Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Friday, October 28, 2011

BEKAS PENANAMAN YANG CANTIK DAN PRAKTIKAL MENAMBAH SERI PADA TAMAN

Bekas penanaman memainkan peranan yang penting untuk sesebuah taman.  Menanam tanaman hiasan dalam bekas, pasu atau tempayan adalah satu alternatif untuk mereka yang tidak ada masa untuk membuat kerja-kerja penyenggaraan dan kepada mereka yang tidak ada kawasan untuk membina taman. Selalunya mereka memilih bekas yang cantik dan praktikal bagi meningkatkan nilai tanaman hiasan atau tanaman sayur-sayuran. Pemilihan bekas yang bersesuaian dengan konsep taman yang ingin diketengahkan akan menampakkan suatu hasil yang cukup berjaya.

Sebenarnya untuk kelihatan cantik dan praktikal, kedua-dua jenis tanaman (tanaman hiasan dan tanaman sayur-sayuran) boleh disatukan dalam satu bekas penanaman. Kedua-duanya boleh dicampurkan dalam satu bekas yang menarik, cantik dan praktikal. Bekas-bekas ini bolehlah diletakkan di patio, balkoni, dek atau di mana-mana yang sesuai.


Kepada mereka yang mempunyai taman, buatlah pemilihan bekas penanaman yang pelbagai saiz, pelbagai corak dan pelbagai bentuk. Bekas-bekas ini boleh diletakkan dimana-mana yang sesuai. Kehadiran bekas penanaman hiasan berukiran indah, memberi cerita menarik yang tersendiri kepada ruang landskap berkenaan. Bekas dan pokok yang ditanam di dalamnya menjadi aksesori untuk ruang taman supaya lebih kelihatan hidup. Pilihlah bekas bercorak bunga untuk menanam sayuran supaya sayuran nampak cantik.


Apa juga bekas yang dipilih, stail keseluruhan reka bentuk haruslah secocok dengan latar belakang ruang taman berkenaan, sama ada formal atau tidak formal, kontemporari atau tradisional. Setiap bekas mempunyai karektor masing-masing yang dipengaruhi tidak hanya melalui bentuk tetapi juga saiz, bahan (material) dan tekstur buatannya. 

Pemilihan tumbuh-tumbuhan untuk sesuatu jenis bekas juga harus bertepatan agar bekas  tidak kelihatan terlalu besar ataupun terlalu kecil. Susun atur tumbuhan di dalam bekas-bekas juga harus dititikberatkan agar deko laman yang ditampilkan tidak kelihatan janggal dan salah.

Bekas penanaman di luar rumah menjadi satu penghubung secara visual dengan dalaman rumah dan kaedah ini lebih diminati. Bekas bunga juga menjadi satu elemen hiasan dan tarikan yang mudah alih untuk sesebuah taman tanpa mengira saiz pasu berkenaan. Menggunakan bekas juga mampu memecahkan kesan bosan sesuatu keadaan antara lantai berturap yang mendatar dan air dengan memberikan kesan menegak, tambahan warna dan daya tarikan. Pokok hijau berpasu di tepi kolam nampak cantik dan sedap mata memandang. 




Berikut adalah beberapa perkara menarik mengenai penggunaan bekas/pasu/tempayan dalam taman:
  1. Sikit tapi banyak (keringkasan) - Boleh tanam bebarapa sayuran bersama tanaman hiasan dalam satu bekas. Nampak macam 'crowded'. Untuk nampak cantik, tanam sayuran yang tinggi di tengah-tengah dikelilingi bunga yang kecil, atau sebaliknya. Menjimatkan ruang.
  2. Gunakan bekas yang menarik - Bekas yang cantik dan menarik boleh mengurangkan kesan tanaman dalam bekas yang bermasalah atau kurang subur.
  3. Gunakan bekas yang tahan lasak - Gunakanlah bekas yang tahan lasak supaya ia tidak mudah pecah atau rosak apabila terhentak semasa memindahkannya.
  4. Gunakan apa juga bekas yang di sukai - Boleh saja menggunakan apa juga bekas seperti pasu, tin, sabut kelapa, baldi, bakul atau bekas makanan yang besar atau yang kecil.
  5. Jangan lupa saliran pada bekas - Saliran di bawah bekas mesti ada. Kalau tiada boleh dibuat sendiri. Gunanya untuk mengalirkan keluar air siraman yang berlebihan. Ada sesetengah akar tanaman tidak tahan jika tergenang dalam air.
  6. Warnakan bekas dengan warna yang cantik tapi praktikal -Warna bekas boleh memikat pandangan mata. Namun, warna gelap akan menyerap haba yang boleh merosakkan akar. Cat bahagian tertentu.
  7. Tanaman hiasan nampak menarik jika ditanam bersama sayur-sayuran - Memang menarik. Adunkan tanaman hiasan bersama sayur-sayuran dalam satu bekas. Sesetengah tanaman hiasan memang cantik bersendirian. Cubalah adunkan dua jenis tanaman itu.
  8. Sesuaikan jenis tanaman dengan bentuk bekas - Jenis tanaman mesti bersesuaian dengan bentuk bekas. Tanaman bersaiz kecil ditanam dalam bekas kecil. Tanaman bersaiz besar tanam dalam bekas besar.
  9. Pemilihan saiz pasu bergantung kepada luas ruang taman dan spesies pokok yang ditanam - Pokok yang mempunyai akar dalam, memerlukan pasu tinggi, manakala pokok seperti bunga semusim tidak memerlukan pasu yang dalam mediumnya.
  10. Tentukan kedudukan bekas bersaiz besar - Bagi bekas bersaiz besar, menentukan kedudukan pasu terlebih dulu adalah penting kerana kedudukan pasu akan kekal kerana susah untuk dipindahkan apabila dipenuhi tanah.
  11. Bahan buatan bekas - Bekas boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu yang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti tanah liat atau bahan sintetik seperti plastik atau gentian kaca. Pasu terracotta diperbuat daripada tanah liat lebih poros, corak halus dan warna yang hampir kepada warna tanah.
  12. Pasu yang berukiran dan bertekstur - Dengan menanam tanaman hiasan dalam pasu berukiran dan bertekstur, kita bukan saja membuat sesuatu pasu itu kelihatan “hidup” tetapi juga menjadikan dedaun atau pokok sesuatu yang wajar untuk difokuskan pandangan kita ke arahnya.
  13. Cara penampilan bekas - Bekas yang boleh tegak sendiri membawa penglihatan mata kita ke arah bahagian bawahnya, manakala bekas gantung dan bekas tinggi menjadikan pokok di dalamnya lebih diperhatikan dan dihargai bentuk terperinci pokok berkenaan.
  14. Bentuk bekas - Bekas berbentuk atau berukiran sesuai tempat menanam pokok dan boleh juga dijadikan sebagai tempat air pancutan kecil atau tempat pokok berair.
  15. Bekas terracotta - Menggunakan bekas terracotta sama ada yang tegak sendiri atau digantung di laluan atau pintu masuk adalah sangat ideal dan menambah warna serta daya tarikan kepada ruang suram atau kosong.
  16. Bekas formal/tak formal - Bekas berbentuk formal sesuai untuk laluan masuk formal dan bekas  bulat di laluan yang tidak formal akan lebih kelihatan “lembut”.
  17. Bekas daripada tanah liat - Bekas bunga terutama daripada tanah liat boleh didapati dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna serta sangat versatile. Ada kecil, besar, warna cerah dan gelap. Semuanya boleh disesuaikan dengan pelbagai situasi.
  18. Bekas mempunyai kebolehsesuaian - Menanam dan membesarkan pokok berbunga dalam bekas turut menawarkan satu skop atau kaedah taman yang mempunyai kebolehsesuaian walaupun ruang terlalu terhad atau sempit.
  19. Bekas boleh diletakkan di mana-mana - Kawasan taman seperti dek, patio, balkoni atau anjung rumah pasti kelihatan lebih cantik dengan kehadiran pasu bunga hiasan berukiran indah, memberi cerita menarik yang tersendiri kepada ruang landskap berkenaan.

No comments:

Post a Comment