Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Friday, May 28, 2010

PROJEK SEKOLAH - MEMBINA WAKAF REHAT

Pelajar-pelajar Tingkatan 5L sedang berusaha menyiapkan projek sekolah iaitu membina sebuah wakaf rehat. Kerja-kerja pembinaan diselia dan diuruskan oleh Cikgu Nordin Bin Ehsan dan dibantu oleh Abang Roslee.

Projek yang dah 80% siap itu terletak bersebelahan gelanggang bola tampar. Disekeliling wakaf itu akan dibina pula taman/landaskap ala kampung dengan landskap lembutnya ialah penanaman turf (rumput karpet), pokok buluh dan pokok naungan manakala landskap kejurnya pula ialah pembinaan tempayan besar di dalam kolam. Insyaallah selepas cuti sekolah nanti projek ini akan siap sepenuhnya.





Wednesday, May 26, 2010

SENI PIKAT BURUNG DI TAMAN

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 23 Mei 2010



 KATA orang laman tidak lengkap jika tiada kicauan burung bagi menyemarakkan lagi suasana sekitar kawasan kediaman. Bagi rumah di pinggir hutan atau di kawasan kampung, ini bukanlah masalah kerana kawasan sekitar masih lagi hijau yang menjadi habitat dan tempat burung mencari makan.

 Sesetengah orang percaya kehadiran burung di laman, membawa punca rezeki dan menghidupkan laman malah dapat membantu mengawal serangga terutama jenis yang menjadi pembawa penyakit seperti lipas, nyamuk dan lalat. Burung juga membantu menghapuskan ulat beluncas yang suka makan daun serta telur semut hitam yang selalunya boleh menyebabkan dahan pokok mati.

Sebenarnya, tidak kira di mana lokasi kediaman, usaha menarik unggas hadir di laman rumah bukan menjadi masalah kerana ada beberapa langkah yang boleh di ambil untuk memikat kehadiran burung. Antara cara untuk memikat burung ialah ;

Rumah burung
Rumah burung ini boleh dibina sendiri menggunakan kayu atau bahan lain yang diletakkan di kawasan yang tinggi dan mudah dilihat unggas. Untuk memikat burung bertandang, diletakkan makanan sebagai umpan.


Kebiasaannya, rumah burung berbentuk seperti replika rumah diperbuat daripada kayu dan anyaman rotan. Jika kreatif, rumah burung boleh dibina sendiri menggunakan kayu lebihan atau rotan.

Bagi mereka yang tidak tahu membina rumah burung, boleh membeli di kedai hiasan laman atau nurseri bunga. Malah, kini sarang burung juga boleh didapati di kedai hiasan atau kraftangan seperti sarang burung tempua.

Bekas makanan burung
Mereka yang berminat untuk menarik kehadiran burung juga boleh meletakkan bekas makanan burung. Bekas ini juga boleh dibeli di kedai hiasan laman atau dibina sendiri menggunakan dawai mata punai berbentuk silinder atau menggunakan balang kaca atau plastik.

Kebiasaannya bekas makanan burung berbentuk tiub atau saluran panjang tergantung, tetapi kini ada pelbagai bentuk yang menarik seperti pinggan leper, mangkuk kecil, replika sarang burung, replika rumah mini dan terendak lampu mini.

Sesetengah bekas makanan dihiasi loceng kecil yang berbunyi apabila ditiup angin dengan pelbagai warna menarik serta disertakan aksesori. Warna yang lebih terang seperti merah dan kuning lebih mudah memikat burung bertandang dan singgah mencari makanan.

Kebanyakan bekas makanan mempunyai lubang atau jejaring kecil dan mudah untuk burung memasukkan paruhnya ketika makan. Seperti diketahui, kebanyakan burung sukakan bijiran seperti biji bunga matahari, biji sawi, jagung dan padi.

Makanan yang diletakkan juga perlu sesuai jika mahu memikat unggas ke laman kerana tidak semua burung atau serangga suka makanan yang ditawarkan.

Oleh itu, sebaik-baiknya, binalah wakaf atau pelantar khas atau buaian untuk menjadi tempat memerhatikan burung makan. Seelok-eloknya bekas makanan burung diletakkan di kawasan tinggi kerana unggas lebih tertarik makan di kawasan berkenaan berbanding di tanah.

Tempat mandian burung (Bird Bath)
Dikenali sebagai pancuran air mini dan banyak didapati dalam seni taman zaman Roman kerana ia menjadi ciri utama laman berkenaan. Begitu juga dalam laman berkonsepkan kedesaan Inggeris yang mana mana tempat mandian burung ini antara hiasan penting laman.

Kini, ‘bird bath' boleh disuai padan dengan pelbagai jenis konsep laman termasuk laman moden tetapi reka bentuknya disesuaikan mengikut ciri laman. `Bird bath' adalah pancuran berkaki mini yang diletakkan di tengah atau di sudut laman atau sesetengah orang menjadikannya sebagai titik tumpu laman.

Selain seramik, tempat mandian burung ini dibina daripada konkrit atau besi mengikut pilihan pemilik kediaman. Namun, jika ‘bird bath’ diletakkan di tengah laman disyorkan menggunakan daripada jenis seramik dan konkrit kerana lebih tahan lama berbanding besi.

Terkini, tempat mandian burung juga diperbuat daripada plastik dan gentian kaca.. Kunjungi saja kedai menjual perhiasan taman jika anda tidak tahu memilih bird bath yang sesuai untuk laman. Selain berfungsi sebagai tempat memikat burung bertandang bagi mandi dan minum, ia juga berfungsi sebagai penyeri laman.

Seeloknya belilah tempat mandian burung dengan air yang mengalir atau memancut kerana ia nampak lebih hidup dan semula jadi serta lebih digemari burung. Tempat mandian burung daripada jenis ini juga lebih baik kerana tidak menyebabkan air bertakung yang menarik kehadiran jentik-jentik dan berudu.

Bina tempat mandian burung lima hingga 10 kaki tinggi dari tanah dan letakkan binaan itu di sudut laman atau belakang rumah berhampiran bunga atau pokok bijiran atau buahan dan sayuran seperti cili dan selasih

Pokok
Cara paling mudah memikat burung adalah dengan menanam pokok buah-buahan di laman kediaman. Ini kerana selalunya burung menjadikan buah-buahan makanan mereka selain menjadikan dahan pohon sebagai tempat membina sarang.

Satu lagi cara memikat burung terutama kelicap, tanam pokok yang berbunga di laman kediaman. Jika boleh tanam pelbagai pokok berbunga dengan warna yang terang dan berbau wangi seperti mawar,

Saturday, May 22, 2010

MENGIMBAU KENANGAN - PERTANDINGAN TERRARIUM MAHA 2008

Pada tahun 2008 dua orang pelajar Landskap dan Nurseri sekolah ini telah menyertai pertandingan terrarium MAHA 2008 di MAEP Serdang, Selangor. Mereka ialah Azhar Bin Azaman dan Syafizad Norhadi Bin Abd Aziz yang diiringi oleh Cikgu Hasan Kasmuri. Johor diwakili oleh dua buah sekolah iaitu SMK Telok Kerang dan SMK Pekan Baru, Muar.

Sebelum pergi bertanding, persediaan dan latihan telah dibuat terlebih dulu. Pelajar-pelajar itu mencari maklumat mengenai terrarium dan membuat pemilihan tumbuh-tumbuhan yang sesuai untuk ditanam di balang kaca. Adat bertanding, yang terbaik adalah pemenang. Kami hanya setakat mendapat sijil penyertaan. Kepada pemenang pertandingan tersebut kami ucapkan tahniah. Selepas bertanding, kami melawat seluruh tapak pameran MAHA.










PANDUAN DAN TIP MEMBINA LANDSKAP DAN TAMAN

Dalam blog ini saya cuba memaparkan panduan dan tip membina landskap dan taman. Mungkin ia boleh digunakan semasa hendak membina landskap dan taman yang lebih menarik dan profesional. Panduan dan tip ini saya ambil dan kumpulkan daripada majalah-majalah, buku-buku dan nota-nota. Dalam tulisan itu, saya banyak menggunakan grafik berbentuk foto agar panduan dan tip itu lebih mudah difahami. 

Saya gunakan panduan itu semasa saya mengajar pelajar-pelajar landskap saya sebagai bahan pengayaan agar mereka lebih memahami bidang perlandskapan.

Insyaallah saya akan tambah lagi panduan-panduan mengenai pembinaan landskap dari masa ke semasa mengikut kesempatan dan ruang yang ada. Saya mohon maaf jika mungkin ianya tidak cukup profesional . Sila klik pada ruang 'Panduan Membina Landskap/Taman'.  

Sunday, May 16, 2010

BUMBUNG MESRA ALAM


Oleh Rohaniza Idris
Berita Mingga 16 Mei 2010



RAMAI yang mengidamkan untuk memiliki laman seperti di resort dan pusat peranginan yang menggunakan konsep Bali dan tradisional menggunakan bahan semula jadi. Namun, ramai yang tidak tahu sesetengah bahan semula jadi dihasilkan daripada bahan terbuang dan sering diabaikan penggunaannya.

Satu bahan semula jadi yang semakin mendapat tempat terutama oleh kontraktor laman dan pengusaha industri kayu dan hiasan tradisional adalah lalang yang dijadikan bahan membuat atap. Di Malaysia, industri pembuatan atap lalang masih baru dan belum diterokai sepenuhnya berbanding di negara jiran Indonesia yang kini menjadikan negara pengeluar dan pembekal utama produk berkenaan.

Atap lalang kini banyak digunakan pusat peranginan di Australia, Amerika Syarikat, Mauritius, Fiji, Thailand, Hawaii selain Indonesia sendiri kerana keunikannya serta ketahanannya.

Mohd Hedzir Borhan dari Rossahimi Enterprise berkata, syarikatnya menjadi pembekal utama atap lalang sejak lima tahun lalu dan kini masih meneruskan usaha berkenaan walaupun permintaan terhadap atap lalang masih belum memberangsangkan.

Katanya, pada masa ini atap lalang banyak digunakan dalam pembinaan resort dan pusat peranginan tetapi untuk binaan spa dan rumah urut atau gazebo serta ruang rehat di sekitar kawasan berkenaan.

“Bagi permintaan pasaran awam, permintaannya sangat sedikit kerana pengguna masih tidak tahu mengenai kebaikan dan kelebihan atap berkenaan. Malah, ramai yang tidak yakin atap berkenaan kukuh dan tahan lama. Persepsi yang tidak boleh diubah mengenai atap lalang adalah ia mudah terbakar dan menyebabkan kebocoran.  Persepsi itu perlu diubah kerana atap lalang bukan saja tahan lama, kalis bocor dan ia menjadi bahan ekslusif kerana mempunyai nilai eksotik,” katanya.

 Beliau menjelaskan atap lalang boleh bertahan sehingga 15 tahun bergantung kepada susun anyaman atap dan tidak mudah di makan anai-anai, bubuk, malah dipercayai tikus tidak berminat untuk dengan lalang. Sesetengah burung mungkin berminat membuat sarang tetapi jika atap lalang diikat kemas, sukar bagi unggas membuat tempat tinggal.

Katanya, suhu di bawah bangunan yang dipasang dengan atap lalang akan menurun sehingga 10 hingga 15 selsius, bergantung kepada ketinggian bumbung kerana bahan berkenaan adalah penebat haba yang baik.

“Anda akan merasa sejuk di dalam walaupun keadaan panas terik di luar kediaman. Biasanya atap lalang tidak perlu dilengkapkan dengan siling, malah ia menjimatkan kayu serta bahan binaan lain. Malah, atap ini lebih ringan dari bumbung genting. Selain itu, pemandangan yang sangat cantik dan kelihatan amat menarik pada bahagian dalam bumbung bangunan yang memasang atap lalang. Sekali pandang kediaman anda seakan resort ekslusif yang sering dilihat di kaca televisyen atau majalah pelancongan. Satu lagi kelebihan atap lalang ia boleh bertahan dengan tiupan angin ribut dan ini sudah terbukti melalui ujian peringkat penggunaan antarabangsa di tepi laut. Malah, atap boleh dipasang menggunakan paku atau diikat dengan tali buluh atau rotan (seperti ikatan atap nipah),” katanya.

Beroperasi di Telok Panglima Garang, Banting, Selangor, syarikat itu pernah terpilih menjadi pembekal atap lalang Bali kepada Golden Palm Tree Resort (Sepang Goldcoast) bagi pembinaan 260 unit banglo terapung selain pembinaan spa dan gazebo untuk Berjaya Redang Beach Resort, Terengganu.

Hedzir berkata, selain menjadi pembekal atap lalang untuk syarikat besar, beliau turut membekalkan atap itu untuk pembeli perseorangan, syarikat landskap dan kontraktor laman tempatan.

Kebiasaannya, katanya ukuran atap lalang yang dijual adalah 2.0 meter(panjang) x 0.7 meter (labuh) x 2.0 sentimeter (tebal), namun syarikat itu menerima tempahan mengikut saiz dikehendaki pelanggan jika kuantiti tempahan besar dengan harga yang berpatutan.

“Bingkai atap lalang menggunakan buluh yang di awet dengan kimia khas untuk mengelak dari serangan bubuk dan anai-anai dan atap dijamin boleh tahan dari lima hingga 15 tahun berdasarkan kekerapan anyaman lalang,” katanya.

Atap lalang juga tidak perlu dilapik dengan lapisan khas yang biasa digunakan untuk wakaf atap rumbia. Atap lalang dijamin tidak menyebabkan bumbung wakaf atau pondok bocor. Elakkan meletak lapik daripada logam atau zink kerana ia boleh menyebabkan atap lalang reput.

Maklumat lanjut mengenai atap lalang berkenaan boleh diperoleh di www.alangalangbali malaysia.com

INFO: Atap lalang


  • Harga sekeping atap lalang RM15 sekeping (2 meter panjang)
  • Kos membuat atap lalang lebih murah dan pekerja tidak perlu masuk hutan untuk mencari bahan utama.
  • Harga bagi atap lalang juga jauh lebih murah berbanding atap rumbia.
  • Cara menganyam atap lalang sama seperti atap rumbia dan kerja menyusunnya lebih mudah kerana daun lalang tidak perlu diraut untuk diasingkan daripada pelepah seperti pokok rumbia.
  • Atap lalang perlu direndam dalam air dalam tempoh seminggu. Selepas itu dikeringkan sehingga warna bertukar menjadi kuning keperangan. Sebelum dianyam, lalang perlu disikat terlebih dulu supaya kemas.

Sunday, May 9, 2010

LAMAN INGGERIS ALA MALAYSIA


Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 9 Mei 2010




SEKALI pandang, laman dan kediaman Hamidah Sabri seakan pemandangan yang biasa dilihat di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser, walaupun hakikatnya ia hanya terletak di Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh, Selangor.

Banglo satu tingkat dengan lima bilik itu tampil menyerlah dari luar kerana laman berkonsepkan kedesaan Inggeris yang pasti memikat sesiapa saja yang melintasi kediaman berkenaan. Hamidah yang ditemui baru-baru ini, memberitahu beliau membina kediaman di tanah pusaka milik keluarganya dengan menggunakan konsep Inggeris yang menjadi minatnya selepas membaca majalah dekorasi dan laman luar dari luar negara.

Katanya, dengan minat yang ada beliau membangunkan kediaman dan laman secara berperingkat-peringkat kerana mengambil kira sumber kewangan.

"Saya membangunkan sendiri laman kediaman tanpa bantuan kontraktor landskap dan berpandukan kepada panduan dan tip daripada majalah laman keluaran luar negara yang dilanggan setiap bulan. Semuanya saya buat berperingkat-peringkat. Daripada satu dua pasu bunga kini jumlahnya lebih 10, malah hiasan juga saya tukar mengikut kesesuaian dan ruang yang ada di laman,” katanya yang menetap di kawasan itu sejak 40 tahun lalu.

Apa yang menarik, minatnya itu turut dikongsi bersama suami yang menyokong usahanya menghias kediaman dengan konsep kedesaan Inggeris berkenaan. Lamannya juga berubah mengikut saiz kediaman yang beberapa kali diubahsuai daripada banglo kecil tiga bilik kepada jenis sederhana besar dengan lima bilik.

Bercerita lanjut mengenai lamannya, Hamidah menjelaskan beliau menanam pelbagai spesies pokok berbunga bagi menepati tema konsep kedesaan Inggeris.

“Selain mawar, saya turut menanam bunga lain seperti asytasia gangetica, costus spicatus, eranthemum, euphorbia, kemboja, bunga kertas, akar dani dan spesies keladi. Memandangkan cuaca Malaysia tidak sesuai untuk pokok bunga Eropah maka saya gantikan dengan pepohon lain yang sesuai dengan cuaca di negara ini. Pada saya, tumbuhan di negara ini yang mempunyai koleksi pelbagai rupa dan warna bunga amat sesuai menghiasi laman untuk konsep kedesaan Inggeris. Kalau betul-betul hendak mencari bunga yang biasa tumbuh di Eropah sukar, jadi saya manfaatkan tumbuhan yang ada dan mudah diperoleh bagi menghiasi laman ini,” katanya.

Bagi memastikan lamannya tidak tersasar daripada konsep berkenaan, Hamidah mengecat kerusi lamannya dengan warna putih selain kayu pemegang tangga dan meja kopi yang turut diberi sentuhan konsep sama. Tidak ketinggalan, pintu dan bingkai tingkap rumah turut diwarnakan putih manakala dinding kediaman diwarnakan merah jingga dengan corak batu bata menjadikan kediaman dan laman sangat kena padanannya. Bagi membangkitkan lagi suasana laman, beliau turut meletakkan batu dan kayu pemijak kaki dihiasi batu sungai dan kerikil warna putih. Paling menarik pokok akar Dani dibiarkan memanjat hingga ke atas bumbung pintu utama masuk ke kediaman serta spa kecantikan yang turut diusahakan Hamidah sejak setahun yang lalu.

Katanya, pada asalnya tapak spa kecantikan berkenaan adalah ruang meletakkan kenderaan tetapi diubahsuai selepas pelanggan spa kecantikannya itu bertambah.


 “Pada asalnya, kontraktor meminta kebenaran untuk membuang pokok berkenaan kerana kononnya akan merosakkan binaan bumbung rumah tetapi saya membantah kerana ia sangat cantik apabila melingkari kediaman. Malah, bunga pokok ini sangat cantik apabila tiba musim ia berbunga. Lebih menarik, apabila bunga kertas yang ditanam di belakang rumah juga kini memanjat bumbung dan bergabung dengan akar dani yang menjadikan pemandangannya sangat menarik. Malah, jiran sebelah rumah menyatakan pemandangan rumah saya nampak cantik dari kediamannya dengan adanya kedua-dua pokok berkenaan,” katanya yang akan memperuntukkan dua kali sehari iaitu pagi dan petang untuk menyiram pokok di lamannya.

Sesuai konsep laman, Hamidah turut menanam pokok rhu yang turut menjadi mercu tanda kediaman. Pokok rhu sebatang itu begitu menyerlah seakan titik tumpu laman sehingga menutup tingkap kediaman di belakangnya. Malah, pokok itu menjadi teduhan untuk unggas mencari makan selain meredupkan kawasan sekitar kediaman. Bagi menaikkan lagi seri laman, Hamidah membina beranda di pintu masuk utama ke kediaman. Beranda itu menjadi ruang istirahat keluarga selain menjadi sempadan ruang antara kediaman dengan spa kecantikan. Di beranda itu turut dibina kolam ikan koi comel dihiasi batu sungai. Pokok seperti paku pakis, ekor kuda kasar (Equisetum hyemale), anthirium dan orkid liar menghiasi tepian kolam. Tanduk rusa yang tergantung di dinding berdekatan kolam menaikkan lagi suasana tepian kolam.

Bagi menyerikan lagi kolam Hamidah meletakkan hiasan seramik itik, angsa dan batu sungai. Pagar kayu kecil berwarna putih menjadi pelengkap serta menyerlahkan lagi konsep kedesaan Inggeris yang ingin ditampilkan. Bunyi deruan air yang jatuh dari celah dinding ke kolam mendamaikan lagi suasana di beranda yang turut dijadikan ruang menunggu pelanggan yang berkunjung ke sapa kecantikan yang bersambung dengan beranda berkenaan. Suasana redup daripada bayang pokok bunga kertas di belakang beranda menjadikan ruang itu begitu damai dan sesuai untuk kawasan rehat di waktu petang dan hujung minggu.

Konsep kedesaan Inggeris di laman Hamidah begitu terserlah apabila jambangan bunga dalam bakul rotan diletakkan di meja kopi serta menutup cela pasu yang diletakkan di ruang beranda. Hamidah turut menghiaskan ruang beranda dengan hiasan comel seperti loceng angin dan lampu seperti bebola salji berkilat yang digantung berhampiran tangga masuk.

Info
Konsep kedesaan Inggeris


  • Menggunakan binaan berwarna putih seperti bangku dan meja laman di cat dengan warna berkenaan.
  • Bunga yang biasa digunakan adalah mawar, hollyhocks, pansies and delphinium. Untuk cuaca di Malaysia, boleh gunakan apa saja pokok yang berbunga terutama yang berwarna warni seperti akar dani, seri pagi, kembang pukul lima, petunia, alamanda dan jasmin.
  • Asalnya konsep kedesaan Inggeris banyak menggunakan tanaman herba atau tumbuhan boleh makan tetapi menjelang 1900, bunga-bungaan terutama mawar seakan tidak boleh lari daripada konsep laman ini.
  • Biasanya, laman kedesaan Inggeris perlu ada padang rumput, kawasan tanaman bunga, pokok memanjat atau hiasan tambahan serta ruang siar kaki.
  • Biasanya laman konsep ini tidak terlalu besar cukup sekadar depan laman kediaman atau ruang terhad di belakang rumah.

Thursday, May 6, 2010

NOTA DAN LATIHAN LANDSKAP DAN NURSERI TINGKATAN 4

Mulai hari saya berusaha untuk uploadkan nota-nota dan soalan-soalan latihan yang saya buat untuk murid-murid saya ke alam siber. Sebagai permulaan saya akan uploadkannya daripada Tingkatan 4 sebab pada tahun ini saya mengajar Landskap & Nurseri di Tingkatan 4. Sebenarnya nota-nota tersebut saya ambil daripada Modul Pembelajaran dan Modul Pentaksiran. Sesiapa yang berminat sila klik pada sidebar 'Nota dan Latihan Landskap & Nurseri Tingkatan 4'. Kemungkinan juga semasa download tu mengambil banyak masa. Saya minta maaf kerana itu bukan kerja saya. Saya hanya menumpang seco'it daripada seco'ot kemudahan yang ada di alam siber ini.  

Wednesday, May 5, 2010

MODUL 4: PEMBIAKAN TUMBUHAN SECARA ASEKS - PEMBIAKAN MENGGUNAKAN UBI

MODUL 4
PEMBIAKAN TUMBUHAN SECARA ASEKS - PEMBIAKAN MENGGUNAKAN UBI


Pada hari Isnin 3 April 2010, pelajar-pelajar Tingkatan 4L membiakkan tumbuhan menggunakan ubi. Mereka mencuba membiakkan ubi kentang di bawah bimbingan guru pelatih iaitu Cikgu Fariza .

Ubi ialah bahagian batang yang digunakan untuk menyimpan makanan dan tumbuh di dalam tanah. Ia mempunyai tunas dorman yang yang terdapat pada badannya. Tunas dorman ini akan mengeluarkan pucuk dan akar baru sekiranya disemai. Pembiakan cara pembahagian pada tumbuhan jenis ubi adalah dengan memotong ubinya mengikut beberapa bilangan mata tunas. Bahagian yang dipotong hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai satu mata tunas.

Cara pembiakan menggunakan ubi:

  1. Sediakan peralatan dan bahan seperti sekateur, pisau, sudip tangan, racun kulat, bekas semaian dan organ pembiakan yang sihat.
  2. Sediakan medium semaian dengan nisbah 2:1:1. Masukkan campuran medium ke dalam bekas semaian dan ratakan.
  3. Sediakan organ tumbuhan seperti bebawang atau rizom atau stolon atau rumpun atau ubi kemudian rawat dengan racun kulat.
  4. Semai organ ke dalam bekas semaian dengan cara berikut: a. Tanam rizom, stolon dan ubi sedalam 0.5 cm. b. Tanam bebawang dan rumpun sedalam 1.5 cm.
  5. Jarak semaian ialah 3 cm.
  6. Siram dan letak di bawah teduhan. Letakkan label (tarikh menyemai, nama tumbuhan dan nama murid).
  7. Rekodkan tarikh bercambah, bilangan benih hidup dan mati.
  8. Pindahkan anak benih ke bekas lain setelah mempunyai 4 hingga 5 helai daun.




Monday, May 3, 2010

LANDSKAP KAMPUNG FELDA NITAR 2

Baru-baru ini saya pergi menghadiri jemputan perkahwinan anak saudara saya di Felda Nitar 2, Mersing, Johor. Perjalanan yang jauh dengan jalan yang berliku hilang penatnya apabila sampai di Felda tersebut disambut dengan pemandangan landskap yang menarik di hadapan rumah-rumah peneroka. Kawasan kampung Felda yang dihiasi dengan landskap ala kampung mewujudkan  suasana harmoni dan menarik. Walaupun penataan dan reka bentuk landskap yang dibina mengikut cita rasa tuan rumah, namun kelihatannya ia tetap menarik. Jarang-jarang kita lihat kawasan perkampungan yang halaman rumahnya dihias indah, tetapi di Felda ini kebanyakan penduduknya berusaha membina landskap ala-ala kampung yang menarik. Ia satu usaha yang baik. Saya rasa Felda-felda yang lain pun buat apa yang dibuat oleh peneroka Felda Nitar 2. 


Foto-foto beberapa halaman rumah peneroka Felda Nitar 2.