Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, December 17, 2011

TAMAN MUZIUM CANDI PRAMBANAN, YOGYAKARTA

Di sini diperlihatkan sebuah taman yang dipenuhi dengan patung-patung purba sebagai penghias taman. Taman yang dimaksudkan ini ialah Taman Muzium Candi Prambanan, Yogyakarta, Indonesia. Taman yang letaknya di dalam kompleks Candi Prambanan ini lebih kurang 22 kilometer dari Kota Yogyakarta. Taman ini berpagar kukuh yang diperbuat daripada konkrit.

Senibina Jawa pada bangunan di taman ini  dan penataan taman ini, menunjukkan betapa kentalnya budaya Jawa yang diterapkan dalam taman ini. Patung-patung sebagai penghias taman ini sebenarnya patung-patung purba dari Candi  Prambanan. Ada di antara patung-patung ini yang telah patah bahagian anggotanya.  

Pembinaan taman ini nampaknya ringkas sahaja. Banyak menggunakan pokok-pokok renek, namun begitu banyak pula diletakkan patung-patung purba yang dibuat daripada batu pejal di sudut-sudut tertentu. Di bawah patung-patung itu ditulis nama-nama patung tersebut yang berkaitan dengan Hindu. Candi Prambanan adalah candi Hindu yang dibina beribu tahun dahulu sebelum kedatangan Islam di tanah Jawa.





















Friday, December 16, 2011

TAMAN DI SEKITAR CANDI PRAMBANAN, YOGYAKARTA

Kalau berjalan-jalan bertujuan melawat Candi Prambanan, di Yogyakarta, Indonesia, kita terlebih dahulu disambut oleh taman yang indah. Tamannya dipenuhi oleh pelbagai tumbuhan landskap, dari rumput yang menghijau sehingga pokok-pokok naungan yang tinggi. Sebenarnya, taman ini lebih untuk menonjolkan fokus utamanya iaitu Candi Prambanan itu sendiri. Di mana-mana kita berdiri kita akan dapat melihat candi itu yang sememangnya sangat tinggi iaitu lebih kurang 40 meter. 

Candi itu dikelilingi taman luas yang ditata secara bersahaja namun sejuk mata memandangnya dan memang sejuk hawa di sekitarnya. Untuk melihat kecantikan dan keunikan candi ini, datanglah pada waktu pagi atau petang kerana  kesan cahaya matahari akan mempengaruhi pencahayaan pada candi yang tinggi ini. Kita boleh melawat sekitar tapak candi ini atau melihatnya dari jauh di bawah pokok-pokok naungan dalam taman ini. 



















Monday, December 5, 2011

JOM MAIN SEMBUNYI-SEMBUNYI DALAM TAMAN

Taman ini dijumpai di MAEPS, Serdang, Selangor. Ada juga taman seperti ini di Malaysia ye! Cantik dan kemas pula tu... Tapi sayang oleh kerana letak taman ini di kawasan tertutup dan berkawal, sunyilah taman ini menanti pengunjung terutamanya kanak-kanak yang ingin main sembunyi-sembunyi. Calang-calang orang boleh sesat apabila berada di dalamnya. Tapi jangan takut, tanaman hiasan itu di trim setinggi paras dada orang dewasa. Jadi kita boleh nampak lorong dan laluan yang patut kita ikuti untuk keluar dari taman ini. Alangkah baiknya jika taman seperti ini dibina di kawasan perumahan atau di kawasan awam. Tentu lebih meriah...













Sunday, December 4, 2011

LAMAN MODULAR

Mereka yang mempunyai kediaman berbumbung yang rata tetapi tidak tahu memanfaatkannya kini boleh menarik nafas lega kerana ruang itu boleh dihias menjadi laman dengan pokok dan bunga-bungaan.

Terkini di pasaran, bekas tanaman yang mempunyai sistem perairan dan saliran sendiri sangat sesuai dijadikan tempat tanaman bagi menghias bumbung kediaman.

Dikenali sebagai Modular Garden atau Laman Modular, kotak tanaman laman ini diperbuat daripada bahan mesra alam High Density Poly Ethelane (HDPE) didapati dalam satu set yang mengandungi empat kotak bersaiz 50 sentimeter x 50 sentimeter dengan ketebalan 19 sentimeter sesuai untuk pelbagai jenis tanaman renek dan sederhana besar.

Pengeluar produk yang diimport daripada Thailand ini, Teknologi Bina Hijau Sdn Bhd kini sedang giat memasarkannya untuk pasaran tempatan dan menjual setiap satu set pada harga RM450 berserta medium tanaman (tanah) dan pokok bunga yang kurang penyelenggaraan.

Pengarah Teknologi Bina Hijau, Fuzi Hanim, berkata setiap satu set Modular Garden juga disertakan alat sistem siraman yang juga diperbuat daripada HDPE.

Katanya, Modular Garden menjanjikan penanaman pokok yang mudah, menjimatkan dan kurang penyelenggaraan kerana ia mampu mengawal sendiri kandungan air yang sesuai untuk setiap pokok yang ditanam.

“Sekali pandang, Modular Garden ini nampak seperti acuan membuat waffle, namun di dasarnya ada satu takungan air yang mana jika kandungan airnya berlebihan ia akan dikeluarkan sendiri melalui lubang khas. Kotak ini sesuai untuk tanaman renek dan sederhana bekas seperti Portulaca Grandiflofa atau bunga Jepun; Brazil Nut; bunga matahari Thai, Tradescantia Pallida atau pokok hati ungu dan banyak lagi.

“Kotak tanaman ini juga sesuai untuk penanaman pokok jenis kaktus, pokok Lidah Mentua, Agave dan pokok nanas renek yang sememangnya tidak memerlukan air yang banyak,” katanya.

Selain digunakan untuk kawasan bumbung, katanya kotak tanaman itu juga sesuai menggantikan pasu atau bekas tanaman untuk kawasan balkoni atau diletakkan di atas tanah atau bawah teduhan dan anjung kediaman.

Fuzi menjelaskan kotak tanaman berkenaan juga kukuh dan tidak mudah rosak dan mampu menampung tanah dan air sehingga 2.7 kilogram.

“Oleh kerana kotak ini bersaiz sederhana ia juga mudah dialihkan mengikut kesesuaian ruang dan pilihan pengguna. Walaupun didatangkan dalam satu set ia boleh diasingkan kepada empat bahagian kotak. Terpulang kepada pengguna menggunakannya mengikut cita rasa masing-masing. Modular Garden juga boleh disesuaikan dengan mana-mana cuaca dan suhu. Namun, bagi memastikan pokok mahu pun rumput yang ditanam lebih tahan lama elakkan kawasan terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari. Berikan sungkupan untuk ketahanan pokok. Namun, Modular Garden memang sesuai untuk apa juga tanaman tropika,” katanya.

Bagi mengelakkan kebocoran di kawasan bumbung, katanya Teknologi Bina Hijau turut menyediakan perkhidmatan untuk meletakkan sistem kalis air tetapi caj pemasangan berbeza mengikut keluasan ruang bumbung.

Selain Modular Garden, Teknologi Bina Hijau turut menjual hiasan landskap seperti papan dan batu pemijak kaki yang diperbuat daripada bahan mesra alam.

Beliau menjelaskan kos pemasangan Modular Garden adalah percuma dan sebagai permulaan tiada caj dikenakan untuk sebarang pokok atau tanah yang diberikan percuma bagi setiap set.

Orang ramai yang berminat mendapatkan Modular Garden boleh menghubungi Teknologi Bina Hijau di 03-77255752 atau melayari laman web http://www.binahijau.com/.


Penghargaan untuk Berita Minggu

Thursday, December 1, 2011

INOVASI LAMAN RAMUAN

SEJAK diperkenalkan di negara ini lebih tiga tahun lalu, laman ramuan atau Edible Garden kian popular sehinggakan ramai yang sudah mempraktikkannya. Menyedari popularitinya, tidak hairanlah banyak nurseri yang turut menjual pokok atau tanaman bersesuaian konsep laman berkenaan.

Malangnya, biarpun berbekalkan semangat ‘petani moden,’ peralatan, pokok dan kelengkapan bersesuaian, ada kalanya laman ramuan idaman tinggal harapan. Selain kurang ilmu, ia turut berkaitan dengan kesilapan pendekatan atau teknik yang dilakukan.

Namun, jangan mengalah kerana terkini, pelbagai inovasi baru yang sesuai untuk membina laman ramuan atau turut dikenali laman edibel ini sudah diperkenalkan termasuk produk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) seperti GreenKit, Fertikit, laman vertikal dan rumah teduhan mini selain dulang tanaman.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI, Dr Zabedah Mahmood berkata, laman edibel kini dipermudahkan dengan inovasi dan aplikasi teknologi terkini bagi membantu orang yang kurang pengetahuan mengenai bercucuk tanam dan mereka sibuk tetapi masih berminat dengan aktiviti berkebun.

“MARDI bangunkan produk dengan inovasi baru supaya orang ramai tidak lagi risau jika tidak dapat memberi tumpuan kepada laman ramuan yang dibangunkan kerana teknologi memudahkannya. Antara inovasi yang kami perkenalkan adalah GreenKit, Fertikit, hiasan sayur memanjat, laman vertikal dan rumah teduhan mini sesuai mengikut saiz laman kediaman,” katanya.

Dr Zabedah berkata, GreenKit adalah kaedah tanaman berpasu direka khusus bagi memudahkan aktiviti cucuk tanam, menjimatkan wang, tenaga dan air.

“GreenKit memperkenalkan kaedah tanaman dengan sistem penanaman pokok di dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri tanpa perlu penyiraman yang kerap. keperluan menyiram adalah minimum iaitu tanaman disiram sekurang-kurangnya sekali seminggu saja dan lebih menarik ulam-ulaman seperti pucuk gajus dan tenggek burung boleh ditanam dalam GreenKit. Pucuk ulam dituai dari masa ke semasa dan tanaman ini dibiarkan tumbuh renek,” katanya.

GreenKit terbahagi kepada dua ruang iaitu takungan air di bahagian bawah dan takungan penanaman mengandungi medium (tanah) pada bahagian atas. Prinsip dan kaedah GreenKit adalah menyamai penanaman di kawasan tanah semula jadi, iaitu air di dalam tanah naik ke zon pengakaran dengan tindakan kapilari (saluran halus).

Produk ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam pertandingan reka cipta / inovasi di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2010 di Korea Selatan pada 2 hingga 5 Disember tahun lalu.

Penanaman dengan GreenKit boleh menggabungkan beberapa jenis tanaman, namun disyorkan kombinasi perlukan keperluan air dan cahaya matahari yang sama. Jumlah jenis tanaman mestilah cukup untuk satu hidangan mengikut saiz bekas GreenKit yang digunakan.

Selain digunakan oleh suri rumah sesuai dengan kempen hijau yang dijalankan kerajaan, katanya GreenKit juga sesuai dijadikan model pembelajaran untuk pelajar sekolah kerana kotak tanaman ini mudah, murah dan bebas daripada bahaya pembiakan Aedes, malah boleh ditinggalkan tanpa pengurusan yang rapi, serta sesuai untuk mereka yang sibuk serta tiada masa menyiram pokok setiap hari.

Fertikit pula, kata Dr Zabedah, merujuk satu sistem mini fertigasi yang mudah alih dan sesuai untuk kediaman yang tidak ada laman bertanah. Ia juga memudahkan penanaman kerana menggunakan penetap masa, penyiraman dan pembajaan dijalankan secara automatik.

“Apa yang menarik mengenai fertikit, ia boleh digunakan di di kawasan rumah yang mempunyai laman dengan ruang terhad. Selain praktikal, fertikit berkonsepkan 3M - mudah, menjimatkan dan mesra. Produk ini sudah dikomersilkan dan boleh didapati di pasaran dengan cara beli dan bawa pulang serta mudah dipasang, diselenggara dan di simpan. Fertikit juga mengguna pakai kaedah DIY (teknik buat sendiri) menjadikannya mudah dikendalikan, diangkut, dipasang dan sedia untuk digunakan. Produk ini didatangkan dengan rak yang dibuat daripada keluli tahan karat bersama sistem pengairan serta dibantu oleh pam dan penetap masa. Oleh itu, pengguna tidak perlu risau mengenai penyiraman semasa tiada di rumah. Rak pula boleh dilaras menempatkan pelbagai saiz dan jenis pasu. Sistem bertingkat pula membolehkan bilangan pokok yang lebih banyak ditanam di ruang yang terhad,” katanya.

Oleh kerana saiz fertikit sesuai untuk ruang yang terhad maka ia boleh diletakkan di tempat letak kereta, balkoni atau kaki lima rumah banglo, teres, apartmen atau kondominium.

Disarankan menggunakan medium tanpa tanah bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit bawaan tanah serta mudah dikendalikan. Boleh juga diletakkan di dalam kediaman namun, dinasihatkan supaya terdedah kepada cahaya seperti di tepi tingkap supaya tanaman mendapat cahaya yang mencukupi untuk tumbesaran.


INFO: Laman Ramuan
  • Pendekatan reka bentuk laman yang menggabungkan penggunaan tanaman makanan dan tanaman. Ia juga dikenali sebagai Laman Dapur, Taman Tumbuhan Makanan (Edible Garden) dan taman komuniti.
  • Turut menghasilkan ruang secara fizikal, memberi kesan estetika dan kepelbagaian fungsi ruang.
  • Komposisi laman adalah 70:30 iaitu 70 peratus tanaman ramuan sama ada boleh makan atau menghasilkan bau, herba dan ubatan manakala 30 peratus pula untuk hiasan.
  • Laman yang dihasilkan perlu ringkas, teratur dan mudah difahami serta mewujudkan susun atur atau kesatuan tanaman.
  • Laman ini juga menekankan ciri keharmonian, penggunaan komposisi ciri serta sifat yang hampir serupa dari segi saiz, bentuk, warna dan fungsi.
  • Laman ini menampilkan pelbagai aneka tumbuhan bermakna reka bentuk laman dapat menimbulkan daya tarikan serta mengelakkan rasa jemu atau bosan menggunakan pelbagai elemen seperti warna, bentuk, tekstur, saiz, perubahan haluan, pergerakan, bunyi dan kualiti cahaya.

Penghargaan untuk Berita Minggu