Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, February 28, 2013

PANORAMA INDAH SETIAP MUSIM DI SHIRAKAWA-GO, JAPAN

Terkenal antara perkampu­ngan tradisional luar biasa yang paling dekat dengan alam dan menjadi kebanggaan masyarakatnya. Gambaran hebat itu membuatkan Shirakawa-go yang terletak jauh daripada kesibukan kota dan di kaki gunung Haku-san, Jepun itu sering menerima pelancong saban waktu.

Asalnya perkampu­ngan itu sukar dikunjungi kerana jaraknya terlalu jauh dan dikelilingi kawasan pergunungan. Keindahan semula jadi di Shirakawa-go itu boleh dinikmati sepanjang masa dengan pengalaman sedikit berbeza berbanding tempat lain. Apabila tiba musim bunga, kuntuman bunga pelbagai warna dengan kehijauan daunnya menambahkan landskap semula jadi di perkampu­ngan indah itu.

Suasana bertukar panorama unik dengan daun maple berguguran manakala pohon cypress (hinoki) berkilau keemasan ketika musim luruh beralih ke musim sejuk. Begitu juga pada musim panas dan laluan ke desa itu ditutup salji dengan ketebalan lima meter apabila tibanya musim sejuk.

Situasi itu jugalah yang membuatkan rumah bergaya gassho-zukuri (rumah tradisional) dibina berasaskan kayu. Seni bina antara dua hingga tiga tingkat itu dibangunkan sejak generasi terdahulu dan direka untuk menampung sejumlah besar salji ketika musim sejuk. Bumbung berbentuk segi tiga itu dibina tanpa paku dengan penyediaan ruang loteng yang besar khusus untuk perusahaan ulat sutera ketika musim sejuk. Bagi mengekalkan keaslian dan ketahanan material itu, bumbung diganti setiap 30 tahun sekali.

Binaan kediaman seperti itu turut kelihatan di kebanyakan perkampu­ngan seluruh negara matahari terbit itu dan sememangnya dianggap tapak warisan dunia (UNESCO) pada 1995. Pada masa sama, kediaman gaya gassho-zukuri itu juga dianggap antara warisan paling popular dan ada yang berusia lebih daripada 250 tahun.

Kehidupan masyarakatnya sebagai petani membuatkan persekitaran kediaman dilatari lot tanaman yang diusahakan seperti sawah padi. Ada juga beberapa produk dari Shirakawa-go yang dipasarkan termasuk kertas Jepun yang diperbuat daripada daun mulberi dan perusahaan ulat sutera.

Bukan sekadar berfungsi sebagai tempat tinggal, malah kediaman berkenaan kini menjadi tarikan utama pelancong ke Shirakawa-go. Laluan ke desa itu pula secara tidak langsung lebih mudah apabila lebuh raya turut dibina menghu­bungkan Shirakawa-go dengan kota di sekitarnya. Menarik­nya, di antara pergunungan di desa itu terdapat Sungai Shokawa yang turut menghubung­kan Shirakawa-go de­ngan dunia luar menerusi binaan sebuah jambatan.

Ogimachi Castle antara lokasi popular untuk melihat keindahan Shirakawa-go secara keseluruhannya.

Sumber:  Harian Metro

Friday, February 22, 2013

TAMAN 'JOGJA STYLE'

Adakah ini taman 'Jogjakarta Style'? Foto ini sempat kami ambil semasa melawat ke Kota Jogjakarta. Yang menjadi fokus kami ialah bangunan warna hijau pekat dan putih, ada patung batu warna hitam, siar kaki batu warna hitam, awan larat warna-warni pada tiang, pasu besar berseni dan bumbung rumah kejawaan.  














Wednesday, February 6, 2013

PANDUAN MEMBINA LANDSKAP: PILIHLAH POKOK YANG MUDAH DISELENGGARA DAN MURAH

Membina taman yang memenuhi cita rasa memerlukan pelbagai aspek diambil kira termasuk peruntukan bajet. Bagi mengelakkan pembaziran, berikut dikongsikan beberapa panduan membeli tanaman.
  1. Paling utama anda perlu berbincang dengan pereka landskap berkenaan jenis tanaman yang dipersetujui dan bersesuaian dengan reka bentuk, fungsi dan konsep taman.
  2. Pastikan pokok itu tumbuh mengikut arah pertumbuhan semula jadi seperti menegak, mendatar dan memanjat.
  3. Seterusnya pilih anak pokok berdaun segar, sihat dan menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan yang baru supaya ia kekal menarik sebaik dibawa pulang.
  4. Jangan lupa untuk memilih pokok yang muda dan bersaiz kecil kerana ia lebih mudah menyesuaikan diri di kawasan baru.
  5. Selain itu dapatkan juga pokok yang sesuai dengan penerimaan cahaya matahari sama ada sesuai untuk landskap dalam rumah atau luar rumah.
  6. Pada masa sama pokok yang daunnya bergulung atau layu perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko taman kurang bermaya.
  7. Tanda-tanda seperti daun berwarna kekuningan atau berlubang menunjukkan tanaman diserang serangga atau perosak. Mudah saja caranya kerana anda hanya perlu teliti dan periksa di bawah daun jika terdapat serangga perosak bersembunyi.
  8. Tanaman yang tengah berbunga lebat juga harus dielakkan kerana ia mungkin hasil penggunaan hormon penggalak di luar pengetahuan pembeli.
  9. Bagi lebih selamat, pilih tanaman ada pucuk daun dan bunga muda yang banyak.
  10. Semestinya tanaman yang penyelenggaraannya mudah dan murah antara pilihan utama dan ia melancarkan proses membina taman menarik.
  11. Jika memilih pokok bunga bermusim, seharusnya anda bersedia untuk menggantikannya apabila pokok itu mati dalam tempoh waktu tertentu.
  12. Apabila memilih tanaman di dalam pasu, pilihlah yang boleh bertahan jika kita lupa untuk menyiramnya.
  13. Dalam apa jua keadaan harga setiap tanaman yang anda pilih itu biarlah berpatutan.
  14. Sebaik membeli tanaman, jangan lupa dapatkan juga tanah campuran (medium) sama ada untuk digunakan dalam pasu atau di atas tanah. Di samping penggalak akar, baja dan racun pengawal perosak.
  15. Bagi menambahkan pengetahuan, anda perlu sentiasa mempelbagaikan bahan rujukan termasuk majalah atau menerusi teknologi maklumat.