Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Tuesday, October 30, 2012

ANDA MURUNG? BERJALAN DI TAMAN TENANGKAN MINDA

Susah hati atau mengalami kemurungan? Penyelidik mendapati dengan bersiar-siar atau sekadar berjalan di taman bunga atau padang, boleh membantu individu yang mengalami kemurungan untuk berasa lebih lega dan tenang. Kumpulan penyelidik melakukan ujian bagi mengenal pasti sama ada berjalan kaki di lokasi semula jadi boleh meningkatkan mood individu berhadapan dengan kemurungan klinikal.

Kajian turut menguji teori dibangunkan dalam bidang sains kognitif, dikenali sebagai Teori Pemulihan Perhatian atau Attention Restoration Theory (ART), mencadangkan, individu mampu menunpukan perhatian lebih baik selepas mengambil masa untuk berjalan-jalan di taman atau menikmati alam sekitar buat seketika.

Menurut ART, individu yang berada dalam persekitaran aman dan tidak menerima gangguan luar, mempengaruhi sistem memori untuk lebih memberikan tumpuan terhadap perkara yang mereka lakukan ketika itu. Hasilnya, sel otak boleh berehat dan memasuki cabang pertimbangan, seterusnya membantu memulihkan keupayaan kognitif.

Dalam kajian terkini, seramai 20 individu yang berhadapan kemurungan klinikal, membabitkan 12 wanita dan 8 lelaki berusia 26 tahun yang mengambil bahagian dalam satu eksperimen, berjalan dalam suasana tenang semula jadi, sementara dalam keadaan satu lagi berjalan dalam suasana bising bandar.

Sebelum melakukan aktiviti bersiar-sisr itu, peserta diuji menentukan status kognitif dan mood mereka dan dikehendaki memikirkan kembali masalah belum selesai atau mengenai memori pahit dilalui sebelum ini. Mereka kemudian dikehendaki berjalan kaki selama satu jam di sebuah taman hutan atau bersiar-siar di sepanjang jalan yang sibuk. Laluan jalan ditetapkan dan peserta perlu memakai jam dilengkapi Global Positioning System (GPS) untuk memastikan mereka melalui jalan yang betul. Apabila selesai, mereka perlu mengambil bahagian dalam siri ujian mental untuk mengukur tumpuan dan bagaimana memori jangka pendek mereka bekerja.

Seminggu selepas itu, peserta mengulangi kajian tetapi perlu melewati jalan berbeza daripada dilalui pada kajian terdahulu.

Disebabkan penghidap kemurungan mempunyai tahap pemikiran negatif yang tinggi, penyelidik skeptikal merumuskan berjalan kaki secara bersendirian di taman, memberi manfaat. Sementara mood mereka turut meningkat.Bagaimanapun, keputusan menunjukkan penghidap memiliki peningkatan 16 peratus membabitkan aspek tumpuan dan ingatan selepas berjalan kaki di taman berbanding berjalan kaki di bandar.

Penulis 'Jurnal Kecelaruan Efektif', Dr. Marc Berman dari Institut Penyelidikan Rotman, Kanada, yang juga ketua penyelidikan itu menjelaskan, kajian menunjukkan bahawa peserta menghadapi kemurungan klinikal mengalami prestasi memori lebih baik selepas berjalan kaki di taman berbanding berjalan di dalam persekitaran bandar.

"Berjalan boleh bertindak sebagai menambah atau meningkatkan rawatan sedia ada bagi penghidap kemurungan klinikal," katanya.

Pada 2008, kajian oleh Dr. Berman menunjukkan orang dewasa yang tidak pernah didiognosis dengan penyakit mental, didapati sihat lantaran berjalan di taman berhutan dan mampu merangsang minda.

Sumber:  Berita Harian

Thursday, October 18, 2012

PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 5 LANDSKAP 2012

Inilah wajah kami pelajar-pelajar Tingkatan 5 Landskap. Foto kenangan bersama rakan-rakan sekelas dan guru kelas kami iaitu Cikgu Hasan Bin Kasmuri. Selama 5 tahun kami menimba ilmu dan mengalami alam persekolahan di SMK Telok Kerang, sekolah yang kami sayangi. Tak lama lagi kami akan mengakhiri zaman persekolahan. Semoga Allah SWT mempermudahkan kami menghadapi peperiksaan SPM. Mudah-mudahan kami berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Amin...

  
DUDUK DARI KIRIMOHAMAD FAIEZ BIN RESMI, MOHAMAD KHAIRIL AZLI BIN A KADIR,
MUHAMMAD ISAMUDDIN BIN ISMAIL, ABDUL HALIM BIN RAHMAD, CIKGU HASAN BIN KASMURI,
MOHD SHAHMI BIN HAMSATON, MOHD FAZRANI BIN HUDZURI,
MOHAMMAD AMIRUDDIN BIN KAMARUDIN DAN MOHD SOLEEHIN BIN SHARIFF.
BERDIRI DARI KIRI: MOHD AKMAL BIN ISHAMI, MOHD FAIZRUL RAZDY FUAD HASHIM,
MOHD HANIF BIN MESMAN, MOHD AZUAN BIN IBRAHIM, ALIFF ANWAR BIN ABDUL RASHID,
 MUHAMMAD FADHIL BIN SHAIN, MOHD AZIZI BIN ABDOLAH,
MOHAMMAD AZEEM NUR BIN MOHAMMAD DIN, MASAARULNUR BIN KAMISAN,
MUHAMMAD NAJIB BIN HAMZAH DAN MOHD NURFIKRI BIN NASIR

Saturday, October 6, 2012

POKOK PAGARAN



Pagar biasanya dibina sebagai sempadan mengelilingi keluasan sesebuah kawasan kediaman. Namun, pagar juga dibina bagi memisahkan satu ruang dengan beberapa ruang yang lain dalam kawasan rumah itu. Contohnya seperti memisahkan ruang laman atau taman dengan ruang lain seperti kolam renang, tempat meletak kereta dan sebagainya.

Pagar sering dibina menggunakan bahan seperti kayu, bata dan konkrit, buluh, besi dan sebagainya. Namun, pagar juga boleh dibina menggunakan pelbagai tanaman hiasan yang bersesuaian. Tanaman hiasan boleh menggantikan bahan binaan sebagai pemisah sempadan dan ia juga menjadikan sesuatu ruang itu lebih mesra alam.

Sebahagian peminat seni taman akan memilih tanaman hiasan bersesuaian untuk dijadikan pagar kerana ia boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk struktur dan karektor kepada sesebuah taman itu.

Ini kerana, tumbuhan mempunyai tekstur serta warna yang menarik dan boleh diubah suai atau diubah bentuknya seperti dikehendaki. Bagaimanapun, sebagai makhluk Allah yang hidup, pertumbuhannya akan mengambil masa untuk tumbuh matang.


Istimewanya pagar jenis ini ialah terdapat beberapa lagi kegunaannya yang praktikal seperti berikut:

1) Ia sesuai dijadikan penyerap bunyi bagi mengurangkan kebisingan dari aktiviti kota seperti lalu lintas kenderaan kerana dedaun pokoknya mampu menyerap kebisingan.

2) Ia juga sesuai sebagai penghadang daripada habuk dan debu jalan raya dan kawasan pembinaan berdekatan kerana dedaun pokok terutamanya yang bertekstur halus boleh memerangkap habuk yang terapung di udara apabila di tiup angin.

Ciri-ciri pokok pagaran yang sesuai dipilih:

1) Daunnya yang kecil dan senang di andam untuk membentuknya. Contohnya seperti pokok Acalypha siemensis atau pokok teh dan beberapa spesies pokok Ficus yang berdaun kecil.

2) Cabang dan pucuk barunya cepat tumbuh bagi memadatkan ruang lalu terbentuk struktur pagar yang cantik dan menarik.

3) Kebanyakan pokok yang digunakan perlulah dari jenis yang tahan lasak iaitu tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan dapat hidup bertahan lama.

4) Pokok berkenaan mempamerkan ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri, seperti;


  • Daun pokoknya yang berubah warna apabila meningkat dewasa: Contohnya seperti Kelat Paya (Syzygium campanulatum) sangat cantik dijadikan sebagai pokok pagaran kerana dedaunnya sentiasa bertukar warna mengikut usianya. Selepas di pangkas tumbuh pucuk daunnya yang baru berwarna merah muda kemudian bertukar menjadi merah tua. Seterusnya ia akan bertukar menjadi ungu, hijau muda dan di akhiri dengan hijau tua.
  • Pokok berbunga: Contohnya seperti Ixora atau siantan yang berbunga cantik. Manakala pokok bunga raya yang berdaun cantik berwarna keputihan (Variegated) dan pokok bunga kertas juga sesuai untuk dijadikan pokok pagaran.



5) Mudah dibiakkan. Kebanyakan spesies pokok pagaran seperti di atas mudah dibiak atau ditanam menggunakan kaedah keratan batang.



Kaedah mudah pembinaan pokok pagaran:

1) Potong beberapa keratan batang atau ranting pokok berukuran kira-kira 4 inci panjang dan letakkan hormon penggalak akar di bahagian keratan bawah bagi mempercepatkan pertumbuhan akarnya.

2) Semai dalam polibeg dengan menggunakan medium tanaman untuk pokok berpasu dalam campuran 3:2:1 (tanah peroi : bahan organik : pasir sungai).

3) Siram dan letak di tempat teduh. Berikan penjagaan seperti siraman air dan pembajaan dengan menggunakan baja kimia atau organik seperti najis ayam.

4) Apabila keratan batang atau ranting yang disemai tadi telah tumbuh membesar pokok berkenaan bolehlah dipindahkan untuk ditanam di tapak pagar yang ingin dibina dalam jarak lebih kurang 1 kaki di antara satu pokok dengan pokok lain.

Sunday, September 30, 2012

FELDA NITAR 2 DIKUNJUNGI TETAMU SETELAH MERAIH RM1 JUTA MENJUARAI ANUGERAH KECERIAAN KAMPUNG FELDA (AKKF) KEBANGSAAN 2012

Masih ingat lagi mengenai entri bertajuk "Landskap Kampung FELDA Nitar 2" pada 5 Mac 2010? Kami ada menceritakan mengenai usaha peneroka FELDA itu mencantikkan kawasan perkampungan mereka. Setelah dua tahun berlalu, pada tahun ini FELDA Nitar 2 diisytiharkan sebagai juara Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) Kebangsaan 2012.




Kesepakatan penduduk menjadi kunci kejayaan FELDA Nitar 2 menjuarai Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) Kebangsaan 2012. FELDA berkenaan meraih hadiah wang tunai RM1 juta yang disampaikan sendiri oleh Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Hari Peneroka 2012 baru-baru ini.




Kerjasama semua pihak sejak beberapa tahun lalu dengan menanam bayam merah di sekitar rumah rancangan itu serta dihias indah dengan pelbagai pokok bunga akhirnya membawa kejayaan.




Semua lapisan penghuni dan kakitangan pengurusan tanah rancangan itu memberi kerjasama padu untuk menjayakan segala usaha menceriakan persekitaran. Kesepakatan peneroka membelanjakan RM30,000.00 bagi membeli benih dan baja untuk menanam pelbagai pokok bunga dan hiasan serta bayam merah yang menjadi identiti FELDA itu ternyata berbaloi.




Tanah rancangan yang dibuka hampir 30 tahun pada tahun 1984 terletak 26 km dari bandar Mersing. Keluasannya ialah 123.5 hektar. FELDA yang menempatkan 450 peneroka kini mempunyai lebih 3,265 penduduk daripada keluarga peneroka, kakitangan pengurusan FELDA dan kilang serta keluarga guru yang mengajar di sekolah kebangsaan dan agama di situ. Nama FELDA Nitar 2 diabadikan daripada nama seorang gadis Orang Asli bernama Nitar yang hilang dalam hutan ketika mencari pucuk kayu sebelum dihanyutkan arus sungai di kawasan itu.  



Kejayaan yang dikecapi tidak datang dengan sendiri sebaliknya hasil kesepakatan dan kerjasama semua pihak yang berkorban untuk kejayaan bersama. Kejayaan FELDA ini patut menjadi contoh kepada semua tanah rancangan untuk berusaha mencipta nama dalam pelbagai bidang yang boleh menaikkan nama kampung, daerah dan negeri.




Kini FELDA Nitar 2 menjadi perhatian seluruh negara. Ia menarik perhatian dan dikunjungi tetamu dari seluruh negara. Tetamu yang datang berkunjung ke situ kerana mahu melihat keindahan tanah rancangan tersebut sehingga meraih kemenangan yang membolehkan mereka membawa pulang RM1 juta.




Beberapa pasukan penerbitan telah membuat penggambaran dan rakaman di sekitar kampung ini. Di anataranya ialah Filem Negara Malaysia dan Bahagian Penerbitan FELDA.  Selain itu jawatankuasa peneroka dari dalam dan luar Johor juga melawat dan meninjau kampung ini untuk mengetahui dengan lebih dekat kunci kejayaan FELDA ini dalam AKKF 2012.




Kami ucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan semua warga FELDA Nitar 2 atas kejayaan ini. Semoga kecantikan dan keindahan kampung yang meriah dengan identiti warna merah 'bayam merah' akan berkekalan. Kepada sesiapa yang melalui jalan Kluang-Nitar-Mersing, jangan lupa singgah di kampung FELDA Nitar 2 untuk menikmati dan menghayati keindahan keceriaan landskap kampung ini. Kami tak pasti sama ada keindahan dan kecantikan landskap di kampung ini pada hari ini masih kekal seperti dulu. Syabas....




Wednesday, September 26, 2012

BUMBUNG RUMPUT

Ruang dalamannya mempunyai fungsi yang sama dengan kediaman biasa cuma kedudukan setiap perabot disesuaikan dengan keadaan. Tanpa perlu alat penghawa dingin, segenap ruang terasa nyaman ditambah dengan sistem pengaliran udara sempurna. Ia secara tidak langsung mengurangkan kehilangan haba dan dengan mudah mengekalkan suhu udara dalaman yang stabil.


Unik...seni bina ‘turf houses’ yang mengurangkan kehilangan haba.

Itu antara gambaran keunikan ruang dalaman ‘turf houses’ di Iceland yang tidak hanya menarik perhatian pada bahagian luar semata-mata.

‘Turf houses’ membabitkan seni bina kediaman yang menggunakan alam semula jadi sebagai material utama. Hamparan rumput hijau yang melatari bahagian dinding dan atap kediaman membuatkan ia kelihatan benar-benar unik. Bagaikan perkampungan hijau, persekitaran yang dingin pastinya mengurangkan suhu panas dengan pemandangan indah lagi luar biasa.


Idea...penggayaan landskap luar kediaman turut diberi perhatian.

Binaan kediaman ‘turf houses’ turut menjadikan kayu dan bata sebagai material penting. Sekali gus mengurangkan masalah mendapatkan bahan-bahan pembinaan lain seperti kediaman moden hari ini.

Biar pun Iceland sebenarnya tidak mempunyai jumlah rumput yang banyak untuk binaan kediaman seperti itu, namun ‘turf houses’ dimanfaatkan sebaik mungkin. Membabitkan proses pembinaan yang unik, bingkai kayu dibina kukuh bagi memastikan keupayaan menampung beban rumput sebagai bumbungnya. Rumput kemudian diletakkan di sekeliling bingkai kayu itu dengan ketelitian pertukangan untuk sesebuah ‘turf houses.’ Kayu di bahagian luar pula berfungsi sebagai pintu masuk dan digayakan sempurna untuk membantu keindahan landskap semula jadi kediaman berkenaan.


Pemandangan luar biasa...binaan ‘turf houses’ bagaikan landskap hijau.

Langkah evolusi yang pertama bermula pada abad ke-14 apabila rumah panjang gaya Viking mula ditinggalkan. Seterusnya diganti dengan binaan bangunan kecil, praktikal dan khusus dan pada abad ke-18 idea seni bina baru ‘turf houses’ mula diperkenalkan. Tidak hairanlah di Norway juga mempunyai bumbung rumput dan bahan binaan itu tidak asing di kalangan penggemarnya.


Menghijau...rumput subur menjadi bumbung kediaman.

Sumber:  Harian Metro

Thursday, September 13, 2012

AHLI KELAB LANDSKAP DAN TAMAN HARVEST BUAH ROCKMELON DAN MUSKMELON




Hari ini tiba masanya ahli-ahli Kelab Landskap dan Taman harvest buah rockmelon dan muskmelon yang mereka tanam 70 hari yang lepas. Mereka sama-sama ke RPH fertigasi untuk menuai buah-buah tersebut yang dah masak. Mengikut kiraan yang tepat, hari ini dah masuk hari yang ke 70 selepas ditanam. Dah sah dah... buah-buah itu dah masak. Banyak juga buah yang dapat dipetik. Terdapat juga buah yang belum cukup masak masih tergantung di pokoknya.

Buah-buah itu kemudian digredkan mengikut saiz. Semua ahli kelab dapat bahagian masing-masing. Atas budi bicara dan perbincangan ahli kelab, sebahagian buah-buah itu di berikan kepada guru-guru. Dapat jugalah guru-guru makan buah freeeee... Pada musim kali ini Cikgu Hasan Kasmuri memberi secara percuma kepada guru-guru. Selepas selesai menuai buah, ahli-ahli kelab mengambil kesempatan makan buah tersebut beramai-ramai.

Selepas selesai kerja menuai, kami memotong pangkal pokok supaya ia kering. Jadi apabila nak membuang pokok dan daun-daunnya nanti, dah tak gatal. Terdapat bulu-bulu pada daun pokok rockmelon yang menjadikan kegatalan pada kulit tangan.  Semoga musim akan datang hasil tanaman buah secara fertigasi ini menjadi lebih baik.








Monday, August 27, 2012

FUNGSI BATU DALAM TAMAN

Penggunaan batu kian meluas dan menjadi elemen hiasan penyeri taman serta landskap buatan.Tidak kira konsep Jepun atau Zen, Bali, tropika, moden atau kontemporari, batu antara elemen penting semula jadi.


Anda yang ingin mengubah penampilan taman sedia ada boleh berbuat demikian menggunakan batu hiasan. Kombinasi taman dihiasi rumput dengan deretan batu hiasan menarik membuatkan taman tampak hebat. Malah, penggunaan batu hiasan mengurangkan keadaan tidak selesa ketika hujan lebat. Masyarakat di bandar semakin gemar menggunakan batu sebagai hiasan kerana ia mudah diselenggara.Jika bijak menyusun, batu boleh boleh membina kolam serta air terjun.


Kehadiran batu hiasan menguji daya kreativiti anda mencorak konsep taman. Terdapat pelbagai jenis batu hiasan sesuai dijadikan pilihan menutup kelemahan tanah bergantung kepada elemen tertentu termasuk saiz, permukaan dan warna. Ia termasuk jenis batu sungai semula jadi, buatan simenferro atau batu yang berasal dari gunung berapi yang boleh digunakan untuk taman. Bagaimanapun, pilihan yang dibuat perlu diselarikan dengan konsep penataan taman bukannya menyakitkan pandangan. Batu hiasan berasaskan material yang berongga dan mempunyai pengaliran air dan udara sempurna amat sesuai. Ia menggalakkan pertumbuhan lumut dan kombinasi menarik untuk melahirkan suasana semula jadi. Batu hiasan 'limestone' sesuai diletak berhampiran kolam renang manakala yang berasaskan tanah liat untuk taman paku-pakis.


Elakkan daripada memilih batu hiasan jenis berkilat kerana ia mudah licin ketika hujan. Dalam menyerikan penataan taman, pilih material tahan lama dan dapat menyokong penampilan elemen landskap kejur yang lain. Lokasi kediaman antara perkara yang perlu diteliti dalam memilih batu hiasan sebagai penutup permukaan tanah. Anda yang tinggal di persisiran pantai dan lokasi berhampiran, batu kapur sesuai dengan kawasan berpasir. Seterusnya bahan ornamen atau hiasan taman yang diukir daripada batu turut menyerikan taman.Umpamanya set kerusi taman, pasu atau bekas tanaman, ukiran atau arca batu dan tidak ketinggalan jubin hiasan dinding pada kolam serta kediaman.


Batu memang bersifat tahan lasak dan kuat hingga membuatkan ia terus kekal popular sebagai elemen hiasan taman sejak dulu. Bagi mendapatkan idea kaedah hiasan taman, rujuk laman web landskap atau majalah dekorasi.