Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, July 1, 2012

FLORIA PUTRAJAYA 2012

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah semalam berkenan menyempurnakan majlis perasmian Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2012.

Baginda turut meluangkan masa kira-kira sejam setengah untuk melawat kawasan pameran termasuk taman-taman pameran yang dikendalikan oleh kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Perbadanan Putrajaya. Lawatan baginda berakhir di kawasan pavilion yang menempatkan pameran pelbagai gubahan bunga yang menarik dan berwarna-warni yang disertai oleh peserta tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, Hong Kong, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dan disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, festival bertemakan Bunga Kertas-Tetap Menawan itu  berlangsung di Persisiran Tasik Presint 2 di sini selama sembilan hari, bermula 30 Jun 2012 hingga 8 Julai 2012.

Pesta sembilan hari di Persisiran Tasik Putrajaya, Presint 2 itu turut menawarkan pameran hiasan seni reka taman yang mengandungi 400,000 tumbuhan berbunga dan berwarna-warni.

Edisi kelima yang menampilkan slogan Bunga Kertas - Tetap Menawan itu turut mempamerkan beberapa spesies unik lain seperti bonsai, heliconia dan orkid untuk tatapan pengunjung. Kepada sesiapa terutamanya penggemar landskap taman dan bunga-bungaan datanglah  beramai-ramai ke Floria 2012 bagi menyaksikan sendiri keindahan yang bakal dipamerkan. 

Floria 2012 juga menampilkan 16 muka baru pereka taman dan juru hias bunga antarabangsa sekali gus menambahkan kemeriahan pesta yang menjadi acara tahunan itu. Penyertaan negara baru itu menampilkan rekaan seni landskap yang berbeza dan dapat mencetuskan kepelbagaian dalam menghasilkan sesuatu konsep taman. Taman dalaman, taman luaran dan taman orkid dari Australia, Taiwan, Indonesia, Filipina, China, Belanda, Amerika Syarikat dan United Kingdom turut dipamerkan.

Antara acara menarik Floria 2012 adalah segmen Perarakan Floral Pelancongan (PFP) dengan bot berhias di Tasik Putrajaya pada waktu malam. Perarakan itu bertemakan 'Keajaiban Waktu Malam'. Perarakan itu mempamerkan flora terapung dari pelbagai negara dan organisasi yang berlayar dengan bot khas di Tasik Putrajaya.

Masih ada kesempatan untuk berkunjung ke sana.

INFO Floria 2012
  • Di adakan selama sembilan hari dari 30 Jun hingga 8 Julai 2012 di Putrajaya.
  • Perarakan Flora Pelancongan 2012 akan berlangsung setiap hari di Pesisiran Tasik Putrajaya, Presint 2, bermula 8.30 malam.
  • Bertemakan Magic of the Night, Sebanyak 15 bot menyertai perarakan bercahaya sejauh tiga kilometer selain persembahan bunga api.
  • Jumlah Pengunjung: 2007: 300,000 pengunjung.  2009: 500,000 pengunjung.  2010: 800,000 pengunjung.  2011: 1 juta.  2012: jangkaan 1.2 juta
  • Pendapatan dan Jualan Floria: 2010: RM900,000.  2011: RM2.4 juta.







































Thursday, June 14, 2012

MENYEMAI BIJI BENIH ROCKMELON DALAM TRAY

Hari ini ahli-ahli Kelab Landskap dan Taman beramai-ramai menyemai biji benih rockmelon (glamour) dan muskmelon (signal). Dah tiba masanya kami nak mulakan semula projek fertigasi kembali setelah berehat selama tiga bulan. Kami menyemai biji benih tersebut di dalam tray 104 lubang. Kami menyemai sebanyak 500 biji benih. Kaedah penyemaian seperti ini boleh juga dilaksanakan untuk penyemaian biji benih tanaman hiasan sama ada yang berbunga atau tidak berbunga.

Bahan dan beralatan:
  • Biji benih
  • Peatmos
  • Zat perangsang 'Atonic'
  • Racun kulat ' Previcur'
  • Bekas plastik
  • Air suam-suam kuku
  • Tray 104 lubang
  • Karung plastik hitam

Inilah caranya kami menyemai biji benih rockmelon tersebut:


Paket biji benih rockmelon jenis glamour dan muskmelon jenis signal.

Kami gunakan air, zat perangsang 'Atonik' dan racun kulat 'Previcur'.

Biji benih direndam dalam larutan suam-suam kuku selama satu jam.

Sementara biji benih direndam, kami masukkan peatmos dalam tray.

Membuat lubang biji benih pada tray yang berisi peatmos.

Memasukkan satu biji benih satu lubang pada tray.

Selepas direnjis dengan air, tray dibungkus dengan plastik hitam.
 
Percambahan anak benih rockmelon selepas 4 hari disemai.

Tuesday, May 29, 2012

BETAPA INDAHNYA LANDSKAP SEMULA JADI CIPTAAN ALLAH SWT

Subhanallah, Maha Agung Allah SWT. Begitu indah landskap alam semula jadi ciptaan Allah SWT. Segala macam yang didapati di dunia ini berupa nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Semuanya akan digunakan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Pancaindera kita merupakan nikmat yang terbesar pada diri manusia. Dengan mata boleh melihat warna warni kehidupan, dengan pertuturan kemesraan terjalin, dengan pendengaran pencetus kepada kefahaman.

"Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan (semua alam) lalu menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'laa: 1-2). Begitulah bunyi ayat al-Quran yang menceritakan mengenai kebesaran Allah mencipta alam ini. Dan alangkah indahnya alam ini, sempurna dan selesa didiami, lengkap dengan sumber yang boleh menampung kehidupan semua makhluk di dalamnya.

"Dan (memerhatikan) langit bagaimana ia ditinggikan, dan (perhatikan) gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan, dan (perhatikan) bumi, bagaimana ia didatarkan." (Al-Ghaasiyah: 18-20). Segala apa yang ada di langit dan bumi membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah. Alam ini tidak dijadikan sia-sia kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah. Dengan merenung kepada alam semula jadi, manusia boleh berasa betapa besarnya kuasa Allah dan betapa kecil serta lemahnya semua makhlukNya.

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang yang beriman." (Al-Jaatsiyah: 3). Manusia sungguh istimewa kerana diberi kelebihan oleh Allah swt sebagai satu-satunya makhluk yang berakal dan berilmu serta berupaya untuk memanfaatkan segala yang ada di muka bumi ini untuk kegunaannya. Bagaimana manusia menggunakan pemberian Allah ini bergantung kepada iman dan ilmu seseorang itu kerana tanpa kedua-duanya, manusia tidak akan bersyukur ke atas segala nikmat yang dikurniakan Allah.

 











Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendirinya. Memang sungguh menakjubkan alam ciptaan-Nya ini. Hargai dan nikmati lah alam semulajadi ini.











Seluas langit terbentang, seindah mata memandang. Itulah yang dikaitkan dengan alam semulajadi ciptaan Allah SWT yang indah dan menyegarkan. Di sini adalah sebahagian daripada kebijaksanaan Allah SWT Maha Pencipta semesta alam. Dia merencanakan semuanya mengikut jadual tanpa sebarang kesilapan. Maka seharusnya kita yang dibekalkan akal dapat menggunakan segala nikmat yang diberikan dengan sepenuh kesedaran, tanggunjawab, amanah, berpandangan jauh serta prihatin dengan apa jua bentuk kerosakan yang terjadi di muka bumi ini.











"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam". [al-A’raaf 7:54].