Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, May 16, 2010

BUMBUNG MESRA ALAM


Oleh Rohaniza Idris
Berita Mingga 16 Mei 2010



RAMAI yang mengidamkan untuk memiliki laman seperti di resort dan pusat peranginan yang menggunakan konsep Bali dan tradisional menggunakan bahan semula jadi. Namun, ramai yang tidak tahu sesetengah bahan semula jadi dihasilkan daripada bahan terbuang dan sering diabaikan penggunaannya.

Satu bahan semula jadi yang semakin mendapat tempat terutama oleh kontraktor laman dan pengusaha industri kayu dan hiasan tradisional adalah lalang yang dijadikan bahan membuat atap. Di Malaysia, industri pembuatan atap lalang masih baru dan belum diterokai sepenuhnya berbanding di negara jiran Indonesia yang kini menjadikan negara pengeluar dan pembekal utama produk berkenaan.

Atap lalang kini banyak digunakan pusat peranginan di Australia, Amerika Syarikat, Mauritius, Fiji, Thailand, Hawaii selain Indonesia sendiri kerana keunikannya serta ketahanannya.

Mohd Hedzir Borhan dari Rossahimi Enterprise berkata, syarikatnya menjadi pembekal utama atap lalang sejak lima tahun lalu dan kini masih meneruskan usaha berkenaan walaupun permintaan terhadap atap lalang masih belum memberangsangkan.

Katanya, pada masa ini atap lalang banyak digunakan dalam pembinaan resort dan pusat peranginan tetapi untuk binaan spa dan rumah urut atau gazebo serta ruang rehat di sekitar kawasan berkenaan.

“Bagi permintaan pasaran awam, permintaannya sangat sedikit kerana pengguna masih tidak tahu mengenai kebaikan dan kelebihan atap berkenaan. Malah, ramai yang tidak yakin atap berkenaan kukuh dan tahan lama. Persepsi yang tidak boleh diubah mengenai atap lalang adalah ia mudah terbakar dan menyebabkan kebocoran.  Persepsi itu perlu diubah kerana atap lalang bukan saja tahan lama, kalis bocor dan ia menjadi bahan ekslusif kerana mempunyai nilai eksotik,” katanya.

 Beliau menjelaskan atap lalang boleh bertahan sehingga 15 tahun bergantung kepada susun anyaman atap dan tidak mudah di makan anai-anai, bubuk, malah dipercayai tikus tidak berminat untuk dengan lalang. Sesetengah burung mungkin berminat membuat sarang tetapi jika atap lalang diikat kemas, sukar bagi unggas membuat tempat tinggal.

Katanya, suhu di bawah bangunan yang dipasang dengan atap lalang akan menurun sehingga 10 hingga 15 selsius, bergantung kepada ketinggian bumbung kerana bahan berkenaan adalah penebat haba yang baik.

“Anda akan merasa sejuk di dalam walaupun keadaan panas terik di luar kediaman. Biasanya atap lalang tidak perlu dilengkapkan dengan siling, malah ia menjimatkan kayu serta bahan binaan lain. Malah, atap ini lebih ringan dari bumbung genting. Selain itu, pemandangan yang sangat cantik dan kelihatan amat menarik pada bahagian dalam bumbung bangunan yang memasang atap lalang. Sekali pandang kediaman anda seakan resort ekslusif yang sering dilihat di kaca televisyen atau majalah pelancongan. Satu lagi kelebihan atap lalang ia boleh bertahan dengan tiupan angin ribut dan ini sudah terbukti melalui ujian peringkat penggunaan antarabangsa di tepi laut. Malah, atap boleh dipasang menggunakan paku atau diikat dengan tali buluh atau rotan (seperti ikatan atap nipah),” katanya.

Beroperasi di Telok Panglima Garang, Banting, Selangor, syarikat itu pernah terpilih menjadi pembekal atap lalang Bali kepada Golden Palm Tree Resort (Sepang Goldcoast) bagi pembinaan 260 unit banglo terapung selain pembinaan spa dan gazebo untuk Berjaya Redang Beach Resort, Terengganu.

Hedzir berkata, selain menjadi pembekal atap lalang untuk syarikat besar, beliau turut membekalkan atap itu untuk pembeli perseorangan, syarikat landskap dan kontraktor laman tempatan.

Kebiasaannya, katanya ukuran atap lalang yang dijual adalah 2.0 meter(panjang) x 0.7 meter (labuh) x 2.0 sentimeter (tebal), namun syarikat itu menerima tempahan mengikut saiz dikehendaki pelanggan jika kuantiti tempahan besar dengan harga yang berpatutan.

“Bingkai atap lalang menggunakan buluh yang di awet dengan kimia khas untuk mengelak dari serangan bubuk dan anai-anai dan atap dijamin boleh tahan dari lima hingga 15 tahun berdasarkan kekerapan anyaman lalang,” katanya.

Atap lalang juga tidak perlu dilapik dengan lapisan khas yang biasa digunakan untuk wakaf atap rumbia. Atap lalang dijamin tidak menyebabkan bumbung wakaf atau pondok bocor. Elakkan meletak lapik daripada logam atau zink kerana ia boleh menyebabkan atap lalang reput.

Maklumat lanjut mengenai atap lalang berkenaan boleh diperoleh di www.alangalangbali malaysia.com

INFO: Atap lalang


  • Harga sekeping atap lalang RM15 sekeping (2 meter panjang)
  • Kos membuat atap lalang lebih murah dan pekerja tidak perlu masuk hutan untuk mencari bahan utama.
  • Harga bagi atap lalang juga jauh lebih murah berbanding atap rumbia.
  • Cara menganyam atap lalang sama seperti atap rumbia dan kerja menyusunnya lebih mudah kerana daun lalang tidak perlu diraut untuk diasingkan daripada pelepah seperti pokok rumbia.
  • Atap lalang perlu direndam dalam air dalam tempoh seminggu. Selepas itu dikeringkan sehingga warna bertukar menjadi kuning keperangan. Sebelum dianyam, lalang perlu disikat terlebih dulu supaya kemas.

1 comment: