Di Cameron Highlands mereka menginap selama dua malam. Dapatlah mereka merasai kedinginan dan kesegaran terutama pada waktu malam di kawasan pelancongan dan peranginan tanah tinggi itu. Tumpuan lawatan mereka di Cameron Highlands ialah beberapa buah nurseri tanaman hiasan, ladang teh dan pusat penanaman buah strawberi. Selain itu mereka juga membeli-belah buah-buahan segar terutama buah strawberi, kaktus dan juga barang-barang cenderahati.
Di Putrajaya selepas melawat Seri Perdana dan Masjid Putra, mereka melawat pula Floria Putraja yang berlangsung di Precinct 2. Di sini dipenuhi dengan hamparan bunga berwarna-warni, pembinaan landskap yang menarik, pameran tertutup floral pavillion, jualan produk tanaman hiasan di Garden Bazaar dan lain-lain. Yang menariknya, bunga mawar pelbagai warna menjadi daya penarik di setiap sudut pameran, bertepatan dengan tema pada tahun ini iaitu 'Mawar Untuk Selamanya'.