Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, January 29, 2012

POKET TANAMAN TUMBUHAN

Pelbagai kaedah moden dalam pertanian diperkenalkan bagi mengatasi masalah kekurangan tanah selain risiko bencana alam yang boleh merosakkan tanaman. Sehubungan itu, saintis dan pakar pertanian menghasilkan pelbagai teknik tanaman yang bukan saja dapat mengatasi masalah ruang penanaman, malah mampu mengeluarkan hasil yang lebih, kalis penyakit, kurang penyelenggaraan dan mudah ditanam.

Terbaru, untuk pencinta seni hias laman satu lagi inovasi teknik tanaman menggunakan poket tumbuhan sesuai diaplikasi di dalam dan luar kediaman, terutama di kawasan yang memiliki ruang terhad.


Poket tumbuhan ini diilhamkan untuk laman vertikal iaitu laman yang menggunakan konsep landskap atas permukaan menegak dengan pokok tumbuh dengan baik di atas dasar itu. Permukaan ini disokong dengan struktur tertentu serta mengandungi medium tanaman atau tanah mencukupi.

Di pasaran Amerika Syarikat (AS), poket tumbuhan ini dikenali sebagai ‘Woolly Pocket’ dihasilkan adik beradik Miguel dan Rodney Nelson. Poket pokok ini juga menggantikan fungsi pasu bunga dan lebih menarik, ia dicipta bagi membolehkan pokok kekal sihat dan segar walaupun ditanam dalam kediaman.

Berikutan diwujudkan untuk laman vertikal, poket pokok ini dicipta tergantung dan melekat di dinding kediaman. Seperkara yang menarik, bekas tanaman ini mampu mengekalkan kelembapan dan memberi air kepada pokok. Namun, ini tidak mendatangkan kecacatan pada dinding.

Poket pokok juga dikenali sebagai saku tanaman ini sesuai untuk pokok hiasan yang renek dan tidak berakar tunjang seperti paku pakis, Aglaonema, Alocasia, Calathea Rufibarba, Decora, Marantha dan pokok labah-labah. Poket ini mempunyai dua komponen utama iaitu ruang udara dan tahan kelembapan. Bahagian ruang udara diperbuat daripada botol plastik kitar semula manakala ruang tahan kelembapan dihasilkan daripada botol polietilena kitar semula.

Fabrik untuk poket menggunakan kain tahan reput seperti tali guni atau geotextile. Fabrik ini dijahit menggunakan tangan dengan benang nilon tahan sinaran UV dan tidak mudah reput. Fabrik ini berfungsi sebagai ejen pengaliran air semula jadi kepada tanaman. Struktur pemegang poket pokok adalah bahan tahan karat manakala medium tanaman adalah jenis organik seperti ‘peat moss’, ‘vermiculite’, lumut dan seumpamanya. Medium jenis itu adalah peroi dan perlu dibalut dengan kain pertanian yang boleh dibeli daripada nurseri dan kedai peralatan berkebun bagi memastikan ia tidak terkeluar daripada bekas tanaman.

Selain itu, apa kata gunakan medium jenis kain dan span yang ringan serta dapat membekal dan memegang air dengan baik tanpa mengotorkan kawasan. Dua bahan ini boleh didapati di kedai nurseri dan peralatan kebun.

Untuk poket pokok, kaedah siraman yang sesuai adalah jenis titisan dan semburan. Ini kerana medium yang digunakan mudah menyerap serta membekalkan air. Bagi pembajaan pula, kaedah yang sesuai adalah jenis baja cecair dan jenis foliar. Ini kerana ia memudahkan nutrien dibekalkan terus kepada tanaman dengan teknik semburan terus daun.

Poket pokok sebenarnya tidak memerlukan penyelenggaraan yang banyak. Namun, tumbuh-tumbuhan masih perlu kasih sayang dan perhatian anda. Justeru, daun atau bunga yang sudah mati perlu dibuang manakala batang dan ranting yang kering pula dipangkas dari masa ke semasa.

Sumber:  Berita Minggu

TARIKAN TAMAN COURTYARD

Selamat tahun baru diucapkan kepada pembaca kolum Hias Laman. Sebagai pembuka tirai pada tahun baru, saya memilih membicarakan topik ‘courtyard garden’ atau taman courtyard.

Istilah ini wujud di Barat sejak dulu lagi. Masyarakat Inggeris dari usia muda hingga warga emas cukup meminati seni tama. Mereka sanggup melakukan apa saja untuk menghiasi kediaman dengan tanaman cantik dan menarik.

Salah satu daripada caranya ialah dengan membina ‘courtyard garden’ di kediaman. ‘Courtyard’ boleh diterjemahkan sebagai halaman terbuka dipagari tembok, dinding atau bangunan.

Manakala ‘courtyard garden’ boleh didefinisikan sebagai konsep taman yang dibina di kawasan dipagari tembok, dinding atau dikelilingi bangunan. Konsep seni taman begini amat sesuai untuk ruang berikut:

1. Ruang luaran premis seperti di kompleks perniagaan dan pejabat kerajaan yang dikelilingi tembok, bangunan dan sebagainya.

2. Ruang dalaman premis seperti kediaman, klinik dan pejabat yang dikelilingi dinding atau tembok.

Sebenarnya, konsep taman begini adalah satu cara peminat seni taman atau pencinta alam semula jadi mendekatkan diri dengan suasana alam semula jadi.

‘Courtyard garden’ biasanya dipenuhi pelbagai jenis tanaman hiasan dalam pasu atau kekotak tanaman. Ia boleh juga dihiasi pelbagai barang hiasan seperti cendawan palsu, arca, lampu, kerincing angin dan seumpamanya.

Dulu konsep taman courtyard jarang dipraktikkan di Malaysia. Namun, sekarang ia makin diminati dan mula digunakan bagi menghiasi kediaman.

Tip bina taman courtyard

1. Set pasang siap
Kini ada set asas taman mini pasang siap kemasan kolam ikan dengan air terjun. Ia mudah alih kerana diperbuat daripada bahan gentian kaca atau ‘fibreglass’ yang lebih ringan, senang dibawa dan dipasang dalam ruang sempit di kediaman. Ia juga boleh dipasang di pejabat seperti di tepi tandas, dapur, ruang angin dan sebagainya.

Harga ditawarkan berpatutan iaitu serendah RM3,000. Namun, kita perlu menghias sendiri menggunakan idea kreativiti atau mengupah pakar landskap.

2. Penyediaan ruang
Apa yang penting, ruang perlu mendapat cahaya matahari mencukupi. Untuk itu, pasangkan atap lut sinar supaya cahaya matahari dapat menembusinya untuk keperluan tanaman hiasan di situ.

3. Tanaman hiasan
Pokok yang sesuai ditanam adalah dari jenis pokok berdaun. Pokok berbunga agak kurang sesuai kerana ia memerlukan cahaya yang banyak untuk berbunga cantik.

Pokok ini perlu ditanam dalam pelbagai pasu cantik supaya mudah disusun dan dialih dalam proses menggantinya dengan pokok lain. Tanam juga pokok boleh digantung bagi menjimatkan ruang. Selain itu, gunakan batang kayu mati untuk dijadikan tempat tanaman gantung seperti paku sarang burung supaya kelihatan lebih semula jadi seperti di hutan.

4. Hiasan kolam
Dalam kolam kecil boleh ditanam pokok air yang mudah tumbuh atau pokok terapung seperti kiambang, Salvinia dan Lemna . Masukkan beberapa ekor ikan kecil seperti ikan ‘Guppy’ atau letak ubat bagi mencegah pembiakan jentik-jentik nyamuk terutama Aedes.

5. Elemen landskap kejur
Gunakan barang hiasan seperti cendawan palsu, pasu cantik dan unik untuk menanam pokok terpilih. Untuk tujuan santai, letakkan perabot taman seperti kerusi dan meja kopi. Jika ingin menikmati suasana yang nyaman pada waktu malam, bekalkan lampu dengan rupa bentuk cantik untuk menerangi ruang.

Jika ada ruang yang tidak digunakan, apa kata bina sebuah ‘courtyard garden’ untuk anda sekeluarga menikmati suasana nyaman seperti di alam semula jadi. Namun, anda perlu rajin menyelenggara ruang seperti menyiram dan membaja tanaman serta menukar pokok selalu supaya kelihatan subur dan cantik.

Selamat mencuba idea yang menarik ini.

Sumber: Berita Minggu

Saturday, January 28, 2012

OLYMPIC SCULPTURE PARK SEBUAH TAMAN SENI ARCA

Kewujudan Olympic Sculpture Park di Seattle, Washington, Amerika Syarikat memberi wajah baru kepada umum dengan pengubah suaian tapak asal berkeluasan 3.6 hektar. Ruang hijau terbuka dengan simbolik seni arca hebat membuatkan taman itu lain dari yang lain. Taman di tepi pantai itu memberi peluang kepada pengunjung dan penduduk sekitarnya menghayati pelbagai seni arca. Ia turut dilatari pemandangan luar biasa pergunungan Olimpik dan Puget.


Membabitkan latar sejarah yang unik, Olympic Sculpture Park asalnya tapak perindustrian seterusnya mengalami transformasi radikal dalam tempoh 100 tahun lampau. Ia menjadi sebutan ramai bukan sekadar kelainan reka bentuknya kerana turut menghubungkan Bandar Seattle dengan kawasan sekitarnya. Pembinaan itu bermula pada 2005 dan dibuka sepenuhnya kepada umum pada 2007.


Sebelum itu pada 2001, rekaannya sudah mula diteliti dan dirancang pelbagai pihak termasuk 52 peserta pertandingan reka bentuk. Apatah lagi reka bentuk taman itu bermatlamat melahirkan integrasi dinamik landskap, seni bina dan reka bentuk bandar selain kesinambungan kejayaan dari projek sebelumnya. Ia menonjolkan keunikan tersendiri sebagai taman dalam bandar yang mempunyai seni arca tersendiri. Malah Olympic Sculpture Park menjadi simbolik kepada pemuliharaan ekosistem yang berfungsi sempurna.


Di samping menyediakan persekitaran yang unik dan semula jadi dengan penempatan arca serta rekreasi awam bermanfaat kepada sesiapa saja. Ia bukan satu tugas kecil kerana membabitkan perubahan memukau di tengah- tengah persekitaran bandar besar.


Projek reka bentuk taman itu diketuai Weiss/Manfredi yang membangunkan konfigurasi berbentuk Z inovasi. Uniknya ia menghubungkan tiga petak kepada empat siri landskap yang berbeza dan signifikan. Topografi baru itu juga banyak menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar dan persekitaran sihat yang memperlihatkan pelbagai kemudahan.


Keadaan landskap Olympic Sculpture Park juga hebat dengan kehadiran lembah hutan malar hijau paling tipikal. Pelbagai tanaman lain termasuk bunga-bungaan yang tumbuh melata, renek dan sesuai hidup dalam persekitaran lembap. Sementara bunga-bungaan perennials, groundcovers dan paku pakis pula hidup subur yang membezakan lembah pinggir hutan dan laluan taman.









Sumber:  Harian Metro

Thursday, January 19, 2012

CARA BUAT PROJEK SIMEN FERRO

Nak buat projek simen ferro? Projek-projek yang mudah, taklah susah sangat nak buat. Projek 'simple' seperti bangku dan meja senang sikit nak buat. Lainlah kalau nak buat projek air terjun, memanglah susah sikit dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Masa yang diambil untuk membuat satu set meja dan lima bangku simen ferro termasuk membuat kemasannya sekali lebih kurang seminggu sahaja (bagi seseorang yang rajin dan nak bermain dengan simen).

Kalau nak cuba, tenunglah foto-foto ini. Insayallah boleh buat punya... Mula-mula buat yang mudah-mudah sahaja. Kalau dah boleh buat dan kemahiran pun dah meningkat, buatlah projek-projek yang lebih susah seperti kolam, jambatan, air terjun, bangku bersandar dan pondok. Barulah taman di sekeliling rumah nampak anggun  dengan kos pembinaannya yang rendah. Bertambah bangga apabila ia dibuat sendiri.

OKlah. Inilah cara  nak buat bangku simen ferro yang paling asas.
  1. Membuat lakaran projek yang berkaitan. Seboleh-bolehnya apabila projek siap kelak, ia menyamai lakaran yang dibuat.
  2. Menggunakan bahan yang sesuai seperti simen, keluli, pasir, air, jejaring dawai (BRC) dan dawai mata punai.
  3. Menggunakan alat yang sesuai seperti perata simen, sudip, sekup, penapis, gunting besi, dan peralatan lain yang berkaitan.
  4. Memotong bahan kerangka (BRC) menepati spesifikasinya iaitu mengikut lakaran. Elakkan pembaziran bahan. Kalau berniaga, rugilah nanti.
  5. Untuk menambah kekuatan struktur, gunakan juga besi 'link' yang diikat bersama BRC. 
  6. Membentuk kerangka mengikut lakaran.
  7. Mengikat kerangka dengan kemas. Ikat kerangka dengan dawai halus / lain-lain yang sesuai.
  8. Kalau nak, balut kerangka tadi dengan dawai mata punai agar mortar mudah melekat ke kerangka semasa melepa.
  9. Menyediakan bahan bancuhan mortar dengan nisbah yang betul: 2 bahagian pasir halus, 1 bahagian simen dan ½ bahagian air.
  10. Membancuh mortar dengan sekata.
  11. Lepa selapis simen pada bahagian luar kerangka.
  12. Melepa mortar pada kerangka dengan betul dan ketebalannya sekata.
  13. Biarkan keras.
  14. Buat lepaan lapisan kedua. Ketebalannya lebih kurang 1 cm. Biarkan mengeras 2 hingga 3 jam.
  15. Buat lorekan seperti kulit kayu. Lorekan ini dibuat sebelum mortar betul-betul keras. Kalau mortar dah keras, tak bolehlah nak dilorek. Ingat tu...
  16. Lorek dengan apa? Alaaa... gunakan paku boleh, gunakan pemutar sekru boleh, gunakan test pen boleh, gunakan hujung sudip simen pun boleh... gunakanlah benda-benda yang tajam di hujungnya...
  17. Buat lorekan dengan betul dan kreatif agar nampak lawa dan cantik...buatlah lorekan seperti kulit kayu...
  18. Apabila dah dilorek, biarkan betul-betul kering.
  19. Sebelum mengecat, bersihkan projek itu dari gerigis simen menggerutu dan habuk dengan menggunakan berus keluli.
  20. Cat kulit kayu lapisan pertama dengan car berwarna hitam termasuk di celah-celah lorekan. Bahagian yang berupa potongan kayu tak payah dicat hitam, kan nanti nak disapu dengan cat warna kuning atau coklat muda...
  21. Apabila lapisan pertama cat dah kering, bolehlah cat lapisan kedua dengan warna-warna yang menyerupai warna kulit kayu seperti warna coklat, kuning, putih, oren dan lain-lain warna yang sesuai.
  22. Biarkan kering.
  23. Kilatkan projek menggunakan pengilat. Barulah nampak cantik dan menarik... jom buat...


Memotong bahan kerangka.

Membentuk dan mengikat kerangka.

Bentuk kerangka projek yang dah siap...

Melepa mortar ke kerangka lapisan pertama.

Masing-masing khusuk dengan kerja melepa mortar pada kerangka.

Lapisan pertama dah siap...

Projek diterbalikkan. Lepaan lapisaan kedua pulak...

Mengemaskan lepaan mortar di tepi projek.

Sebelum lepaan mortar keras, buat lorek seperti batang kayu.

Nak senang, gunakan paku untuk melorek...

Haaaa... dah siap melorek...

Beberapa projek yang dah siap di lorek... biarkan kering sepenuhnya...

Keseluruhan tepi projek dicat hitam. Guna cat kilat...

Dah siap mengecat lapisan pertama... cat hitam...

Mengemaskan tepi projek dengan cat terpilih mengikut warna batang kayu.

Tu dia... dah siap... amacam.. boleh buat kan...

Projek dah siap... Wowww macam batang kayu asli...