Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, November 19, 2011

TAMAN HELICONIA DI KALIS NURSERI, JANDA BAIK, BENTONG, PAHANG

Tentunya di kalangan kita ada yang meminati Heliconia. Heliconia merupakan tumbuhan tropika yang istimewa dengan batang, daun dan bunga hiasan yang cantik, Berasal dari Amerika Tengah, Carribean, Amerika Selatan dan Kepulauan Pasifik. Terdapat 500 spesies dan varieti atau kultivar di dunia, namun 150 daripadanya boleh ditemui di Asia Tenggara dan Polinesia, Heliconia semakin popular dalam industri landskap, bunga keratan, tanaman berpasu dan hiasan. Heliconia atau pokok sepit udang menjadi pilihan utama ramai pemilik kediaman dan pereka landskap ketika mewujudkan taman berkonsepkan tropika.Tanaman yang tergolong dalam spesies herba saka itu amat menarik ditanam di halaman rumah kerana ia mengeluarkan bunga beraneka warna.

Malah, keunikan bunganya yang berwarna terang membantu menaikkan seri kepada keseluruhan penataan landskap.Berdaun lebar, tinggi dan tumbuh padat menyebabkan tanaman hiasan itu popular bagi mereka yang tercari-cari pokok pagaran yang sesuai.

Kehadirannya secara berkelompok dan diadunkan dengan pokok hiasan menyerlah reka bentuk taman yang indah. Secara langsung tanaman itu mudah membiak dan tumbuh subur dalam iklim hutan hujan tropika.

Heliconia mempunyai kepelbagaian jenis dan warna. Ianya mudah ditanam dan dibiakkan walaupun di dalam tanah yang tidak berapa subur seperti gambut dan berpasir. Boleh digunakan dalam 'functional landscape’-'feature planting’, mass planting. Potensi penanaman amat luas kerana masih banyak varieti yang belum diterokai. Selain digunakan sebagai bunga dalam perlandskapan, heliconia sesuai digunakan sebagai bunga keratan ‘foliage’ untuk bunga gubahan kerana mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Foto-foto di bawah ini diambil di taman heliconia di Kalis Nursery & Landscaping, Kg Cheringin, Janda Baik, Bentong, Pahang. Nurseri ini kepunyaan En. Zainor Khalid B Zainuddin (Alex). Nurseri ini dibuka setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 7.00 petang.

Apabila berkunjung ke nurseri ini, pengunjung pasti dipanjat rasa kagum menyaksikan pelbagai bunga eksotik yang kebanyakannya jarang dilihat dan mempunyai nilai yang tinggi. Suasana nurseri berkeluasan 11.4 hektar itu cukup tersusun dan kemas bagai sebuah 'syurga bunga' membuktikan ia dijaga rapi oleh pemiliknya. En. Alex memilih bunga-bunga eksotik kerana setakat ini tidak ramai pengusaha bunga di Malaysia yang memilih untuk menanam bunga jenis itu apatah lagi menjadi pemborong dan pembekal. Baginya bunga jenis itu amat unik dan karakternya berbeza serta agak pelik yang sukar dilihat berbanding bunga-bunga tempatan.

Di sini kita boleh melihat lebih daripada 100 jenis spesies bunga eksotik yang terdiri dari keluarga Heliconia, Ginger, Costus, Calathea, Musacea dan banyak lagi. Kesemua baka bunga ini diimport dari Hawaii, Costa Rica, Porto Rico, Venezuela, sedikit dari Yunan, China, Indonesia dan negara-negara di sekitar kepulauan Caribbean dan negara-negara yang beriklim tropika. Hari ini, bunga-bunga jenis eksotik menjadi pilihan untuk landskap mahupun menghias rumah kerana selain tahan lama, ia sememangnya cantik untuk tatapan umum dan sukar ditemui.

Nurseri ini bukan sahaja menjual pelbagai jenis pokok-pokok eksotik malah mereka turut menawarkan perkhidmatan nasihat serta melakukan kerja-kerja landskap. Selain menjadi pembekal bunga-bungaan eksotik, nurseri ini juga bersedia mereka bentuk landskap premis pelanggan dan menjual barang-barang untuk perhiasan kolam dan landskap termasuk bangku rotan, batu dan kayu.

Yang menariknya, selain daripada membiak dan menjual tanaman landskap, nurseri ini membina dan menata taman (heliconia) seperti sebuah taman botanikal. Cara penataan taman amat menarik. Heliconia ini kebanyakannya ditanam di tanah dan dibiarkan membesar. Ia akan dikorek dan dipindahkan jika ada pembeli yang ingin membelinya. Jika kita berminat dan bercadang untuk membina taman heliconia di kawasan kediaman kita, adalah dicadangkan lawati dulu Kalis Nurseri & Landscaping ini.

Kalis Nursery & Landscaping
Kampung Cheringin, Janda Baik, 28750 Bentong,
Pahang.
Tel: 6019-378 5667 (Zainor Khalid @ Alex) & 6019-611 1361 (Aida)































Penghargaan dan terima kasih kepada En. Alex dan http://fazlisyam.com

2 comments: