Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Saturday, November 13, 2010

TAMAN BOTANI DI TENGAH IBU NEGARA KUALA LUMPUR


Sumber: Utusan Malaysia


Mohd. Fuad Ismail bersama pegawai kanan Dewan
 Bandaraya Kuala Lumpur melawat Taman Tasik
Perdana yang dibaik pulih kepada konsep botani.
PERBANDARAN mesra alam sekitar atau lebih mudah disebut pembangunan hijau adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam memperkatakan tentang proses perbandaran di sesebuah negara. Ini barangkali kerana meningkatnya kesedaran di kalangan masyarakat dunia kepada betapa pentingnya menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan keperluan menjaga elemen-elemen alam sekitar.

Bandar Raya Kuala Lumpur juga tidak terkecuali dan di sebalik kerancakan pembangunan fizikalnya, ibu kota negara ini tidak boleh mengabaikan sentuhan yang berunsurkan kehijauan dan mesra alam sekitar. Taman di dalam bandar barangkali adalah pendekatan terbaik dalam menyeimbangkan kepadatan dan kesesakan penduduk di sesebuah bandar besar.

Di Amerika Syarikat misalnya, setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu atau lebih taman alam semula jadi yang dikunjungi dengan kerap oleh orang awam. Antara yang popular ialah Boston Garden iaitu taman botani pertama di negara berkenaan yang dibuka pada 1837. Begitu juga dengan negara jiran seperti Singapura yang begitu berbangga dengan taman-taman semula jadinya yang indah seperti Botanic Gardens, East Coast Park, Marina South Park, Mount Faber Park dan Timah Hill.

Malaysia juga sebenarnya mempunyai beberapa buah taman di dalam bandar dan antara yang paling popular ialah Taman Tasik Perdana (Lake Gardens). Taman seluas kira-kira 101.12 hektar ini terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan dikelilingi oleh beberapa tempat menarik lain. Antaranya Memorial Tun Abdul Razak, Planetarium Negara, Muzium Negara, Taman Rama-Rama, Tugu Negara dan Carcosa Seri Negara. Taman ini sudah pun berusia 122 tahun apabila dibina pada 1888 oleh AR Venning dengan nama asal Lake Garden. Bagaimanapun pada 1975, namanya ditukar kepada Taman Tasik Perdana setelah dinaik taraf dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Bagaimanapun, taman ini akan sekali lagi melalui proses penambahbaikan yang penting apabila Jemaah Menteri pada 30 September tahun lalu bersetuju supaya ia dibangunkan sebagai sebuah Taman Botani. Dengan persetujuan itu, pembangunan Taman Botani tersebut akan dipenuhi dengan pelbagai spesies bunga-bungaan, orkid dan rama-rama selain mengekalkan karakter taman sedia ada. Ia termasuk spesies pokok-pokok lama yang berusia puluhan dan ratusan tahun seperti Mahogani, Tembusu, Ara dan Pulai. Pembangunan Taman Botani itu juga akan memberi tumpuan kepada pengenalan pelbagai tema landskap selain dilengkapi dengan kemudahan prasarana pengangkutan dan menaiktaraf infra serta bangunan.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail, kesemua proses transformasi taman itu akan berlangsung dalam tiga fasa yang mengambil masa kira-kira lima tahun. Ia membabitkan kos sebanyak RM35 juta dengan RM10 juta daripadanya disumbangkan oleh pihak swasta manakala selebihnya ditanggung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam fasa pertama misalnya, beberapa spesies pokok hutan seperti berlian, cengal, meranti, merbau dan gelam akan ditanam. Ia diikuti dengan pokok-pokok besar yang jarang ditemui seperti Cannoball, Sausage tree dan Baobab. Pokok-pokok yang mengambil sempena nama negeri dan tempat di Malaysia seperti pokok Johor, pokok Melaka, pokok Merlimau, pokok Setar dan banyak lagi juga akan ditanam. Fasa yang mengambil tempoh dari tiga hingga enam bulan ini juga membabitkan pembinaan air terjun di hadapan Panggung Anniversari selain pembinaan menara peninjau, fernenarium, wakaf, gazebo dan pergola.

Turut dibangunkan ialah Taman Heliconia dengan matlamat untuk dijadikan sebagai taman spesies bunga itu yang terbesar di Asia Tenggara. Pada masa yang sama tambah Ahmad Fuad, sebuah kawasan penanaman pokok yang dikhususkan kepada Perdana Menteri, Presiden dan Raja yang berkunjung ke Taman Botani pada masa akan datang turut dibuka.

‘‘Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan diberi penghormatan sebagai pemimpin pertama yang akan menanam pokok di kawasan tersebut pada 1 Disember ini. Ia juga serentak dengan hari pelancaran taman ini sebagai Taman Botani,” katanya.

Proses pembangunan Taman Botani dalam fasa kedua pula bakal menyaksikan lebih banyak usaha ditumpukan bagi menambah daya tarikan orang ramai untuk mengunjungi taman ini. Antara yang dirancang ialah mempelbagaikan taman tema seperti pokok berbunga, tanaman bonsai, kaktus, taman air dan bromeliads. Dalam fasa itu juga, beberapa infrastruktur seperti kafe, rumah bot, taman permainan kanak-kanak berdasarkan ikon kartunis Lat dan Tree House akan dibina.

Turut dirancang dalam fasa yang akan mengambil masa antara setahun hingga ke dua tahun itu ialah pembinaan kedai cenderahati, arca beridentitikan Malaysia serta laman chef dan artis untuk memasak atau melukis. Beberapa program dan aktiviti berjadual seperti hari keluarga, pertandingan fotografi dan sudut taman hortikultur juga akan dilaksanakan.

‘‘Taman Botani juga akan dipersiapkan untuk dijadikan pilihan kepada pasangan pengantin yang mahu mengabdikan hari berbahagia mereka bertemakan konsep dalam taman,” tambah Ahmad Fuad.

Fasa terakhir iaitu fasa ketiga pula akan menyaksikan Taman Botani diperlengkap dengan landskap lembut dan kejur seperti perabot taman selain menaik taraf kemudahan yang ada. Pada masa yang sama, taman itu juga akan dipertingkatkan dengan laluan-laluan menarik serta kemudahan tempat letak kereta yang ketika ini agak terhad.

No comments:

Post a Comment