Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Friday, March 18, 2011

LANDSKAP TINGKATKAN KUALITI HIDUP MANUSIA

Sumber: Utusan Malaysia 17 Mac 2011



RAMAI tidak sedar kebanyakan bencana yang berlaku hari ini berpunca daripada pembangunan yang tidak mengambil kira aspek rantaian ekologi dengan sebaik mungkin. Tragedi tsunami pada 2004 yang turut memberi kesan pada negara ini terutama di kawasan utara tanah air mungkin dapat dikurangkan jika sistem landskap semulajadinya iaitu hutan paya bakau masih memenuhi sepanjang pantai di kawasan terlibat.

Sebab itu, isu rantaian ekologi ini menjadi su global yang perlu diberi perhatian. Ia sebenarnya bermula dengan pembangunan landskap yang menitikberatkan rantaian ekologi.

Di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, keutamaan diberikan kepada pembangunan landskap sebelum sesebuah bandar dibangunkan. Maknanya, seni bina landskap bukan satu bidang yang remeh dan bukan sekadar untuk mencantik dan mengindahkan sesuatu kawasan.

Ia sebenarnya membabit keseimbangan antara pembangunan fizikal dengan kelestarian alam semula jadi. Jika di laksanakan dengan terancang ia juga boleh mengurangkan kesan bencana alam seperti tsunami. Tetapi bidang seni bina landskap mungkin jarang didengari. Ramai yang tidak tahu bahawa bidang ini adalah satu bidang profesional. Setaraf dengan bidang-bidang lain seperti arkitek, kejuruteraan, doktor, peguam dan sebagainya.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa bidang ini adalah terhad kepada pokok-pokok hiasan sahaja. Namun hakikatnya tidak begitu.

“Landskap ialah tentang bagaimana anda uruskan alam sekitar kurniaan Tuhan dan beri balik kepada manusia,” ulas Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Mohd. Fadrillah Mohd. Taib.

Menurutnya, dalam masa 10 hingga 15 tahun lagi landskap di Malaysia akan dilihat sebagai satu profesion yang amat penting.

“Pelajar jurusan landskap kini adalah golongan profesional yang dilihat sebagai aset terpenting negara. Kerja mereka nanti bukanlah sekadar menanam pokok, malah menggabungkan elemen teknologi tanpa mengabaikan ekologi dunia. Mereka juga mempunyai tugas besar untuk membuatkan masyarakat agar lebih sensitif dengan alam semula jadi,” ujarnya.

Katanya, pembangunan landskap ini tentang bagaimana mengambil anugerah Allah tanpa mengabaikan rantaian ekologi walaupun pada mikrob dan serangga kecil. Ia adalah pencetus kepada kehidupan yang dapat kita teruskan sehingga hari ini.

Di Malaysia mungkin masih terlalu awal tapi ia sedang dalam proses kerana untuk memastikan pembangunan landskap terbaik memakan tempoh masa yang lama.

“Sebagai contoh dulu mungkin kita tidak mempunyai laluan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) namun kini laluan seperti ramp sudah mula diberi perhatian khusus dalam membangunkan sesuatu landskap,” jelasnya.

Tambah Mohd. Fadrillah, graduan pertama dalam bidang pembangunan landskap ini mula dilahirkan pada tahun 1996 oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sejak dari itu, pelbagai usaha dalam memastikan sukatan pelajaran mereka menepati keperluan manusia hari ini.

“Kalau di Amerika Syarikat, landskap adalah perkara asas yang paling diutamakan sebelum memulakan satu perancangan bandar. Kenapa landskap amat perlu dititikberatkan? Kita lihat sebagai contoh, Allah menganugerahkan tanah yang mempunyai pelbagai bentuk seperti bergunung-ganang. Tapi manusia yang tidak bertanggung jawab dengan rakusnya meratakan tanah, mengubah aliran air semula jadi ke longkang, bagaimana kedudukan tanah itu, struktur tanah itu sesuai atau tidak, adakah ia menjejaskan ekologi kawasan reka bentuk tanah di kawasan itu dan sebagainya,” tegasnya.

Tambahnya, landskap sebenarnya membolehkan perancangan ruang kehidupan dibuat untuk meningkatkan kualiti hidup manusia.

“Dalam jangka masa panjang, profesion ini akan bertambah maju. Sudah tentu kita semua mahukan rumah yang selesa, nyaman dan memberikan ketenangan. Kenapa banyak rumah kini dibina halaman, ia bukan berfungsi untuk mencantikkan sahaja, malah yang paling penting halaman itu memberikan pengudaraan yang baik. Banyak oksigen masuk, lebih tenang, mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa dan sekali gus menjaga alam sekitar, inilah yang perlu dilihat oleh manusia,” kata Mohd. Fadrillah.

Sebagai Arkitek Landskap, tugasnya bukan hanya terhad kepada pokok-pokok semata bahkan memikirkan semua elemen seperti teknologi, konservasi dan banyak lagi.

“Saya percaya masyarakat kita ini akan berubah sensitiviti terhadap alam sekitar kerana terlalu banyak bukti-bukti nyata pengabaiannya yang memberi kesan negatif terhadap manusia sejagat. Lihat saja contohnya seperti tsunami, pemanasan global, ini semua terjadi kerana rantaian semula jadi telah dirosakkan oleh manusia. Kalau satu rantaian dimusnahkan pasti akan mendatangkan masalah untuk kita juga. Faktor alam semula jadi perlu diberi perhatian sebelum apa jua jenis pembangunan dimulakan,” jelasnya yang juga akan menganjurkan persidangan tentang pembangunan landskap di Putrajaya pada 30 Mac ini.

Antara universiti yang menawarkan pengajian dalam Seni Bina Landskap, ialah Universiti Putra Malaysia (UPM).
 Pensyarah di Jabatan Landskap UPM, Dr. Nor Atiah Ismail berkata, jurusan itu memerlukan pelajar memerah otak menzahirkan idea kreatif untuk rekaan masing-masing.
Dr. Nor Atiah (tengah) membimbing pelajarnya menghasilkan projek
cadangan bagi landskap kawasan sensitif di Lembah Bujang, Kedah.

“Adalah amat penting bagi kita memastikan agar minda pelajar ini segar dan tidak dalam tekanan. Sebagai contohnya sewaktu melawat Bangkok baru-baru ini, kami dapat melihat betapa seni bina landskap mereka begitu mementingkan nilai budaya dan agama masyarakat setempat,” jelasnya.


Sunday, March 13, 2011

GUBAHAN MAWAR

Sumber: Berita Minggu 13 Mac 2011

Gubahan Mawar
  • POKOK ros boleh digabung dengan tumbuhan lain.

  • Bekas tanaman seramik, plastik, logam, kayu atau anyaman buluh serlahkan mawar di laman

PROSES kacukan pokok bunga ros atau mawar sentiasa dilakukan bagi menghasilkan pelbagai pokok kacukan atau hibrid yang bermutu tinggi dengan bunganya yang unik dan menarik sebagai tanaman berpasu, pokok sempadan, pokok pagaran, pokok pemanjat dan sebagainya. Oleh itu idea gaya dan cara pamerannya juga boleh dipelbagaikan seperti berikut:


  • Bunga ros sesuai sekali dijadikan bunga keratan untuk gubahan bunga hidup.
  • Pokok bunga ros juga sesuai ditanam dalam pasu sebagai pokok spesimen. Dicadangkan anda menanam pelbagai bentuk, rupa dan warna bunga ros dalam satu pasu untuk pameran pelbagai warna bunganya.
  • Adat pokok ros jenis pemanjat yang boleh ditanam terus di tanah di andam kemas menjadi pokok pagaran, atau boleh dilatih memanjat dinding, tembok, pergola, trellis dan sebagainya. 
  • Bagi peminat bunga ros yang serius anda boleh membina sebuah taman yang ditanam dengan koleksi pokok bunga Ros pelbagai bentuk, rupa dan warna bunganya.
Gaya pameran pokok bunga ros mini

Namun, anda boleh lakukan gaya pameran yang lebih menarik lagi menggunakan sejenis pokok bunga Ros kacukan atau hibrid yang dikenali sebagai ‘Miniature Rose’ atau Ros mini. Ia begitu menarik sekali untuk dijadikan sebagai tanaman atau dipamerkan dalam ‘planter’ atau bekas yang cantik.

Mengikut sejarah, pokok Ros mini ini telah lama ditanam di negara Cina sejak 200 tahun yang lalu. Bunganya bersaiz kecil saja iaitu dengan garisan pusat 1 hingga 2 inci saja. Kelopak bunganya pula sama ada selapis atau tersusun beberapa lapisan dalam pelbagai warna yang menarik seperti merah muda, oren kemerahan, putih, merah terang, dan juga campuran pelbagai warna yang lebih unik serta menarik.

Ia biasanya dijual sebagai pokok untuk dihadiahkan kepada seseorang tersayang untuk memperingati hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.

Pertumbuhan pokoknya yang hanya setinggi 6 hingga 12 inci saja itu sangat sesuai untuk dijadikan hiasan dalaman seperti menghiasi meja tulis, meja di ruang tamu kediaman dan juga pejabat.

Bagi menghasilkan pameran yang cantik dan menarik gunakan pelbagai bekas ‘planter’ yang cantik untuk mempamerkannya. ‘Planter’ di sini merujuk pasu cantik untuk menanam atau mempamerkannya. Ada pelbagai bekas diperbuat daripada seramik, plastik, logam, kayu dan sebagainya atau bahan anyaman seperti raga dan bakul yang boleh digunakan.

Khas untuk pembaca semua saya akan tunjukkan cara mudah mempamerkan pokok Ros mini ini menggunakan raga anyaman yang cantik dan menarik.

Bahannya:

  1. Pokok ros mini dalam pasu plastik (foto 1)
  2. Bakul anyaman (foto 2)
  3. Lumut ‘sphagnum moss’ yang boleh dibeli dari pusat tanaman.
Ikuti langkah mudah mempamerkannya seperti berikut:
  • Langkah 1: Alas beg plastik di bahagian bawah raga. Kemudian letakkan pasu tanaman Ros mini dalam raga berkenaan.
  • Langkah 2: Seterusnya letakkan lumut ’Sphagnum moss’ di bahagian atas medium tanaman dalam pasu orkid agar nampak kemas, cantik dan menarik.
  • Lihatlah hasilnya (foto 3), cantik?

Selain ditanam dan dipamerkan secara solo, pokok Ros mini ini juga boleh digubah bersama dengan tanaman hiasan lain yang berbunga atau berdaun cantik.

Lihatlah hasil idea pameran dan gubahan dalam pelbagai bekas pameran yang diperbuat daripada seramik, plastik, logam, kayu dan sebagainya atau bahan anyaman seperti raga dan bakul.

Selepas ini bolehlah anda mula mengorak langkah menghiasi kediaman anda dengan pokok bunga Ros mini yang hidup dipamerkan dalam ‘planter’ atau sebagai bunga keratan dalam gubahan bunga hidup untuk hiasan meja ruang tetamu atau meja makan sebagai hiasan dalaman.

Selamat mencuba.


Thursday, March 3, 2011

BUAH ROCKMELON? BUAH APA TUUU????

Semasa kitorang buat tapak projek fertigasi rockmelon, ada rakan-rakan yang bertanyakan buah apa yang nak di tanam. Macam-macam yang ditanyakan. Sebenarnya kami pun tak berapa tahu mengenai buah ini. Yang kami tahu buahnya manis, rasanya sedap dan rangup, dan di bahagian dalamnya berwarna oren. Pokoknya melilit ke atas. Daunnya lebar-lebar. Buahnya tergantung. Buah ini jarang-jarang ditemui di gerai-gerai buah di tepi jalan sebab cara penanamannya rumit. Tak boleh ditanam di tanah biasa. Ia ditanam dalam serbuk sabut dengan penanaman guna kaedah fertigasi (air baja dialirkan ke dalam polibeg).

Maklumat daripada Cikgu Hasan Kasmuri, kami dapat foto-foto ini. Cikgu Hasan pernah tanam buah ini di sekolah dan di rumahnya.




Wednesday, March 2, 2011

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON SMK TELOK KERANG KEMBALI LAGI: PELAJAR-PELAJAR MPV LANDSKAP MENYUMBANG TENAGA UNTUK MENJAYAKANNYA

Ahli-ahli Persatuan Landskap pada masa ini tengah sibuk membina tapak dan rumah pelindung hujan (RPH) bagi menjalankan semula projek fertigasi rockmelon sekolah. RPH tersebut dibina di sebuah tapak baru iaitu di sebelah padang sekolah setelah kawasan tapak lama akan didirikan bangunan MPV Landskap.

Projek fertigasi ini dibuat lebih kepada penggunaan pelajar-pelajar Sains Pertanian. Namun demikian sebagai pengayaan dalam p&p, pelajar-pelajar landskap melalui aktiviti dan kegiatan dalam persatuan, mereka juga berminat untuk menyertai projek ini. Biasalah nak makan buah freeeee....

Setakat hari ini RPH dan tapak telah siap. Ada beberapa kerja lagi yang harus dilaksanakan seperti sistem pengairan dan mengisi medium ke dalam polibeg. Mengikut rancangan kami, di bawah RPH nanti terdapat 450 polibeg. Banyak tuuu.... Doakan projek fertigasi rockmelon sekolah kami berjaya. Kami dah tak sabar nak makan buahnya yang manis dan sedappppp.








Monday, February 28, 2011

LAMAN MUDAH ALIH - PENGGUNAAN GreenKit SEBAGAI SISTEM PENANAMAN

Sumber: Berita Minggu 27 Februari 2011

BERCUCUK tanam dalam bekas air? Pelik bukan, tetapi inilah keistimewaan GreenKit atau sistem penanaman dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri. Menariknya, produk rekaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) yang sesuai digunakan pemilik laman terhad seperti pangsapuri dan kondominium ini, turut mengharumkan negara apabila meraih pingat emas dalam pertandingan reka cipta di Korea Selatan, baru-baru ini.

Aktiviti berkebun kini bukan hanya menjadi minat mereka yang tinggal di kampung dan desa, malah mereka ramai yang di bandar besar serta tinggal di rumah pangsa, apartmen dan kondominium juga minat dengan aktiviti berkenaan. Namun, beberapa kekangan seperti kekurangan kawasan tanah, kemahiran dan tiada waktu bagi tumpuan menjaga tanaman menyebabkan hasrat untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam dilupakan.

Menyedari hakikat itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) memperkenalkan satu sistem mudah dan murah dinamakan GreenKit iaitu sistem penanaman pokok di dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri tanpa perlu penyiraman yang kerap.

GreenKit terdiri daripada takungan plastik yang terbahagi kepada dua ruang yang terpisah iaitu takungan air di bahagian bawah dan takungan penanaman mengandungi medium tanaman (tanah) di bahagian atas.

Menariknya, produk yang dibangunkan Mardi ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam pertandingan rekacipta /inovasi di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2010 di Korea pada 2 hingga 5 Disember 2010.

Penyelidik MARDI yang membangunkan teknologi ini, Ab Kahar Sandrang berkata, prinsip dan kaedah GreenKit adalah menyerupai penanaman di kawasan tanah semula jadi, iaitu air di dalam tanah naik ke zon pengakaran dengan tindakan kapilari (saluran halus).

Katanya, lazimnya medium tanaman yang digunakan untuk GreenKit ialah peatmoss, vermiculite dan perlite, namun penggunaan tanah atau sabut kelapa bersama campuran berkenaan juga sesuai digunakan.

“Tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran berdaun dan tanaman hiasan semusim boleh ditanam terus menggunakan biji benih manakala tanaman jangka panjang seperti sayuran berbuah dan ulaman serta pokok hiasan kekal perlu menggunakan benih anak pokok. GreenKit boleh diletakkan di kawasan terlindung atau teduhan atau kawasan terbuka. Satu keistimewaannya, seperti tanaman dalam pasu, GreenKit mudah dipindahkan mengikut kesesuaian dan kehendak pemilik kediaman,” katanya.

Green Kit juga boleh disesuaikan untuk tanaman laman ramuan atau edible garden yang mana komposisi tanaman makanan dan hiasan nisbahnya 70:30. Pengguna juga boleh menyusun GreenKit bertingkat mengikut kreativiti masing-masing.

Kapasiti air di dalam takungan berbeza mengikut saiz GreenKit. Umpamanya GreenKit bersaiz 70 sentimeter (cm) x 24 cm x 20 cm untuk penanaman sayur dan ulaman, kapasiti airnya adalah lapan liter yang mampu membekalkan air selama lima hari hingga seminggu. Bermakna setiap lima hari paras air perlu diperiksa.

Menariknya penyiraman dilakukan melalui tiub yang terletak di bahagian tepi GreenKit manakala baja diberikan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal. Baja cecair dicampur dalam air kerana mudah larut manakala baja tabur dalam bentuk biji ditabur di atas medium atau digaul dan dimasukkan dalam takungan air.

Kebersihan GreenKit adalah langkah utama dalam pengurusan penyakit. Keadaan persekitaran yang terlalu lembap dan kotor boleh meningkatkan kejadian serangan penyakit. Jika terdapat tanda penyakit, bahagian yang dijangkiti perlu dibuang.

Penggunaan racun kimia perlulah dielakkan, namun racun biologi atau organik sangat digalakkan penggunaannya. Dalam pada itu, perosak utama tanaman GreenKit ialah serangga pemakan daun. Cara paling berkesan mengurangkan masalah berkenaan adalah dengan menggunakan penghalang fizikal seperti net atau kelambu tanaman. Jika berlaku serangan perosak yang amat serius, penggunaan racun organik sangat digalakkan.

Penanaman dengan GreenKit boleh menggabungkan beberapa jenis tanaman, namun disyorkan kombinasi perlukan keperluan air dan cahaya matahari yang sama. Jumlah jenis tanaman mestilah cukup untuk satu hidangan mengikut saiz bekas GreenKit yang digunakan.

Selain digunakan oleh suri rumah sesuai dengan kempen hijau yang dijalankan kerajaan, GreenKit juga sesuai dijadikan model pembelajaran untuk pelajar sekolah kerana kotak tanaman ini mudah, murah dan bebas daripada bahaya pembiakan Aedes, malah boleh ditinggalkan tanpa pengurusan yang rapi, serta sesuai untuk mereka yang sibuk serta tiada masa menyiram pokok setiap hari.

Bagi mereka yang berminat boleh hubungi MARDI di Peti Surat 12301, Pejabat Pos Utama, 50774 Kuala Lumpur atau emel kepada skahar@mardi.gov.my.

INFO: Tanaman GreenKit

  • Ulaman dan Sayur Berkayu - Pokok Gajus, Tenggek Burung, Beluntas, Peria Pantai, Limau Purut, Cekur Manis dan Daun Kari
  • Ulaman dan Sayuran Tidak Berkayu - Ulam Raja, Pudina, Pegaga, Kaduk, Kucai, Kesum, Selom, Cekur, Pandan Wangi, Kunyit dan Serai.
  • Buah-buahan - Betik, Jambu, Belimbing, Mangga, Limau Kasturi, Ciku, Kedondong dan Delima.
  • Tumbuhan Hiasan - Ati-ati, Resam Batu, Keladi, Crytandra, Globba, Homalomena dan Humilis.
Kelebihan dan Kebaikan GreenKit

  •  
  • Biasanya Green Kit digunakan untuk pokok renek dan kini boleh digunakan untuk sederhana besar dalam bekas tanaman yang lebih besar.
  • Pokok seperti limau purut, tenggek burung, bebeuas, peria pantai, jambu batu dan kedondong juga boleh ditanam dalam Green Kit.
  • Pertumbuhan akar dalam Greenkit terbatas menyebabkan pokok berkenaan menjadi renek namun hasil atau buah tetap sama.
  • Bagi pokok berkayu seperti tenggek burung dan gajus, pemotongan pucuk untuk ulaman dapat mengawal pembentukan saiz kanopi yang terlalu besar sebaliknya pokok menjadi renek atau saiz lebih kecil.
Mengatasi masalah penyiraman yang perlu dilakukan setiap hari

Wednesday, February 23, 2011

KAMI YANG CUN PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 5 LANDSKAP 2011


 
Dari kiri Asward, Abdul Rahman, Noratika, Syukri, Paizal, Nor Jannah, Mawaridi,
Norsyuhada, Azeem, Norafazira, Raffi, Nur Amyza, Fauzan, Siti Khajar, Kamil,
Nurul Nazua, Hamizan, Nur Azlan, Hasrul, dan Aspi

Wednesday, January 26, 2011

PELAN INDUK LANDSKAP: SATU PENDEDAHAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 5 LANDSKAP

Pelajar-pelajar Tingkatan 5 Landskap yang dah mula belajar proses mereka bentuk landskap berminat kepada lukisan pelan induk landskap. Lukisan ini cantik berwarna-warni. Tetapi sebelum mereka dapat melukis lukisan ke tahap membuat pelan induk landskap, mereka mesti belajar asas reka bentuk landskap terlebih dahulu.

Jenis pelan landskap:
  1. Pelan asas.
  2. Pelan inventori dan analisis.
  3. Maklumat bertulis.
  4. Pelan konsep.
  5. Pelan induk landskap.
  6. Pelan penanaman.
  7. Lukisan pembinaan.
Pelan induk landskap menerangkan dengan terperinci idea, konsep dan program yang dicadangkan untuk pelaksanaan pembinaan sesuatu landskan atau taman. Ia menunjukkan simbol landskap yang jelas bagi mewakili semua elemen yang dicadangkan atau yang dikehendaki oleh pemunya landskap.