Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Friday, April 23, 2010

KEMPEN TANAM 26 JUTA POKOK

Utusan Malaysia 22 April 2010

PUTRAJAYA 22 April - Sempena Hari Bumi yang disambut di seluruh dunia hari ini, Malaysia melancarkan kempen di seluruh negara untuk menanam 26 juta pokok menjelang 2014. Angka 26 juta dipilih berdasarkan kira-kira 26 juta penduduk Malaysia pada ketika ini.

Bersempena pelancaran kempen yang bertemakan Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok hari ini, 16,200 pokok telah ditanam dengan 500 daripadanya ditanam di tapak pelancarannya di sini.

Pelancaran kempen itu disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas di Presint 5 berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Selain di Putrajaya, pokok lain ditanam di tapak pelancaran di Alor Setar, Kedah; Kangar, Perlis; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak; Bachok, Kelantan; Kemaman, Terengganu; Pulau Melaka, Melaka; Seremban, Negeri Sembilan; Kulai, Johor; Temerloh, Pahang; Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Hulu Selangor, Selangor; Kota Kinabalu, Sabah; dan Petra Jaya, Sarawak.

"Dianggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan terosot, kawasan hutan yang telah dibalak, pesisiran pantai dan kawasan bandar akan ditanam pokok di bawah kempen ini menjelang 2014," kata Uggah semasa melancarkan kempen itu.

Beliau berkata, kempen itu selaras usaha kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negara ini dilitupi kawasan berhutan, selaras komitmen Malaysia di Persidangan Rio pada 1992.

Ketika ini, katanya, jumlah keluasan kawasan berhutan adalah 56.4 peratus dan jika termasuk kawasan tanaman pertanian negara, ia meliputi 75 peratus daripada keluasan tanah negara.

No comments:

Post a Comment