Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, April 26, 2010

MODUL 4: PEMBIAKAN TUMBUHAN SECARA ASEKS - PEMBIAKAN MENGGUNAKAN BEBAWANG


MODUL 4

PEMBIAKAN TUMBUHAN SECARA ASEKS - PEMBIAKAN MENGGUNAKAN BEBAWANG



Hari ini pelajar-pelajar Tingkatan 4L di bawah bimbingan guru pelatih Cik Aisyaf Fariza Bt Abdullah membiakan tumbuhan hiasan menggunakan bebawang. Oleh kerana tiada jenis tumbuhan bebawang yang kecil, maka pelajar-pelajar membiakkan tumbuhan 'spider-lily' yang banyak terdapat di sekeliling sekolah. Spider-lily mempunyai bebawang yang besar. 

Bebawang adalah batang tumbuhan yang mempunyai ruas yang sangat pendek  dan juga daun berlendair yang keluar dari bahagian buku. Anak-anak bebawang keluar daripada pangkalnya.

Walaupun pembiakan ini mudah dilakukan, namun ia ada kekurangannya. Kekurangan pembiakan cara ini ialah benih tidak mudah diperolehi dan tumbuhan tidak boleh dibiakkan dalam kuantiti yang banyak.


Kaedah pembiakan tumbuhan hiasan dengan menggunakan organ tumbuhan:


  1. Sediakan peralatan dan bahan seperti sekateur, pisau, sudip tangan, racun kulat, bekas semaian dan organ pembiakan yang sihat.
  2. Sediakan medium semaian dengan nisbah 2:1:1. Masukkan campuran medium ke dalam bekas semaian dan ratakan.
  3. Sediakan organ tumbuhan seperti bebawang atau rizom atau stolon atau rumpun atau ubi.. kemudian rawat dengan racun kulat.
  4. Semai organ ke dalam bekas semaian dengan cara berikut: Tanam rizom, stolon dan ubi sedalam 0.5 cm atau tanam bebawang dan rumpun sedalam 1.5 cm. Jarak semaian ialah 3 cm.
  5. Siram dan letak di bawah teduhan. Letakkan label (tarikh menyemai, nama tumbuhan dan nama murid).
  6. Rekodkan tarikh bercambah, bilangan benih hidup dan mati.
  7. Pindahkan anak benih ke bekas lain setelah mempunyai 4 hingga 5 helai daun.

Friday, April 23, 2010

KEMPEN TANAM 26 JUTA POKOK

Utusan Malaysia 22 April 2010

PUTRAJAYA 22 April - Sempena Hari Bumi yang disambut di seluruh dunia hari ini, Malaysia melancarkan kempen di seluruh negara untuk menanam 26 juta pokok menjelang 2014. Angka 26 juta dipilih berdasarkan kira-kira 26 juta penduduk Malaysia pada ketika ini.

Bersempena pelancaran kempen yang bertemakan Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok hari ini, 16,200 pokok telah ditanam dengan 500 daripadanya ditanam di tapak pelancarannya di sini.

Pelancaran kempen itu disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas di Presint 5 berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Selain di Putrajaya, pokok lain ditanam di tapak pelancaran di Alor Setar, Kedah; Kangar, Perlis; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak; Bachok, Kelantan; Kemaman, Terengganu; Pulau Melaka, Melaka; Seremban, Negeri Sembilan; Kulai, Johor; Temerloh, Pahang; Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Hulu Selangor, Selangor; Kota Kinabalu, Sabah; dan Petra Jaya, Sarawak.

"Dianggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan terosot, kawasan hutan yang telah dibalak, pesisiran pantai dan kawasan bandar akan ditanam pokok di bawah kempen ini menjelang 2014," kata Uggah semasa melancarkan kempen itu.

Beliau berkata, kempen itu selaras usaha kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negara ini dilitupi kawasan berhutan, selaras komitmen Malaysia di Persidangan Rio pada 1992.

Ketika ini, katanya, jumlah keluasan kawasan berhutan adalah 56.4 peratus dan jika termasuk kawasan tanaman pertanian negara, ia meliputi 75 peratus daripada keluasan tanah negara.

Wednesday, April 21, 2010

PELAJAR 4L MEMBUAT PROJEK SEKOLAH


Hari ini pelajar-pelajar Tingkatan 4L bersama Cikgu Hasan dan Abang Roslee menyiapkan beberapa projek sekolah. Projek-perojek itu ialah membuat tembok kenyataan di tepi padang, menaiktaraf laluan di antara bangunan dan memasang besi asas pada dasar kolam di pondok rehat yang baru. Pembahagian pelajar-pelajar tersebut kepada beberapa kumpulan telah berjaya menyiapkan kerja-kerja tersebut.

Kerja lebih seronok apabila kami dihidangkan pula meehun sup oleh pelajar-pelajar perempuan selepas habis buat kerja pada pukul 12.30 tengahari. Kitorang makan dengan penuh selera.... siap tambah lagi. Terima kasih.






Monday, April 19, 2010

MENGENALI POKOK TEDUHAN

Info mengenai pokok teduhan.


  • Kawasan yang dikelilingi dengan pokok-pokok teduhan dan tanaman hiasan lainnya berfungsi sebagai pendingin pasif. Pokok-pokok teduhan mampu mendinginkan suhu kawasan berhampiran sehingga 20 darjah Ferenheit.
  •  Jikaita menenam seekar pokok teduhan setahun, ini bermakna jumlah oksigen yang dihasilkan dapat digunakan oleh 18 orang setahun dengan mengambil anggaran perkiraan 200 gram oksigen dapat dikeluarkan daripada sebatang pokok.

  • Seandainya sebatang pokok berusia 70 tahun mati, sejumlah 3 tan karbon akan kembali ke ruang udara kita. Cuba kita bayangkan berapa tan karbon dioksida tersebar di dalam atmosfera apabila banyak hutan ditebang secara berleluasa.

  • Anggaran purata jangka haya sebatang pokokyang tumbuh di kawasan bandarialah kira-kita setahun sahaja. Oleh itu, sebaiknya kita perlu aktif menanam pokok teduhan sekurang-kurang sebatang pokok di setiap kediaman.

  • Kehadiran pokok serta landskap yang menarik mampu menaikkan nilai hartanah antara 5 - 20 peratus.

  • Hanya dengan usaha menanam sejumlah 10 pokok oleh setiap individu akan dapat membantu menyerap 10 tan gas karbon dioksida yang dihenbus keluar setahun. Sebatang pokok hanya mampu menyerap 1 tan gas karbon dioksida setahun.

  • Dengan menanam pokok teduhan di halaman kediaman, kita telah membantu menyediakan ruang berteduh dan sumber makanan untuk haiwan seperti burung, tupad dan lain-lain.

  • Antara hidupan yang paling lama hidup di muka bumi ini ialah pokok.

  • Kehadiran pokok teduhan yang banyak di halaman mampu membantu kita menjimatkan penggunaan tenaga elektrik untuk penyaman udara antara 10 - 50 peratus.

  • Jika ada ahli keluarga kita kurang sihat, potensi untuk sembuh dengan cepat boleh dicapai. Bilik pesakit tersebut haruslah mempunyai tingkap atau pintu kaca yang luas bagi mendapatkan pemandangan menghijau daripada pokok-pokok teduhan yang ditanam di halaman.

  • Dengan menanam pokok teduhan ini, kehidupan kita akan menjadi lebih tenang kerana ia mampu menyerap bunyi, cahaya dan mengurangkan tiupan angin kuat ke kediaman.

  • Usaha menanam dua batang pokok teduhan ia mampu membekalkan oksigen yang diperlukan oleh empat orang sekeluarga. Dengan nisbah 1 pokok : 2 orang.

Sumber: Laman Edisi 19

Sunday, April 18, 2010

LAMAN TOPIARI

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 18 April 2010


TEKNIK memangkas pokok kepada arca haiwan atau corak geometri seperti silang pangkah, bersegi, bebola dan piramid, menjadi antara kaedah penyeri laman yang terus digemari peminat seni landskap. Malah, hiasan topiari sejak zaman ini menjadi hiasan wajib sempena acara persidangan atau sukan antarabangsa, serta pameran hiasan landskap.

TOPIARI adalah cabang seni memangkas dan membentuk pokok menjadi arca hidup yang sudah wujud sejak zaman Roman iaitu pada abad ke-16 lagi.


Seni topiari mendapat namanya daripada perkataan latin yang bermaksud tukang penghias landskap atau perkataan ‘topiarius’ (pencipta) dan ‘topia’ bermaksud tempat. Pada zaman Rennaisance pula, kediaman raja seperti istana serta rumah bangsawan dan villa yang dilengkapi laman luas dihiasi dengan topiari dengan corak geometri seperti silang pangkah, bersegi, bebola dan piramid. Taman topiari yang wujud pada zaman itu biasanya berbentuk simetri yang mana pola sisi kanan dan kiri taman adalah sama.

Biarpun zaman berubah, seni hiasan topiari tidak pernah tenggelam. Ia sebaliknya terus diminati dan jika dulu terhad di laman orang kaya, kini ia menghiasi laman golongan pertengahan.

Antara pokok yang serasi dengan seni hiasan topiari ini ialah jenis berdaun kecil yang boleh dibentuk seperti kemuning, beringin kuning (Ficus Benjamina), pokok Ara (F Nitida variegata) dan daun teh. Pokok seperti bunga kertas, bunga raya dan melur juga dikatakan sesuai membentuk topiari.

Beberapa jenis tumbuhan lain yang digunakan dalam seni hiasan bonsai juga sesuai digunakan dalam topiari. Biasanya tumbuhan renek dan sederhana serta kekal hijau adalah pilihan utama dalam hiasan topiari.


Pada asalnya, bentuk yang dihasilkan untuk tumbuhan dalam seni topiari dibentuk menggunakan kepakaran dan kesabaran tukang penghias landskap membentuk arca hidup berkenaan. Namun, pada zaman moden, asas bentuk dihasilkan melalui kerangka besi atau dawai mata punai, serta plastik dan bahan sintetik.

Pokok pagaran yang menjadi pemisah ruang dan penghadang adalah contoh topiari yang ringkas dan mudah dibina. Seni topiari sebenarnya berubah mengikut zaman dan pernah dilupakan pada satu ketika dan kembali mewarnai seni hiasan taman pada abad ke 19.

Seni hiasan topiari terkini juga bentuknya lebih bebas dan artistik. Pada suatu ketika, hiasan topiari menjadi aliran semasa yang mana ia dibentuk menyerupai haiwan dan karektor kartun.

Pada awal 1960-an, Walt Disney membawa era baru dalam hiasan topiari apabila meminta pakar seni hias landskap membentuk watak koleksi kartunnya menjadi topiari di taman temanya di Disneyland. Malah, topiari menjadi hiasan kekal untuk seluruh taman tema yang dibangunkan syarikat berkenaan di seluruh dunia. Aliran itu kemudian seakan-akan sinonim dengan mana-mana taman tema lain yang ada di dunia.

Seterusnya, hiasan topiari menjadi seakan-akan hiasan wajib bagi lambang korporat syarikat besar yang menghiasi ibu pejabat dan cawangannya.

Malah, di Malaysia sejak 1980-an apabila bertambahnya kewujudan majlis daerah dan perbandaran, seni hiasan topiari terus mendapat sambutan. Sehingga kini, hiasan topiari seperti wajib jika ada acara besar seperti sukan antarabangsa, pameran hiasan landskap dan persidangan antarabangsa selain turut menghiasi taman awam.

Kini, wujud hiasan topiari tiruan yang mengambil konsep pokok krismas, yang mana pokok sementara dengan hiasan topiari menjadi penghias landskap untuk acara atau upacara tertentu seperti promosi untuk sambutan hari raya dan festival beli belah.

Seni memangkas pokok ini tidak akan ditelan zaman, sebaliknya akan terus kekal tetapi disesuaikan dengan aliran semasa seni hiasan landskap.

INFO: Laman topiari

Tumbuhan lain yang sering dipilih untuk hiasan topiari Buxus sempervirens, arborvitae (Thuja spp.), bay laurel (Laurus nobilis), holly (Ilex spp.), myrtle (Eugenia or Myrtus species), yew (Taxus species), and privet (Ligustrum species.)

INFO: Antara cara membuat topiari

  • Sebelum pokok ditanam, biasanya kerangka bentuk dibina terlebih dulu menggunakan dawai mata punai. Kemudian tanam pokok berhampiran bentuk yang telah dibuat. Biasanya apabila pokok sudah matang dan mampu mengikut acuan dawai berkenaan baru pokok dipangkas mengikut bentuk acuan.
  • Jika tidak sabar pokok membesar, kini ada cara mudah untuk membuat hiasan topiari. Tidak sampai satu hari topiari dapat terbentuk indah. Caranya dengan meletakkan tanaman dalam pasu dalam kerangka dawai hiasan topiari. Biasanya usia tanaman untuk topiari mudah ini perlu berusia 10 minggu dan lebih daripada itu.
  • Satu lagi cara dengan meletakkan tanah dalam kerangka dawai dan pindahkan pokok daripada beg semaian ke kerangka besi yang dipenuhi tanah berkenaan. Cara ini lebih mudah tetapi pastikan pokok yang ditanam berusia 10 minggu dan tidak ada masalah untuk tumbuh selepas dipindahkan.

Saturday, April 17, 2010

SEMAIAN DAH BERCAMBAH

Pelajar-pelajar Tingkatan 4L gembira apabila mereka kompeten dalam pentaksiran membiak tumbuhan hiasan. Mereka membiakkan tumbuh-tumbuhan hiasan dengan menggunakan biji benih besar, keratan batang dan rumpun. Tumbuh-tumbuhan yang disemai dah mula bercambah dan tumbuh membesar. Tumbuhan yang dipilih untuk dibiakkan ialah mengkudu belanda, pinang manila dan lidah jin. Selepas ini kerja-kerja menyenggara seperti menyiram, merumput dan membaja anak-anak tumbuhan hiasan tersebut akan dilakukan .




MEMASU POKOK HIASAN

Dalam minggu ini pelajar-pelajar Tingkatan 4L membuat kerja-kerja memasu anak-anak pokok hiasan. Pokok atau tumbuhan hiasan yang dipilih ialah bunga kertas dan lidah buaya. Pelajar-pelajar ini diberi tunjuk ajar oleh guru-guru pelatih dari Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu Cik Aisyaf Fariza Binti Abdullah dan Cik Ana Fadzlina Binti Borhan. Pokok-pokok hiasan dalam pasu ini apabila besar nanti akan dipindahkan dan diletakkan di kawasan sekolah. 






Wednesday, April 14, 2010

MEREKABENTUK TAMAN YANG IDEAL

Taman Sebagai Sebahagian DaripadaTempat Tinggal


Kawasan di sekitar rumah merupakan ruang yang berharga yang boleh menambah ruang kehidupan kita dan mendapat keseronokan daripadanya. Taman mempunyai lantai, dinding, perabot, perkakasan, pencahayaan dan tema yang berbeza. Taman juga mempunyai siling yang mungkin dalam bentuk kanopi pokok dan pergola.

Berikut adalah perkara-perkara yang perlu difikirkan dan patut dibuat untuk menjadikan taman yang dibina itu menjadi sebuah taman yang ideal.

1. Merancang Untuk Beristirehat Di Luar Rumah Dalam Sebuah Taman


Taman seperti rumah boleh dianggap sebagai tempat tinggal. Taman yang ideal bukan sahaja cantik tetapi memenuhi keperluan penggunanya. Bagi sesetengah orang, taman adalah sebuah kawasan yang harmoni. Mereka begitu gembira menggali, menanam, memangkas dan menikmati buah-buahan hasil tanaman mereka yang memenuhi selera dan menyenangkan mata memandang. Bagi sesetengah orang lain pula taman sebagai tempat yang tenang untuk beristirehat, selain tempat/ruang untuk melayan tetamu serta untuk memasak dan menikmati makanan. Bagi kanak-kanak pula taman merupakan tempat untuk bermain sama ada main soro-sorok atau main lompat-lompat. Merekabentuk taman yang dapat memenuhi gaya hidup seseorang dan kelihatan bergaya sambil memuaskan hati merupakan satu cabaran dan satu keseronokan. Oleh kerana itu, semasa merancang untuk merekabentuk dan membina taman perkara-perkara berikut penting untuk diteliti dan diguna pakai:


  • Persekitaran setempat - Rekabentuk dan pembinaan taman hendaklah mengambil kira dengan persekitaran setempat seperti jenis tumbuhan, iklim, jenis tanah, dan lain-lain.
  • Penyesuaian dengan cuaca - Cuaca mempengaruhi pertumbuhan tumbuh-tumbuhan taman. Cuaca yang ekstrim mempengaruhi ketahanan tumbuh-tumbuhan dan struktur binaan taman.
  • Personaliti dan gaya hidup - Sesuaikanlah rekabentuk taman dengan personaliti dan gaya hidup penggunanya.
  • Mengubahsuai taman mengikut keperluan - Binalah taman yang dapat diubahsuai pada masa-masa tertentu tanpa menjejaskan ruang dan kawasan sedia ada.

 2. Menilai Lokasi/Kawasan Taman


Jika anda hendak mereka bentuk taman atau mereka bentuk semula taman di kawasan sekeliling rumah supaya kelihatan menarik, praktikal dan memenuhi keperluan anda, anda perlu mencari semua maklumat mengenai taman tersebut. Ini termasuklah memastikan ukuran taman, dan mencari sebanyak mungkin maklumat mengenai ciri-ciri fizikal taman tersebut. Gunakanlah kertas, pensel, pita pengukur, dan buatlah sedikit kajian dengan merekodkan segala pemerhatian, dan melukis secara kasar gambaran taman yang dikehendaki. Maklumat-maklumat ini merupakan asas kepada reka bentuk taman yang menarik.

  • Pemandangan yang menarik - Taman yang dibentuk mestilah mempunyai pemandangan yang cantik dari pelbagai sudut. Mungkin berlatar belakangkan padang rumput, bukir bukau, tasik dan lain-lain.
  • Aspek dan kesan - Rekabentuk taman semestinya memberi kesan yang mendalam kepada penggunanya sama ada melalui penglihatan, pendengaran, atau perasaan.
  • Sebagai teduhan - Lebih menarik dan lebih berkesan jika rekabentuk taman mempunyai tempat-tempat berteduh melalui binaan pergola, gazebo atau silara tumbuhan taman.
  • Dari pemerhatian kepada perancangan berskala - Perhatikan ruang dan kawasan taman secara keseluruhan lalu buat perancangan rekabentuk taman dengan skala yang tertentu dan sesuai. Manusia dan haiwan dijadikan bahan rujukan.
  • Jenis tanah dan penanaman - Perhatikan dan cari maklumat mengenai jenis tanah di kawasan landskap. Ini akan membantu untuk membuat pemilihan jenis tumbuh-tumbuhan taman yang sesuai dan dapat hidup subur.
  3. Mereka Bentuk Taman Yang Bergaya

Reka bentuk taman yang baik merupakan sesuatu yang ringkas dan memenuhi keperluan sama ada untuk gaya formal, tak formal atau gabungan kedua-duanya. Reka bentuk seharusnya memenuhi keperluan anda, mencerminkan personaliti anda, dan berada dalam keadaan harmoni dengan persekitaran. Sesuatu reka bentuk yang berjaya boleh diperolehi melalui pemerhatian, peraturan-peraturan mudah untuk memanipulasi ruang dan memberikan warna, paten dan tekstur.
  
  • Gaya taman - Sebaik-baiknya sebuah taman mempunyai gaya, tema dan konsep yang nyata sebagaimana yang dikehendaki oleh pengguna.
  • Bekerja dengan ruang - Taman seharusnya mempunyai ruang yang mencukupi untuk penggunanya bergerak sama ada berjalan, duduk, melompat, bekerja, dan lain-lain.
  • Kesan corak - Corak rekabentuk taman mungkin pelbagai yang dapat memberi gambaran kepelbagaian jenis tumbuhan, cara susunan tumbuhan, dan susun atur pearbot taman.
  • Penggunaan warna - Gunakanlah warna yang berbagai tertapi tersusun untuk meningkatkan seri taman terutamanya kepada warna tumbuh-tumbuhan.
  • Eksploitasi tekstur - Jika boleh eksploitasi tekstur tumbuh-tumbuhan dan struktur binaan dari segi besar kecil, susunan tinggi rendah, dan panjang pendek agar taman itu seolah-olah semula jadi.
  4. Mereka Kerangka Taman

Kerangka taman bukan sahaja melibatkan ukur keliling dan pembahagian dalaman tetapi juga menentukan cara kita bergerak dalam ruang tersebut dan bagaimana kita menyusun atur setiap ruang. Kawasan ini mestilah praktikal dan ada nilai-nilai estetika. Taman sepatutnya mempunyai ruang yang besar/bersesuaian, pemandangan yang indah, udara yang segar, cahaya matahari dan suasana yang selesa. Pilihlah bahan-bahan yang sesuai untuk taman anda supaya kelihatan cantik, bergaya dan praktikal dan tujuan taman dibina.
  
  • Dinding - Boleh jadi tumbuh-tumbuhan pagaran atau tumbuhan renek yang disusun rapat dan dipangkas pucuknya.
  • Pintu masuk - Binalah pintu masuk atau gerbang ke kawasan taman yang menarik dan bergaya daripada bahan-bahan seperti kayu, batu, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
  • Siling - Siling taman mungkin dalam bentuk silara/kanopi tumbuh-tumbuhan naungan, pergola dan tumbuhan memanjat di atas para.
  • Lantai - Taman yang menarik mempunyai lantai seperti rumput turf, siar kaki dan batu-batu kecil
  • Aras - Aras tanah yang tinggi rendah lebih menarik jika dibandingkan aras yang mendatar. Bina dan bentuklahlah busut-busut atau bukit-bukit mini untuk menambah nilai taman.
  • Bentuk dan fungsi - Kerangka taman yang hendak dibina mestilah mempunyai fungsi yang dikehendaki oleh pengguna. Taman direkabentuk setelah perbincangan dilakukan antara tuan punya, perekabentuk, dan kontraktor.

 5. Hiasan dan Susun Atur Taman

Hiasan dan susun atur taman seharusnya seperti di dalam rumah. Perhiasannya mungkin daripada struktur-struktur yang menarik, gazebo, pancutan air, ataupun pasu terra-cotta. Pencahayaan boleh menambahkan kecantikan taman pada waktu malam.
  
  • Prinsip-prinsip menghias - Berbincanglah dengan profesional mengenai prinsip-prinsip menghias di taman.
  • Menanam - Tumbuh-tumbuhan taman hendaklah diatur/disusun dan ditanam mengikut prosedur penanaman yang betul supaya ia tumbuh dengan sempurna.
  • Perabot taman - Pemilihan perabut taman disesuaikan dengan konsep taman yang dikehendaki oleh tuan punya atau pengguna taman dan juga keluasan taman.
  • Ciri-ciri khas/istimewa - Buat dan bina ciri-ciri khas taman atau titik tumpu supaya taman lebih kelihatan menyerlah, istimewa, dan berkesan di hati bagi sama ada pengguna lama atau pengguna baru. Ia mungkin air pancut, replika, binaan, kolam dan lain-lain.
  6. Konsep Dalam Reka Bentuk Taman Yang Baik

 Reka bentuk taman yang baik merupakan hasilan daripada perancangan yang teliti. Taman tidak terjadi begitu sahaja. Ia berkait rapat dengan tempat, kehendak, dan dapat memenuhi keperluan pengguna/keluarga. Taman yang baik juga mempunyai konsep-konsep tertentu. Ia bergantung dengan keinginan dan kehendak pengguna atau tuan punya taman tersebut. Antara konsep-konsep taman adalah:

  1. Taman permainan.
 2. Taman bukit bukau.
 3. Taman rekreasi.
 4. Taman bunga warna-warni.
 5. Taman oasis
 6. Taman air.
 7. Taman hutan bandar
 8. Taman Bali.
 9. Taman BBQ.
 10. Taman pemuzik.
 11. Taman membaca.
 12. Taman kanak-kanan.
 13. Taman berjogging, dan lain-lain.

 TAMAN BERSERI MENAWAN HATI

Tuesday, April 13, 2010

TAMAN MERDEKA

Taman Merdeka terletak di Tasik Utara, Bandaraya Johor Bahru. Ia bersebelahan dengan Padang Golf Tasik Utara dan berdekatan dengan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Hutan Bandar. Ia mudah dikunjungi sebab terletak di tepi jalan. Taman Merdeka merupakan antara destinasi sesuai untuk menghabiskan masa bersama keluarga, tambahan pula lokasinya yang berhampiran dengan pusat bandar raya.  

Dibina di kawasan seluas 12 hektar, pembangunan Taman Merdeka itu dibahagikan kepada tiga fasa yang menjurus kepada semangat patriotik dan perjuangan kemerdekaan pada zaman dahulu.

Terdapat Laman Peringatan Sultan Abu Bakar, Laman Peringatan Penjajahan Jepun dan Promenade Perarakan Merdeka yang menjadi tunjang pembangunan untuk fasa satu projek Taman Merdeka.

Tiga jenis taman dibina di laman itu dan ia dibahagikan kepada tiga aras berbeza iaitu taman bunga, taman dipenuhi pokok jenis Topiary dan laman berumput dari jenis Meadow yang luas bersesuaian dengan konsep kehidupan Barat.

Laman ini turut dilengkapi dengan kios dan wakaf bercirikan Inggeris sebagai pelengkap kepada konsep yang dikhususkan kepada laman tersebut. Turut diwujudkan di sini, taman pasir dan batu yang berkonsepkan Taman Jepun bagi merealisasikan cara kehidupan masyarakat negara matahari terbit itu.

Laluan pejalan kaki, gazebo yang bercirikan senibina Melayu seperti yang terdapat di Laman Melayu serta panel-panel grotto atau tembok di dalam tasik menceritakan tentang sejarah Tanah Melayu dan proses yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Selain itu terdapat beberapa lagi ciri-ciri tambahan yang disediakan kepada para pengunjung untuk fasa pertama di Taman Merdeka itu, antaranya Pondok Stesen Buggy, Tandas Taman Inggeris dan Restoran Taman Jepun.

Taman Merdeka merupakan satu tempat yang ideal bagi masyarakat khususnya di negeri ini untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga pada hujung minggu. Ia juga merupakan antara tempat yang baik untuk mengimbau sejarah negara Malaysia.








Sunday, April 11, 2010

ALGA KOLAM

Oleh Rohaniza Idris

Berita Minggu 11 April 2010


KEHADIRAN alga atau tumbuhan halus ini baik untuk ekosistem kolam dan laman. Namun, jika terlalu banyak akan memberi kesan sebaliknya seperti mencacatkan pandangan selain menyebabkan hidupan kolam mati. Ketahui cara mudah tangani alga yang tidak diundang ini.





Parasit air: Alga jejaskan warna, hidupan dalam takungan


RAMAI melabelkan rumpai air atau lumut hijau di kawasan lembap sebagai alga walaupun hakikatnya kedua-duanya bukanlah tumbuhan halus berkenaan. Alga adalah tumbuhan paling ringkas iaitu daripada satu sel atau berbilang sel yang kebanyakannya hidup di dalam air dan sangat penting dalam rangkaian makanan rumpai laut. Ada kira-kira 17,400 pelbagai spesies berbeza alga yang ditemui di muka bumi ini. Namun, jenis yang selalu ditemui di laman kediaman dan taman air adalah alga halus dan alga planktonik.

Alga halus termasuklah alga rambut, alga rumpai hamparan dan alga bertali manakala alga planktonik adalah alga biasa yang ditemui di dalam air yang selalu merubah kolam dan kelihatan seperti sup kacang hijau. Lazimnya, alga halus mudah dihapuskan dengan menggunakan tangan manakala alga planktonik sukar untuk dikawal pertumbuhannya kerana ia menjadi sebahagian besar dalam rantaian makanan untuk kolam.

Ia biasanya akan tumbuh seperti baldu di celah batu atau tepian kolam serta menjadi satu keperluan yang memanfaatkan hidupan ekosistem kolam kerana memberi sumber oksigen, bahan makanan ikan dan menjadi tempat teduhan anak ikan menyorok serta bermain.

Cahaya matahari yang berlebihan boleh menyebabkan pertumbuhan cepat alga kolam. Sebelum tumbuhan akuatik membesar dan berkembang, kolam akan menerima cahaya matahari yang banyak.


Keadaan itu menyebabkan alga hidup kerana tumbuhan halus ini menjalani proses fotosintesis. Biasanya alga kolam mulai tumbuh apabila musim hujan berakhir dan bermulanya musim panas.

Kehadiran alga yang banyak di dalam kolam juga tidak baik untuk hidupan kolam dan masalah paling ketara adalah kekurangan oksigen kerana alga menyerap sumber penting berkenaan. Tumbuhan halus ini juga menyebabkan air tidak selamat diminum, membataskan kegiatan rekreasi, menyebabkan masalah kulit dan penghadaman, kematian ikan dan hidupan kolam. Paling ketara tentunya menimbulkan kekurangan oksigen dalam kolam.

Cara menyelesaikan masalah pertumbuhan berlebihan alga adalah dengan mengamalkan cara semula jadi tanpa menggunakan sebarang racun pemusnah yang tidak baik untuk kesihatan penghuni kediaman.

Antara cara paling mudah adalah mengawal cahaya matahari ke dalam kolam, nutrien dan kadar oksigen di kawasan sekitar kolam. Ini boleh dilakukan dengan mengawal ekosistem sekitar kolam.

Biasanya, tumbuhan akuatik mampu melindungi kolam daripada cahaya matahari berlebihan dan memberi oksigen kepada kolam. Pastikan 60 hingga 70 peratus kolam dilindungi daripada cahaya matahari. Selain itu, binaan seperti air terjun dan pancuran air juga membantu mewujudkan oksigen dan seterusnya mengawal kehadiran alga dalam kolam.

Tip atasi lga kolam:

  • Kawal cahaya matahari ke dalam kolam, nutrien dan kadar oksigen di kawasan sekitarnya.
  • Pastikan 60 hingga 70 peratus kolam dilindungi daripada sinaran matahari.
  • Gunakan pencelup khas bagi mengawal pancaran cahaya matahari ke dalam kolam.
  • Kerap bersihkan kolam dan hadkan jumlah ikan di dalamnya.
  • Pastikan jangan terlebih memberi makanan kepada ikan.
  • Kawal kehadiran oksigen dengan menggunakan sistem pengudaraan kolam atau bina air terjun, pancuran air.

Thursday, April 8, 2010

DAMAI DI DEPAN MATA




Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 28 Mac 2010


KUNJUNGAN beberapa kali ke Bali dan beberapa wilayah lain di Indonesia, menjadi cetusan idea kepada Herman Jaafar menata hias lamannya dengan konsep Bali. Malah, kediamannya dinamakan sebagai Norman D Bali gabungan nama beliau dan isterinya Normah Haring menggunakan hiasan yang kebanyakannya diimport dari wilayah seberang itu.


Menggunakan kayu nyatoh, dan khidmat tukang ukir serta pereka laman dari seberang, Herman tidak lokek berbelanja untuk menghias laman sekangkang kera yang hanya boleh memuatkan dua buah kereta saja. Dengan bantuan rakannya yang juga pereka laman, ruang balkoni dan tempat letak kereta rumah tiga tingkat di lereng bukit diubahsuai menjadi kawasan laman yang sejuk dan mendamaikan dengan dua kolam serta sebuah dinding pancuran air. Pintu masuk dilengkapi dengan pintu gerbang ala Bali menggunakan atap daripada batu lahar gunung berapi yang dibeli di Indonesia. Pagar hadapan dipecahkan dan dibangunkan dengan pintu gerbang berkenaan yang mana salah satu dihiasi pintu berdaun kayu nyatoh dengan motif bunga dengan tiga anak tangga.

Di kiri kanan anak tangga, dihiasi pasu tembikar dan kayu dengan pohon kemboja, kelapa dan Rhoeo spathacea R discolor bagi menghijaukan ruang. Batu kerikil dan sungai menghiasi anak tangga, manakala kolam comel menyambut tetamu yang masuk melalui pintu daun itu.

Di dalam kolam itu diletakkan tiga pancuran air bertingkat manakala ikan koi berenang cantik menghidupkan lagi suasana laman konsep Bali berkenaan. Hiasan mini lesung batu dan periuk tersusun cantik tepian kolam.

Di kanan pintu gerbang, berdiri teguh pintu pagar kayu manakala nombor kediaman dari ukiran kayu dilekat pada kayu sungai sebagai mercu tanda kediaman. Motif bunga teratai melengkapkan lagi tiang pintu gerbang dan menyerlahkan konsep seni hias Bali yang mahu diketengahkan pemilik kediaman.


Bumbung tebar layar dibina menutup bumbung anjung kediaman yang menurut Herman adalah idea pereka lamannya yang menampilkan hiasan kayu corak pucuk paku.

Hiasan yang sama menjadi penghias pintu daun untuk masuk ke kediaman manakala batu pasir dan marmar melengkapkan tiga anak tangga masuk ke kediaman.

Di kiri kanan laman dihiasi pelbagai jenis pohon tropika yang ditanam dalam pasu selain pasu kecil, turi dan tempayan tanpa tanaman menjadi aksesori laman. Batu sungai dan kerikil berwarna kusam menutup cela tanah dalam pasu. Selain pohon dalam pasu, ada beberapa jenis tumbuhan menjalar dan memanjat ditanam di kiri dan kanan ruang anjung.

Herman seorang guru berkata, beliau sangat meminati penataan hias laman konsep Bali terutama seni hias dan kraf kayu yang unik.

Katanya, beliau menggunakan hiasan kayu, binaan kolam dan pancuran air serta menanam pokok tropika bagi menggantikan penggunaan patung dan motif binatang yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Melayu dan Islam.

“Saya menggunakan bantuan pereka laman yang berasal dari Indonesia untuk membangunkan laman ini, bagaimanapun kerja menyelenggara laman termasuk merawat dan membersihkan kolam saya lakukan sendiri,” katanya yang baru dua tahun menduduki kediamannya itu.

Beliau yang masih berhajat menambahkan lagi hiasan landskap, menggunakan masa hujung minggu untuk menanam sendiri pokok seperti calathea, kemboja, orkid liar dan paku pandan untuk lamannya.

“Saya mendapatkan pokok seperti paku pakis dan orkid ketika berkelah bersama keluarga di kawasan rekreasi seperti air terjun dan hutan dara. Jarang saya membeli pokok di nurseri sebaliknya rakan yang tahu minat saya, menghadiahkan pokok seperti tanduk rusa dan kemboja,” katanya yang kini merancang untuk menghiasi ruang dalaman kediaman dengan konsep yang sama.

Menariknya, laman kediaman Herman seakan bertingkat kerana kedudukan kediamannya terletak di kawasan lereng bukit. Tangga menuju ke ruang bawah tanah dihiasi pepohon hijau dipanggil daun teh manakala pemegang tangga kayu bercorak awan larat turut ditutup pepohon hijau.

Bunyi air yang jatuh di dinding tembok mendamaikan suasana ditambah dengan kolam cetek yang menyambut tetamu ke ruang bawah tanah. Ikan koi pelbagai warna berenang cantik di dalam kolam manakala pemijak kaki dijadikan titi masuk ke ruang bawah tanah. Pohon seperti keladi, paku pandan, calathea menghiasi tepian kolam dan pohon kemboja masih menjadi penghias wajib di dalam pasu bercorak di tepi tangga.

Paling menarik laman milik Herman adalah balkoni yang menjadi ruang menyambut tetamu dan keluarga beristirahat dihiasi pelbagai jenis perabot dan hiasan kayu.

Bangku panjang ditempah khas menggunakan kayu landasan kereta api, manakala kerusi tiga dudukan dihiasi kusyen lembut dengan motif kain batik jawa. Lukisan besar batik jawa menjadi titik tumpu balkoni.

Katanya, lukisan batik jawa dibeli di Bali selepas tertarik dengan bingkai kayu dan batu sungai dipotong serong yang jarang dijumpai ditempat lain.

“Paling saya sayang hiasan tiga papan petai kering yang dibeli di Thailand selain kalong lembu dari kayu dan loceng angin daripada buluh,” katanya.

Meja kopi di balkoni dihiasi sebakul buah manggis, ketapang kering serta kayu hanyut yang menyerlahkan lagi ruang istirahat keluarga itu. Buah manggis dan ketapang itu saya kutip di kampung dan dikeringkan untuk dijadikan hiasan.

Paling menarik, pintu lipat empat daun menggantikan pintu gelungsur dihiasi corak menarik satu keunikan yang jarang dilihat dalam seni kayu di negara ini.

Menurut Herman beliau pada asalnya mahu balkoninya dibiarkan terbuka tanpa sungkuap kerana mahu beristirahat sambil melihat bintang di langit. Namun, atas nasihat pereka lamannya, sungkuap diletakkan kerana hujan dan panas boleh merosakkan kayu dan hiasan di balkoni berkenaan.

“Saya paling suka pintu lipat daun empat itu kerana ia diukir sendiri pakar yang berasal dari Bali, malah corak motif tumbuhan dengan ruang udara menyejukkan lagi ruang kediaman dalam rumah. Dalam masa yang sama, bunyi air dari kolam boleh menembusi masuk ke dalam rumah yang mendamaikan lagi suasana,” katanya.