Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Wednesday, March 2, 2011

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON SMK TELOK KERANG KEMBALI LAGI: PELAJAR-PELAJAR MPV LANDSKAP MENYUMBANG TENAGA UNTUK MENJAYAKANNYA

Ahli-ahli Persatuan Landskap pada masa ini tengah sibuk membina tapak dan rumah pelindung hujan (RPH) bagi menjalankan semula projek fertigasi rockmelon sekolah. RPH tersebut dibina di sebuah tapak baru iaitu di sebelah padang sekolah setelah kawasan tapak lama akan didirikan bangunan MPV Landskap.

Projek fertigasi ini dibuat lebih kepada penggunaan pelajar-pelajar Sains Pertanian. Namun demikian sebagai pengayaan dalam p&p, pelajar-pelajar landskap melalui aktiviti dan kegiatan dalam persatuan, mereka juga berminat untuk menyertai projek ini. Biasalah nak makan buah freeeee....

Setakat hari ini RPH dan tapak telah siap. Ada beberapa kerja lagi yang harus dilaksanakan seperti sistem pengairan dan mengisi medium ke dalam polibeg. Mengikut rancangan kami, di bawah RPH nanti terdapat 450 polibeg. Banyak tuuu.... Doakan projek fertigasi rockmelon sekolah kami berjaya. Kami dah tak sabar nak makan buahnya yang manis dan sedappppp.








Monday, February 28, 2011

LAMAN MUDAH ALIH - PENGGUNAAN GreenKit SEBAGAI SISTEM PENANAMAN

Sumber: Berita Minggu 27 Februari 2011

BERCUCUK tanam dalam bekas air? Pelik bukan, tetapi inilah keistimewaan GreenKit atau sistem penanaman dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri. Menariknya, produk rekaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) yang sesuai digunakan pemilik laman terhad seperti pangsapuri dan kondominium ini, turut mengharumkan negara apabila meraih pingat emas dalam pertandingan reka cipta di Korea Selatan, baru-baru ini.

Aktiviti berkebun kini bukan hanya menjadi minat mereka yang tinggal di kampung dan desa, malah mereka ramai yang di bandar besar serta tinggal di rumah pangsa, apartmen dan kondominium juga minat dengan aktiviti berkenaan. Namun, beberapa kekangan seperti kekurangan kawasan tanah, kemahiran dan tiada waktu bagi tumpuan menjaga tanaman menyebabkan hasrat untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam dilupakan.

Menyedari hakikat itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) memperkenalkan satu sistem mudah dan murah dinamakan GreenKit iaitu sistem penanaman pokok di dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri tanpa perlu penyiraman yang kerap.

GreenKit terdiri daripada takungan plastik yang terbahagi kepada dua ruang yang terpisah iaitu takungan air di bahagian bawah dan takungan penanaman mengandungi medium tanaman (tanah) di bahagian atas.

Menariknya, produk yang dibangunkan Mardi ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam pertandingan rekacipta /inovasi di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2010 di Korea pada 2 hingga 5 Disember 2010.

Penyelidik MARDI yang membangunkan teknologi ini, Ab Kahar Sandrang berkata, prinsip dan kaedah GreenKit adalah menyerupai penanaman di kawasan tanah semula jadi, iaitu air di dalam tanah naik ke zon pengakaran dengan tindakan kapilari (saluran halus).

Katanya, lazimnya medium tanaman yang digunakan untuk GreenKit ialah peatmoss, vermiculite dan perlite, namun penggunaan tanah atau sabut kelapa bersama campuran berkenaan juga sesuai digunakan.

“Tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran berdaun dan tanaman hiasan semusim boleh ditanam terus menggunakan biji benih manakala tanaman jangka panjang seperti sayuran berbuah dan ulaman serta pokok hiasan kekal perlu menggunakan benih anak pokok. GreenKit boleh diletakkan di kawasan terlindung atau teduhan atau kawasan terbuka. Satu keistimewaannya, seperti tanaman dalam pasu, GreenKit mudah dipindahkan mengikut kesesuaian dan kehendak pemilik kediaman,” katanya.

Green Kit juga boleh disesuaikan untuk tanaman laman ramuan atau edible garden yang mana komposisi tanaman makanan dan hiasan nisbahnya 70:30. Pengguna juga boleh menyusun GreenKit bertingkat mengikut kreativiti masing-masing.

Kapasiti air di dalam takungan berbeza mengikut saiz GreenKit. Umpamanya GreenKit bersaiz 70 sentimeter (cm) x 24 cm x 20 cm untuk penanaman sayur dan ulaman, kapasiti airnya adalah lapan liter yang mampu membekalkan air selama lima hari hingga seminggu. Bermakna setiap lima hari paras air perlu diperiksa.

Menariknya penyiraman dilakukan melalui tiub yang terletak di bahagian tepi GreenKit manakala baja diberikan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal. Baja cecair dicampur dalam air kerana mudah larut manakala baja tabur dalam bentuk biji ditabur di atas medium atau digaul dan dimasukkan dalam takungan air.

Kebersihan GreenKit adalah langkah utama dalam pengurusan penyakit. Keadaan persekitaran yang terlalu lembap dan kotor boleh meningkatkan kejadian serangan penyakit. Jika terdapat tanda penyakit, bahagian yang dijangkiti perlu dibuang.

Penggunaan racun kimia perlulah dielakkan, namun racun biologi atau organik sangat digalakkan penggunaannya. Dalam pada itu, perosak utama tanaman GreenKit ialah serangga pemakan daun. Cara paling berkesan mengurangkan masalah berkenaan adalah dengan menggunakan penghalang fizikal seperti net atau kelambu tanaman. Jika berlaku serangan perosak yang amat serius, penggunaan racun organik sangat digalakkan.

Penanaman dengan GreenKit boleh menggabungkan beberapa jenis tanaman, namun disyorkan kombinasi perlukan keperluan air dan cahaya matahari yang sama. Jumlah jenis tanaman mestilah cukup untuk satu hidangan mengikut saiz bekas GreenKit yang digunakan.

Selain digunakan oleh suri rumah sesuai dengan kempen hijau yang dijalankan kerajaan, GreenKit juga sesuai dijadikan model pembelajaran untuk pelajar sekolah kerana kotak tanaman ini mudah, murah dan bebas daripada bahaya pembiakan Aedes, malah boleh ditinggalkan tanpa pengurusan yang rapi, serta sesuai untuk mereka yang sibuk serta tiada masa menyiram pokok setiap hari.

Bagi mereka yang berminat boleh hubungi MARDI di Peti Surat 12301, Pejabat Pos Utama, 50774 Kuala Lumpur atau emel kepada skahar@mardi.gov.my.

INFO: Tanaman GreenKit

  • Ulaman dan Sayur Berkayu - Pokok Gajus, Tenggek Burung, Beluntas, Peria Pantai, Limau Purut, Cekur Manis dan Daun Kari
  • Ulaman dan Sayuran Tidak Berkayu - Ulam Raja, Pudina, Pegaga, Kaduk, Kucai, Kesum, Selom, Cekur, Pandan Wangi, Kunyit dan Serai.
  • Buah-buahan - Betik, Jambu, Belimbing, Mangga, Limau Kasturi, Ciku, Kedondong dan Delima.
  • Tumbuhan Hiasan - Ati-ati, Resam Batu, Keladi, Crytandra, Globba, Homalomena dan Humilis.
Kelebihan dan Kebaikan GreenKit

  •  
  • Biasanya Green Kit digunakan untuk pokok renek dan kini boleh digunakan untuk sederhana besar dalam bekas tanaman yang lebih besar.
  • Pokok seperti limau purut, tenggek burung, bebeuas, peria pantai, jambu batu dan kedondong juga boleh ditanam dalam Green Kit.
  • Pertumbuhan akar dalam Greenkit terbatas menyebabkan pokok berkenaan menjadi renek namun hasil atau buah tetap sama.
  • Bagi pokok berkayu seperti tenggek burung dan gajus, pemotongan pucuk untuk ulaman dapat mengawal pembentukan saiz kanopi yang terlalu besar sebaliknya pokok menjadi renek atau saiz lebih kecil.
Mengatasi masalah penyiraman yang perlu dilakukan setiap hari

Wednesday, February 23, 2011

KAMI YANG CUN PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 5 LANDSKAP 2011


 
Dari kiri Asward, Abdul Rahman, Noratika, Syukri, Paizal, Nor Jannah, Mawaridi,
Norsyuhada, Azeem, Norafazira, Raffi, Nur Amyza, Fauzan, Siti Khajar, Kamil,
Nurul Nazua, Hamizan, Nur Azlan, Hasrul, dan Aspi

Wednesday, January 26, 2011

PELAN INDUK LANDSKAP: SATU PENDEDAHAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 5 LANDSKAP

Pelajar-pelajar Tingkatan 5 Landskap yang dah mula belajar proses mereka bentuk landskap berminat kepada lukisan pelan induk landskap. Lukisan ini cantik berwarna-warni. Tetapi sebelum mereka dapat melukis lukisan ke tahap membuat pelan induk landskap, mereka mesti belajar asas reka bentuk landskap terlebih dahulu.

Jenis pelan landskap:
  1. Pelan asas.
  2. Pelan inventori dan analisis.
  3. Maklumat bertulis.
  4. Pelan konsep.
  5. Pelan induk landskap.
  6. Pelan penanaman.
  7. Lukisan pembinaan.
Pelan induk landskap menerangkan dengan terperinci idea, konsep dan program yang dicadangkan untuk pelaksanaan pembinaan sesuatu landskan atau taman. Ia menunjukkan simbol landskap yang jelas bagi mewakili semua elemen yang dicadangkan atau yang dikehendaki oleh pemunya landskap.






Thursday, January 20, 2011

PELAJAR 5 LANDSKAP MENYIAPKAN PROJEK SIMEN FERRO

Awal tahun ini pelajar-pelajar Tingkatan 5 Landskap kena menyiapkan kerja kursus iaitu projek simen ferro (landskap kejur). Projek ini adalah asas pembinaan landskap daripada simen ferro. Setiap pelajar mesti menyiapkan sekurang-kurangnya satu projek. Ia adalah sebahagian daripada pentaksiran. Sehingga setakat ini mereka dah membereskan kerja-kerja melepa mortar pada kerangka.

Simen ferro banyak digunakan dalam pembinaan landskap terutamanya untuk membina aksesori landskap seperti air terjun, jambatan dan perabot landskap. 

Sebenarnya simen ferro adalah struktur binaan lapisan mortar yang nipis. Ia adalah kombinasi bahan besi dan simen. Ia dibuat daripada campuran pasir, simen dan air yang dilepa pada jejaring BRC atau lain-lain. Jejaring BRC ini adalah untuk memperkukuhkan lapisan mortar dan menggarap bentuk yang kita mahukan. 

Proses membina simen ferro:
  1. Membuat lakaran.
  2. Menentukan jenis dan saiz struktur yang hendak dibina.
  3. menentukan anggaran kuantiti bahan binaan.
  4. membentuk rangka struktur.
  5. menyediakan bancuhan mortar.
  6. melepa mortar.
  7. Pengemasan permukaan (mengukir dan melorek).
  8. Mengecat dan mewarna.
  9. Mengilat.  









Tuesday, January 4, 2011

LAWATAN KE NURSERI LIAN MONG DI YONG PENG, JOHOR

Cuti sekolah yang lepas kami berpeluang melawat ke sebuah nurseri yang besar iaitu Lian Mong Nursery yang terletak di Yong Peng, Johor. Kawasan nurseri ini memang luas. Selain menjual kepada nurseri kecil, nurseri ini mengeksport tumbuhan hiasan ke luar negeri. Banyak tumbuhan landskap di biakkan di nurseri ini. Dari tumbuhan renek yang kecil hinggalah tumbuhan naungan yang besar. Pokok-pokok hiasan ini tumbuh segar dan dijaga rapi.









Saturday, December 4, 2010

EDIBLE GARDEN (TAMAN DAPUR) DI MAHA INTERNATIONAL 2010

Mengambil kesempatan cuti sekolah di hujung tahun ini, kami pergi ke MAHA International 2010 di MAEPS. Dah lama saya menunggu saat ini. Perkembangan pertanian termasuk hortikultur memang menjadi perhatian saya.

Perjalanan selama 3 jam rasa berbaloi apabila masuk ke MAHA ini adalah percuma, tiada bayaran dikenakan. Kira oklah tu... Orang punyalah ramai menjadikan lokasi-lokasi tertentu menjadi sesak terutamanya di dalam dewan-dewan pameran. Nak berjalan pun susah, aysik bersentuh bahu dengan orang lain. Sambutan MAHA pada tahun ini amat luar biasa.

Banyak maklumat yang boleh didapati dalam lawatan ini. Untuk blog ini saya fokus kepada taman dapur (edible garden) di pavilion-pavilion 13 negeri. Nak cari idea cara penataan dan susun atur. Kami berminat kepada taman dapur ini kerana selain daripada ia sebuah taman yang cantik, tumbuh-tumbuhannya bukan sahaja berwarna-warni tetapi ia boleh dimakan. Itulah keistimewaan dan kelebihan taman dapur.

Setiap pavilion di MAHA ini berusaha menampilkan rekabentuk taman dapur ini. Kebanyakan sayur-sayuran tidak ditanam ke medium. Sayur-sayur ini masih di polibeg. Ianya hanya diletak dan disusun mengikut rekabentuk. Saya faham keadaan ini sebab selepas pameran tamat tentunya pavilion ini akan ditinggalkan.

Kami dapat tahu, taman dapur ini dipertandingkan. Secara mata kasar, saya dapati taman dapur pavilion negeri Johor kelihatan lebih cantik, mantap, kombinasi pemilihan sayur-sayuran sesuai dan rekabentuknya menarik. Kami mengatakan begitu bukan kerana kami dari Johor, tetapi memang ia kelihatan menarik.

Lihatlah foto-foto ini. Hakikatnya taman dapur memang cantik dan bermanfaat kepada penggunanya.