Taman Jepun adalah taman gaya tradisional Jepun. Sesetengah
taman Jepun adalah taman kering atau taman batu. Dalam budaya Jepun, pembinaan
taman adalah kesenian yang tinggi. Taman Jepun telah dibangunkan hampir
menyamai taman Cina namun berbeza dari segi gaya.
Walaupun taman Jepun ini sering dikaitkan sebagai tempat membawa diri yang
tenteram untuk mereka yang ingin melepaskan diri daripada tekanan kehidupan
sehari-hari, taman-taman Jepun juga direka bentuk untuk pelbagai tujuan.
Sesetengah taman menggalakkan untuk bertafakur, namun ia juga bertujuan sebagai
tempat untuk rekreasi dan untuk mempamerkan spesimen-spesimen tumbuhan yang
jarang ditemukan serta memperagakan batu-batu yang luar biasa.
Kaiyu-shiki atau siar kaki memerlukan pengunjung merentasi taman supaya
dapat menghargai taman itu dengan sepenuhnya. Satu jalan yang dirancang
terlebih dahulu membawa pengunjung taman ke setiap kawasan yang unik di dalam
taman Jepun ini. Permukaan jalan yang tidak rata dibina di ruangan-ruangan yang
tertentu untuk menggalakkan para pengunjung supaya melihat ke bawah. Apabila
pengunjung melihat ke atas, mereka akan melihat suatu hiasan untuk menyedar dan
menyegarkan jiwa. Reka bentuk seperti ini dikenali sebagai "sembunyikan
dan dedahkan".
Elemen batu digunakan untuk membina lorong, jambatan dan laluan pejalan kaki
taman. Ia juga digunakan mewakili gunung apabila gunung yang sebenar tidak ada
atau tidak dapat dilihat. Bilangan batu yang diletak biasanya ganjil dan
kebanyakan kumpulan batu itu berbentuk segi tiga.
Sumber air di dalam taman Jepun merupakan sebahagian persekitaran semula jadi.
Oleh itu air pancut tidak akan kelihatan di dalam taman Jepun. Anak sungai
buatan dibina dengan lengkungan dan bentuk yang tidak sekata untuk mencipta
wajah yang tenang dan semula jadi. Di sesetengah taman, terdapat kolam atau
sungai yang kering. Kolam atau sungai yang kering mempunyai kesan yang lebih kurang
sama dengan kolam atau sungai yang mempunyai air.
Tumbuhan hijau merupakan satu lagi unsur taman Jepun. Tradisi Jepun lebih suka
warna hijau yang lembut, tetapi pokok berbunga dan pokok renek juga digunakan.
Di dalam taman Jepun tiruan khususnya yang dibina di luar dari negara Jepun,
ia menggunakan pokok-pokok tempatan atas alasan iklim yang berbeza.
Kalau kita ke Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi, Bentung, Pahang dan inginkan suasana yang
tenang dan mendamaikan, pergilah ke Japanese Village yang berada di puncak bukit
pada ketinggian 3500 dari paras laut. Bertambah unik mengenai kampung ini ialah
ia terletak di kawasan hutan tropika. Taman yang direalisasi daripada ilham
arkitek Jepun, Kaio Ariizumi ini dibina untuk mereka yang mencintai kehijauan
hutan tropika tanah tinggi yang dingin dan nyaman. Ariizumi dan kumpulan pereka
landskapnya berjaya menghidupkan penataan seni landskap taman dan perkampungan
Jepun.
Taman yang berada dalam Japanese Village ini menyambut pengunjung dengan
menawarkan taman Jepun yang mempunyai siar kaki berliku, pintu gerbang chumon,
Japanese Tea House, Tatami spa, UME Tatami Suite, Botanical Garden, Ryo Zan Tei
Restaurant, dan Souvenir Shop. Dengan laluan taman denai yang kemas, seni dan
falsafah Jepun banyak melatari persekitaran taman.
Berjalan dengan melewati deretan rumpun buluh, pokok-pokok renek, ara bonsai,
dan batu-batu gunung, deria pendengaran juga pasti terpaut pada
irama aliran air di sungai dan riak bunyi air terjun yang menghempas ke
bongkah-bongkah batu berlumut. Ia sungguh istimewa! Di kolam ikan,
dihimpunkan spesies koi dalam warna-warna garang, bersisik kuning, merah, emas,
dan perak. Koi-koi itu tidak malu-malu berenang ke sana ke mari seolah-olah
menghiburkan pengunjung, namun disebaliknya ia meminta makanan setiap kali
ternampak kelibat manusia.
Pengalaman berkunjung ke Taman jepun ini akan menyimpulkan bahawa sebuah taman
Jepun perlu memiliki elemen penting seperti buluh, pulau, jambatan, pelita batu
dan juga sebuah pondok teh atau pavilion. Jika elemen-elemen itu tidak dapat
direka secara fizikal, ia boleh dibuat secara perlambangan.
Itulah cerita sebuah taman Jepun di Japanese Village, Berjaya Hills Resort,
Bentung, Pahang. Sayonara...