Pernahkah anda pergi ke Muzium Kota Kayang, Perlis? Kawasan muzium ini dikelilingi bukit-bukau berbatu. Sesiapa yang meminati taman berbatu, wajarlah ke muzium ini kerana batu-batu adalah sebahagian elemen taman ini yang semula jadi dan alami. 
Muzium Kota Kayang terletak
 bersekitaran Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, 
Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang iaitu berhampiran terusan 
buatan manusia yang tertua di Semenanjung. Terdapat tiga galeri iaitu 
galeri am yang mempamerkan kronologi pembinaan Kota Kayang, peralatan 
harian golongan bangsawan di Perlis, galeri arkeologi yang mempamerkan 
hasil penyelidikan Kota Kayang dan sekitar negeri Perlis serta galeri 
Kedah / Perlis yang mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula 
dari Nabi Muhammad s.a.w dan replika bunga emas, kesan pendudukan 
penjajah dan pelbagai koleksi yang menarik.
Teruja keadaan bukit dan sawah yang menghijau, suasana Muzium Kota Kayang sangat mendamaikan dengan dibelakangi bukit-bukau berbatu yang menghijau di sekelilingnya selain bendang padi membuatkan 
saujana mata memandang. Di satu sudut adalah kawasan Marhum Kayang. 
Ada makam Sultan Kedah ke 15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1 atau Marhum 
Kayang Pertama (1651-1661). Al-Fatihah untuk Almarhum dan keluarga 
baginda. 
Di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah 2, untuk mengekang kuasa Kedah Siam membahagikan kuasa pemerintahan kepada beberapa kawasan 
seperti Indera Kayangan di Perlis, Setul di selatan Thai sekarang, Kota Setar dan juga Kubang Pasu. Sebab itulah kawasan-kawasan ini pernah 
mempunyai raja masing-masing.
Apabila berjalan-jalan di kawasan ini, dapat kita rasakan kawasan taman 
bunga larangan, tempat pendekar berlatih silat, tempat mandi gajah 
walaupun tiada signboard yang menceritakan hal demikian. Malah gua-gua 
tempat pertapaan pun ada di sini.
Membongkar sejarah Muzium Kota Kayang, muzium tersebut merupakan tapak Kota Istana 
Kesultanan Kedah. Ketika itu, kota tersebut berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah ke
 15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah pada tahun 1661- 1687. Kota ini dibina di kawasan yang dikelilingi bukit seperti 
Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi 
Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Gunung Medan. Bukit tersebut menjadi ‘perisai’ keselamatan kepada Kota Istana sekiranya berlakunya peperangan. Apabila berlakunya peperangan, panglima akan mendaki bukit tersebut 
untuk memantau serangan daripada pihak lawan dan terdapat juga gua pada 
bukit ini yang dipercayai menjadi tempat persembunyian kerabat raja 
sewaktu peperangan.  
Pakar geologi yang menjalankan kajian di sini 
menyatakan batuan yang ada di sekitar muzium ini adalah berasal kawasan 
air. Ini bererti kemungkinan pada masa dahulu kawasan ini adalah tasik 
ataupun lautan. Kajian tersebut diperkuatkan lagi dengan penemuan 
bongkah kayu yang digunakan untuk memaut tali perahu. 
Muzium tersebut mempunyai dua fasa yang 
menempatkan pelbagai artifak dan spesimen yang berkaitan dengan Perlis. Fasa pertama mempunyai bahagian sejarah Perlis, arkeologi serta 
spesimen yang dijumpai sekitar negeri ini serta senjata tradisional 
masyarakat setempat. Fasa kedua pula terdapat bahagian kebudayaan, galeri Diraja yang 
memaparkan susur galur pemerintah Perlis serta perkara yang berkaitan. 
Meneroka panorama persekitarannya, di sudut kanan berhampiran bukit, terdapat makam yang menempatkan 
Al-Marhum Kayang Pertama Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I dan menantu 
baginda seorang putera Bugis bernama Juang Tawa. Berhampiran makam baginda dan menantunya terdapat satu lagi makam yang
 tidak dikenal pasti miliknya, namun dipercayai ia adalah milik orang 
kanan atau keluarga Al-Marhum Kayang Pertama.  
Berjalan menyusuri laluan di celah batuan, sebuah 
perigi lama yang tohor mungkin disebabkan timbunan tanah jatuh ke 
dalamnya. Ia sebenarnya perigi yang digunakan oleh keluarga Al-Marhum. Kemudian,
 apabila pentadbiran kesultanan Kedah berpindah ke Kota Setar, perigi 
tersebut digunakan oleh masyarakat setempat untuk tujuan pertanian.  
 






























 
 
No comments:
Post a Comment