Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Tuesday, October 19, 2010

GAZEBO (WAKAF) SEBAGAI AKSESORI DAN PELENGKAP TAMAN

Ada yang panggilnya gazebo dan ada yang menyebutnya wakaf. Gazebo yang dibina di taman atau di laman tempat kediaman mencetuskan dan mewujudkan suasana santai dan keselesaan. Gazebo boleh dijadikan tempat bersosial bersama keluarga sambil minum teh. Ia juga boleh menyerlahkan persekitaran taman atau tempat kediaman lebih-lebih jika binaannya unik dan menarik.

Kata gazebo adalah gabungan dua patah perkataan iaitu ‘gaze’ dan ‘ebo’. Kata ‘gaze’ (Inggeris) bermakna memandang, manakala perkataan ‘ebo’ (Latin) yang bermakna keluar. Dengan gabungan dua perkataan itu ia membawa makna menjadi tempat untuk memandang keluar. Gazebo yang tidak berdinding ini dapat menggambarkan bahwa ia sebagai tempat duduk-duduk dan bersantai sambil memandang sekeliling taman atau rumah.

Gazebo yang dibina merupakan sebuah bangunan beratap tanpa dinding. Pada masa dulu gazebo atau wakaf digunakan sebagai tempat bagi kegunaan para pengembara untuk beristirehat. Ia juga berfungsi sebagai tempat beristirahat di bangunan kecil, dimana para petani akan melepas kelelahan setelah bekerja seharian penuh di sawah atau ladang. Ia dibina sebagai satu cara bagi seseorang membuat amal bagi kegunaan umum. Ia banyak terdapat di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Malah ia juga sering dijadikan nama tempat atau kampung. Di Kelantan banyak nama tempat dengan dinamakan dengan wakaf seperti Wakaf Che Yeh, Wakaf Mempelam dan lain-lain.

Sejak zaman berzaman gazebo atau wakaf sering digunapakai sebagai tempat duduk bersantai sambil berbual-bual dan membicarakan banyak hal selain berfungsi dan dipergunakan untuk duduk bersantai sambil ngobrol dengan keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai sekampung.

Namun fungsi gazebo perlahan-lahan berubah menjadi aksesoris pelengkap untuk meningkatkan nilai estetika dan keindahan sesebuah taman atau halaman tempat kediaman. Sehinggakan ada yang beranggapan bahwa seseorang yang dirumahnya memiliki gazebo akan termasuk dalam kelas tersendiri.

Rekabentuk gazebo adalah tersendiri dan sangat khas. Biasanya ia dibina terpisah daripada bangunan utama. Bentuknya sangat bebas dan berlainan antara satu sama lain. Tetapi pada umumnya gazebo dapat dikenali dari bentuk dasarnya yang terdiri daripada atap, tiang-tiang, tidak berdinding dan lantai lebih tinggi dari paras permukaan tanah disekitarnya. Bentuk gazebo umumnya berbentuk geometrik, segi empat, segi enam, atau lingkaran. Biasanya gazebo dibuat tetap (permanent), meskipun ada juga yang dibuat dengan model dan bahan yang mampu untuk dibuka-cabut.

Kehadiran gazebo akan menghadirkan kesan tersendiri, karena disana akan wujud interaksi sosial di antara anggota keluarga, sahabat handai dan tetamu, dan tentu dari proses sosial dan interaksi tersebut diharapkan akan meningkatkan kebahagian dan keharmonian hidup sekeluarga.

Binalah gazebo di halaman rumah anda. Tentunya ada perbezaan dalam kehidupan nanti…


Monday, October 18, 2010

LAMAN PARAHYANGAN

Sumber: Berita Minggu 5 September 2010


TAMAN berasaskan konsep Sunda mungkin tidak popular seperti taman Bali dan ia jarang diketengahkan kepada umum memandangkan statusnya sebagai laman eksklusif golongan bangsawan Indonesia. Namun, pengusaha perabot buluh yang terpikat dengan seni bina rumah bambu, Mohd Ramadhan Abdul Rahim, memberanikan diri membangunkan laman itu di kediamannya di Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor dengan bantuan dua juru landskap dari Bogor dan Jakarta.



Taman Sunda menyatukan alam dengan penggunaan elemen air, batu dan tumbuhan menjadi nadi utama pembentukan laman yang menampilkan landskap di kawasan peranginan.

Ramai yang sudah maklum mengenai laman berkonsepkan Bali, Nusantara, Jepun, Inggeris dan Zen. Namun, bila disebut taman Sunda pasti yang tertanya-tanya mengenai karektor laman ini kerana ia jarang diketengahkan. Malah, laman ini juga jarang ditemui di Indonesia kerana ia dikategorikan sebagai laman istimewa dan sangat eksklusif untuk golongan VIP dan bangsawan di negara berkenaan.

Kebiasaannya, laman sunda boleh ditemui di tempat yang ekslusif seperti di pinggir hutan, sawah, tepi pantai dan kawasan berbukit atau tempat peranginan. Laman Sunda atau lebih dikenali sebagai Taman Parahyangan (Sunda) menampilkan konsep ‘resort living’ atau persekitaran suasana resort, rumah rehat atau kediaman peranginan.

Satu-satunya pemilik laman Sunda yang ada di negara ini adalah pasangan Mohd Ramadhan Abdul Hamid dan Roselina Salleh yang dibangunkan di kawasan hutan berbukit Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.

Menceritakan mengenai laman berkenaan, Mohd Ramadhan berkata, beliau membangunkan laman itu dengan bantuan juru landskap daripada Indonesia yang mempunyai pengalaman yang luas dalam rekaan laman berkenaan iaitu Jatnika Nagamiharja (Bogor) dan Ade Sugiono (Jakarta).

Katanya, beliau berminat dengan laman konsep berkenaan kerana ia sesuai dengan konsep kediamannya rumah buluh atau dikenali sebagai rumah bambu.



“Memandangkan rumah saya diperbuat dengan buluh sepenuhnya, maka lamannya perlulah menepati konsep kediaman iaitu laman Sunda. Laman Sunda mempunyai tiga elemen yang penting iaitu air, batu dan tumbuhan....tanpa ketiga-tiga elemen ini maka tidak akan terbentuk laman ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, laman Sunda perlu ada batu namprak (batu dari konkrit di bina menyerupai batu sebenar), namun pembinaannya sedikit berbeza dengan kaedah simenferro kerana batu asli, pasir dan tanah dimampatkan dalam konkrit untuk dibentuk menjadi batu namprak.

“Batu ini menjadi binaan untuk pelbagai guna, misalnya menjadi tempat makan, istirahat, ruang bersolat, pentas serta mercu tanda laman. Ia juga boleh menjadi titik tumpu laman,” katanya.

Laman Sunda juga tidak lengkap tanpa unsur air, justeru Mohd Ramadhan membina tujuh kolam dan pancuran air yang memasukkan elemen air dikenali ‘ciburial, air cikaracak, cukang lemah.’

Air ciburial bermaksud air yang terpacul dari dalam tanah hasil tekanan dan proses graviti air yang disalurkan daripada atas bukit, manakala air cikaracak pula adalah titisan air dari batu, manakala cukang lemah adalah jambatan tanah. Kebanyakan Taman Sunda dihiasi dengan pohon hijau yang menjadi tanaman makanan serta herba yang ada di sekeliling kediaman.

Di laman Sunda kediaman Mohd Ramadhan, dilengkapi laluan siar kaki di tepi kolam yang dihiasi pokok pandan, serai, tebu, lidah mentua, nanas , yuka selain lebih 12 jenis pohon buluh termasuk buluh betung, buluh perindu, buluh tutur, bambu madu dan kuning.

Turut menghiasi laman Sunda ini adalah pokok seperti calathea, sepit udang, pokok tasbih, pokok doa (Busida busera), pokok menara (Tower Tree), iris dan melati air.

Batu-batu kecil, batu sungai dan jambatan tanah juga menjadi satu kemestian dalam laman sunda ini dan kelihatan bertingkat-tingkat kerana kedudukan kediaman yang terletak di kawasan bukit.

Paling menarik, selain pepohon hijau, bunyi air mengalir dan titisan air dalam pancuran serta bunyi-bunyian unggas di bukit berhampiran menjadikan laman ini sangat eksklusif bukan hanya untuk pemilik kediaman tetapi pengunjung yang datang bertamu.

Sesuai dengan konsep laman, wakaf buluh dengan atap lalang yang dikenali sebagai joglo (wakaf besar) dan saung camparenik (kecil - pangkin) dibina menjadi tempat istirahat keluarga dan tetamu yang berkunjung di kediaman adalah resort di kawasan berbukit berkenaan. Turut melengkapi kompleks kediaman Mohd Ramadhan ialah sebuah surau yang juga dibina menggunakan buluh sebagai bahan binaannya.

LAMAN WARISAN

Sumber: Berita Minggu, 3 Oktober 2010

TAMAN konsep Neo Nusantara yang berteraskan elemen tradisional seperti kain pelikat, pangkin serta kuda-kuda kian digemari ramai. Selain keunikannya yang memaparkan unsur budaya seperti Melayu, Minang dan Bugis, konsep laman ini turut menyuntik damai kerana menitikberatkan elemen sentuh, lihat selain cita rasa. Tidak hairanlah ia terus menggamit populariti berbanding konsep lain seperti Bali yang sudah kerap ditemui.
 
Kepelbagaian budaya dan adat yang melatari masyarakat berbilang kaum di Malaysia menjadi sumber ilham kepada Pengarah Urusan Terra Garden, Desmond Ho, untuk muncul dengan konsep penataan landskap Neo Nusantara.

Biarpun baru 10 tahun bertapak dan masih terlalu jauh kebelakangan untuk dibandingkan dengan taman berkonsepkan Bali, Jepun dan Inggeris yang sering kali menjadi pilihan ramai, konsep Neo Nusantara semakin dikenali lantaran keunikan dan perbezaannya. Malah tidak keterlaluan dikatakan, ia semakin menjadi pilihan untuk hiasan laman lantaran taman berkonsepkan Bali misalnya, sudah terlalu kerap ditemui.

Dalam melatari taman berkonsepkan Neo Nusantara, Desmond, berkata beliau meletakkan lima perkara sebagai paksi iaitu pemandangan atau penglihatan (sight), sentuhan (touch), bunyi-bunyian (sound), bau (smell) dan cita rasa (taste). Semua itu, katanya, penting untuk mencipta keselesaan yang menjadi nadi untuk konsep itu terus bertahan.

“Saya menterjemahkan pemandangan sebagai sesuatu yang cantik daripada perspektif hiasan taman kerana kecantikan yang akan menarik perhatian orang. Selain itu, saya juga mahu serapkan semangat kepada taman yang direka supaya sesiapa yang mengunjunginya dapat berasa semangat itu. Oleh itu, sentuhan, bunyi-bunyian seperti bunyi air mengalir, bauan yang segar dengan penanaman bunga seperti melur, cempaka selain tanaman lain seperti pandan dan serai perlu untuk mewujudkan kesegaran itu. Konsep itu boleh dikatakan adunan daripada sifat permukaan banyak budaya di Malaysia seperti Minang di Negeri Sembilan, Bugis di Johor dan Thailand di sebelah utara. Neo Nusantara itu sendiri bermakna baru (new) dan Nusantara itu adalah rantau sebelah sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menariknya, Desmond turut memasukkan unsur tradisional dalam reka bentuk halamannya seperti kekisi yang dihasilkan berasaskan kain pelikat, pangkin serta kuda-kuda.

“Kain pelikat diterima oleh semua kaum di Malaysia dan unsur ini tidak akan ditemui pada taman berkonsepkan Bali, Jepun atau Inggeris. Begitu juga dengan pangkin dan kuda-kuda yang ada pada kebanyakan rumah di kampung satu ketika dulu. Idea ini timbul kerana keinginan saya membawa suasana kampung ke bandar. Saya sering terfikir bagaimana untuk membawa keajaiban dan pengalaman gaya hidup kampung ke bandar. Saya dibesarkan di kampung dan sudah terbiasa bergaul dengan kaum Melayu dan India. Jadi keunikan setiap budaya itu saya tonjolkan dalam konsep ini,” katanya.

Desmond mengakui cabaran yang dihadapi untuk memperkenalkan konsep Neo Nusantara ini bukan sedikit apatah lagi perlu bersaing dengan taman berkonsepkan Bali, Jepun dan Inggeris yang sudah wujud sejak beratus-ratus tahun dulu.

Namun kesungguhannya sudah menampakkan hasil apabila Terra Garden mempunyai kira-kira 5,000 pelanggan di Lembah Klang termasuk orang perseorangan dan agensi kerajaan serta korporat.

Hasilnya setakat ini tidak pernah mengecewakan pelanggan mahupun tetamu yang berkunjung malah menurut Desmond pelanggan yang kini menjadi jurucakap bagi pihaknya memperkenalkan konsep itu kepada rakan.

Tidak cuma memberi tumpuan kepada persekitaran yang luas kerana Terra Garden juga bijak memanfaatkan ruang sekecil balkoni pangsapuri atau kondominium untuk menzahirkan keunikan taman Neo Nusantara. Mereka yang berminat boleh melayari laman web Terra Garden di www.neonusantara.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Info: Laman Neo Nusantara

  • Melur dan cempaka antara bunga yang sesuai untuk taman berkonsep Neo Nusantara.
  • Kebanyakan hiasan termasuk tempayan dan bekas lampu diukir mengikut acuan tradisional seperti pucuk rebung dan jantung pisang.
  • Pemilik digalakkan memasang muzik asli untuk mengembalikan nostalgia kampung di bandar.
  • Kuda-kuda diilhamkan daripada gaya mengukur kelapa.


Tuesday, October 12, 2010

TEKNIK PENANAMAN DALAM PASU

Teknik Menanam Dalam Pasu


 
  1. Terdapat berbagai jenis, saiz dan bentuk pasu yang boleh digunakan sebagai bekas penanaman.
  2. Tanaman disediakan samaada daripada polibeg atau pemasuan semula.
  3. Sediakan bahan dan peralatan seperti pasu, anak benih, sudip tangan, medium campuran dan tong penyiram. Pilih pasu yang sesuai dengan anak benih.
  4. Tutup lubang saliran dengan batu kecil atau serpihan pasu bagi tujuan pengaliran air dan pengudaraan. Jika pasu terlalu kecil gunakan jarring hijau untuk menutup lubang saliran pasu.
  5. Masukkan medium penanaman (7:3:2 atau 3:2:1) ke dalam pasu sehingga separuh penuh.
  6. Siram kotak semaian dahulu dan keluarkan anak pokok atau anak benih daripada kotak semaian atau polibeg dengan cermat.
  7. Masukkan anak benih dan letakkan anak benih di tengah-tengah pasu.
  8. Tambah medium campuran di sekeliling pokok sehingga 2 cm daripada permukaan pasu. Pastikan anak pokok tidak ditanam lebih dalam dari paras asalnya.
  9. Padatkan tanah di sekeliling anak pokok.
  10. Siram anak pokok sehingga medium cukup basah.
  11. Letakkan pasu di tempat teduh selama 4 hingga 10 hari bergantung kepada jenis tanaman dan keadaan pokok.
Selamat mencuba.

TEKNIK PENANAMAN TUMBUHAN MEMANJAT

Teknik Penanaman Tumbuhan Memanjat


 • Tanaman tumbuhan memanjat boleh ditanam di atas tanah atau dalam bekas penanaman.

• Ditanam pada jarak 15 – 30.5 cm antara pokok bergantung kepada kekesanan yang dkehendaki.

• Jika untuk menutupi tembok atau pagar, tanamkan sejauh 15 cm dari pagar supaya iamudah memanjat.

• Kayu pancang/unjung digunakan sebagai alat pemanjat.

• Pergola boleh dijadikan alat pemanjat untuk tumbhan jenis ini.

Sunday, October 10, 2010

TANJUNG PIAI - DESTINASI PELANCONGAN DI PONTIAN

Taman Negara Tanjung Piai adalah tempat terkeselatan benua Asia. Terletak di selatan Johor dan tepatnya di selatan daerah Pontian. Tempat ini berdekatan pula dengan Kukup (international check point). Sebelum sampai ke Tanjung Piai, kita akan melalui kampung-kampung tradisional  yang dipenuhi pokok-pokok kelapa yang melambai-lambai. Antaranya Kg. Permas, Kg. Sg. Durian, Kg. Sg Kuali, Kg. Serkat, dan Kg. Parit Penghulu.


Dulu Tanjung Piai ni sunyi sepi. Ia mula terkenal apabila kawasan ini yang dipenuhi hutan paya bakau dijadikan Taman Negara Tanjung Piai. Beberapa kemudahan untuk pelancong telah disediakan seperti jeti, laluan menyelusuri hutan paya bakau, pondok rehat, menara tinjau, balai informasi, dan tapak perkhemahan. Di hujung paling terkeselatan dibina pula jeti. Di atas jeti ini dibina globe dunia, tetapi sekarang jeti ini rosak. Apabila kita berdiri di jeti ini, nun di kejauhan sana kelihatan bangunan pencakar langit di Singapura dan kapal-kapal sedang menunggu masuk ke pelabuhan Singapura. Tanjung Piai dipisahkan dengan Singapura oleh Selat Johor. Satu laluan trem yang baru sedang dibina untuk ke hujung benua ini.

Pelancong yang ingin masuk ke taman ini dikenakan bayaran di pintu masuk. Parking kereta pun di kenakan bayaran. Pokok bakau minyak banyak terdapat di sini. Hidupan lumpur laut juga banyak tetapi tidak dibenarkan mengambilnya. Ia hidupan terlarang. Jangan sekali-kali mengutipnya nanti kena denda.

Foto-foto di sekitar Tanjung Piai:


Menara Komunikasi.


Laluan siar kaki.


Bot-bot nelayan di jeti.


Pokok nipah di sungai kecil.


Pokok piai.


Replika pokok piai.


Pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai.


Laluan ke pintu masuk Taman Negara Tanjung Piai.

Saturday, October 9, 2010

TEKNIK PENYENGGARAAN TANAMAN/TUMBUHAN LANDSKAP


Tumbuhan landskap mesti disenggara dengan baik agar pertumbuhannya terus segar sepanjang masa. Semua kerja-kerja penyenggaraan boleh dibuat secara bersendirian atau diupahkan kepada orang atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu. Sebagai contoh, sebaik-baiknya kerja-kerja pembajaan dilakukan secara berkala yang menjadikan tumbuhan tersebut sentiasa menerima nutrien sepanjang masa.


Diantara kerja-kerja penyenggaraan yang mesti dilakukan ialah:

  •  PenyiramanDilakukan sebaik sahaja kerja-kerja penanaman selesai. Air siraman hendaklah mengenai pokok dan tanah penanaman. Air siraman hendaklah menyerap sedalam 13 – 15 cm ke dalam tanah. Umumnya penyiraman dilakukan dua kali sehari untuk pokok dalam bekas iaitu pada awal pagi dan lewat petang. Apabila pokok telah dewasa, kadar penyiraman bolehlah dikurangkan atau diberhentikan.

  • MerumpaiAktiviti ini perlu dilakukan dari masa ke semasa. Merumpai menjadikan kawasan landskap kelihatan kemas, teratur dan menjauhkan tumbuhan daripada serangan penyakit. Merumpai boleh dilakukan dengan tangan atau mengguanak peraltan khas.

  • Pembajaan - Pembajaan yang seimbang dan betul menghasilkan tumbuhan landskap sihat dan subur. Pastikan tujuan membaja samaada untuk pengeluaran bunga, buah atau daun. Baja tinggi nitrogen untuk berdaun cantik. Baja tinggi fosfat dan potash untuk menghasilkan bunga dan buah. Pembajaan hendaklah mengikut masa yang telah dijadualkan.

  • PemangkasanPemangkasan dilakukan dengan membuang tunas-tunas liar, dahan yang tumbuh tidak teratur dan dahan-dahan yang telah rosak. Ia bertujuan; membentuk pokok, membuang dahan mati, berpenyakit, dan yang tidak diperlukan, merangsang pertumbyhan tunas, bunga atau buah, meninggikan nilai estetika, dan memberi keseimbangan pada pokok supaya tidak rebah. Ada tiga jenis; pemangkasan membentuk, pemangkasan kelaziman, dan pemangkasan memperbaiki.


  • Pemotongan RumputRumput dipotong mengikut jadual yang telah ditetapkan seperti dua kali sebulan. Pada musim hujan, pemotongan lebih kerap dilakukan. Pada musim kering, kekerapan memotong rumput boleh dikurangkan kepada sekali sebulan. Rumput dipotong pada paras yang dikehendaki tanpa merosakkan pertumbuhannya. Rumput yang telah dipotong hendaklah disapu dan dibersihkan untuk mengelakkan perttumbuhan yang tidak sama rata.

  • Penyelenggaraan Yang Lain -Terdapat penyelenggaraan lain yang perlu dilakukan. Aktiviti-aktiviti ini dilakukan secara harian untuk menjadikan kawasan landskap kelihatan bersih, cantik dan menarik. Antara kerja-kerja itu ialah; menyulam tumbuhan landskap yang mati, menyapu daun-daun kering yang berguguran, memungut sampah, membersihkan longkang dan sebagainya.