Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, November 27, 2011

TAMAN RAMUAN/TAMAN HERBA MARDI DI MAEPS, SERDANG, SELANGOR

Konsep Taman Ramuan menitik beratkan setiap pokok yang ditanam boleh dijadikan makanan dan ubat-ubatan selain dijadikan sebagai menghias laman. Untuk itu, ada beberapa pokok yang dikategorikan sebagai tanaman herba boleh dijadikan hiasan menarik dalam Taman Ramuan. Kombinasi ini amat menarik.

Laman Ramuan MARDI terletak di Tapak MAEPS, Serdang, Selangor. Laman dengan keluasan 1 hektar ini telah dibangunkan pada tahun 2010 sebagai pusat sehenti berkonsepkan ‘Santai, Rawat dan Pembelajaran’. Laman ini mempunyai gabungan lebih 150 spesies tanaman herba, ramuan dapur, bunga-bungaan dan buah-buahan yang mempunyai nilai perubatan, warna-warni, berbau wangi dan ditanam secara landskap untuk memberi kesan terapeutik kepada pengunjung.

Pengunjung dapat mengenali pokok-pokok ramuan secara lebih dekat serta mengenali dan menghayati kegunaan pokok-pokok tersebut. Keindahan pokok-pokok bunga yang berwarna-warni dan berbau wangi pastinya memberi kesan terapi warna dan aroma kepada pengunjung.

Laman ini dilengkapkan dengan Pusat Informasi dan Rawatan SPA. Pusat Informasi menempatkan galeri pameran produk-produk herba serta maklumat berkaitan. Pengalaman SPA di taman ini lebih istimewa dan holistik kerana pengunjung dapat mengenali, menghayati di samping mempelajari kaedah serta ramuan yang digunakan. Pengunjung kanak-kanak akan mendapat pendedahan awal tentang kekayaan warisan negara, di samping berpeluang untuk bermain di ‘herbal maze garden’ yang terdapat di Laman Ramuan ini.


Tumbuhan herba terdiri daripada tumbuhan ubat-ubatan, ulam-ulaman, sayur-sayuran tradisional dan tumbuhan beraroma. Taman ini sebagai pusat sehenti yang sesuai untuk golongan penyelidik, pelajar-pelajar sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi dan juga kalangan orang awam yang berminat untuk mengenali dengan lebih dekat bentuk pokok dan kegunaannya secara tradisional. Taman Ramuan ini dibangunkan berkonsepkan landskap untuk memberikan keselesaan dan daya tarikan kepada pengunjung.


Taman yang cantik ini boleh dikunjungi pada bila-bila masa sama ada pagi, tengahari atau petang pada hari yang dibenarkan. Mintalah kebenaran terlebih dulu daripada pengawal keselamatan di pintu utama MAEPS. Insyaalah mereka akan beri kerjasama. Beberapa pokok naungan ditanam di taman ini bagi mengurangkan kesan panas matahari kepada pengunjung.


Berikut adalah antara tips yang berguna bagi membina taman ramuan atau taman herba:
  1. Kaji sifat-sifat fizikal setiap tanaman ramuan atau herba secara individual dari aspek pembungaan, warna, tinggi, tekstur, corak pertumbuhan. Sebagai contoh, salah satu jenis daun selasih yang mempunyai warna ungu terang serta mengeluarkan aroma yang segar.
  2. Wujudkan kombinasi yang efektif. Sebagai contoh, menanam tanaman ramuan dan tumbuhan herba yang berbeza dari segi warna secara berhampiran untuk mewujudkan warna yang harmoni.
  3. Pilih warna tema (biru dan ungu, hijau dan kuning, merah dan jingga, warna lembut dan sebagainya). Cuba elakkan penggunaan lebih daripada tiga warna yang berbeza di kawasan taman anda. Terlalu banyak warna akan mewujudkan suasana taman yang serabut.
  4. Bina kesinambungan dengan mengenal pasti tempat yang sesuai untuk menanam setiap tanaman ramuan dan herba yang berbeza. Tanam mengikut ketinggian di mana pokok rendah di hadapan manakala pokok tinggi diletakkan di belakang.
  5. Susun secara berkelompok. Tanaman ramuan dan tumbuhan herba nampak lebih dramatik dengan kesan visual yang lebih menarik jika ditanam secara berkelompok berbanding dengan sebaliknya.
  6. Wujudkan aroma dan bauan yang wangi dan menyegarkan dengan menempatkan secara strategik di kawasan taman tersebut. Letakkan tanaman ramuan dan tumbuhan herba yang mempunyai bau yang wangi berhampiran jalan atau depan rumah di mana bauan yang wangi itu dapat dihidu apabila kawasan tersebut dilalui.
  7. Tak perlulah taman yang hebat, cukuplah sekadar sesuatu yang boleh dimanfaatkan di dalam kegunaan dan masakan seharian iaitu serai, daun pandan, cili padi, daun kunyit, dauk kaduk, ulam pegaga, daun kesom, daun selasih dan dua tiga jenis lagi tanaman ramuan dan tumbuhan herba yang lain.









Tongkat ali (Eurycoma longifolia).
Kegunaan: Sakit perut, sengal, sakit pinggang dan demam kuning.
Bangun-bangun (Plectranthus amboinensis).
Kegunaan: Asma, sakit perut, rasa mual dan sengal-sengal.


Bintang tujuh (Pereskia soecnarosa).
Kegunaan: Barah, kencing manis dan darah tinggi.
Delima putih (Punica granatum).Kegunaan:
Sakit perut dan mengeluarkan cacing dari badan.
Mahkota dewa (Phaleria mocrocarpa). Kegunaan:
Kanser, buah pinggang, darah tinggi dan angin ahmar.

Buah pala (Myristica fragrans).
Kegunaan: Ubat meroyan.

Cempaka hutan (Michelia sp.). Pokok Hiasan

Cempaka pisang (Michelia figo). Pokok hiasan.
Kacip fatimah (Labisa pumila). Kegunaan:
Wanita lepas bersalin, campak meroyan dan buasir.
Naga buana (Phyllanthus pulcher). Kegunaan:
Sakit gigi, bisul dan pokok hiasan.
Jeruju (Acanthus ebracteatus).
Kegunaan: Batuk, rambut gugur, bisul dan kayap.


Kesidang (Vollaris glabra).
Kegunaan: Lepas bersalin dan minyak pati.

Cengkih (Sizyglium aromaticum).
Kegunaan: Rempah dalam masakan dan sakit gigi.

Lelipan (Phedilanthus tithymailodes).
Kegunaan: Sakit kepada dan bengkak sendi.

Gandarusa hijau (Gendarussa vulgaris).
Kegunaan: Lesu, sakit kepala, lemah badan dan sakit ari-ari.

Mas cotek (Ficus deltoidea).
Kegunaan: demam dan tonik untuk wanita.

Kebiasaannya, taman ramuan diwujudkan berasaskan konsep tema sebagai kulinari atau perubatan. Walaupun ia mempunyai kurang nilai estetik dengan kombinasi yang betul, anda boleh mewujudkan suasana landskap herba yang dramatik.

Saturday, November 19, 2011

TAMAN HELICONIA DI KALIS NURSERI, JANDA BAIK, BENTONG, PAHANG

Tentunya di kalangan kita ada yang meminati Heliconia. Heliconia merupakan tumbuhan tropika yang istimewa dengan batang, daun dan bunga hiasan yang cantik, Berasal dari Amerika Tengah, Carribean, Amerika Selatan dan Kepulauan Pasifik. Terdapat 500 spesies dan varieti atau kultivar di dunia, namun 150 daripadanya boleh ditemui di Asia Tenggara dan Polinesia, Heliconia semakin popular dalam industri landskap, bunga keratan, tanaman berpasu dan hiasan. Heliconia atau pokok sepit udang menjadi pilihan utama ramai pemilik kediaman dan pereka landskap ketika mewujudkan taman berkonsepkan tropika.Tanaman yang tergolong dalam spesies herba saka itu amat menarik ditanam di halaman rumah kerana ia mengeluarkan bunga beraneka warna.

Malah, keunikan bunganya yang berwarna terang membantu menaikkan seri kepada keseluruhan penataan landskap.Berdaun lebar, tinggi dan tumbuh padat menyebabkan tanaman hiasan itu popular bagi mereka yang tercari-cari pokok pagaran yang sesuai.

Kehadirannya secara berkelompok dan diadunkan dengan pokok hiasan menyerlah reka bentuk taman yang indah. Secara langsung tanaman itu mudah membiak dan tumbuh subur dalam iklim hutan hujan tropika.

Heliconia mempunyai kepelbagaian jenis dan warna. Ianya mudah ditanam dan dibiakkan walaupun di dalam tanah yang tidak berapa subur seperti gambut dan berpasir. Boleh digunakan dalam 'functional landscape’-'feature planting’, mass planting. Potensi penanaman amat luas kerana masih banyak varieti yang belum diterokai. Selain digunakan sebagai bunga dalam perlandskapan, heliconia sesuai digunakan sebagai bunga keratan ‘foliage’ untuk bunga gubahan kerana mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Foto-foto di bawah ini diambil di taman heliconia di Kalis Nursery & Landscaping, Kg Cheringin, Janda Baik, Bentong, Pahang. Nurseri ini kepunyaan En. Zainor Khalid B Zainuddin (Alex). Nurseri ini dibuka setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 7.00 petang.

Apabila berkunjung ke nurseri ini, pengunjung pasti dipanjat rasa kagum menyaksikan pelbagai bunga eksotik yang kebanyakannya jarang dilihat dan mempunyai nilai yang tinggi. Suasana nurseri berkeluasan 11.4 hektar itu cukup tersusun dan kemas bagai sebuah 'syurga bunga' membuktikan ia dijaga rapi oleh pemiliknya. En. Alex memilih bunga-bunga eksotik kerana setakat ini tidak ramai pengusaha bunga di Malaysia yang memilih untuk menanam bunga jenis itu apatah lagi menjadi pemborong dan pembekal. Baginya bunga jenis itu amat unik dan karakternya berbeza serta agak pelik yang sukar dilihat berbanding bunga-bunga tempatan.

Di sini kita boleh melihat lebih daripada 100 jenis spesies bunga eksotik yang terdiri dari keluarga Heliconia, Ginger, Costus, Calathea, Musacea dan banyak lagi. Kesemua baka bunga ini diimport dari Hawaii, Costa Rica, Porto Rico, Venezuela, sedikit dari Yunan, China, Indonesia dan negara-negara di sekitar kepulauan Caribbean dan negara-negara yang beriklim tropika. Hari ini, bunga-bunga jenis eksotik menjadi pilihan untuk landskap mahupun menghias rumah kerana selain tahan lama, ia sememangnya cantik untuk tatapan umum dan sukar ditemui.

Nurseri ini bukan sahaja menjual pelbagai jenis pokok-pokok eksotik malah mereka turut menawarkan perkhidmatan nasihat serta melakukan kerja-kerja landskap. Selain menjadi pembekal bunga-bungaan eksotik, nurseri ini juga bersedia mereka bentuk landskap premis pelanggan dan menjual barang-barang untuk perhiasan kolam dan landskap termasuk bangku rotan, batu dan kayu.

Yang menariknya, selain daripada membiak dan menjual tanaman landskap, nurseri ini membina dan menata taman (heliconia) seperti sebuah taman botanikal. Cara penataan taman amat menarik. Heliconia ini kebanyakannya ditanam di tanah dan dibiarkan membesar. Ia akan dikorek dan dipindahkan jika ada pembeli yang ingin membelinya. Jika kita berminat dan bercadang untuk membina taman heliconia di kawasan kediaman kita, adalah dicadangkan lawati dulu Kalis Nurseri & Landscaping ini.

Kalis Nursery & Landscaping
Kampung Cheringin, Janda Baik, 28750 Bentong,
Pahang.
Tel: 6019-378 5667 (Zainor Khalid @ Alex) & 6019-611 1361 (Aida)































Penghargaan dan terima kasih kepada En. Alex dan http://fazlisyam.com