Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Mekarharum, Mata Pelajaran Vokasional Landskap dan Nurseri, SMK Telok Kerang, Pontian, Johor..........Indahkan kawasan tempat kediaman kita dengan landskap yang cantik dan menarik

Sunday, September 30, 2012

FELDA NITAR 2 DIKUNJUNGI TETAMU SETELAH MERAIH RM1 JUTA MENJUARAI ANUGERAH KECERIAAN KAMPUNG FELDA (AKKF) KEBANGSAAN 2012

Masih ingat lagi mengenai entri bertajuk "Landskap Kampung FELDA Nitar 2" pada 5 Mac 2010? Kami ada menceritakan mengenai usaha peneroka FELDA itu mencantikkan kawasan perkampungan mereka. Setelah dua tahun berlalu, pada tahun ini FELDA Nitar 2 diisytiharkan sebagai juara Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) Kebangsaan 2012.




Kesepakatan penduduk menjadi kunci kejayaan FELDA Nitar 2 menjuarai Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) Kebangsaan 2012. FELDA berkenaan meraih hadiah wang tunai RM1 juta yang disampaikan sendiri oleh Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Hari Peneroka 2012 baru-baru ini.




Kerjasama semua pihak sejak beberapa tahun lalu dengan menanam bayam merah di sekitar rumah rancangan itu serta dihias indah dengan pelbagai pokok bunga akhirnya membawa kejayaan.




Semua lapisan penghuni dan kakitangan pengurusan tanah rancangan itu memberi kerjasama padu untuk menjayakan segala usaha menceriakan persekitaran. Kesepakatan peneroka membelanjakan RM30,000.00 bagi membeli benih dan baja untuk menanam pelbagai pokok bunga dan hiasan serta bayam merah yang menjadi identiti FELDA itu ternyata berbaloi.




Tanah rancangan yang dibuka hampir 30 tahun pada tahun 1984 terletak 26 km dari bandar Mersing. Keluasannya ialah 123.5 hektar. FELDA yang menempatkan 450 peneroka kini mempunyai lebih 3,265 penduduk daripada keluarga peneroka, kakitangan pengurusan FELDA dan kilang serta keluarga guru yang mengajar di sekolah kebangsaan dan agama di situ. Nama FELDA Nitar 2 diabadikan daripada nama seorang gadis Orang Asli bernama Nitar yang hilang dalam hutan ketika mencari pucuk kayu sebelum dihanyutkan arus sungai di kawasan itu.  



Kejayaan yang dikecapi tidak datang dengan sendiri sebaliknya hasil kesepakatan dan kerjasama semua pihak yang berkorban untuk kejayaan bersama. Kejayaan FELDA ini patut menjadi contoh kepada semua tanah rancangan untuk berusaha mencipta nama dalam pelbagai bidang yang boleh menaikkan nama kampung, daerah dan negeri.




Kini FELDA Nitar 2 menjadi perhatian seluruh negara. Ia menarik perhatian dan dikunjungi tetamu dari seluruh negara. Tetamu yang datang berkunjung ke situ kerana mahu melihat keindahan tanah rancangan tersebut sehingga meraih kemenangan yang membolehkan mereka membawa pulang RM1 juta.




Beberapa pasukan penerbitan telah membuat penggambaran dan rakaman di sekitar kampung ini. Di anataranya ialah Filem Negara Malaysia dan Bahagian Penerbitan FELDA.  Selain itu jawatankuasa peneroka dari dalam dan luar Johor juga melawat dan meninjau kampung ini untuk mengetahui dengan lebih dekat kunci kejayaan FELDA ini dalam AKKF 2012.




Kami ucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan semua warga FELDA Nitar 2 atas kejayaan ini. Semoga kecantikan dan keindahan kampung yang meriah dengan identiti warna merah 'bayam merah' akan berkekalan. Kepada sesiapa yang melalui jalan Kluang-Nitar-Mersing, jangan lupa singgah di kampung FELDA Nitar 2 untuk menikmati dan menghayati keindahan keceriaan landskap kampung ini. Kami tak pasti sama ada keindahan dan kecantikan landskap di kampung ini pada hari ini masih kekal seperti dulu. Syabas....




Wednesday, September 26, 2012

BUMBUNG RUMPUT

Ruang dalamannya mempunyai fungsi yang sama dengan kediaman biasa cuma kedudukan setiap perabot disesuaikan dengan keadaan. Tanpa perlu alat penghawa dingin, segenap ruang terasa nyaman ditambah dengan sistem pengaliran udara sempurna. Ia secara tidak langsung mengurangkan kehilangan haba dan dengan mudah mengekalkan suhu udara dalaman yang stabil.


Unik...seni bina ‘turf houses’ yang mengurangkan kehilangan haba.

Itu antara gambaran keunikan ruang dalaman ‘turf houses’ di Iceland yang tidak hanya menarik perhatian pada bahagian luar semata-mata.

‘Turf houses’ membabitkan seni bina kediaman yang menggunakan alam semula jadi sebagai material utama. Hamparan rumput hijau yang melatari bahagian dinding dan atap kediaman membuatkan ia kelihatan benar-benar unik. Bagaikan perkampungan hijau, persekitaran yang dingin pastinya mengurangkan suhu panas dengan pemandangan indah lagi luar biasa.


Idea...penggayaan landskap luar kediaman turut diberi perhatian.

Binaan kediaman ‘turf houses’ turut menjadikan kayu dan bata sebagai material penting. Sekali gus mengurangkan masalah mendapatkan bahan-bahan pembinaan lain seperti kediaman moden hari ini.

Biar pun Iceland sebenarnya tidak mempunyai jumlah rumput yang banyak untuk binaan kediaman seperti itu, namun ‘turf houses’ dimanfaatkan sebaik mungkin. Membabitkan proses pembinaan yang unik, bingkai kayu dibina kukuh bagi memastikan keupayaan menampung beban rumput sebagai bumbungnya. Rumput kemudian diletakkan di sekeliling bingkai kayu itu dengan ketelitian pertukangan untuk sesebuah ‘turf houses.’ Kayu di bahagian luar pula berfungsi sebagai pintu masuk dan digayakan sempurna untuk membantu keindahan landskap semula jadi kediaman berkenaan.


Pemandangan luar biasa...binaan ‘turf houses’ bagaikan landskap hijau.

Langkah evolusi yang pertama bermula pada abad ke-14 apabila rumah panjang gaya Viking mula ditinggalkan. Seterusnya diganti dengan binaan bangunan kecil, praktikal dan khusus dan pada abad ke-18 idea seni bina baru ‘turf houses’ mula diperkenalkan. Tidak hairanlah di Norway juga mempunyai bumbung rumput dan bahan binaan itu tidak asing di kalangan penggemarnya.


Menghijau...rumput subur menjadi bumbung kediaman.

Sumber:  Harian Metro

Thursday, September 13, 2012

AHLI KELAB LANDSKAP DAN TAMAN HARVEST BUAH ROCKMELON DAN MUSKMELON




Hari ini tiba masanya ahli-ahli Kelab Landskap dan Taman harvest buah rockmelon dan muskmelon yang mereka tanam 70 hari yang lepas. Mereka sama-sama ke RPH fertigasi untuk menuai buah-buah tersebut yang dah masak. Mengikut kiraan yang tepat, hari ini dah masuk hari yang ke 70 selepas ditanam. Dah sah dah... buah-buah itu dah masak. Banyak juga buah yang dapat dipetik. Terdapat juga buah yang belum cukup masak masih tergantung di pokoknya.

Buah-buah itu kemudian digredkan mengikut saiz. Semua ahli kelab dapat bahagian masing-masing. Atas budi bicara dan perbincangan ahli kelab, sebahagian buah-buah itu di berikan kepada guru-guru. Dapat jugalah guru-guru makan buah freeeee... Pada musim kali ini Cikgu Hasan Kasmuri memberi secara percuma kepada guru-guru. Selepas selesai menuai buah, ahli-ahli kelab mengambil kesempatan makan buah tersebut beramai-ramai.

Selepas selesai kerja menuai, kami memotong pangkal pokok supaya ia kering. Jadi apabila nak membuang pokok dan daun-daunnya nanti, dah tak gatal. Terdapat bulu-bulu pada daun pokok rockmelon yang menjadikan kegatalan pada kulit tangan.  Semoga musim akan datang hasil tanaman buah secara fertigasi ini menjadi lebih baik.








Monday, August 27, 2012

FUNGSI BATU DALAM TAMAN

Penggunaan batu kian meluas dan menjadi elemen hiasan penyeri taman serta landskap buatan.Tidak kira konsep Jepun atau Zen, Bali, tropika, moden atau kontemporari, batu antara elemen penting semula jadi.


Anda yang ingin mengubah penampilan taman sedia ada boleh berbuat demikian menggunakan batu hiasan. Kombinasi taman dihiasi rumput dengan deretan batu hiasan menarik membuatkan taman tampak hebat. Malah, penggunaan batu hiasan mengurangkan keadaan tidak selesa ketika hujan lebat. Masyarakat di bandar semakin gemar menggunakan batu sebagai hiasan kerana ia mudah diselenggara.Jika bijak menyusun, batu boleh boleh membina kolam serta air terjun.


Kehadiran batu hiasan menguji daya kreativiti anda mencorak konsep taman. Terdapat pelbagai jenis batu hiasan sesuai dijadikan pilihan menutup kelemahan tanah bergantung kepada elemen tertentu termasuk saiz, permukaan dan warna. Ia termasuk jenis batu sungai semula jadi, buatan simenferro atau batu yang berasal dari gunung berapi yang boleh digunakan untuk taman. Bagaimanapun, pilihan yang dibuat perlu diselarikan dengan konsep penataan taman bukannya menyakitkan pandangan. Batu hiasan berasaskan material yang berongga dan mempunyai pengaliran air dan udara sempurna amat sesuai. Ia menggalakkan pertumbuhan lumut dan kombinasi menarik untuk melahirkan suasana semula jadi. Batu hiasan 'limestone' sesuai diletak berhampiran kolam renang manakala yang berasaskan tanah liat untuk taman paku-pakis.


Elakkan daripada memilih batu hiasan jenis berkilat kerana ia mudah licin ketika hujan. Dalam menyerikan penataan taman, pilih material tahan lama dan dapat menyokong penampilan elemen landskap kejur yang lain. Lokasi kediaman antara perkara yang perlu diteliti dalam memilih batu hiasan sebagai penutup permukaan tanah. Anda yang tinggal di persisiran pantai dan lokasi berhampiran, batu kapur sesuai dengan kawasan berpasir. Seterusnya bahan ornamen atau hiasan taman yang diukir daripada batu turut menyerikan taman.Umpamanya set kerusi taman, pasu atau bekas tanaman, ukiran atau arca batu dan tidak ketinggalan jubin hiasan dinding pada kolam serta kediaman.


Batu memang bersifat tahan lasak dan kuat hingga membuatkan ia terus kekal popular sebagai elemen hiasan taman sejak dulu. Bagi mendapatkan idea kaedah hiasan taman, rujuk laman web landskap atau majalah dekorasi.

Monday, August 13, 2012

SENI TOPIARI - SENI MEMBENTUK ATAU MENGGUBAH POKOK HIASAN

Seni topiari sebenarnya sudah lama wujud dalam bidang seni taman terutama di Barat. Seni ini merujuk kepada amalan hortikultur bagi membentuk atau menggubah pokok renek menjadi pelbagai reka bentuk seperti bentuk geometri atau objek unik dan menarik seperti cawan, teko, pelbagai binatang dan pelbagai bentuk lain.

Sebagai seni rekabentuk, ia sebenarnya sejenis seni arca hidup. Sebenarnya perkataan topiari atau ‘topiary’ dalam istilah Inggerisnya ini dikatakan berasal dari perkataan Latin iaitu topiarius yang bermaksud juru landskap taman hiasan.

Bagi masyarakat Barat, sejak zaman dulu lagi mereka sering menggunakan pelbagai tanaman hiasan diandam menjadi pelbagai bentuk bagi mencantikan lagi taman awam dan kediaman mereka.

Kini, seni topiari didapati kian popular dan dapat dilihat menghiasi taman di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ia sebenarnya boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk struktur dan karakter taman atau ruang dengan kecantikan dan keunikannya yang tersendiri.

Ciri-ciri tanaman topiari

Ada beberapa ciri tanaman yang sesuai untuk ditanam dan diandam menjadi pelbagai objek seni topiari:
  1. Daun pokok sebaiknya bersaiz kecil supaya senang diandam untuk membentuk objek dengan tekstur yang lebih halus, cantik dan bernilai tinggi.
  2. Ranting dan pucuk baru pokok cepat tumbuh semula selepas dipangkas atau dipotong.
  3. Pokok yang digunakan perlulah dari jenis yang tahan lasak dan boleh hidup lama serta memerlukan sedikit penjagaan saja.
  4. Mempunyai bentuk pokok yang padat yang mengandungi banyak ranting pendek.
  5. Penampilannya biarlah unik, istimewa dan tersendiri.


 
Jenis tanaman sesuai

Di negara kita tanaman yang sesuai untuk seni topiari ini adalah seperti berikut:

Pokok berdaun

Contohnya Duranta; Ficus (foto 1); Kesinai (foto 2); Podocarpus (foto 3) dan Acalypha siamensis atau pokok teh liar yang berdaun kecil. Manakala spesies Syzygium campanulatum pula sangat cantik digunakan sebagai tanaman topiari kerana daunnya sentiasa bertukar warna dari muda hingga ke tua.

Pokok berbunga

Contohnya Melati atau Wrightia religiosa yang berbunga wangi. Manakala pokok bunga kertas pula berbunga pelbagai warna menarik.

Reka bentuk topiari

Seni topiari ini boleh dipelbagaikan reka bentuknya yang menarik di antaranya seperti daun bertingkat-tingkat ala pagoda (foto 5); satu kanopi atau silara di hujung batang; bentuk kon; banyak ranting dan daun hanya ditemui di hujungnya (foto 7) serta objek seperti binatang. 

Kaedah bentuk topiari

Dalam membentuk reka bentuk objek topiari ada beberapa tekniknya seperti berikut:

Guntingan bebas

Pokok digunting secara bebas oleh pemotong topiari yang berpengalaman mengikut reka bentuk yang dibayangkan dalam mindanya . Pokok pagaran yang dipotong kemas itu sebenarnya adalah reka bentuk topiari paling mudah dan ringkas menggunakan kaedah ini.

Rekabentuk ’dawai mata punai’ (Chicken net)

Kadangkala diperbuat daripada wayar besi dan diletakkan atas silara atau kanopi pokok supaya ranting dan daun pokok dapat tumbuh memenuhi ruang di dalam rekabentuk berkenaan. Kaedah ini lebih mudah kerana hanya daun yang terkeluar daripada reka bentuk berkenaan perlu dipotong untuk membentuk objek yang dinginkan itu.

Satu lagi kaedah mudah ialah dengan membiarkan pokok menjalar berdaun kecil menjalar dan menutupi bahagian luar reka bentuk dawai atau wayar besi seperti di atas yang akan membentuk objek topiari berkenaan dalam beberapa bulan.


Tip: Pokok topiari
  1. Pokok topiari juga memerlukan penjagaan yang sempurna seperti siraman, pembajaan dan sebagainya.
  2. Pokok juga perlu dipotong dan diandam kemas sekerap mungkin supaya dapat mengekalkan bentuknya sentiasa.
  3. Seni topiari bukan saja boleh diterapkan untuk pokok yang ditanam di tanah tetapi juga boleh dilakukan untuk pokok yang ditanam dalam pasu atau bekas lain. Pokok topiari dalam pasu sangat sesuai untuk menghiasi premis perniagaan, rumah kediaman dan sebagainya kerana ia boleh diubah tempat pamerannya.
Sumber: Berita Harian

Tuesday, July 10, 2012

SINGAPORE GARDEN FESTIVAL 2012 (FESTIVAL TAMAN SINGAPURA 2012)

Pameran dan persembahan taman yang unik dan menakjubkan disamping pelbagai bunga-bungaan yang cantik dan berwarna-warni boleh dinikmati dan dihayati di Singapore Garden Festival ini. Festival yang bermula dari 7 - 15 Julai 2012, memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dan manikmati 37 hasil karya terbesar yang memenangi pingat (awards) antarabangsa, tempatan, dan juga persembahan daripada 10 pereka penataan bunga-bungaan daripada empat negara yang dilangsungkan di bawah satu bumbung  iaitu di Suntec Convention and Exhibition Centre.

Singapore Garden Festival ini diadakan dua tahun sekali. Pada tahun ini ia adalah kali yang keempat dianjurkan. Lokasinya ialah di Suntec Convention and Exhibition Centre. Dengan harga tiket masuk sebanyak S$10 bagi orang dewasa, ia adalah amat berbaloi untuk dikunjungi.

Persembahan Landscape Gardens:
  • Continental Drift
  • Open To Nature - Beyond Tradition
  • Fu-chi-tei
  • The Path of Life
  • What You Sees What You Think
  • Mazu's Garden
  • Upper Hand
  • The Modernist Garden

Persembahan Fantasy Gardens:
  • Northern Light
  • Garden of Tales
  • The Elementary Garden
  • Luminescent Perspective
  • Garden of Hearts
  • Ruaumoko
  • Upturned Splendour

Persembahan Balcony Gardens:
  • Zen Haven
  • Balcony in Boundlessness
  • Living with Orchirds - Style, Sanctuary, Home
  • Juliet's Balcony
  • Living Green Balcony
  • IN/Out
  • A Breath of the Wind

Itu hanya sebahagian yang dapat ditulis. Sebenarnya apabila di sana banyak lagi 'display' yang perlu dilihat dan dinikmati. Dengan tempat dan suasana yang selesa (air-cond.), manapak dari satu 'display' ke satu 'display' selama 5 jam tak tarasa penatnya. Melihat dari depan cantik, memandang dari kanan menarik, renung dari kiri pulak menawan. Banyak ambil foto sehingga bateri habisss...

Sama ada kita seorang yang bekerja dalam bidang perlandskapan, atau saja-saja sebagai hobi atau seseorang itu yang hendak meluangkan masa dengan keluarga/rakan, festival ini adalah tempat yang paling sesuai untuk dikunjungi. Di sini dengan pelbagai bentuk taman, dan pelbagai bahan jualan berkaitan taman yang menarik, ia akan menjadikan festival ini sukar untuk dilupakan.

Jika ada kesempatan, marilah berkunjung ke Tingkat 4 dan 6 Suntec Convention and Exhibition Centre ini.

Dengan keluasan lebih kurang 2 hektar di dalam bangunan Suntec Convention and Exhibition Centre, festival ini begitu menarik sekali dengan persembahan bunga-bungaan yang pelbagai warna dan memperlihatkan kreativiti yang menakjubkan oleh pereka-pereka taman yang memenangi pertandingan reka bentuk taman dari seluruh dunia. Kita boleh menjamu mata kita dengan pelbagai jenis orkid, membeli-belah barang keperluan taman atau kita boleh bergembira dan bersantai keliling-kelalang melihat-lihat kecantikan taman bersama keluarga dan rakan.

Satu konsep taman yang diminati oleh pengunjung ialah taman yang bertemakan 'fairytale'. Satu taman mengenai 'fairytale' kanak-kanak seperti 'Snow white and the seven dwarfs, red riding hood, Alice in the wonderland, secret garden dan lain-lain' amat digemari oleh kanak-kanak dan dikagumi oleh orang dewasa. Di taman ini pengunjung boleh mengalami  'fairytale castle theme display with 5m tall topiary arches, animal shaped topiaries, pixies and frog soldiers peeking out from colouring flowering plants and simulated castle wall decorated with climbing plants'.
  
Hiasan dalaman festival ini memberi kesan yang menakjubkan dari segi persembahan daripada pereka-pereka yang memenangi anugerah di peringkat antarabangsa. Dalam dewan ini kita dapat melihat tumbuh-tumbuhan yang menarik dari seluruh dunia dengan pelbagai warna yang memberi gambaran suasana amat cantik sekali.
 
Singapore Garden Festival ini sesuai untuk dilawati oleh semua peringkat umur. Saksikan dan alami sendiri betapa cantiknya taman-taman hasil kreativiti pereka-pereka seni taman yang menerapkan semua elemen-elemen dalam sebuah taman. Apa lagi persembahanya itu dibantu dengan pencahayaan yang menakjubkan. Sudah tentu kita dapat menikmati penataan taman yang menakjubkan.
 
Kepada anda di luar sana yang tidak berkesempatan berkunjung ke festival ini, kami hadiahkan foto-foto berikut buat tatapan kalian...