaik konsep laman berkenaan.
Tumbuhan untuk laman konsep ini adalah jenis tahan lasak dan tidak memerlukan banyak air atau kerap disiram. Namun, tidak semestinya tumbuhan untuk konsep ini adalah dari jenis kaktus. Banyak lagi tumbuhan lain yang sesuai seperti Agave, Sansevieria (Lidah Jin), Aloe Vera (Lidah Buaya), ros jepun, pokok semarak atau ‘Bird of Paradise’, Elaeagnus angustifolia, Asclepias tuberosa dan Buffalograss (Buchloe dactyloides).
DIKENALI sebagai Russia Sage cantik dan berbau wangi. |
Antara kelebihan laman jenis ini adalah ia mengurangkan penggunaan air dan penggunaan semula air daripada lebihan domestik dan komuniti lain serta alam sekitar. Pemilik kediaman yang membangunkan laman jenis ini boleh mengurangkan masa dan kerja untuk penyelenggaraan laman serta kurang tekanan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada laman kediaman. Penyelenggaraan rumput seperti kerja memotong rumput juga dapat dikurangkan kerana konsep laman ini mengehadkan jumlah ruang untuk tanaman rumput.
Konsep ini juga menyesuaikan reka bentuk, aksesori dan tumbuhan supaya dapat ‘berdikari’ atau hidup tanpa bantuan ubat kesuburan atau baja, menggunakan sungkupan dan air hujan.
Noor Azizi berkata, walaupun Xeriscape menjimatkan air dan pokok tahan lasak atau kurang air, tidak bermakna pilihan pokoknya hanya kaktus kerana berbeza dengan laman kaktus dan laman batuan.
“Laman Xeriscape masih mengekalkan penggunaan tumbuhan termasuk tumbuhan tropika. Sebaliknya, laman kaktus seakan laman ala padang pasir hanya menggunakan pokok kaktus semata-mata. Manakala laman batuan banyak menggunakan batu dan pasir dalam pelbagai saiz dan bentuk. Malah jumlah pokok dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata, laman Xeriscape sesuai untuk penjimatan kos landskap bagi majlis perbandaran. Ini kerana menurutnya, tanpa penjagaan rapi pokok masih mampu ‘berdikari’ dan dapat hidup serta membesar seperti tumbuhan dalam hutan.
“Sudah tentu kos penyelenggaraan dapat dikurangkan jika konsep ini dilaksanakan pihak berkuasa tempatan dan kos itu boleh digunakan untuk pembangunan komuniti,” katanya.
INFO
Tumbuhan taman xeriscape
- Bunga Ros Jepun (Moss Rose) - Dikenali dengan nama saintifiknya, Portulaca grandiflora iaitu pokok penutup bumi dengan bunga berwarna-warni yang sesuai ditanam dalam bekas tanaman atau di atas batas laman. Daun dan batang yang berair membolehkannya mengeluarkan bunga yang berwarna-warni sepanjang musim panas. Ada pelbagai jenis dan spesies dengan bunga jenis mekar dan kuncup. Pokok ini sangat sesuai ditanam berhampiran celah batu-batu selain dalam bekas tanaman dan pasu gantung.
- Bunga Semarak (Bird of Paradise) - Ada yang menggelarkan sebagai bunga burung syurga atau bunga gurun syurga. Nama saintifiknya (Caesalpinia gilliesii) di mana pokok boleh mencapai ketinggian hingga 10 kaki. Daun pokok ini halus manakala bunganya mempunyai bulu halus seperti benang dan bulu ayam. Bunganya berwarna merah, jingga atau kuning bunga dengan stamen yang panjang merah dihasilkan sepanjang musim panas.
- Zaitun Russia (Silverthorn) - Pokok ini juga dipanggil silverthorn atau silverberry. Nama saintifiknya Elaeagnus angustifolia sangat sesuai untuk penanaman di kawasan kering dan panas lembap. Pokok mudah hidup walaupun pada musim kemarau atau lebih tiga bulan tanpa hujan. Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga lebih 10 kaki. Pokok ini cepat membesar dan jika tidak dipangkas boleh mengotorkan kawasan sekitar. Namun, ia punya bunga yang cantik kecil berwarna putih dan juga berbau wangi. Selepas bunga gugur muncul buahnya seakan beri merah yang biasanya menarik hidupan liar seperti burung dan kelawar.
- Rumput Kerbau (Buffalograss) - Nama saintifiknya Buchloe dactyloides adalah tumbuhan asli yang tumbuhan di kawasan dataran dan pergunungan pedalaman utara AS. Sesuai untuk kawasan tanah beralkali termasuk kawasan lembap dan berlumpur. Hampir menyerupai rumput padang ragut, bunga rumput ini sangat cantik dan kini popular untuk kawasan padang. Cepat membiak namun kurang penyelenggaraan termasuk kerap mahu dipotong seperti rumput padang biasa.
- Rusia Sage - Rusia Sage (Perovskia atriplicifolia) dijumpai kawasan tanah kering berbatu di Afghanistan. Namun, ia hidup subur di bawah sinaran cahaya matahari penuh dan saliran yang baik. Ia tumbuh tiga kaki tinggi dan dua kaki lebar. Warna daun seperti lavender iaitu ungu lembut dan bunganya menghasilkan bau yang wangi. Pokok renek ini mengeluarkan bunga yang berwarna biru atau ungu pada musim panas.
- Agave - Nama saintifiknya Agave angustifolia manakala di desa dikenali sebagai pokok Kelumpang Telur. Pokok Kelumpang Telur adalah sejenis pokok yang mempunyai bahan toksin iaitu Agavoside A dan Asid Oksalik. Getah dan durinya akan menyebabkan luka dan keradangan akibat bahan kimia. Daun kelumpang telur berwarna hijau, keras dan tajam di hujung serta dikelilingi oleh warna kuning atau putih. Ia mengandungi banyak air dan tidak berbatang, tetapi boleh tumbuh setinggi satu meter. Di kampung biasanya duri pokok ini dihiasi dengan kulit telur dengan tujuan melindungi duri terkena penghuni kediaman.
- Lidah Jin - Pokok lidah jin atau sansevieria mempunyai lebih daripada 70 spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga Ruscaceae. Tumbuhan ini mempunyai pohon yang kecil berair dengan kehijau-hijauan daun yang tumbuh dari 20 sentimenter (sm) hingga 3 meter tinggi, kebanyakannya membentuk kelompok yang dalam daripada rizom atau stolon yang disebarkan. Bunganya berwarna kelabu berputih-putihan dan pada tangkai bercabang 40-90 sm panjang. Sesetengah spesies menghasilkan buah berwarna merah atau jingga.
- Lidah Buaya - Lidah Buaya adalah salah satu tumbuhan daripada 250 spesis Aloe serata dunia. Aloe adalah tumbuhan asli berasal dari Afrika dan Madagascar. Ia membiak dengan baik di lembangan Mediterranean dengan merentasi Algeria, Maghribi, Tunisia serta kepulauan Canary dan Madeira. Lidah buaya digunakan sebagai ubatan tradisional untuk melegakan luka, ruam, demam, gatal-gatal, kulit dan banyak lagi. Daun pokoknya menyimpan air yang menyebabkan ia tahan walaupun tidak disiram air lebih seminggu.
Sumber: Berita Minggu
No comments:
Post a Comment