Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, July 12, 2010

LANDSKAP KAWASAN RUMAH LIMAS JOHOR DI DANGA BAY

Rumah traditional Melayu Johor juga dikenali sebagai rumah limas Johor. Seni binanya sangat cantik dimana pembinaannya tanpa menggunakan paku, hanya berdasarkan kepada tanggam semata-mata. Rumah limas traditional ini dibina berdasarkan pada cuaca iklim tropika di Semenanjung Malaysia. Rumah limas Johor banyak dipengarui elemen-elemen luar seperti dari British, Belanda, dan juga unsur-unsur rumah di Indonesia.

Rumah limas Johor mempunyai bentuk asas yang sama iaitu dibina sederhana tinggi. Cara untuk mengenal pasti rumah limas Johor ialah melalui bumbung rumah iaitu mempunyai perabung panjang dan bersambung dengan empat buah perabung limas. Pada puncak bumbung dipasang kayu tajam yang dipanggil tunjuk langit. Rumah ini mempunyai ruang hadapan yang dipanggil rumah ibu dan di hujungnya ialah anjung. Biasanya rumah ini dibuat daripada kayu cengal, keranji, perak dan meranti.

Untuk mengetahuai dan melihat lebih dekat mengenai rumah ini bolehlah kita pergi ke Danga Bay, Johor Bahru kerana di kawasan ini didirikan rumah-rumah limas daripada setiap daerah di negeri Johor. Di kawasan rumah ini dibina landskap ala kampung. Kelihatannya cantik dan bersahaja. Penanaman rumput yang menghijau menjadikan kawasan taman menjadi lebih segar apatah lagi dengan kombinasi warna kayu rumah yang disapu dengan pewarna kayu. Balai Polis juga berbentuk rumah limas.












Wednesday, July 7, 2010

TAMAN SAINS SMK TELOK KERANG DAH JADI

Taman Sains yang pelajar-pelajar landskap bina pada Oktober 2009 dah mula menjadi. Pada ketika ini rumput yang kami tanam dah mula tumbuh subur menghijau. Sebenarnya Taman Sains itu kami ubah suai daripada taman yang terdahulu. Temanya mudah sahaja iaitu taman menghijau. Oleh kerana itu kami pilih rumput dan pokok takoma sebagai tumbuhan utama disamping tumbuhan herba.

Mengapa kami pilih rumput?

Hamparan rumput subur menghijau bagaikan permaidani indah mengubah penampilan taman hadapan atau belakang kediaman anda. Hakikatnya, penanaman rumput hiasan amat penting kerana ia berperanan sebagai terapi terbaik selain mengilhamkan suasana segar. Ini kerana taman antara tempat kita seisi keluarga meluangkan masa ketika petang atau hujung minggu untuk bersantai.

Segala kepenatan menyelenggara rumput di taman dengan memotong, membuang rumput liar dan membaja hilang serta-merta apabila melihat kehijauan rumput semula jadi. Kawasan lapang yang ditanam dengan rumput lebih bermanfaat, berbanding tanaman bunga tidak diselenggara selepas beberapa bulan ditanam. Pada masa yang sama ia membantu mengindahkan kawasan antara bangunan dan bukan sekadar menyerlahkan suasana taman di kediaman. Taman kelihatan lebih terurus biar pun hanya dengan kehadiran hamparan indah rumput hiasan berbanding pelbagai tanaman dalam pasu yang tumbuh tidak sekata atau berbunga mengikut musim.



Pembinaan Taman Sains pada Oktober 2009





Taman Sains pada masa ini, Julai 2010





Sunday, July 4, 2010

FLORIA PUTRAJAYA 2010 - KEINDAHAN TROPIKA

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu, 4 Julai 2010

 
Festival Floria 2010 di Putrajaya kali ini yang bermula pada 10 Julai dan berakhir pada 18 Julai 2010 menampilkan bunga Heliconia (Bunga Sepit Udang) sebagai tarikan utama


Sejak tiga tahun penganjurannya, Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria) tidak pernah mengecewakan peminat seni taman, landskap dan bunga-bungaan tempatan. Kali ini, sebanyak 400,000 jenis bunga hiasan beraneka warna, tumbuhan herba, pokok liar dan hiasan laman unik akan menghiasi festival tahunan dengan tema ‘Keindahan Tropika’ yang bermula Sabtu depan.

Bertemakan 'Keindahan Tropika,' Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2010) yang kali ketiga penganjurannya tahun ini akan mempamerkan kelainan dengan menampilkan koleksi terbesar Heliconia (Bunga Sepit Udang) yang belum pernah ditunjukkan di Malaysia dalam suasana taman. Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman berkata, setiap sudut laman dan ruang pameran akan dihiasi bunga Heliconia yang mempunyai lebih 150 spesies di dunia.

“Malah Heliconia yang banyak di Asia Tenggara, dipilih sebagai bunga tema bagi Floria 2010 kerana kepelbagaian spesies bunga itu yang begitu sinonim dengan cuaca tropika di negara ini,” katanya.

Floria 2010 berlangsung selama sembilan hari bermula Sabtu depan hingga 18 Julai ini di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya menampilkan 400,000 jenis bunga hiasan beraneka warna, tumbuhan herba, pokok liar dan hiasan laman unik serta menarik.

Tema Keindahan Tropika dipilih bersesuaian dengan usaha mempromosikan Putrajaya sebagai `Bandaraya Dalam Taman' dan `Bandaraya Berbunga' selaras hasrat kerajaan menjadikan Putrajaya sebagai bandar hijau.


Samsudin berkata, dijangka lebih 500,000 pelancong tempatan dan asing menghadiri festival kali ini dengan penyertaan 10 negara seperti Indonesia, United Kingdom, Australia, Jepun, Kanada, Taiwan, Belanda, New Zealand dan Serbia yang turut mempamerkan landskap, taman dan gubahan bunga masing-masing.

Festival berkenaan dibuka secara percuma dari jam 9 pagi hingga 10 malam setiap Isnin hingga Khamis dan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam pada Jumaat serta hujung minggu.

Selain itu, katanya, festival berkenaan akan turut memberi peluang kepada pengusaha dan pembekal bunga serta landskap untuk mempamer dan memperkenalkan produk mereka di samping membuka peluang perniagaan pelbagai pihak dalam industri landskap, hortikultur dan perkebunan.

"Sebagai usaha penambahbaikan penganjuran, kita akan menyediakan sebanyak 45 ruang perniagaan berkonsep bazaar taman berbanding 30 ruang tahun lalu dan semuanya sudah ditempah," katanya.

Floria diperkenalkan buat pertama kalinya pada 2007 dan kini ia dijadikan acara tahunan yang menjadi komitmen Perbadanan Putrajaya dalam usaha membangunkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai `Bandar Dinamik'.

Pameran yang berlangsung di kawasan seluas 6.07 hektar juga membolehkan pengunjung mendekati dan menyelami keindahan landskap dan bunga-bungaan selain dapat menyertai pelbagai aktiviti sampingan termasuk untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Pada waktu malam, landskap dan kawasan pameran menampilkan keindahan taman dengan cahaya lampu yang memukau. Antara aktiviti yang diadakan sempena Floria 2010, persembahan taman sekolah dan universiti, taman milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), taman syarikat korporat, taman bunga kanak-kanak, astaka bunga, gerai jualan produk tanaman, landskap dan bunga.

Pengunjung juga boleh merasai sendiri pengalaman menaiki belon udara panas, selain melihat demonstrasi dan bengkel penanaman serta penjagaan tanaman, kraftangan, seminar mengenai tumbuhan dan landskap, persembahan kebudayaan dan hiburan, pertunjukan pentas, pertandingan melukis dan foto serta ceramah mengenai pokok.

HARI LANDSKAP NEGERI JOHOR 2010

Hari Landskap Negeri Johor 2010 telah dirasmikan oleh Menteri besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman di Taman Bandar, Pasir Gudang. Dalam ucapannya, Menteri Besar berkata bahawa Kerajaan Negeri mensyaratkan agar setiap projek pembangunan perumahan dan kawasan perindustrian di negeri ini merizabkan sekurang-kurangnya sepuluh peratus kawasan lapang untuk menanam pelbagai spesis pokok seperti pokok teduhan, pokok hutan atau pokok herba.

Syarat yang dikenakan itu adalah untuk membantu usaha menghijaukan alam sekitar di samping mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif untuk kehidupan. Kerajaan Negeri percaya bahawa dengan menanam pokok-pokok jenis ini, ia bukan sahaja akan membantu menghijaukan alam sekitar , malah boleh dijadikan rujukan untuk generasi akan datang. katanya.

Katanya, walaupun Johor secara keseluruhannya masih dilitupi hutan-hutan hijau yang luas, namun usaha untuk mewujudkan persekitaran hijau di negeri ini akan terus dilaksanakan melalui pelbagai program. Antara langkah yang diambil adalah menyarankan setiap pemaju di negeri ini supaya merujuk terlebih dahulu Laporan Awal Kesan Alam Sekitar sebelum memulakan sesebuah projek.
 
“Rujukan ini penting agar pembangunan yang dijalankan kelak tidak akan memberikan kesan negatif kepada alam sekitar yang seterusnya boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya.
 
Mengenai pembangunan hutan-hutan bandar di negeri ini, Abdul Ghani menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan di seluruh negeri untuk tujuan itu. Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti ialah tanah seluas 24 hektar di Hutan Bandar Mutiara Rini, 40 hektar tanah di Bandar Indahpura Kulaijaya, 20 hektar tanah di Pasir Gudang, 32 hektar tanah di Taman Teknologi Tinggi Senai dan 64 hektar di Taman Linear Nusajaya.

Pengunjung yang datang ke Taman Bandar dapat menyaksikan rekabentuk landskap dan taman yang dibina mewakili daerah-daerah di Johor.  Cantik dan menarik. Ada daerah yang menggunakan bahan lama tetapi penggunaannya diubahsuai mengikut rekabentuk baru.

Semasa saya berkunjung ke taman ini iaitu pada hari Ahad, 4 Julai 2010 tidak ramai pelawat yang berkunjung. Mungkin disebabkan oleh cuaca yang tidak mengizinkan (hujan dan mendung) ataupun kurangnya promosi.

Berikut adalah taman-taman yang dibina mewakili daerah-daerah atau majlis tempatan di negeri Johor.


1. Majlis Perbandaran Pasir Gudang



2. Lembaga Bandaran Johor Tenggara (Kejora)



3. Majlis Daerah Segamat



4. Majlis Daerah Labis



5. Majlis Bandaraya Johor Bahru



6. Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah



7. Majlis Daerah Kota Tinggi



8. Majlis Perbandaran Kluang



9. Majlis Daerah Pontian



10. Majlis Daerah Simpang Renggam



11. Majlis Perbandaran Muar



12. Majlis Daerah Yong Peng



13. Majlis Daerah Tangkak



14. Majlis Perbandaran Kulai



15. Majlis Perbandaran Batu Pahat



16. Majlis Daerah Mersing


Saturday, July 3, 2010

TUMBUHAN AKUATIK SEBAGAI PENYERI KOLAM

Tumbuhan akuatik atau air seperti kiambang, lili air dan iris bukan sekadar menghiasi kolam air, tetapi mewujudkan ekosistem bagi kediaman. Memiliki kolam tanpa tumbuhan di dalam atau di sekelilingnya, hanya mencetuskan pemandangan kaku. Malah, lebih baik jika kolam itu tidak diwujudkan kerana peranannya sebagai penyeri landskap kediaman akan terjejas andai tidak bertemankan 'pasangannya' iaitu tumbuhan air yang juga dikenali tumbuhan akuatik.

Harus diingat, kolam juga bukan sekadar menghias laman tetapi mewujudkan ekosistem untuk kediaman supaya ia lebih hidup dan memberi manfaat kepada pemilik kediaman. Selain memberikan kehidupan kepada hidupan lain, seperti pepatung, rama-rama dan ikan, tumbuhan dalam kolam membantu mengawal suhu air selain akar tumbuhan berfungsi menyerap nutrisi yang mungkin akan mengotorkan air, dan oksigen tanaman terendam dalam kolam.

Ada empat jenis jenis tumbuhan akuatik yang sesuai untuk menghias dan menghidupkan lagi suasana kolam atau pancuran air di laman kediaman:

  1. Tenggelam - Tumbuhan kategori ini berakar pada dasar dan bahagian pokok tenggelam sepenuhnya. Tumbuhan ini melepaskan oksigen dan biasanya kita akan melihat gelembung atau buih pada permukaan kolam. Antara tumbuhan dalam kategori ini ialah Ceratophyllum demersum, Hygrophila difformis (Wisteria Air), Sagittaria subulata dan Vallisneria spiralis atau dikenali dengan nama rumpai belut.
  2. Hidup di permukaan - Tumbuhan berakar di kawasan cetek dengan kedalaman sekitar 45 sentimeter (cm). Biasanya bahagian atas pokok akan muncul di permukaan air. Tumbuhan jenis ini seperti kiambang, lili air dan iris.
  3. Separa Akuatik - Biasanya tumbuhan ini boleh hidup melata di atas tanah dan boleh hidup di dalam kawasan berair dan ia seperti kangkung, teratai Nelumbo (Pink Crane), melati air (Shallow Water-Aztec Arrowhead) , rumpai papyrus.
  4. Terapung - Bahagian atau daun tumbuhan terapung di permukaan air manakala akarnya terendam di dalam air. Keladi bunting, Azolla caroliniana (lumut pari-pari), dan Hydrocharis morsus-ranae (Frog's Bit).

Apabila sudah mengetahui jenis tumbuhan yang sesuai untuk kolam atau pancuran air, maka soal penjagaan kolam juga perlu diambil kira. Memandangkan tumbuhan akuatik adalah tumbuhan yang hidup yang menjadi komuniti kolam sudah tentu ia turut menjadi bahan makanan dan habitat haiwan kolam. Biasanya, akar pokok menjadi tempat anak ikan mencari makan dan berlindung, ia juga habitat kepada organisma kecil dalam kolam.

Ada tumbuhan ini yang menjadi tempat hidupan air berteduh daripada cahaya matahari selain berlindung daripada haiwan air yang lebih besar. Haiwan yang memakan tumbuhan menjadikan pokok dalam kolam sumber makanan.

Justeru, pokok berkenaan perlu sentiasa dipastikan sihat dan memberi manfaat kepada hidupan sekelilingnya serta tidak mengotorkan kolam atau pancuran air hiasan.

Kebanyakan tumbuhan air tidak mendatangkan masalah kepada kolam atau pancuran air dan seeloknya pastikan hanya 20 hingga 25 peratus permukaan dan kawasan di dalam kolam mengandungi pokok dan selebihnya disimpan untuk hidupan lain.

Jika pokok hidup melebihi 20 atau 25 peratus daripada kawasan air, bererti ia perlu dibersihkan kerana ia boleh merosakkan ekosistem kolam dan mendatangkan pelbagai masalah lain kepada hidupan di dalam kawasan berkenaan.

Ada beberapa langkah mengawal pertumbuhan pokok akuatik seperti memangkas, mengeluarkan pokok matang dan mengehadkan jumlah tanaman air. Selain itu, boleh juga digunakan racun herba atau kimia bagi mengawal pembiakan pokok selain mengawal kaedah biologi kolam.

Langkah paling selamat cuci kolam dan tukar air di dalamnya. Namun, kaedah ini lebih sesuai untuk kolam dan pancuran air yang kecil dan sederhana besar.

Selain pertumbuhan pokok, satu lagi masalah yang sering mengganggu kolam hiasan adalah kehadiran alga filamen (ada kala disalah erti sebagai "lumut"). Masalah ini adalah yang paling kerap berlaku untuk kolam hiasan dan pancuran air.

Tumbuhan ini biasanya berserabut, seperti rambut boleh itu meliputi seluruh permukaan kolam dan kadang-kadang ia sukar dikawal dan menyebabkan beberapa kaedah rawatan di ambil.

Cara mudah mengatasi masalah ini menggunakan racun herba atau bahan kimia yang selamat, selain kaedah menggantikan air dan membersihkan keseluruhan kolam.

Namun, jika masalah berkenaan tidak dapat diatasi, lebih baik dapatkan perkhidmatan mereka yang pakar atau kontraktor landskap supaya ia dapat di atasi.

INFO: Panduan penjagaan tumbuhan akuatik
  1. Kenal pasti masalah yang mengganggu tumbuhan akuatik.
  2. Gunakan racun herba yang diiktiraf dan dibenarkan.
  3. Baca label racun herba sebelum menggunakannya.
  4. Pastikan seluruh kawasan kolam diletakkan racun herba supaya dapat melindungi keseluruhan kawasan zon yang dirawat.
  5. Gunakan ikut sukatan dan jangan gunakan berlebihan daripada sukatan dibenarkan kerana dikhuatiri boleh mematikan pokok.
  6. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, jadi kesan kehadiran alga sebelum ia merebak dan membesar dalam kolam.