Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, March 15, 2012

KEDIAMAN LESTARI

PERUBAHAN iklim tropika sejak kebelakangan ini memberi kesan langsung kepada kediaman. Ini menyebabkan sistem perlindungan tertentu diwujudkan supaya rumah lebih terjaga dari segi jangka hayat serta memberi keselesaan kepada penghuni.

Kesan panas dari sinaran matahari yang berlebihan kadang kala mengakibatkan ketidakselesaan pada penghuni ruang, walaupun penggunaan cahaya semula jadi amat digalak digunakan pada ruang kediaman. Selain itu, curahan hujan juga jika tidak dikawal akan mengakibatkan kerosakan pada bahan yang tidak tahan kepada air seperti kayu yang mudah reput dan berkulat.

Perlindungan perlu dilakukan bagi memelihara jangka hayat bahan dan mengelak daripada rosak, walaupun ketika ini banyak bahan dan kemasan yang boleh memberi perlindungan dari kesan iklim tetapi mungkin pada tempoh tertentu saja.

Cara terbaik adalah melihat kepada reka bentuk sesuatu binaan yang mengambil kira keperluan perlindungan dari kesan iklim. Beberapa cara yang sesuai memberi perlindungan kepada kediaman kesan iklim adalah;

Mengurangkan kesan matahari

Pencahayaan semula jadi daripada sinar matahari yang memancar sepanjang tahun mempunyai kesan sampingan iaitu silau dan panas. Oleh itu, apabila sesuatu ruang tidak menerima atau kurang menerima cahaya daripada luar, ruang itu akan menjadi gelap dan seterusnya dirasakan sejuk dan nyaman.

Sinaran matahari biasanya masuk melalui tingkap atau apa-apa jenis bukaan. Sinaran matahari itu akan masuk secara terus, berselerak atau pantulan dari permukaan di luar bangunan. Oleh itu, bahan bahan binaan dan kemasan yang menyinar haba daripada cahaya matahari harus dikurangkan.

Bagi mengelak kesan matahari yang dinyatakan, ada beberapa cara boleh dilakukan antaranya:
  1. Usaha menanam pokok di sebelah kaki lima supaya daun pokok itu dapat menyerap haba tanpa memantulkan bahang cahaya matahari. Sekiranya kita memerlukan cahaya dan bukannya bahang untuk menerangi ruang dalaman, penyelesaiannya ialah dengan menanam pokok kecil yang sesuai. Jika cahaya tidak diperlukan, pokok yang tinggi dari paras tingkap adalah sebaik penyelesaian. Pokok yang sesuai adalah jenis tidak menghalang laluan udara atau angin dan ketinggian separas tingkap supaya dapat menahan dari panahan sinaran matahari dan seterusnya membenarkan aliran udara dan pemandangan.
  2. Sekiranya kawasan sekitar rumah kediaman tidak membenarkan penghuni menanam pokok bagi mengurangkan sinaran matahari memasuki ruang, ada cara yang tidak semula jadi yang praktikal iaitu dengan memasang sirip atau ram tetap (louvers) yang diperbuat daripada kayu atau besi aluminium. Cara pemasangan yang ideal bagi kekisi sirip atau ram tetap (louvers) adalah dengan tidak melekat terus pada dinding. Cara pemasangan terpisah ini akan menyebabkan sinaran panas matahari tidak dapat masuk melalui bukaan pada bangunan.
  3. Selain daripada tingkap, sinaran dan bahang matahari juga meresap melalui permukaan dinding. Binaan dinding yang lebih luas daripada tingkap membolehkan penyerapan haba yang lebih banyak boleh berlaku. Dinding konkrit dan dinding batu bata akan menyerap haba pada waktu siang hari, penyerapan akan berlaku secara puncak pada waktu tengahari. Selepas itu, haba akan disimpan di dalam bahan itu dan akan dilepaskan keluar pada waktu malam kerana ketika itu udara dan suhu di luar sudah mula sejuk. Akibatnya, suasana suhu dalaman ruang menjadi tidak selesa kerana kesan suhu dengan tekanan tinggi akan mengalirkan haba ke bahagian suhu dengan tekanan rendah.

Ada beberapa cara mengurangkan kesan pendedahan sinaran dan bahang matahari;

  • Menanam tumbuhan menjalar pada bahagian luaran dinding. Tumbuhan menjalar seperti climbing ficus atau climbing ivy adalah tumbuhan yang sesuai dan boleh berfungsi sebagai elemen penebat atau rintangan kepada bahang sinaran matahari.
  • Sekiranya sinaran matahari menyinari permukaan bangunan yang gelap, sebahagian haba akan dipantulkan ke udara dan sebahagian lagi akan diserap. Haba yang diserap akan menyebabkan ruang dalaman akan menjadi tidak selesa. Sehubungan itu, permukaan dinding yang dicat dengan warna cerah dapat mengurangkan penyerapan cahaya matahari.

Mengawal kesan tempias hujan

Selain daripada kesan sinaran matahari kepada keselesaan ruang kediaman, curahan air hujan juga boleh dikawal bagi mengelak berlaku kerosakan kepada harta benda dan jangka hayat sesuatu bahan yang mudah rosak akibat terlalu terdedah kepada curahan hujan. Hujan yang berlaku di kawasan tropika biasanya mempunyai kadar curahan tinggi dan kadang kala mengakibatkan tempias sekiranya hujan berlaku disertakan angin.

Oleh itu, bagi mengelak masalah timbul akibat daripada curahan hujan yang berlebihan serta merosakkan bahan bangunan, beberapa usaha pengawalan perlu dilakukan:
  • Memastikan reka bentuk pengujuran atap (overhang) yang lebar dan panjang dapat mengelak dinding bangunan atau tingkap dan pintu dari terkena tempias hujan. Selain itu, binaan itu dapat menyediakan teduhan dari sinaran dan silau matahari.
  • Pemasangan talang (gutter) yang sempurna dan berterusan pada cucur atap dapat membantu mengawal curahan hujan. Talang yang digunakan untuk menyalur air hujan yang praktikal seharusnya berbentuk setengah bulatan. Dibandingkan dengan talang berbentuk persegi, talang setengah bulatan mengalirkan air dengan lebih baik dan tidak mudah menampung kekotoran.
  • Bagi mengelak tempias hujan yang akan menyukarkan aktiviti yang bakal dilakukan atau mengelak permukaan sisi dinding rosak, binaan kekisi atau ram tetap (louvers) juga boleh dilakukan. Bahan binaan kekisi daripada kayu atau aluminium banyak digunakan. Selain itu, kekisi ini boleh dijadikan sebagai penghadang sinaran matahari (sunscreen) yang baik dan tidak sepenuhnya menghalang proses pengaliran udara.
  • Penggunaan bahan yang kalis air harus digunakan pada bahagian yang selalu menerima tempias hujan. Contohnya, kaki tiang kayu boleh dibina daripada binaan konkrit kerana ini dapat mengelakkan kaki tiang cepat rosak akibat terkena tempias hujan. Kemasan yang kalis air boleh digunakan pada permukaan bahan yang terdedah kepada tempias hujan.

Perlindungan terhadap kesan iklim iaitu panas dan hujan perlu dilakukan dan dipantau bagi menjamin keselesaan penghuni kediaman. Bagi kediaman lestari, faktor keselesaan dan kesan kepada alam sekitar perlu ditangani dengan baik dan bijak. Ironi, kita perlu menyesuaikan apa juga reka bentuk dan bahan serta binaan yang hendak digunakan dengan mengambil kira keperluan dan kehendak alam sekitar.

Sumber: Berita Minggu

No comments:

Post a Comment