Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik
Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan. Show all posts

Tuesday, April 28, 2015

TAMAN CANTIK BERBATU MUZIUM KOTA KAYANG, PERLIS

Pernahkah anda pergi ke Muzium Kota Kayang, Perlis? Kawasan muzium ini dikelilingi bukit-bukau berbatu. Sesiapa yang meminati taman berbatu, wajarlah ke muzium ini kerana batu-batu adalah sebahagian elemen taman ini yang semula jadi dan alami.

Muzium Kota Kayang terletak bersekitaran Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang iaitu berhampiran terusan buatan manusia yang tertua di Semenanjung. Terdapat tiga galeri iaitu galeri am yang mempamerkan kronologi pembinaan Kota Kayang, peralatan harian golongan bangsawan di Perlis, galeri arkeologi yang mempamerkan hasil penyelidikan Kota Kayang dan sekitar negeri Perlis serta galeri Kedah / Perlis yang mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad s.a.w dan replika bunga emas, kesan pendudukan penjajah dan pelbagai koleksi yang menarik.

Teruja keadaan bukit dan sawah yang menghijau, suasana Muzium Kota Kayang sangat mendamaikan dengan dibelakangi bukit-bukau berbatu yang menghijau di sekelilingnya selain bendang padi membuatkan saujana mata memandang. Di satu sudut adalah kawasan Marhum Kayang. Ada makam Sultan Kedah ke 15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah 1 atau Marhum Kayang Pertama (1651-1661). Al-Fatihah untuk Almarhum dan keluarga baginda. 

Di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah 2, untuk mengekang kuasa Kedah Siam membahagikan kuasa pemerintahan kepada beberapa kawasan seperti Indera Kayangan di Perlis, Setul di selatan Thai sekarang, Kota Setar dan juga Kubang Pasu. Sebab itulah kawasan-kawasan ini pernah mempunyai raja masing-masing.

Apabila berjalan-jalan di kawasan ini, dapat kita rasakan kawasan taman bunga larangan, tempat pendekar berlatih silat, tempat mandi gajah walaupun tiada signboard yang menceritakan hal demikian. Malah gua-gua tempat pertapaan pun ada di sini.

Membongkar sejarah Muzium Kota Kayang, muzium tersebut merupakan tapak Kota Istana Kesultanan Kedah. Ketika itu, kota tersebut berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah ke 15, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah pada tahun 1661- 1687. Kota ini dibina di kawasan yang dikelilingi bukit seperti Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Lambung Panah, Bukit Nasi Sebungkus, Bukit Besi Hangit, Bukit Lagi dan Gunung Medan. Bukit tersebut menjadi ‘perisai’ keselamatan kepada Kota Istana sekiranya berlakunya peperangan. Apabila berlakunya peperangan, panglima akan mendaki bukit tersebut untuk memantau serangan daripada pihak lawan dan terdapat juga gua pada bukit ini yang dipercayai menjadi tempat persembunyian kerabat raja sewaktu peperangan.  

Pakar geologi yang menjalankan kajian di sini menyatakan batuan yang ada di sekitar muzium ini adalah berasal kawasan air. Ini bererti kemungkinan pada masa dahulu kawasan ini adalah tasik ataupun lautan. Kajian tersebut diperkuatkan lagi dengan penemuan bongkah kayu yang digunakan untuk memaut tali perahu. 

Muzium tersebut mempunyai dua fasa yang menempatkan pelbagai artifak dan spesimen yang berkaitan dengan Perlis. Fasa pertama mempunyai bahagian sejarah Perlis, arkeologi serta spesimen yang dijumpai sekitar negeri ini serta senjata tradisional masyarakat setempat. Fasa kedua pula terdapat bahagian kebudayaan, galeri Diraja yang memaparkan susur galur pemerintah Perlis serta perkara yang berkaitan. 

Meneroka panorama persekitarannya, di sudut kanan berhampiran bukit, terdapat makam yang menempatkan Al-Marhum Kayang Pertama Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I dan menantu baginda seorang putera Bugis bernama Juang Tawa. Berhampiran makam baginda dan menantunya terdapat satu lagi makam yang tidak dikenal pasti miliknya, namun dipercayai ia adalah milik orang kanan atau keluarga Al-Marhum Kayang Pertama.  

Berjalan menyusuri laluan di celah batuan, sebuah perigi lama yang tohor mungkin disebabkan timbunan tanah jatuh ke dalamnya. Ia sebenarnya perigi yang digunakan oleh keluarga Al-Marhum. Kemudian, apabila pentadbiran kesultanan Kedah berpindah ke Kota Setar, perigi tersebut digunakan oleh masyarakat setempat untuk tujuan pertanian. 































Monday, December 1, 2014

PERTANDINGAN TERRARIUM MAHA 2014

Bermula dari 20hb hingga 30hb November, MAHA 2014 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menemui orang ramai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). MAHA 2014 kali ini bertemakan Agroteknologi Pemangkin Tranformasi. Pameran dwitahunan ini akan lebih menumpukan kepada penyertaan golongan muda. Ia membabitkan lapan fokus utama iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK), Industri Agro Makanan, Industri Asas Tani, Agro Belia, Cabaran Inovasi Pertanian Malaysia (MAgIC), Agro Pelancongan, Agro Gaya Hidup dan Agro Dagang. 

Berasaskan inisiatif memperkayakan sektor pertanian dan memba­ngunkan pertanian baru, Pameran MAHA 2014 menggariskan beberapa objektif :
  • Untuk mempamerkan perkembangan terkini agro-makanan dan pertanian berasaskan industri di Malaysia
  • Untuk menggalakkan pemahaman mengenai hala tuju agro-makanan dan perniagaan berasaskan pertanian
  • Menyediakan platform untuk peluang perniagaan dan pembangunan di peringkat tempatan dan antarabangsa
  • Untuk mendorong dan memotivasi pembangunan generasi muda dan masa depan dalam agro-makanan dan industri asas tani
  • Bagi menjadikan MAHA sebagai pameran perdagangan yang mampu menarik minat penyertaan syarikat korporat

Selain dari pameran dan jualan para peserta, Pameran MAHA 2014 juga menganjurkan beberapa aktiviti dan program yang boleh disertai oleh orang ramai. Ianya boleh disertai secara percuma disepanjang berlangsungnya pameran MAHA 2014 ini.


Tapak Pameran Utama MAHA 2014 terbahagi kepada beberapa kategori dan lokasi iaitu :
  • Tapak Pameran Ternakan
  • Tapak Pameran Jentera
  • Tapak Pameran Padi
  • Tapak Pameran Pavilion Negeri-Negeri
  • Tapak Pameran Hall Utama & Agrobazaar
  • Tapak Pameran Flora
  • Tapak Pameran Sayur-sayuran
  • Tapak Pameran Perikanan
  • Tapak Pameran Nanas

Di antara acara yang dianjurkan ialah pertandingan terrarium untuk murid-murid sekolah menengah dari seluruh Malaysia. Setiap negeri diwakili oleh dua buah sekolah yang disertai dua orang murid dan seorang guru pengiring.








Sunday, June 16, 2013

CANTIK RUMAH INI RUMAH PENGHULU NATAR DI MERLIMAU, MELAKA NAMUN IA LEBIH CANTIK JIKA DISERTAI TAMAN YANG MENARIK

Rumah ini memang cantik. Ianya rumah bekas penghulu-penghulu Merlimau, Melaka iaitu Penghulu Abddul Majid (1831-1834), Demang Abdul Ghani Abdul Majid (1834-1934) dan Penghulu Mat Natar Abdul Ghani (1934-1978). Ia terletak di Merlimau, Melaka. Sekarang jadi premis warisan. Ada yang panggilnya sebagai Rumah Demang Merlimau, Rumah Demang Raja Kecil,  Istana Merlimau dan Rumah Penghulu Natar. 

Rumah yang kaya dengan sejarah ini dibina oleh Datuk Demang Haji Abdul Ghani Demang Haji Abdul Majid lebih kurang pada tahun 1895. Ia dianggap sebagai Istana Merlimau kerana ketika itu Melaka tak ada istana. Rumah ini sangat luas dan ada pengaruh Palembang, Champa, Filipina dan Kemboja. Tidak terdapat rumah atau istana lain sezaman dengannya yang boleh menandingi rumah ini.

Seni binanya begitu menakjubkan. Jika sebuah rumah mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk disiapkan, rumah warisan ini mengambil masa tiga tahun sebelum ia boleh didiami.

Bentuk Rumah Penghulu Natar ini bercirikan Melayu tetapi anjungnya berbumbungkan limas. Rumahnya besar dua sebandung dengan dapurnya berbumbung lintang. Terdapat tiga buah anjung, sebuah pelantar simen, serambi yang luas dan sebuah dapur.

Pada pandangan kami, alangkah menariknya jika disekeliling atau di kawasan rumah ini turut dibina taman yang bersesuaian dengan konsep yang hendak ditonjolkan oleh keberadaan rumah itu di situ.  Mungkin boleh diwujudkan taman yang berkonsepkan istana dulu-dulu. Maka dapatlah generasi kini merasai dan menghayati taman istana dulu-dulu...