Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Thursday, March 25, 2010

POKOK SAKIT

Berita Minggu 21 Mac 2010
Kenali gejala penyakit pokok hiasan dalaman.


PADA keluaran lalu, ada diterangkan berkenaan dengan pokok hiasan dalaman yang bagi saya, amat baik untuk dipraktikkan pada setiap ruang kediaman mahupun ruang bekerja. Saya sendiri bekerja dengan agensi kerajaan dan ada beberapa pokok hiasan diletakkan di kawasan tertentu. Saya dapati, ada beberapa tanda pada pokok seperti kekuningan dan kering walaupun dijaga pihak pembekal pokok berkenaan. Apakah punca serta bagaimana cara mengatasinya?

ANTARA sebab utama berlaku keadaan pokok tidak sihat, berpenyakit adalah berpunca daripada persekitarannya yang tidak sempurna dari segi penerimaan cahaya, kelembapan dan sebagainya.

Berikutan gejala yang selalu dihadapi pokok hiasan dalaman:

1. Bahagian atas daun kekuningan.
Ini disebabkan kekurangan unsur nutrien pada tumbuhan. Penggunaan baja yang sesuai hendaklah diutamakan.

2. Permukaan daun berwarna hijau pudar, kusam dan tidak menarik.
Ia disebabkan banyak terdedah kepada cahaya matahari secara langsung. Kemungkinan juga diserang masalah Red Spider Mite selain permukaan terdedah kepada habuk dan debu (perlu dibersihkan menggunakan semburan halus atau sapu dengan kain lembap pada permukaan daun).

3. Tompok berwarna coklat keperangan.
Jika tompok berwarna perang dan rapuh ia dikenal pasti berpunca daripada kekurangan air. Andai berwarna perang gelap dan lembut, biasanya pokok terlebih siraman air. Jika tompok berwarna keputihan bermakna ia disebabkan percikan air pada bahagian permukaan daun, aerosol dan kerosakan akibat serangan penyakit/serangga. Juga kerosakan pada permukaan daun disebabkan serangan serangga perosak dan ulat pemakan daun.

4. Hujung daun keperangan.Disebabkan kelembapan rendah dan menyebabkannya kering. Hujung daun yang kerap terdedah kepada sentuhan seperti terkena dinding atau sentuhan manusia. Seandainya hujung daun berwarna kuning keperangan, ia mungkin disebabkan siraman air tidak sekata, pencahayaan tidak sesuai, suhu persekitaran dan lihat juga gejala yang wujud bersama.

5. Daun bergulung dan seterusnya gugur.Petanda keadaan sekitaran yang terlalu lembap dan siraman berlebihan.

6. Daun Layu.Ini disebabkan media yang keras dan kering (disebabkan kurang siraman) ataupun berlaku pengumpulan banyak air dalam media (disebabkan terlebih siram serta saliran yang tidak baik pada pasu). Juga mungkin disebabkan terlalu banyak pencahayaan (tanda dilihat kerap berlaku terutama pada waktu siang/tengah hari). Mungkin perlu lihat juga pada keadaan akar yang sudah padat dan disebabkan serangan makhluk perosak.

7. Daun gugur secara tiba-tiba.Pada kebiasaannya berlaku tanpa gejala seperti layu, kerinting daun dan sebagainya, mungkin disebabkan oleh kejutan persekitaran kepada sistem pokok. Kebanyakan isu utama adalah disebabkan perubahan ketara suhu dan pencahayaan. Daun pokok baru gugur Satu kebiasaan selepas pokok dipindah pasu, akan menyebabkan daunnya gugur sehingga beberapa helai daun. Maka, pastikan pergerakan pokok yang minimum terutama sewaktu berpindah lokasi, gunakan pasu yang lebih besar sedikit dari saiz polibeg. Jangan sesekali pindahkan pokok daripada kawasan teduh ke kawasan terang tanpa letakkan pokok berkenaan beberapa hari pada keadaan pencahayaan sederhana.

8. Daun bertukar kekuningan.Untuk daun matang bertukar kuning kemudian gugur adalah biasa, tetapi bila berlaku untuk beberapa helai daun dengan serentak, antara penyebab utama adalah terlebih air.

9. Daun kering.Disebabkan tiga punca utama, kurang pencahayaan, suhu panas serta kekurangan siram air.

10. Pertumbuhan pokok terbantut.Kekurangan nutrisi, pembajaan, kekurangan air, pencahayaan kurang. Kemungkinan juga akar padat pada media, teknik menukar pasu juga boleh digunakan.

11. Putik bunga gugur.Udara kering (kelembapan rendah), kekurangan air serta pencahayaan, terlalu kerap pindah pasu. Kemungkinan juga serangan serangga perosak

12. Daun, batang merekot.Disebabkan oleh serangan penyakit yang berpunca dari keadaan pembesaran pokok yang tidak baik seperti lebihan siraman air ataupun takungan/tompok air pada daun terutama di waktu malam.

13. Lumut pada pasu.Tanda yang nyata ialah lebihan siraman air atau lubang pengairan pada pasu yang tersumbat.

14. Daun berlubang.Punca disebabkan oleh dua sebab iaitu kerosakan fizikal dari manusia atau binatang dan serangan serangga perosak.

Berdasarkan gejala di atas, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira seperti persekitaran selesa dan sesuai terutama dari segi lokasi serta pencahayaan, penyiraman air yang cukup mengikut keperluan serta penjagaan dari segi pembajaan dan kawalan racun perosak. Bagi penjagaan kawalan penyakit dan serangga perosak, saya lebih menekankan konsep mencegah lebih baik dari merawat.

INFO: Tip racun serangga organik

Bahan:

  • 1 liter Air
  • 1 Sudu Besar Minyak Masak / minyak sayur
  • 1 Sudu besar sabun basuh
  • 4 – 6 Ulas bawang putih ( ditumbuk )
Langkah
  1. Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air
  2. Tumbuk 4 – 6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi.
  3. Setelah dikacau , tapiskan
  4. Untuk penyemburan : campurkan 1 bahagian Larutan Stok dengan 4 bahagian air.

1 comment:

  1. kenapa pokok caccultia saya bergulung dan dan kekuningan.apa kah faktor nya adakah di sebab kan oleh tanah

    ReplyDelete