Tuesday, May 26, 2015
Wednesday, May 13, 2015
LAYANAN KELAS KEDUA SENI BINA LANDSKAP
KERJAYA arkitek landskap sudah lebih 30 tahun
bertapak di Malaysia. |
Sewaktu bergelar arkitek landskap kira-kira tiga tahun lalu, penulis
masih teringat pengalaman bekerja selama 18 jam sehari terutama
menjelang tempoh penawaran tender dan tarikh akhir penyerahan dokumen
kepada pihak berkuasa tempatan. Beberapa arkitek landskap dan pelukis pelan yang terlibat akan mula
bekerja seawal pukul 9 pagi sehingga 3 pagi keesokan hari. Kadangkala
rutin tersebut berlarutan sehingga sebulan dan amalan berkampung di
syarikat sudah menjadi kelaziman kepada mereka yang bekerja dalam bidang
ini.
Beban kerja yang terlalu banyak pada satu-satu masa menjadi punca
ramai graduan muda seni bina landskap tidak mampu bertahan lama dengan
kerjaya tersebut. Rata-rata berpendapat pendapatan bulanan yang diterima
tidak setimpal dengan pengorbanan masa yang diberikan.
Baru bergelar arkitek landskap selama tujuh bulan, Seri Rahayu Puteri
Ghazalli, 24, berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab tersebut
bagi merancakkan industri landskap negara.
"Bekerja dalam bidang ini memang tertekan terutama apabila tarikh
akhir semakin dekat. Berada di pejabat sehingga larut malam itu sudah
menjadi kebiasaan bagi kami. Namun, saya dan rakan sekerja akan balik
awal jika beban kerja tidak terlalu banyak. Kadang-kadang kami bekerja secara berkumpulan dan saling membantu
bagi meringankan kerja. Bila difikirkan balik, apa-apa pekerjaan pun ada
tekanan. Begitulah kehidupan," ujarnya yang merupakan graduan Ijazah
Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ketika ditanya sama ada bayaran yang diberikan kepada arkitek
landskap setimpal dengan bidang tugas dan kepakaran mereka, Seri Rahayu
Puteri mengakui rasa terkilan.
"Secara jujurnya ia tidak setimpal kerana seni bina landskap
merupakan bidang profesional dan amat disanjungi di luar negara. Jika
dibandingkan dengan bidang kepakaran lain seperti kejuruteraan dan seni
bina, saya lihat gaji arkitek landskap agak rendah. Mungkin sebab itu ramai arkitek landskap yang beralih bidang kerana
mereka tidak yakin dengan bidang ini yang pada saya amat menarik untuk
diteroka. Selain itu, saya berpendapat mungkin mereka takut dengan
tekanan," jelasnya ketika ditemui.
ROSLY (kiri) menerangkan kepada wakil pemaju
tentang konsep rekaan landskap yang dihasilkannya.
|
Di Malaysia, gaji permulaan bagi seorang arkitek landskap lepasan
ijazah sarjana muda sekitar RM1,600 hingga RM2,000. Bagaimanapun,
terdapat syarikat yang sudah kukuh dan mempunyai kewangan stabil
menggaji graduan muda sebanyak RM2,300 sebulan. Isu ini bukan sekadar tertumpu kepada gaji rendah tetapi terdapat
syarikat yang tidak bertanggungjawab memanipulasi pekerja tanpa
mengendahkan kebajikan mereka. Memandangkan arkitek landskap tergolong
dalam bidang kerjaya profesional atau bertaraf eksekutif, mereka tidak
dibayar untuk kerja lebih masa.
Ada juga majikan yang meletakkan syarat jika arkitek landskap itu
bekerja lebih lapan jam baru berhak untuk mendapatkan satu hari cuti
ganti. Ini bermakna, jika anda hanya bekerja lebih masa selama tujuh
jam, anggap sahaja kerja yang dilakukan itu sebagai perkhidmatan percuma
kepada syarikat. Penindasan sebegitu sudah lama berlaku.
Graduan seni bina landskap yang kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif
bagi Jootawan Group Sdn. Bhd., Ammar Zaharudin, 27, berkata, beliau
membuka perniagaan lain selepas melihat bidang seni bina landskap sering
mendapat layanan kelas kedua daripada pihak pemaju.
"Seni bina landskap sering dipinggirkan dalam satu-satu projek walhal
kerjaya tersebut setaraf dengan arkitek. Jururunding landskap sukar
untuk cari makan kerana bajet yang diperuntukkan untuk mereka jadi
pilihan terakhir dalam sesebuah projek. Katakan jurutera atau arkitek memerlukan bajet yang lebih, maka
bajet yang pada asalnya diberikan kepada arkitek landskap akan dipotong
supaya kos keseluruhan projek tidak terjejas," katanya yang menyedari
dunia sebenar arkitek landskap semasa menjalani latihan industri.
Ammar yang memiliki tiga syarikat di bawah pengurusannya menjalankan
perniagaan berasaskan pemasaran internet, pengurusan majlis korporat,
penerbitan buku, kewangan islam dan akademi latihan. Pada masa sama, beliau menangkis tanggapan segelintir masyarakat yang
berpendapat graduan yang beralih kepada bidang lain sebagai tidak
berdaya saing. Baginya, golongan tersebut lebih kental kerana dapat
bekerja lebih pantas dan serba boleh apabila diberikan tugasan.
"Saya mempunyai pekerja daripada kedua-dua golongan iaitu yang
beralih bidang dan yang memegang jawatan berdasarkan kelayakan mereka. Pekerja daripada latar belakang yang berkaitan dengan pekerjaan
mereka selalu meletakkan batas dalam sesuatu perkara kerana terlalu
terikat dengan apa yang dipelajari di universiti," jelasnya.
Persaingan
Seni bina landskap mula bertapak di Malaysia pada akhir tahun
1970-an. Ia lebih tertumpu kepada pengindahan kawasan kediaman rasmi,
jalan, bangunan awam, taman rekreasi dan istana. Namun, sehingga kini
masih belum ada akta khas yang diperuntukkan terhadap bidang tersebut
biar pun sudah menjangkau tempoh lebih tiga dekad.
Sementara itu, arkitek landskap kanan, Rosly Shariff, berkata,
persaingan yang tinggi membuatkan banyak syarikat merendahkan kadar
bayaran perkhidmatan bagi merebut projek landskap.
"Apabila syarikat menerima bayaran perkhidmatan yang rendah, mereka
terpaksa membayar gaji rendah dan tiada bonus untuk pekerja. Melainkan
jika syarikat tersebut benar-benar bagus kerana mereka boleh meletakkan
bayaran tinggi daripada klien dan bersikap selektif terhadap projek. Keadaan pasaran pula tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah
pelajar yang bergraduat pada setiap tahun," ujarnya yang sudah
berpengalaman 25 tahun dalam bidang tersebut.
Pada tahun 1997, beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak
bagi membuka syarikat sendiri kerana permintaan terhadap projek landskap
yang tinggi pada waktu itu. Namun, kegawatan ekonomi yang berlarutan
sehingga tahun 2000 membuatkan syarikatnya tidak dapat bertahan.
Pada waktu genting tersebut, syarikat landskap yang menawarkan
perkhidmatan jururunding tidak mampu menstabilkan syarikat manakala
kontraktor landskap masih boleh bertahan dengan menurunkan harga pokok
tanaman untuk meneruskan perniagaan.
"Tiada penguatkuasaan daripada pihak kerajaan dan akta khas bagi seni
bina landskap membuatkan sesetengah pemaju memilih jururunding landskap
dengan bayaran paling rendah. Jika bidang ini sudah ada satu akta yang melindunginya, yuran
perkhidmatan dijangka akan naik dan dapat diselaraskan. Ia akan memberi
pulangan yang setimpal kepada jururunding," jelas graduan daripada
Arizona State University ini.
Sumber: Kosmo! Online
Thursday, May 7, 2015
KESAN PENYIRAMAN BERLEBIHAN KEPADA TANAMAN HIASAN BERPASU
Tanda-tanda tanaman berpasu terlebih siram
1. Ada kalanya penyiraman terlalu kerap dan berlebihan boleh menyebabkan tanaman hiasan bermasalah. Ini akan menyebabkan tanah sentiasa basah.
2. Tanah yang lembab akan menjadikannya sebagai tempat yang sesuai untuk pembiakan kulat dan bakteria yang boleh mengancam tanaman.
3. Akar lemas hingga menyebabkan batang pokok mudah lembik. Dalam keadaan ini, serangga perosak akan menyerang tanaman tersebut.
4. Daun dan pucuk mula gugur serentak.
5. Batang pokok mula lembik akibat daripada adar air yang diserap oleh akar terlalu banyak.
6. Kudup bunga mula dipenuhi kulat putih terutamanya pada tangkainya.
7. Bunga melecur merupakan salah satu petanda yang kerap berlaku untuk tumbuhan ang mempunyai kadar resapan air berlebihan.
Langkah-langkah selamatkan tanaman terlebih siram
1. Letakkan tanaman berpasu ke kawasan yang menerima sinaran matahari secara langsung sekurang-kurangnya lapan jam sehari.
2. Melakukan penanaman semula boleh membantu untuk menyelamatkan tanaman.
3. Gantikan keseluruhan medium yang terdapat di dalam pasu dengan medium yang baru dan kering. Tidak perlu melakukan sebarang penyiraman selepas penanaman semula dilakukan sehingga tanda lebihan air yang terdapat pada pokok hilang.
Subscribe to:
Posts (Atom)