Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 28 Mac 2010
KUNJUNGAN beberapa kali ke Bali dan beberapa wilayah lain di Indonesia, menjadi cetusan idea kepada Herman Jaafar menata hias lamannya dengan konsep Bali. Malah, kediamannya dinamakan sebagai Norman D Bali gabungan nama beliau dan isterinya Normah Haring menggunakan hiasan yang kebanyakannya diimport dari wilayah seberang itu.
Menggunakan kayu nyatoh, dan khidmat tukang ukir serta pereka laman dari seberang, Herman tidak lokek berbelanja untuk menghias laman sekangkang kera yang hanya boleh memuatkan dua buah kereta saja. Dengan bantuan rakannya yang juga pereka laman, ruang balkoni dan tempat letak kereta rumah tiga tingkat di lereng bukit diubahsuai menjadi kawasan laman yang sejuk dan mendamaikan dengan dua kolam serta sebuah dinding pancuran air. Pintu masuk dilengkapi dengan pintu gerbang ala Bali menggunakan atap daripada batu lahar gunung berapi yang dibeli di Indonesia. Pagar hadapan dipecahkan dan dibangunkan dengan pintu gerbang berkenaan yang mana salah satu dihiasi pintu berdaun kayu nyatoh dengan motif bunga dengan tiga anak tangga.
Di kiri kanan anak tangga, dihiasi pasu tembikar dan kayu dengan pohon kemboja, kelapa dan Rhoeo spathacea R discolor bagi menghijaukan ruang. Batu kerikil dan sungai menghiasi anak tangga, manakala kolam comel menyambut tetamu yang masuk melalui pintu daun itu.
Di dalam kolam itu diletakkan tiga pancuran air bertingkat manakala ikan koi berenang cantik menghidupkan lagi suasana laman konsep Bali berkenaan. Hiasan mini lesung batu dan periuk tersusun cantik tepian kolam.
Di kanan pintu gerbang, berdiri teguh pintu pagar kayu manakala nombor kediaman dari ukiran kayu dilekat pada kayu sungai sebagai mercu tanda kediaman. Motif bunga teratai melengkapkan lagi tiang pintu gerbang dan menyerlahkan konsep seni hias Bali yang mahu diketengahkan pemilik kediaman.
Bumbung tebar layar dibina menutup bumbung anjung kediaman yang menurut Herman adalah idea pereka lamannya yang menampilkan hiasan kayu corak pucuk paku.
Di kiri kanan laman dihiasi pelbagai jenis pohon tropika yang ditanam dalam pasu selain pasu kecil, turi dan tempayan tanpa tanaman menjadi aksesori laman. Batu sungai dan kerikil berwarna kusam menutup cela tanah dalam pasu. Selain pohon dalam pasu, ada beberapa jenis tumbuhan menjalar dan memanjat ditanam di kiri dan kanan ruang anjung.
Herman seorang guru berkata, beliau sangat meminati penataan hias laman konsep Bali terutama seni hias dan kraf kayu yang unik.
Katanya, beliau menggunakan hiasan kayu, binaan kolam dan pancuran air serta menanam pokok tropika bagi menggantikan penggunaan patung dan motif binatang yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Melayu dan Islam.
“Saya menggunakan bantuan pereka laman yang berasal dari Indonesia untuk membangunkan laman ini, bagaimanapun kerja menyelenggara laman termasuk merawat dan membersihkan kolam saya lakukan sendiri,” katanya yang baru dua tahun menduduki kediamannya itu.
Beliau yang masih berhajat menambahkan lagi hiasan landskap, menggunakan masa hujung minggu untuk menanam sendiri pokok seperti calathea, kemboja, orkid liar dan paku pandan untuk lamannya.
“Saya mendapatkan pokok seperti paku pakis dan orkid ketika berkelah bersama keluarga di kawasan rekreasi seperti air terjun dan hutan dara. Jarang saya membeli pokok di nurseri sebaliknya rakan yang tahu minat saya, menghadiahkan pokok seperti tanduk rusa dan kemboja,” katanya yang kini merancang untuk menghiasi ruang dalaman kediaman dengan konsep yang sama.
Menariknya, laman kediaman Herman seakan bertingkat kerana kedudukan kediamannya terletak di kawasan lereng bukit. Tangga menuju ke ruang bawah tanah dihiasi pepohon hijau dipanggil daun teh manakala pemegang tangga kayu bercorak awan larat turut ditutup pepohon hijau.
Bunyi air yang jatuh di dinding tembok mendamaikan suasana ditambah dengan kolam cetek yang menyambut tetamu ke ruang bawah tanah. Ikan koi pelbagai warna berenang cantik di dalam kolam manakala pemijak kaki dijadikan titi masuk ke ruang bawah tanah. Pohon seperti keladi, paku pandan, calathea menghiasi tepian kolam dan pohon kemboja masih menjadi penghias wajib di dalam pasu bercorak di tepi tangga.
Paling menarik laman milik Herman adalah balkoni yang menjadi ruang menyambut tetamu dan keluarga beristirahat dihiasi pelbagai jenis perabot dan hiasan kayu.
Bangku panjang ditempah khas menggunakan kayu landasan kereta api, manakala kerusi tiga dudukan dihiasi kusyen lembut dengan motif kain batik jawa. Lukisan besar batik jawa menjadi titik tumpu balkoni.
Katanya, lukisan batik jawa dibeli di Bali selepas tertarik dengan bingkai kayu dan batu sungai dipotong serong yang jarang dijumpai ditempat lain.
“Paling saya sayang hiasan tiga papan petai kering yang dibeli di Thailand selain kalong lembu dari kayu dan loceng angin daripada buluh,” katanya.
Meja kopi di balkoni dihiasi sebakul buah manggis, ketapang kering serta kayu hanyut yang menyerlahkan lagi ruang istirahat keluarga itu. Buah manggis dan ketapang itu saya kutip di kampung dan dikeringkan untuk dijadikan hiasan.
Paling menarik, pintu lipat empat daun menggantikan pintu gelungsur dihiasi corak menarik satu keunikan yang jarang dilihat dalam seni kayu di negara ini.
Menurut Herman beliau pada asalnya mahu balkoninya dibiarkan terbuka tanpa sungkuap kerana mahu beristirahat sambil melihat bintang di langit. Namun, atas nasihat pereka lamannya, sungkuap diletakkan kerana hujan dan panas boleh merosakkan kayu dan hiasan di balkoni berkenaan.
“Saya paling suka pintu lipat daun empat itu kerana ia diukir sendiri pakar yang berasal dari Bali, malah corak motif tumbuhan dengan ruang udara menyejukkan lagi ruang kediaman dalam rumah. Dalam masa yang sama, bunyi air dari kolam boleh menembusi masuk ke dalam rumah yang mendamaikan lagi suasana,” katanya.
No comments:
Post a Comment