Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Wednesday, March 3, 2010

TAMAN REKREASI AWAM RAMBAH


Taman Rekreasi Awam Rambah terletak di kuala Sungai Rambah, Kampung Rambah, di daerah Pontian. Tak jauh dari rumah saya dan tak jauh dari SMK Telok Kerang. Jaraknya adalah lebih kurang 3 kilometer sahaja.



Di barat taman ini ialah Selat Melaka, di selatannya ialah Kampung Parit Bilal Laut, dan di utaranya pula ialah Kampung Rambah. Ia terletak di kuala Sungai Rambah di tepi laut Selat Melaka. Sungai Rambah membelah dan membahagi Kampung Rambah. Jarak taman ini dari bandar Pontian hanya lebih kurang 10 km arah ke selatan (Kukup). Apabila sampai di jambatan Sungai Rambah, belok ke kanan menghala ke barat. Taman ini terletak lebih kurang 500 meter dari jalan besar Pontian-Kukup.




Dulu kawasan ini hanya hutan paya bakau dan hutan nipah. Pantainya tidak ada pasir langsung, yang ada adalah selut kelodak kukup liat. Yang banyak di sini ketam dan belangkas. Sungainya bengkang-bengkok dan sempit. Sungai lurus yang ada sekarang adalah projek Pembangunan Saliran Rancangan Johor Barat pada tahun 1974 dulu.



Tak sangka kawasan yang dulunya belantara kini dah jadi taman yang cantik dan menarik di tepi laut mengalahkan Taman Rekreasi Bandar Pontian yang juga terletak di tepi laut. Penanaman pokok-pokok hiasannya tersusun kemas. Ada beberapa buah pondok rehat didirikan di sini. Satu jambatan gantung menjadi titik fokus. Terdapat juga gerai-gerai menjual makanan di bangunan yang cantik. Tak lupa juga dibina taman permainan kanak-kanak. Kuala sungai yang dulu comot kini dah bersih. Di tepi pantainya dibentengkan dengan batu-batu.


Apa yang istimewanya di taman ini?


Yang pertama ialah taman ini sememangnya cantik! Yang keduanya ialah pemandangan matahari terbenam waktu senja. Ia boleh dilihat ke arah barat di kaki langit di laut yang terbentang luas. Yang ketiganya, apabila pandangan kita dilayangkan ke arah barat daya, nun di tengah samudera terlihat Pulau Karimun milik Indonesia. Yang keempat ialah di kawasan kuala dan pantai taman ini banyak ikan sembilang. Kaki-kaki pancing selalu memancing di taman ini. Yang kelima ialah terdapat jeti di sini. Bolehlah memancing di jeti ini.Yang seterusnya ialah melihat nelayan-nelayan pantai keluar masuk ke pengkalan melalui kuala sungai di taman ini.


No comments:

Post a Comment