Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, November 25, 2010

JAMBATAN MINI/TITI DALAM TAMAN



Jambatan dan titi adalah dua binaan yang biasa gunakan dalam kehidupan kita sehari-hari. Yang membezakan antara keduanya ialah: jambatan lebih besar dan lebih panjang daripada titi. Biasanya jambatan dibina untuk menghubungkan dua tebing sungai manakala titi sekadar untuk menghubungkan dua tebing parit atau kolam kecil.


Dalam pembinaan sesuatu taman (taman kecil dan sederhana), selain fungsinya untuk menghubungkan dua tebing, jambatan atau titi ini berfungsi sebagai aksesori dan pelengkap taman. Supaya sesebuah taman itu kelihatan lebih menarik dan cantik, biasanya jambatan mini/titi ini dibina dengan reka bentuk yang unik, berbagai, ada kelainan dan cantik. 


Bahan-bahan untuk membina jambatan mini/titi adalah pelbagai. Ia boleh dibuat daripada kayu, logam/besi, konkrit dan teknologi simen ferro. Yang selalu menjadi pilihan pemilik taman ialah kayu dan simen ferro. Bahan-bahan ini dapat memperlihatkan nilai kesenian, nilai estetika dan mudah dibentuk mengikut kehendak tema sesuatu taman. Namun ada juga pemilik taman yang membinanya dengan menggunakan buluh (pastinya telah diawet dan diberi ubat tahan).

Dalam taman, jambatan mini/titi ini dibina sama ada di atas kolam atau di atas laluan air yang mengalir. Kekuatan struktur jambatan/titi ini dianggarkan boleh menerima beban lima orang dewasa yang berdiri di atasnya. Manakala pilihan warnanya pula bergantung kepada tema sesuatu taman. Bagi tema nusantara, pilihan warna disesuaikan dengan warna-warna kayu, malah jika teknologi simen ferro diguna pakai ianya dibentuk dan diwarnakan dengan pewarna yang menyerupai kayu.



Siapakah yang sering menggunakan jambatan mini/titi ini? Sudah pastinya mereka adalah golongan kanak-kanak. Sering kita lihat kanak-kanak berada di jambatan mini/titi ini untuk memberi makanan kepada ikan dan bergerak bebas (termasuk berlari-lari) bersama rakan-rakan. Oleh kerana itu, ciri-ciri keselamatan perlu dititikberatkan dan diterapkan semasa membina jambatan ini.

No comments:

Post a Comment