Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Monday, March 8, 2010

MENDAMAIKAN KEDIAMAN

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu 7 Mac 2010




MEWUJUDKAN suasana damai dan sejuk di laman kediaman bukan hanya bergantung kepada reka bentuk landskap yang hebat hasil sentuhan perundingan laman dengan kos yang mahal saja. Sebaliknya, ia boleh dihasilkan sendiri menggunakan tip rekaan dan pembangunan laman dengan bahan yang murah dan mudah diperoleh seperti di sekitar kediaman dan kawasan kejiranan sekeliling.

Perunding Landskap, Nordin Md Salleh, berkata cara paling mudah mewujudkan suasana damai dan sejuk ialah dengan menanam pokok besar atau tanaman berdaun besar yang memberi bayang kepada laman. Selain itu, katanya, warna binaan landskap seperti siar kaki menggunakan warna yang gelap kerana ia mampu menyerap kehangatan panas matahari serta haba panas sekeliling.

“Penggunaan batu dan binaan konkrit dengan warna-warna tanah juga mempunyai nilai estetika yang mampu mewujudkan suasana sejuk, damai serta menghijaukan lagi laman kediaman. Ini kerana batu dan konkrit secara semula jadinya akan mengeluarkan haba panas apabila matahari terbenam atau waktu malam,” katanya.

Nordin juga menasihatkan mereka yang mahu menyejukkan laman kediaman menyediakan sungkupan dan sengkuap serta memastikan pokok ditanam mengikut hierarki yang besar di belakang dan pokok lebih kecil di hadapan. Seeloknya, pesanan beliau pastikan 70 peratus daripada kawasan laman dinaungi pokok jika mahu mewujudkan suasana yang damai. Katanya, langkah seterusnya pilih pokok yang memberi impak bayang seperti pokok sukun kerana mempunyai daun lebar, kelapa dan beberapa jenis palma yang lain. Namun, jelasnya pastikan arah matahari turun naik sebelum menanam pokok bagi memastikan bayang tanaman berkenaan boleh melindungi laman kediaman seterusnya mewujudkan suasana damai dan sejuk yang dikehendaki.


Beliau berkata, langkah keempat ialah dengan membina binaan seperti wakaf, gazebo, pergola, junjungan atau pintu gerbang yang mana dijadikan asas untuk tumbuhan menumpang hidup terutama pokok jenis menjalar, pokok gantung dan memanjat.

“Pokok memanjat adalah seperti kerak nasim manakala menjalar seperti kembang pagi, dan pokok gantung seperti petunia serta violet. Untuk menghasilkan suasana lebih asli, binaan berkenaan direka bentuk dengan hiasan dekoratif sesuai dengan konsep laman atau menggunakan fabrik ringan sebagai langsir atau tirai. Fabrik lain yang boleh digunakan adalah seperti kusyen, pelapik kaki, bantal, kerusi serta ambal, namun gunakan warna sejuk seperti putih, hijau dan biru lembut” katanya.


Selain itu, katanya mereka yang mahu mewujudkan suasana sejuk dan damai perlu menggunakan cahaya lampu yang malap atau samar-samar serta pastikan warna binaan dalam laman lembut, warna-warna kayu serta cat yang menyerap haba dan cahaya bukannya jenis yang berkilat dan memantul cahaya. Letakkan binaan air seperti kolam dan pancuran air kerana sifat air sememangnya sejuk selain bunyi air yang mewujudkan suasana damai, dingin dan menyegarkan yang secara holistik boleh menyejukkan laman kediaman. Kemudian, letakkan kipas siling atau dinding di dalam gazebo atau tepi wakaf kerana peredaran angin dapat mewujudkan suasana yang menyegarkan selain mampu mendinginkan kawasan. Kini, katanya sudah ada kipas dengan percikan air dan alat penyembur wap sejuk yang boleh menyejukkan lagi laman kediaman. Ini banyak digunakan penganjur majlis keraian ketika majlis bertemakan suasana dalam taman. Bagi alat ini, pemilik kediaman perlu mengeluarkan belanja yang besar sedikit kerana kosnya mahal.

“Namun, yang pasti jika pemilik kediaman dapat menyediakan laman dan kawasan sekitar yang sejuk dan mendamaikan, maka kos untuk membayar bil tenaga elektrik dapat dikurangkan dan dalam masa yang sama secara tidak langsung mengajar kita menghijaukan bumi dan mengurangkan kesan perubahan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment