PELAKSANAAN MATA PELJARAN VOKASIONAL (MPV)
LANDSKAP DAN NURSERI
DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG
1. Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Di SMK Telok Kerang 
Pelaksanaan MPV di Sekolah 
Menengah Kebangsaan Telok Kerang bermula pada tahun 2002. Seramai 34 
orang pelajar perintis mengambil mata pelajaran ini iaitu 20 orang 
pelajar lelaki dan 14 orang pelajar perempuan. Kesemuanya adalah Melayu.
 Seramai 15 orang pelajar lelaki mengambil MPV Landskap dan Nurseri 
manakala bakinya iaitu seramai 5 orang mengambil MPV Katering dan 
Penyajian. Kesemua 14 pelajar perempuan mengambil MPV Katering dan 
Penyajian. Pelajar-pelajar ini mengambil mata pelajaran MPV berdasarkan 
keputusan PMR tahun 2001.
 
Pelajar-pelajar MPV ini 
mengambil lapan mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras dan dua 
mata pelajaran pilihan. Mereka belajar Bahasa Melayu, Matematik, Sains, 
Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni dan MPV sama
 ada MPV Landskap dan Nurseri atau MPV Katering dan Penyajian.
Sebagai di antara sekolah 
perintis MPV di Malaysia pada tahun 2002, SMK Telok Kerang menawarkan 
dua MPV iaitu MPV Landskap dan Nurseri dan MPV Katering dan Penyajian. 
Pada permulaannya, guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu 
ialah En. Hasan Bin Kasmuri (MPV Landskap dan Nurseri) dan Pn. Tan Yong 
Hock (MPV Katering dan Penyajian). Kedua-dua orang guru ini telah 
mengikutu kursus intensif mengenai MPV yang dikendalikan oleh 
Kementerian Pelajaran Malaysia. 
2. Mata Pelajaran Vokasional Yang Ditawarkan 
SMK Telok Kerang telah 
dipilih sebagai sekolah perintis bagi pelaksanaan mata pelajaran baru 
iaitu Mata pelajaran Vokasional (dahulu dikenali sebagai Kemahiran Asas 
Industri). Pada 28 Ogos 2001, Pn. Kong Meow San, seorang pegawai Pusat 
Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia datang ke sekolah 
ini untuk memantau situasi, kemudahan dan kesedian sekolah ini untuk 
melaksanakan mata pelajaran ini iaitu Landskap dan Nurseri dan Katering 
dan Penyajian.
Pada 26 September 2001, mesyuarat penyelarasan program kemahiran 
asas industri sekolah-sekolah negeri Johor 2001 telah diadakan di SMK 
Parit Bunga, Muar, Johor. En. Hasan Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock 
guru yang dipilih untuk mengajar mata pelajaran ini telah menghadiri 
mesyuarat tersebut. Dalam masyuarat itu, guru-guru telah diminta oleh 
Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk menyenaraikan peralatan yang 
diperlukan oleh sekolah bagi melaksanakan MPV berdasarkan senarai harga 
yang telah diberikan. 
 
 
Pada bulan September 2001 En. Hasan Bin Kasmuri telah menghadiri 
Kursus Landskap dan Nurseri di Institut Latihan MARDI, Serdang, Selangor
 selama 3 minggu. Manakala Pn. Tan Yong Hock pula menghadiri Kursus 
Katering dan Penyajian di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur.
Pada permulaan sesi 
persekolahan pada tahun 2002, dua mata pelajaran vokasional iaitu 
Landskap dan Nurseri dan Katering dan Penyajian secara rasminya 
ditawarkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 di SMK Telok Kerang.  
3. Kemudahan Bengkel, Bahan dan Peralatan 
SMK Telok Kerang menyedari 
bahawa banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan untuk membeli peralatan, 
bahan dan mengubahsuai bangunan serta membina rumah tumbuhan. Pengetua 
pada masa itu Tn. Hj. Mahiyar Bin Kasmoin menyarankan agar menggunakan 
wang peruntukan mata pelajaran Sains Pertanian untuk menampung sedikit 
kos bagi pelaksanaan MPV di sekolah ini di samping mengharapkan 
peruntukan dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran 
Negeri Johor.
Pada bulan November 2001, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui 
Pejabat Pelajaran Daerah Pontian memberi peruntukan untuk mengubahsuai 
bengkel Sains Pertanian dan membina rumah tumbuhan yang dijangka siap 
pada akhir bulan Disember. Pada bulan itu juga, kerja-kerja mengubahsuai
 dan membina rumah tumbuhan telah dimulakan. Kerja-kerja tersebut dapat 
disiapkan pada bulan Februari 2002.
Segala peralatan dan bahan 
mata pelajaran Landskap dan Nurseri dibeli dengan menggunakan peruntukan
 mata pelajaran Sains Pertanian. Pembelian ini merupakan penambahan 
kepada bahan dan peralatan sedia ada bagi mata pelajaran Sains 
Pertanian. Satu peruntukan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah
 diterima pada bulan Disember 2001 yang terdiri daripada jentera dan 
peralatan melukis yang nilainya sebanyak RM5,000.00.
Pada akhir bulan September 2002 MPV Landskap dan Nurseri dapat 
peruntukkan untuk membina dan menambahbaikan kemudahan yang telah sedia 
ada. Pembinaan yang dijalankan ialah sebuah setor, ruang penyediaan 
medium, sebuah pondok jualan, sebuah tapak penyemaian berukuran 10 kaki X
 90 kaki.
Pada bulan Disember 2002 MPV landskap dan Nurseri telah mendapat 
bekalan peralatan dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada ketika ini 
semua perbelanjaan yang berjumlah RM3,500.00 untuk penubuhan MPV 
Landskap dan Nurseri dikeluarkan daripada peruntukkan mata pelajaran 
Sains Pertanian. Perbelanjaan itu merangkumi pembelian peralatan, pasu 
bunga, bahan-bahan medium, baja, racun kimia, dan lain-lain keperluan. 
Sokongan daripada Tuan Pengetua dan pentadbir SMK Telok Kerang amat 
memuaskan.
Walaupun dengan peruntukkan mata pelajaran MPV Landskap dan Nurseri 
yang terhad, saya rasa mata pelajaran ini masih boleh berjalan dengan 
baik. Kami menggunakan kemudahan yang minima. Kemudahan-kemudahan 
pembelajaran akan ditambah dan ditingkatkan dari masa ke semasa. Masalah
 yang timbul boleh diatasi kerana kemudahan bengkel Landskap dan Nurseri
 sama dengan kemudahan bengkel Sains Pertanian dan Kemahiran Hidup 
Pertanian. Semua kemudahan ini boleh digunakan oleh ketiga-tiga mata 
pelajaran ini. Semoga dengan siapnya pembinaan penambahbaikan yang 
sedang dijalankan sekarang, ianya akan dapat meningkatkan prestasi 
pelajar Landskap dan Nurseri.
 
4. Prestasi Peperiksaan Pelajar MPV Landskap dan Nurseri 
Pencapaian dan prestasi 
pelajar MPV Landskap dan Nurseri dalam peperiksaan dan kerja kursus 
adalah berbeza. Semua pelajar kompeten dalam latihan amali kerja kursus 
dan mutu kerjanya adalah sangat baik. Dalam peperiksaan bertulis, mereka
 masih pada tahap sederhana. Kami faham dan sedar bahawa mereka adalah 
pelajar terpilih yang datang bersama beberapa masalah pembelajaran. 
Kesemua pelajar ini boleh membaca tetapi tidak gemar membaca buku. Namun
 demikian mereka amat menyukai, positif dan bersedia khususnya dalam 
kerja amali mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Kami harap dengan 
adanya MPV ini dan dengan disokong oleh mata pelajaran lain, 
pelajar-pelajar ini akan bersedia melangkah ke alam kerjaya dengan yakin
 berbekalkan kemahiran yang diperolehi oleh mereka. 
5. Pengajaran dan Pembelajaran 
Selepas diumumkan keputusan 
PMR tahun 2001, pihak sekolah telah mengenal pasti pelajar-pelajar yang 
dipilih dan layak untuk mengambil MPV Landskap dan Nurseri dan MPV 
Katering dan Penyajian.
Mulai sesi persekolahan tahun 2002, dalam program suai kenal untuk 
pelajar-pelajar Tingkatan 4, telah diadakan satu taklimat mengenai Mata 
Pelajaran Vokasional. Tugas memberi taklimat ini diberi kepada En. Hasan
 Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock. Satu taklimat kepada ibu dan bapa 
yang anaknya dipilih telah diadakan. Ibu bapa bersetuju dengan langkah 
sekolah ini menawarkan MPV kepada anak-anak mereka. Ibu bapa berharap 
anak-anak mereka boleh mengikuti mata pelajaran ini kerana mereka tidak 
perlu menghantar jauh anak-anak mereka ke SMT/V.
Pada awalnya, proses pengajaran dan pembelajaran MPV yang 
diperuntukkan 12 waktu seminggu dengan pelaksanaannya 4 waktu sehari 
selama 3 hari. Pada ketika itu pelajar-pelajar mengambil 7 mata 
pelajaran sahaja. Guru mengajar dengan menggunakan Modul Pembelajaran 
yang dibekalkan semasa berkursus. Proses pengajaran dan pembelajaran 
dijalankan menumpang di Makmal Elektrik Kemahiran Hidup.
Pada pertengahan bulan Mac 2002 apabila pengubahsuaian bengkel Sains
 Pertanian yang dijadikan bengkel Landskap dan Nurseri siap sepenuhnya, 
guru-guru dan pelajar-pelajar berpindah ke bengkel baru. Kerja-kerja 
mengemas, membersih dan menyusun atur dijalankan sewaktu pembelajaran.
Proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan mengikut modul 
percubaan yang diterima daripada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui 
pos. Malangnya hanya satu modul yang diterima. Guru terpaksa membuat 
beberapa salinan untuk diberi kepada pelajar secara berkongsi. Satu set 
Sukatan Pelajar dan Huraian Sukatan Pelajaran telah diterima daripada 
Pusat perkembangan Kurikulum.
Atas persetujuan Tuan Pengetua, kawasan rumah tumbuhan asal telah 
disimenkan. Kemudian dibuat pula teres-teres konkrit untuk tujuan 
mempamerkan produk tanaman yang telah sedia untuk pameran dan jualan.

 
Pada 8 Februari 2002, Jabatan Pelajaran negeri Johor memanggil 
guru-guru MPV bermesyuarat di SMK Parit Bunga, Muar, Johor. Dalam 
taklimatnya, semua pelajar MPV mesti mengambil minima 8 mata pelajaran 
untuk layak masuk ke universiti, tidak 7 mata pelajaran.
Dengan jadual 
waktu baru yang siap pada 23 April 2002, pelajar-pelajar MPV sekolah ini
 mengambil 8 mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras, satu mata 
pelajaran MPV dan satu mata pelajaran lagi ialah Pendidikan Seni. Jadual
 waktu baru juga memperuntukan 6 waktu sehari kepada MPV atas 
pertimbangan MPV Katering dan Penyajian tidak dapat menyiapkan amali 
dalam 4 waktu sehari. Pelajar-pelajar MPV juga dibenarkan oleh Tuan Pengetua memakai 
kemeja-t semasa belajar mata pelajaran ini supaya mereka selesa semasa 
melakukan kerja amali.
Pada bulan Julai 2002, guru-guru MPV telah menghadiri kursus kaedah 
mentaksir kerja-kerja pelajar. Kursus ini sememangnya amat diperlukan 
kerana guru-guru MPV masih dalam kekaburan untuk menilai dan mentaksir 
kompetensi pelajar-pelajar. Daripada kursus tersebut, penskoran pelajar 
dapat dibuat dengan lebih adil berdasarkan standard yang telah 
ditetapkan. Ianya bersifat terbuka. Pengajaran dan pembelajaran, 
teguran, perbincangan dan saranan dijalankan secara dua hala. Dengan itu
 pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih baik. 
6. Harapan dan Perkara-perkara Lain Yang Berkaitan
- Sebenarnya
 mata pelajaran ini bagus untuk pelajar-pelajar yang lemah dalam 
akademik. Pada pandangan saya, walaupun pelajar-pelajar ini lemah dalam 
akademik tetapi mereka amat baik dalam 'hands on'. Mereka boleh 
menyiapkan kerja amali dalam waktu yang ditetapkan dan hasil kerja 
mereka memuaskan. 
 
- Mata
 pelajaran ini berupaya dan mampu memberi keseronokan dalam pendidikan 
sekolah khususnya bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik. Mereka
 juga suka datang ke sekolah terutamanya semasa ada MPV. 
 
- Walaupun
 mata pelajaran ini berbentuk modular, adalah lebih baik jika 
Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan buku teks atau buku rujukan. 
Kebanyakan buku-buku rujukan yang berkaitan landskap dan nurseri sama 
ada tempatan atau yang diimport adalah mahal harganya.
 
- Penambahan
 peruntukan kewangan bagi mata pelajaran ini bagi membeli bahan dan 
peralatan dan juga bagi membawa pelajar-pelajar melawat ke tapak-tapak 
nurseri dan kawasan-kawasan taman dan landskap bagi meningkatkan ilmu 
pengetahuan mereka.
 
- Kementerian
 Pelajaran Malaysia perlu meningkatkan prasarana bengkel Landskap dan 
Nurseri kerana ia boleh memberi persepsi baik masayarakat dan pasaran 
kerja terhadap MPV Landskap dan Nurseri. Alat-alat seperti komputer, 
pengimbas, kamera, pencetak dan LCD projector sememangnya diperlukan dan
 boleh diguna pakai untuk menyimpan dan memaparkan bahan bukti (eviden).
 
 
- Kami memohon 
agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menyediakan seorang pembantu 
guru untuk menyediakan peralatan dan bahan semasa proses pengajaran dan 
pembelajaran. 
 
- Diharap
 dan diminta agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengadakan siri 
kursus kepada guru-guru untuk meningkatkan kemahiran guru-guru yang 
mengajar mata pelajaran ini.

 
7. Penutup
 
Semoga MPV Landskap dan 
Nurseri ini mampu memberi satu kelainan pembelajaran kepada 
pelajar-pelajar yang datang ke sekolah dan kepada pelajar-pelajar yang 
mengambil mata pelajaran ini. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang 
berlainan dan kaedah pentaksiran kompetensi berdasarkan sesuatu standard
 mampu menarik minat pelajar. Harapan saya, setelah menamatkan 
pembelajaran MPV Landskap dan Nurseri selama dua tahun, pelajar-pelajar 
ini boleh menggunakan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang 
dimiliki untuk membina masa hadapan dan kerjaya mereka dengan lebih 
yakin.
Disediakan oleh,
Hasan bin Kasmuri
Guru MPV Landskap dan Nurseri
SMK Telok Kerang, Pontian, Johor
April 2003