Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, October 18, 2010

LAMAN PARAHYANGAN

Sumber: Berita Minggu 5 September 2010


TAMAN berasaskan konsep Sunda mungkin tidak popular seperti taman Bali dan ia jarang diketengahkan kepada umum memandangkan statusnya sebagai laman eksklusif golongan bangsawan Indonesia. Namun, pengusaha perabot buluh yang terpikat dengan seni bina rumah bambu, Mohd Ramadhan Abdul Rahim, memberanikan diri membangunkan laman itu di kediamannya di Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor dengan bantuan dua juru landskap dari Bogor dan Jakarta.



Taman Sunda menyatukan alam dengan penggunaan elemen air, batu dan tumbuhan menjadi nadi utama pembentukan laman yang menampilkan landskap di kawasan peranginan.

Ramai yang sudah maklum mengenai laman berkonsepkan Bali, Nusantara, Jepun, Inggeris dan Zen. Namun, bila disebut taman Sunda pasti yang tertanya-tanya mengenai karektor laman ini kerana ia jarang diketengahkan. Malah, laman ini juga jarang ditemui di Indonesia kerana ia dikategorikan sebagai laman istimewa dan sangat eksklusif untuk golongan VIP dan bangsawan di negara berkenaan.

Kebiasaannya, laman sunda boleh ditemui di tempat yang ekslusif seperti di pinggir hutan, sawah, tepi pantai dan kawasan berbukit atau tempat peranginan. Laman Sunda atau lebih dikenali sebagai Taman Parahyangan (Sunda) menampilkan konsep ‘resort living’ atau persekitaran suasana resort, rumah rehat atau kediaman peranginan.

Satu-satunya pemilik laman Sunda yang ada di negara ini adalah pasangan Mohd Ramadhan Abdul Hamid dan Roselina Salleh yang dibangunkan di kawasan hutan berbukit Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.

Menceritakan mengenai laman berkenaan, Mohd Ramadhan berkata, beliau membangunkan laman itu dengan bantuan juru landskap daripada Indonesia yang mempunyai pengalaman yang luas dalam rekaan laman berkenaan iaitu Jatnika Nagamiharja (Bogor) dan Ade Sugiono (Jakarta).

Katanya, beliau berminat dengan laman konsep berkenaan kerana ia sesuai dengan konsep kediamannya rumah buluh atau dikenali sebagai rumah bambu.



“Memandangkan rumah saya diperbuat dengan buluh sepenuhnya, maka lamannya perlulah menepati konsep kediaman iaitu laman Sunda. Laman Sunda mempunyai tiga elemen yang penting iaitu air, batu dan tumbuhan....tanpa ketiga-tiga elemen ini maka tidak akan terbentuk laman ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, laman Sunda perlu ada batu namprak (batu dari konkrit di bina menyerupai batu sebenar), namun pembinaannya sedikit berbeza dengan kaedah simenferro kerana batu asli, pasir dan tanah dimampatkan dalam konkrit untuk dibentuk menjadi batu namprak.

“Batu ini menjadi binaan untuk pelbagai guna, misalnya menjadi tempat makan, istirahat, ruang bersolat, pentas serta mercu tanda laman. Ia juga boleh menjadi titik tumpu laman,” katanya.

Laman Sunda juga tidak lengkap tanpa unsur air, justeru Mohd Ramadhan membina tujuh kolam dan pancuran air yang memasukkan elemen air dikenali ‘ciburial, air cikaracak, cukang lemah.’

Air ciburial bermaksud air yang terpacul dari dalam tanah hasil tekanan dan proses graviti air yang disalurkan daripada atas bukit, manakala air cikaracak pula adalah titisan air dari batu, manakala cukang lemah adalah jambatan tanah. Kebanyakan Taman Sunda dihiasi dengan pohon hijau yang menjadi tanaman makanan serta herba yang ada di sekeliling kediaman.

Di laman Sunda kediaman Mohd Ramadhan, dilengkapi laluan siar kaki di tepi kolam yang dihiasi pokok pandan, serai, tebu, lidah mentua, nanas , yuka selain lebih 12 jenis pohon buluh termasuk buluh betung, buluh perindu, buluh tutur, bambu madu dan kuning.

Turut menghiasi laman Sunda ini adalah pokok seperti calathea, sepit udang, pokok tasbih, pokok doa (Busida busera), pokok menara (Tower Tree), iris dan melati air.

Batu-batu kecil, batu sungai dan jambatan tanah juga menjadi satu kemestian dalam laman sunda ini dan kelihatan bertingkat-tingkat kerana kedudukan kediaman yang terletak di kawasan bukit.

Paling menarik, selain pepohon hijau, bunyi air mengalir dan titisan air dalam pancuran serta bunyi-bunyian unggas di bukit berhampiran menjadikan laman ini sangat eksklusif bukan hanya untuk pemilik kediaman tetapi pengunjung yang datang bertamu.

Sesuai dengan konsep laman, wakaf buluh dengan atap lalang yang dikenali sebagai joglo (wakaf besar) dan saung camparenik (kecil - pangkin) dibina menjadi tempat istirahat keluarga dan tetamu yang berkunjung di kediaman adalah resort di kawasan berbukit berkenaan. Turut melengkapi kompleks kediaman Mohd Ramadhan ialah sebuah surau yang juga dibina menggunakan buluh sebagai bahan binaannya.

No comments:

Post a Comment