Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, May 10, 2012

BATU-BATUAN PENYERI TAMAN

 Batu-batuan antara elemen semula jadi yang wujud sejak dulu tidak dinafikan berperanan besar dalam mewujudkan keindahan. Kini, penggunaan batu semakin meluas dan menjadi elemen hiasan penyeri taman serta landskap ciptaan. Reka letak yang sesuai membantu suasana di taman kelihatan harmoni dan menjadi lokasi santai paling bermakna.

Sememangnya ia menjadi pelengkap kepada pelbagai konsep taman seperti Jepun atau zen, Bali, tropika, moden dan kontemporari. Kombinasi taman dihiasi rumput dengan deretan batu hiasan menarik membuatkan taman tampak hebat. Malah, penggunaan batu hiasan mengurangkan keadaan tidak selesa ketika hujan lebat.


Bukan sekadar memberikan penampilan semula jadi di taman kerana batu-batuan lebih bersifat tahan lama, kuat, senang diselenggarakan. Malah batu-batuan mempunyai pelbagai fungsi dalam menghias taman, selain menjadi penyudah dalam gubahan taman untuk kelihatan lebih semula jadi dan bersahaja. Batu turut disusun untuk membina kolam serta air berpancuran atau terjun. Batu yang diletakkan dalam kolam pula boleh menyejukkan air sekali gus menenangkan mata memandang.
Ada pelbagai saiz batu boleh digunakan, bergantung saiz taman yang ingin dicipta pemiliknya. Antaranya jenis batu sungai semula jadi, buatan simenferro atau batu yang berasal dari gunung berapi boleh digunakan untuk taman.

Kehadiran ornamen atau hiasan taman berasaskan batu-batuan berupaya menyerikan taman seperti set kerusi taman, pasu atau bekas tanaman, ukiran atau arca batu. Pilihan batu-batuan yang sesuai berupaya menutup kelemahan tanah bergantung kepada elemen tertentu termasuk saiz, permukaan dan warna.

Batu hiasan berasaskan material yang berongga dan mempunyai pengaliran air dan udara sempurna amat sesuai. Ia menggalakkan pertumbuhan lumut dan kombinasi menarik untuk melahirkan suasana semula jadi.

Batu hiasan ‘limestone’ sesuai diletak berhampiran kolam renang manakala yang berasaskan tanah liat untuk taman paku-pakis. Elakkan daripada memilih batu hiasan jenis berkilat kerana ia licin ketika hujan.


Dalam menyerikan penataan taman, pilih material tahan lama dan dapat menyokong penampilan elemen landskap kejur yang lain. Lokasi kediaman antara perkara yang perlu diteliti dalam memilih batu hiasan sebagai penutup permukaan tanah.

Anda yang tinggal di persisiran pantai dan lokasi berhampiran, batu kapur sesuai dengan kawasan berpasir. Bagi mendapatkan idea kaedah hiasan taman, rujuk laman web landskap atau majalah dekorasi.

No comments:

Post a Comment