Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, November 29, 2010

CADANGAN PERLANDSKAPAN KAWASAN RUMAH LIMAS JOHOR MILIK EN. ABDUL HADI BIN AMBOK INGTANG

1. Pendahhuluan
Rumah limas Johor adalah rumah tradisional warisan negeri Johor. Rumah panggung berbumbung panjang yang berdiri di atas tiang-tiang kukuh memberi semangat jati diri kepada rakyat Johor. Seni binanya yang kreatif menunjukkan ada perhubungan yang erat antara masyarakat Melayu dengan alam persekitarannya. Falsafah agama Islam diterapkan melalui kedudukannya, kerawang-kerawang dan pemisahan ruang-ruang untuk lelaki dan perempuan.

Keindahan seni warisan rumah limas Johor ini bertambah hebat dan menarik jika di sekeliling rumah ini dibina taman dan landskap yang dipenuhi elemen-elemen perlandskapan. Oleh kerana itu kami berusaha menghasilkan karya reka bentuk landskap untuk sebuah rumah limas Johor. Rumah limas yang kami pilih adalah kepunyaan En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang yang terletak di Kampung Sungai Kuali, Kukup, Pontian, Johor. Kami harap En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang gembira dengan gambaran landskap yang akan dibina melalui lukisan-lukisan landskap hasil karya kami.

2. Rumah Limas Johor
 
Rumah limas di Kampung Ayer Baloi, Pontian, Johor

Rumah traditional Melayu Johor juga dikenali sebagai rumah limas Johor. Seni binanya sangat cantik dimana pembinaannya tanpa menggunakan paku, hanya berdasarkan kepada tanggam semata-mata. Rumah limas traditional ini dibina berdasarkan pada cuaca iklim tropika di Semenanjung Malaysia. Rumah limas Johor banyak dipengarui elemen-elemen luar seperti dari British, Belanda, dan juga unsur-unsur rumah di Indonesia.

Rumah limas Johor mempunyai bentuk asas yang sama iaitu dibina sederhana tinggi. Cara untuk mengenal pasti rumah limas Johor ialah melalui bumbung rumah iaitu mempunyai perabung panjang dan bersambung dengan empat buah perabung limas. Pada puncak bumbung dipasang kayu tajam yang dipanggil tunjuk langit. Rumah ini mempunyai ruang hadapan yang dipanggil rumah ibu dan di hujungnya ialah anjung. Biasanya rumah ini dibuat daripada kayu cengal, keranji, perak dan meranti.

Rumah limas di Kampung Rambah, Pontian, Johor
Seni bina rumah limas Johor dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta hubungan mereka yang sangat erat dengan persekitaran dan pegangan mereka. Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah limas ialah faktor iklim, agama Islam, sosial dan alam sekitar. Faktor agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan.

Rumah limas mempunyai bilik yang lebih daripada satu. Hal ini demikian merangkumi bilik tidur utama, bilik tidur anak lelaki, bilik tidur anak perempuan dan bilik tidur tetamu. Selain itu, pembahagian rumah kepada rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur juga merupakan pengaruh sosio agama masyarakat Melayu terdahulu termasuklah dalam masyarakat Melayu Johor. Kewujudan konsep pelan terbuka menyebabkan wujudnya pelbagai bentuk simbol fizikal pemisah. Zon tetamu biasanya pada bahagian hadapan manakala zon keluarga pada bahagian belakang rumah.

3. Landskap
Pembinaan landskap didahului dengan rekabentuk landskap. Rekabentuk landskap adalah penyusunan elemen-elemen yang perlu ada di sesuatu kawasan untuk membentuk dan menyusun ruang menurut prinsip rekabentuk. Rekabentuk perlu untuk meningkatkan kualiti hidup manusia dan juga untuk memperbaiki hubungan manusia dengan alam sekitarnya. Ia memberi peluang untuk manusia mengambil yang terbaik daripada alam persekitarannya dengan membentuk keseimbangan antara manusia dan alam melalui justifikasi fungsi, ekologi dan estetika. Justifikasi ini dijadikan kreteria menentukan kejayaan sesuatu rekabentuk landskap. Kualiti hidup manusia bertambah.
 
Landskap sedia ada di rumah limas En. Abdul Hadi.

Elemen-elemen landskap yang biasa diterapkan dalam sesuatu landskap ialah tumbuh-tumbuhan (landskap lembut), bahan-bahan binaan (landskap kejur), air, manusia/haiwan (hidupan), dan rupa bumi. Fungsi tumbuh-tumbuhan adalah untuk: memberi warna dan bentuk, mengawal iklim, mengawal kebisingan, mengawal pencemaran, mengawal hakisan, mengawal pemandangan, membingkai pemandangan, membahagi kawasan, mengarah perjalanan, memberi tumpuan, dan melembutkan kawasan yang banyak struktur keras.

Penggunaan bahan-bahan binaan adalah untuk menjadikan landskap lebih menarik. Sebab menggunakan bahan-bahan binaan adalah: ciri-ciri yang tidak terdapat pada tumbuhan, biasanya tahan lasak, lebih mudah dibentuk, mudah diselenggar, dan boleh direka pelbagai jenis dan bentuk.

Air boleh memberikan kesan-kesan yang menarik. Ia boleh dalam bentuk air terjun, air pancut, kolam dan sebagainya. Fungsinya adalah; menyejukkan udara, menghalang kebisingan, menambah aktiviti dan menenangkan fikiran.

Manusia dan haiwan pula merupakan pengguna sesuatu kawasan landskap. Penelitian terhadap aktiviti manusia dan hidupan lain di sesuatu kawasan adalah perlu untuk membantu dalam menentukan rekabentuk sesuatu kawasan.

Rupa bumi boleh dilihat dalam bentuk seperti gunung-ganang, bukit, lembah, lereng atau daratan. Penggunaan pelbagai bentuk rupa bumi boleh memberikan keanekaan di dalam sesuatu landskap untuk mengelakkan kebosanan.

Ruang dalam landskap adalah penting untuk pengguna mengalami persekitarannya. Sesuatu ruang boleh direka bentuk untuk menggerakkan reaksi dan emosi seseorang. Pengguna boleh bergerak perlahan atau pantas, berasa selamat atau sebaliknya, berasa terlindung atau terdedah. Di dalam landskap, ruang boleh dibentuk menggunakan tumbuhan atau binaan. Satu ruang/bilik boleh berdindingkan tumbuhan, lantainya oleh rumput, silingnya silara pokok/pergola, tingkapnya ruang kosong antara tumbuhan, manakala perabutnya terdiri dari bangku taman, air pancut atau lampu hiasan.

4. Rumah Limas Milik En. Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang

En. Abdul Hadi Bin
Ambok Ingtang


Rumah limas Johor yang kami akan cuba mereka bentuk perlandskapannya adalah kepunyaan En. Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang yang terletak di No. 27, Kampung Sungai Kuali, 82300 Kukup, Pontian. Rumah ini diwarisi oleh En. Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang daripada ayahnya Ambok Ingtang bin Md Yasin yang telah meninggal dunia pada April 2010. Ketika ini rumah ini didiami oleh En. Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang bersama ibunya Pn. Indok Cicuk bt Daing Hadadek.

Rumah limas kepunyaan En. Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang.
Yang jelas kelihatan dari jauh apabila melihat rumah ini ialah ia mempunyai bumbung berperabung panjang dan bersambung dengan empat buah perabung limas. Pada puncak bumbung dipasang kayu tajam yang dipanggil tunjuk langit. Rumah ini mempunyai ruang hadapan yang dipanggil ruang anjung. Sedikit ubahsuai dilakukan pada serambi di mana bumbungnya berbentuk pisang sesikat. Seluruh rumah ibu dan rumah dapur pada rumah limas ini berbumbungkan atap genting dan berdindingkan papan kayu yang disusun menegak (ciri dinding rumah orang Bugis).
  
Rumah En. Abdul Hadi dilihat dari sisi kiri.


Rumah limas berbentuk panggung berbumbung panjang Johor ini tegap dan kukuh berdiri di atas tiang-tiang konkrit. Ketinggian dari paras tanah di bawah rumah hingga ke lantai ialah 2 meter, dan di bawah rumah ini dijadikan sebagai tempat parkir kereta pemilik rumah.

Rumah ini kelihatan anggun dan unggul walaupun telah berusia puluhan tahun. Rumah ini yang dibina daripada kayu dicat untuk mengelakkan daripada dimakan anai-anai. Rumah limas tradisional ini kelihatan amat menarik dan dapat dilihat dengan jelas dari jalanraya kerana ia amat berlainan dengan rumah-rumah lain yang ada di sekelilingnya.

5. Landskap Sedia Ada di Rumah Limas En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang
Kawasan rumah limas kepunyaan En. Abdul hadi bin Ambok Ingtang yang berkeluasan 2 ekar dihiasi dengan laman yang menarik dan mengandungi pelbagai jenis tumbuhan sama ada tumbuhan hiasan atau tumbuh-tumbuhan lain seperti pokok buah-buahan dan sayur-sayuran. Di kawasan hadapan rumah dikhaskan untuk landskap dengan tumbuh-tumbuhan hiasan manakala di bahagian belakang ditanam dengan pokok buah-buahan.

6. Lokasi Rumah
Lokasi Rumah En. Abdul Hadi Ambok Ingtang.
Rumah limas Johor kepunyaan En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang ini terletak di Kampung Sungai Kuali, Kukup, Pontian. Rumah ini terletak di jalan besar laluan antara pekan Permas – Tanjung Piai. Jaraknya dari pekan Permas sejauh 3 kilometer manakala dari bandar Pontian ialah 23 kilometer.

7. Sejarah Pembinaan
Mengikut sejarah keluarga, rumah ini adalah kepunyaan Daeng Hadadek bin Kafitang Daing Walingah iaitu datuk En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang). Daeng Hadadek bin Kafitang Daeng Walingah membina rumah limas ini khas untuk isterinya yang ketiga iaitu Indok Eppah bt Daeng Nganting.

Pelan rumah En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang sebagaimana lazimnya rumah tradisional Melayu mempunyai rumah ibu di hadapan dan rumah dapur di belakang. Rumah ibu mengandungi anjung, sebuah bilik tidur dan ruang tengah. Rumah dapur mengandungi ruang dapur dan sebuah lagi bilik.

Keluasan kawasan tapak rumah ini ialah 2 ekar. Pemilihan tapak rumah ini berdasarkan kepada bunyi cengkerik pada waktu malam. Mengikut kepercayaan masyarakat Bugis, bunyi cengkerik pada waktu malam menandakan sesuatu kawasan itu bagus dan sesuai untuk didirikan tempat kediaman (rumah). Tuan rumah akan ke tapak pembinaan pada malam hari selama tiga malam berturut-turut untuk mendengar sebarang bunyi. Sekiranya terdapat bunyi cengkerik dan binatang lain, bermaksud tapak itu sesuai didirikan rumah kerana binatang lain juga boleh tinggal di tapak itu. Selepas pemilihan dibuat, tuan rumah akan mengumpulkan orang-orang kampung untuk berzanji selepas maghrib di atas tapak selama tiga malam berturut-turut sebagai doa selamat.

Rumah limas ini mula dibina pada 5 Mach 1937 bersamaan 21 Zulhijjah 1355 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian. Rekabentuknya mengambil campuran seni bina antara rumah Melayu, Bugis dan Istanbul. Tiang dan bendul rumah ini diperbuat daripada kayu balau, dinding dan lantai daripada kayu punak, atap daripada genting dan tiang daripada batu. Rumah ini menggunakan cermin-cermin berwarna untuk daun tingkap dan lubang angin. Tukang pembinanya yang bernama Ah Meng tidak menggunakan sebarang peralatan pertukangan yang bermesin dan berjentera.

8. Pelan Rumah
Rumah ini sebagaimana lazimnya rumah tradisional Melayu, mempunyai dua bahagian iaitu rumah ibu dan rumah dapur. Ia dihubungkan dengan sebuah jambatan. Pelan lantai rumah limas kepunyaan En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang mempunyai sebuah anjung, sebuah rumah ibu, dua bilik tidur, sebuah ruang tengah, jambatan penghubung rumah ibu dengan ruang dapur, sebuah dapur, dan sebuah serambi.

9. Kos Pembinaan
Kos pembinaan rumah ini pada tahun 1937 adalah sebanyak RM8,000.00. Kayu-kayu untuk membinanya dibeli daripada Indonesia. Kayu-kayu daripada Indonesia itu yang tiba di Singapura melalui laut kemudian di hantar ke Sungai Kuali dengan menggunakan tongkang. Dari Sungai Kuali, kayu-kayu tersebut kemudian dibawa ke tapak pembinaan rumah dengan menggunakan tenaga manusia.

10. Tukang Pembinaan
Rumah ini dibina oleh tukang berbangsa Cina yang bernama Ah Meng dari Benut, Pontian. Ah Meng adalah seorang tukang yang masyhur dalam pembinaan rumah pada zaman itu. Ah Meng juga telah membina rumah kedai di Simpang Empat Benut dan bertugas sebagai penyelia pembinaan Masjid Simpang Benut.

11. Rekabentuk Perlandskapan Rumah Limas Milik En. Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang

Cadangan perlandskapan yang bertemakan 'laman tropika' di kawasan
rumah limas milik En. Abdul Hadi Ambok Ingtang.
 En Abdul Hadi Bin Ambok Ingtang menginginkan sebuah landskap tropika yang menyejukkan di kawasan rumah limas beliau. Landskap yang dibina pula berbentuk satu memorial yang boleh dikunjungi oleh orang ramai. Beliau ingin menamakannya sebagai ‘Memorial Daeng Hadadek’ sebagai kenangan kepada pembina rumah ini iaitu Daeng Hadadek, arwah datuknya.

Untuk menghasilkan karya landskap di kawasan rumah limas Johor ini, kami bayangkan dan merancang yang kami akan bina sebuah landskap di sebuah rumah limas Johor yang dikelilingi elemen-elemen landskap. Kami akan cuba menggabungkan kesemua unsur-unsur atau elemen-elemen dalam pembinaan landskap. Elemen-elemen berikut kami gabungkan iaitu: pokok-pokok buah-buahan dikeliling rumah, tumbuh-tumbuhan hiasan di hadapan dan di tepi rumah, tumbuh-tumbuhan herba dan sayur-sayuran kampung di belakang dan di sisi rumah, gazebo tempat rehat dan mengambil angin di hadapan rumah, air yang menyejukkan di dalam kolam di hadapan rumah, dan siar kaki untuk pengguna bersiar-siar di keliling rumah.

Dalam karya landskap ini, manusia iaitu En. Abdul Hadi dan keluarganya adalah sebagai pemain dan pengguna utama.

Kami akan beri ruang secukupnya untuk mereka menggunakan, menikmati dan menghayati pembinaan landskap ini. Contohnya, selepas mereka penat bekerja, mereka boleh berehat di gazebo terbuka yang berbumbung limas berdekatan dengan kolam air berair terjun di kelilingi tumbuh-tumbuhan hiasan. Bunyi air tentunya boleh menenenangkan dan merelakskan fizikal dan mental seseorang.

12. Tema Landskap/Taman Kawasan Rumah Limas En. Abdul Hadi


Pelan landskap kawasan rumah limas En. Abdul Hadi Ambok Ingtang.

 Tema landskap yang kami pilih untuk reka bentuk dan pembinaan landskap di kawasan rumah limas En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang ialah ‘Landskap Tropika Nusantara’. Kami anggap ini amat bersesuaian dengan kedudukan rumah limas ini di kawasan Nusantara.

Berikut adalah elemen-elemen landskap yang kami cuba terapkan dalam reka bentuk landskap rumah limas kepunyaan En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang.

  1. Pintu Gerbang - Satu ciri rumah Melayu ialah adanya pintu gerbang sebagai pintu masuk ke kawasan rumah limas. Pintu gerbang (gapura) ini menjadi daya penarik dan tanda pengenalan kepada rumah dan pemilik rumah limas. Landskap bermula di kawasan terbinanya landskap, bukan di dalam bangunan atau kediaman. Bermula dari pintu gerbang, kami akan cadangkan pembinaan elemen-elemen lain yang bersesuaian termasuk membentuk jalan masuk dari hadapan ke laman, sisi dan belakang rumah limas ini.
  2. Gazebo - Gazebo berbumbung limas dibina untuk menunjukkan keselarian dengan rumah yang berbumbung limas. Bumbung limas akan mengurangkan tempias air hujan masuk ke dalam gazebo yang terbuka. Gazebo berfungsi sebagai tempat sosial dan beristirehat bersama keluarga.
  3. Kolam dan Air - Air adalah sebahagian elemen landskap. Air boleh memberikan kesan-kesan yang menarik. Ia boleh dalam bentuk air terjun, air pancut, kolam dan sebagainya. Fungsi air adalah untuk menyejukkan kawasan, menghalang kebisingan, menambah aktiviti dan menenangkan fikiran. Kolam ini akan bertemankan 'pasangannya' iaitu tumbuhan air yang juga dikenali tumbuhan akuatik. Harus diingat, kolam juga bukan sekadar menghias laman tetapi mewujudkan ekosistem untuk kediaman supaya ia lebih hidup dan memberi manfaat kepada pemilik kediaman. Kehadiran elemen air sebagai salah satu elemen landskap untuk rumah limas ini merupakan hal yang penting untuk menghidupkan suasana luaran sekaligus dapat menyejukkan suasana interior rumah En. Abdul Hadi. Elemen air seperti ‘clear pond’ dapat melengkapi reka bentuk landskap selain penggunaan air terjun buatan.
  4. Lampu Berbumbung Limas - Penguna taman iaitu En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang dan keluarganya tidak perlu tergesa-gesa ke taman sebelum matahari terbenam untuk menikmati keindahan landskap. Pencahayaan pada waktu malam didatangkan daripada lampu-lampu yang dipasang. Lampu yang berbumbung limas ini akan memberikan pencahayaan untuk keselamatan dan keseronokan di waktu malam. Keindahan landskap seharusnya terus ditatapi dan dinikmati puas-puas walaupun pada waktu malam.
  5. Batu Pemijak Bentuk Bunga - Di laman rumah ini akan dibina laluan siar kaki bermotifkan bunga. Motif kreatif ini menambahkan lagi unsur-unsur seni budaya setempat yang dekat dengan alam dan persekitarannya. Pemilihan bahan-bahan untuk laluan siar kaki dipastikan tidak membahayakan pengguna dari segi jenis bahan, kerataan dan jarak pemasangan.
  6. Tumbuh-tumbuhan Hiasan - Untuk menyerikan lagi rumah limas ini, kami merasakan kawasan rumah ini seharusnya ditanam dengan tumbuh-tumbuhan hiasan yang pelbagai warna dan pelbagai tekstur. Tumbuh-tumbuhan hiasan ini merujuk kepada pokok naungan, renek, penutup bumi dan rumput turf. Tumbuhan hiasan ini dapat mengawal suhu panas, mengawal kebisingan dari arah jalanraya, mengawal pemandangan, membingkai pemandangan, membahagi kawasan laman rumah, mengarah pergerakan pengguna, sebagai pemberi tumpuan dan dapat melembutkan kawasan laman rumah. 
  7. Pokok Buah dan Herba - Keluasan rumah Limas En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang ini adalah 2 ekar, ditambah pula kawasan ini adalah kawasan kampung, kami mencadangkan agar ditanam pokok buah-buahan di belakang dan di tepi kiri dan kanan rumah limas ini. Selain dapat dimakan buah-buahnya yang segar, pokok-pokok ini dapat mengekalkan tahap kehijauan, kualiti landskap dan alam sekitar yang menyumbang kepada persekitaran yang sihat, selamat dan indah di di kawasan rumah ini. Kami juga mencadangkan agar di tanam tumbu-tumbuhan herba dan sayur-sayuran di kawasan belakang rumah limas kepunyaan En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang ini. 
  8. Rumput (turf) - Rumput adalah salah satu tumbuhan hiasan yang digunakan dalam taman. Selain dapat menyejukkan mata, rumput juga dapat membuat taman kita menjadi lebih luas walaupun kawasan taman kita terlalu kecil. Kami cadangkan agar ditanam rumput di tempat-tempat tertentu di laman rumah ini.
  9. Pemasangan Batu Pemijak - Kehadiran batu pemijak di laman rumah ini dengan motif-motif tertentu sebenarnya sangat menarik. Kehadirannya bukan sahaja mencipta visual kontras pada halaman rumah limas ini malah pasti akan melekakan En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang dan keluarganya. Pemilihan batu pemijak yang sesuai dan mempunyai fungsi-fungsi tertentu dapat digunakan sebagai bahan refleksologi rawatan bagi tapak kaki dan kaki.
  10. Pelantar Di atas Kolam - Pembinaan pelantar (deck) di atas kolam dapat digunakan untuk duduk dan merehatkan diri terutamanya apabila berterapi menenangkan fikiran semasa memberi makan ikan-ikan pelbagai warna di dalam kolam.

Penutup
Rumah tradisional khususnya rumah limas Johor yang cantik ini bertambah menarik dengan terbinanya landskap atau taman yang dirancang dan direkabentuk dengan berkesan. Landskap yang dibina seharusnya dan dicadangkan berkonsepkan landskap tropika bersesuaian dengan suasana kampung di Nusantara.

Elemen-elemen landskap yang dipilih mestilah memberi kesan natural. Gabungan elemen landskap lembut dan landskap kejur berperanan menambah keindahan taman berkonsepkan tropika. Kolam dengan rekabentuk natural dan air terjun serta pancutan air akan diterapkan dalam rekabentuk landskap rumah limas ini. Aksesori taman seperti siar kaki, gazebo berbumbung limas, lampu taman dan pelantar, merupakan penghias landskap tropika.

Dengan konsep tropika ini ianya akan dapat memberi nilai positif kepada penghuni rumah dan pengguna lain yang datang untuk melawat rumah limas En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang yang dinamakan ‘Memorial Daeng Hadadek’. Kami harap En. Abdul Hadi bin Ambok Ingtang gembira dan dapat menerima rekabentuk landskap dan konsep yang kami ketengahkan sebagaimana yang belaiu inginkan.

1 comment:

  1. assalammualaikum...saya muhammad zam zam bin mansor...dari KL.....
    saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menyediakan nota berkaitan dengan landskap...
    untuk pengetahuan, saya ambil jurusan Diploma Pengurusan Landskap....
    saya ingin mengetahui tentang penanaman pokoklandskap di atas pelantar bangunan (contena), jenis-jenispokok, teknik penanaman, cara penjagaan....kerana saya perlu menyiapkan pelan untuk "MALAYSIA FEATURE CITY CONCEPT" against the global warming in 2050....

    ReplyDelete