|  | 
| 
KERJAYA arkitek landskap sudah lebih 30 tahun  bertapak di Malaysia. | 
Sewaktu bergelar arkitek landskap kira-kira tiga tahun lalu, penulis 
masih teringat pengalaman bekerja selama 18 jam sehari terutama 
menjelang tempoh penawaran tender dan tarikh akhir penyerahan dokumen 
kepada pihak berkuasa tempatan. Beberapa arkitek landskap dan pelukis pelan yang terlibat akan mula 
bekerja seawal pukul 9 pagi sehingga 3 pagi keesokan hari. Kadangkala 
rutin tersebut berlarutan sehingga sebulan dan amalan berkampung di 
syarikat sudah menjadi kelaziman kepada mereka yang bekerja dalam bidang
 ini.
Beban kerja yang terlalu banyak pada satu-satu masa menjadi punca 
ramai graduan muda seni bina landskap tidak mampu bertahan lama dengan 
kerjaya tersebut. Rata-rata berpendapat pendapatan bulanan yang diterima
 tidak setimpal dengan pengorbanan masa yang diberikan.
Baru bergelar arkitek landskap selama tujuh bulan, Seri Rahayu Puteri
 Ghazalli, 24, berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab tersebut 
bagi merancakkan industri landskap negara.
"Bekerja dalam bidang ini memang tertekan terutama apabila tarikh 
akhir semakin dekat. Berada di pejabat sehingga larut malam itu sudah 
menjadi kebiasaan bagi kami. Namun, saya dan rakan sekerja akan balik 
awal jika beban kerja tidak terlalu banyak. Kadang-kadang kami bekerja secara berkumpulan dan saling membantu 
bagi meringankan kerja. Bila difikirkan balik, apa-apa pekerjaan pun ada
 tekanan. Begitulah kehidupan," ujarnya yang merupakan graduan Ijazah 
Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ketika ditanya sama ada bayaran yang diberikan kepada arkitek 
landskap setimpal dengan bidang tugas dan kepakaran mereka, Seri Rahayu 
Puteri mengakui rasa terkilan.
"Secara jujurnya ia tidak setimpal kerana seni bina landskap 
merupakan bidang profesional dan amat disanjungi di luar negara. Jika 
dibandingkan dengan bidang kepakaran lain seperti kejuruteraan dan seni 
bina, saya lihat gaji arkitek landskap agak rendah. Mungkin sebab itu ramai arkitek landskap yang beralih bidang kerana 
mereka tidak yakin dengan bidang ini yang pada saya amat menarik untuk 
diteroka. Selain itu, saya berpendapat mungkin mereka takut dengan 
tekanan," jelasnya ketika ditemui.
|  | 
| 
ROSLY (kiri) menerangkan kepada wakil pemaju  
tentang konsep rekaan landskap yang dihasilkannya. | 
Di Malaysia, gaji permulaan bagi seorang arkitek landskap lepasan 
ijazah sarjana muda sekitar RM1,600 hingga RM2,000. Bagaimanapun, 
terdapat syarikat yang sudah kukuh dan mempunyai kewangan stabil 
menggaji graduan muda sebanyak RM2,300 sebulan. Isu ini bukan sekadar tertumpu kepada gaji rendah tetapi terdapat 
syarikat yang tidak bertanggungjawab memanipulasi pekerja tanpa 
mengendahkan kebajikan mereka. Memandangkan arkitek landskap tergolong 
dalam bidang kerjaya profesional atau bertaraf eksekutif, mereka tidak 
dibayar untuk kerja lebih masa.
Ada juga majikan yang meletakkan syarat jika arkitek landskap itu 
bekerja lebih lapan jam baru berhak untuk mendapatkan satu hari cuti 
ganti. Ini bermakna, jika anda hanya bekerja lebih masa selama tujuh 
jam, anggap sahaja kerja yang dilakukan itu sebagai perkhidmatan percuma
 kepada syarikat. Penindasan sebegitu sudah lama berlaku.
Graduan seni bina landskap yang kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif
 bagi Jootawan Group Sdn. Bhd., Ammar Zaharudin, 27, berkata, beliau 
membuka perniagaan lain selepas melihat bidang seni bina landskap sering
 mendapat layanan kelas kedua daripada pihak pemaju.
"Seni bina landskap sering dipinggirkan dalam satu-satu projek walhal
 kerjaya tersebut setaraf dengan arkitek. Jururunding landskap sukar 
untuk cari makan kerana bajet yang diperuntukkan untuk mereka jadi 
pilihan terakhir dalam sesebuah projek. Katakan jurutera atau arkitek memerlukan bajet yang lebih, maka 
bajet yang pada asalnya diberikan kepada arkitek landskap akan dipotong 
supaya kos keseluruhan projek tidak terjejas," katanya yang menyedari 
dunia sebenar arkitek landskap semasa menjalani latihan industri. 
Ammar yang memiliki tiga syarikat di bawah pengurusannya menjalankan 
perniagaan berasaskan pemasaran internet, pengurusan majlis korporat, 
penerbitan buku, kewangan islam dan akademi latihan. Pada masa sama, beliau menangkis tanggapan segelintir masyarakat yang
 berpendapat graduan yang beralih kepada bidang lain sebagai tidak 
berdaya saing. Baginya, golongan tersebut lebih kental kerana dapat 
bekerja lebih pantas dan serba boleh apabila diberikan tugasan.
"Saya mempunyai pekerja daripada kedua-dua golongan iaitu yang 
beralih bidang dan yang memegang jawatan berdasarkan kelayakan mereka. Pekerja daripada latar belakang yang berkaitan dengan pekerjaan 
mereka selalu meletakkan batas dalam sesuatu perkara kerana terlalu 
terikat dengan apa yang dipelajari di universiti," jelasnya.
Persaingan 
Seni bina landskap mula bertapak di Malaysia pada akhir tahun 
1970-an. Ia lebih tertumpu kepada pengindahan kawasan kediaman rasmi, 
jalan, bangunan awam, taman rekreasi dan istana. Namun, sehingga kini 
masih belum ada akta khas yang diperuntukkan terhadap bidang tersebut 
biar pun sudah menjangkau tempoh lebih tiga dekad.
Sementara itu, arkitek landskap kanan, Rosly Shariff, berkata, 
persaingan yang tinggi membuatkan banyak syarikat merendahkan kadar 
bayaran perkhidmatan bagi merebut projek landskap.
"Apabila syarikat menerima bayaran perkhidmatan yang rendah, mereka 
terpaksa membayar gaji rendah dan tiada bonus untuk pekerja. Melainkan 
jika syarikat tersebut benar-benar bagus kerana mereka boleh meletakkan 
bayaran tinggi daripada klien dan bersikap selektif terhadap projek. Keadaan pasaran pula tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah
 pelajar yang bergraduat pada setiap tahun," ujarnya yang sudah 
berpengalaman 25 tahun dalam bidang tersebut.
Pada tahun 1997, beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak 
bagi membuka syarikat sendiri kerana permintaan terhadap projek landskap
 yang tinggi pada waktu itu. Namun, kegawatan ekonomi yang berlarutan 
sehingga tahun 2000 membuatkan syarikatnya tidak dapat bertahan.
Pada waktu genting tersebut, syarikat landskap yang menawarkan 
perkhidmatan jururunding tidak mampu menstabilkan syarikat manakala 
kontraktor landskap masih boleh bertahan dengan menurunkan harga pokok 
tanaman untuk meneruskan perniagaan.
"Tiada penguatkuasaan daripada pihak kerajaan dan akta khas bagi seni
 bina landskap membuatkan sesetengah pemaju memilih jururunding landskap
 dengan bayaran paling rendah. Jika bidang ini sudah ada satu akta yang melindunginya, yuran 
perkhidmatan dijangka akan naik dan dapat diselaraskan. Ia akan memberi 
pulangan yang setimpal kepada jururunding," jelas graduan daripada 
Arizona State University ini.
Sumber:  Kosmo! Online 
 

 
 
No comments:
Post a Comment